suruhan amal

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SHEIKH Muhammad Abu Zahrtah berkata: Allah SWT menerangkan keadaan orang yang beriman ketika hampirnya tercetus peperangan Uhud dan selepasnya. Begitu juga apa yang terkena musibah di kalangan mereka.
Kemudian Allah menerangkan penawar kedukaan dan penyakit mereka, seterusnya mengajak mereka untuk memulakan jihad kerana apa yang tertimpa ke atas mereka juga kepada musuh mereka.
Allah SWT menerangkan sebab-sebab kekalahan supaya mereka berhati-hati kerana kesilapan boleh mengajar sesuatu kebenaran dengan lebih baik.
Ayat ke-159
Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Qurtubi berkata: Ayat ini memberi maksud bahawa Rasulullah SAW memberi ihsan dan kasih sayang kepada yang lari dalam perang Uhud tanpa memarahi mereka.
Justeru, Allah SWT menyatakan perbuatan tersebut dengan taufiknya. Beliau juga berkata, ayat ini menjadi dalil bahawa harus berijtihad dalam perkara yang bersifat zhanniyat.
ii. Al-Razi berkata: Ayat ini menyatakan bahawa tidak dinamakan tawakal bagi orang yang mengabaikan dirinya sendiri, sebagaimana anggapan segelintir orang yang jahil. Kalaulah tawakal ini membawa pengertian mengabaikan diri sendiri, sebenarnya ia bertentangan dengan konsep musyawarah.
Oleh yang demikian, tawakal yang sebenarnya ialah manusia harus memerhatikan perjalanan hukum sebab akibat secara rasional dan hendaklah berpegang dengan kekuasaan Allah SWT.
iii. Al-Hasan al-Basri berkata: Yang demikian itu merupakan akhlak Nabi Muhammad SAW yang dengannya Allah mengutuskannya. Dan ayat ini serupa dengan firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman.
iv. Al-Maraghi berkata: Ayat ini mengandungi petunjuk kepada golongan mukalaf serta mendorong mereka berserah diri kepada Allah SWT dan merujuk semua masalah kepada-Nya di samping menjauhkan diri daripada memohon kepada selain Allah SWT.
v. Hamka berkata: Di dalam ayat ini bertemulah pujian yang tinggi daripada Allah SWT dan Rasul-Nya, kerana sikapnya yang lemah-lembut, tidak lekas marah kepada umatnya yang tengah dididiknya iman mereka agar lebih sempurna.
Demikian kesalahan beberapa orang yang meninggalkan tugasnya, kerana tamak akan harta rampasan perang, namun Rasulullah SAW tidaklah terus marah.
vi. Quraish Shihab berkata: Setelah dalam ayat-ayat yang lalu Allah SWT membimbing kaum muslimin secara umum, kini tumpuan diarahkan kepada nabi Muhammad SAW, sambil menyebutkan sikap lemah lembut Nabi SAW kepada kaum muslimin khususnya mereka yang telah melakukan kesalahan dan pelanggaran dalam perang Uhud.
Sebenarnya cukup banyak hal dalam peristiwa perang Uhud yang dapat mengundang emosi manusia untuk marah. Namun demikian, cukup banyak pula bukti yang menunjukkan lemah-lembut Nabi SAW.
vii. Al-Sonhaji berkata: Para ulama sepakat mengatakan bahawa tiap-tiap perkara yang telah diwahyukan oleh Allah SWT tidak dibenarkan bagi Rasul-Nya untuk membincangkannya kepada sahabat-sahabatnya, kerana ia merupakan suatu perintah. Tidak boleh diminta pendapat orang dalam perkara itu.
Adapun yang oleh dimesyuaratkan ialah selain perkara-perkara yang telah diwahyukan iaitu mengenai urusan keduniaan dan maslahat peperangan dan sebagainya.
Ayat ke-160
Firman Allah SWT yang bermaksud: Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu, dan jika ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: Ayat ini dengan jelas menunjukkan perintah Allah supaya hanya bertawakal kepada-Nya sahaja.
ii. Al-Qurtubi berkata: Hendaklah orang yang beriman bertawakal kepada Allah kerana jika Allah menolong maka musuh-musuh tidak dapat mengalahkannya.
iii. Al-Maraghi berkata: Ayat ini mengandungi dorongan agar bertawakal kepada Allah selepas melakukan musyawarah, serta adanya semangat juang yang teguh, setelah melakukan segala persiapan perang setakat yang termampu.
Orang mukmin perlu bertawakal kepada Allah SWT sahaja kerana tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi sebarang pertolongan kepada mereka kecuali Allah SWT sahaja.
iv. Hamka berkata: Kepada kita sudah diajarkan, bahawasanya yang Maha Kuasa atas seluruh alam ini adalah Allah. Dia yang menguasai seluruh langit, bumi, laut dan darat. Bahkan sampai kepada sungai-sungai yang mengalir. Kadang-kadang medan perang itu sendiri.
Itu sebabnya di dalam perang amat penting menyelidiki medan. Kadang-kadang musim hujan, musim panas dan seumpamanya turut menentukan kalah dan menang dalam peperangan.
v. Quraish Shihab berkata: Kebulatan tekad yang mendahului perintah bertawakal menuntut upaya maksima manusia, menuntut penggunaan segala sebab untuk mencapai tujuan.
Dengan demikian ia adalah kekuatan, sedang tawakal adalah kesedaran akan kelemahan diri di hadapan Allah SWT dan habisnya upaya, disertai kesedaran bahawa Allah adalah penyebab yang menentukan keberhasilan dan kegagalan manusia.
Dengan demikian upaya dan tawakal adalah gabungan sebab dan penyebab.
vi. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini mengisyaratkan supaya bertawakal selepas bermesyuarat kerana Allah akan memberkati mereka itu dengan memberikan pertolongan-Nya.
Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Amin.

Comments

Popular posts from this blog

نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول

Sajak Perjuangan - RASULULLAH SUNGGUH MULIA