Showing posts with label hadis. Show all posts
Showing posts with label hadis. Show all posts

Tuesday, October 26

peringatan bersama

Hadis Nabi s.a.w mengenai buruk sangka dan mencari aib orang lain.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:
Bahwa Rasulullah saw. bersabda maksudnya : "Hindarilah oleh kamu sekalian berburuk sangka kerana buruk sangka adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kamu sekalian saling memata-matai yang lain, janganlah saling mencari-cari aib yang lain, janganlah kamu saling bersaing (kemegahan dunia), janganlah kamu saling mendengki dan janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling bermusuhan tetapi jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Sunday, July 25

.::sekadar renungan::.

“YANG HALAL ITU JELAS, YANG HARAM ITU JELAS, DAN ANTARA KEDUA-DUANYA ADALAH DIRAGUI (SYUBHAH), YANG TIDAK RAMAI MANUSIA TAHU TENTANGNYA. SESIAPA YANG MENGELAKKAN DIRI DARIPADA YANG SYUBHAH, MAKA DIA TELAH MEMELIHARA AGAMANYA DAN MARUAHNYA. DAN SESIAPA YANG TERJEBAK DENGAN YANG SYUBHAH, MAKA IA JUGA TERJEBAK DENGAN YANG HARAM.”

(Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah dan Darimi)




"SESUNGGUHNYA ALLAH ITU BAIK, DIA TIDAK MENERIMA SESUATU PUN MELAINKAN YANG BAIK SAHAJA"

RIWAYAT MUSLIM




“BAGINDA S.A.W MENYEBUT PERIHAL SEORANG LELAKI YANG BERMUSAFIR JAUH, YANG BERAMBUT KUSUT MASAI DAN BERDEBU, IA MENADAH TANGAN KE LANGIT (IAITU BERDOA): WAHAI TUHANKU! WAHAI TUHANKU! BAGAIMANAKAH DOANYA AKAN DIMAKBULKAN SEDANGKAN MAKANANNYA HARAM, MINUMANNYA HARAM, PAKAIANNYA HARAM DAN DIA DIBERI MAKAN DENGAN MAKANAN YANG HARAM?”

RIWAYAT MUSLIM




"Tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh daripada yang haram. "

(Hadis riwayat Ahmad)

Friday, July 23

.:: Dalam Berdakwah ::. | Bersifat Lemah-lembut dan Sabar |


Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah-lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Semua halangan-halangan ini sering dihadapi oleh para petugas amal Islami, sehingga hemah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.

Dari keterangan ini jelaslah tugas dan tanggungjawab seseorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya. Da'ie akan menyampaikan dakwahnya kepada orang-orang jahil dan orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional (sensitif), orang yang mudah bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah tersinggung. Oleh yang demikian dia wajib menyampaikan dakwah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah-lembut. Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi menganjurkan dan mengarahkan agar seseorang da'ie itu itu berakhlak dengan sifat sabar, lemah-lembut dan berhati-hati.

A. Arahan-arahan Dari Al-Quran:

Di antara arahan-arahan Al-Quran ialah:

1. Firman Allah:

وَلَمَنْ صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذَلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Yang bermaksud:
Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (Surah Asy-Syura, Ayat: 43).

2. Firman Allah:

فَاصْفَحِ الصَّفْحَ الْجَمِيلَ

Yang bermaksud:
Oleh itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustakan kamu itu wahai Muhammad) serta layanlah mereka dengan cara yang elok. (Surah Al-Hijr, Ayat: 85).

3. Firman Allah:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (Surah Az-Zumar, Ayat: 10).

4. Firman Allah:

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ

Yang bermaksud:

Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah An-Nur, Ayat: 22).

5. Firman Allah:

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

Yang bermaksud:
Dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini. (Surah Al-Furqaan, Ayat: 63).

B. Arahan-arahan dari hadis-hadis Nabi ialah:

Sabda Rasulullah s.a.w:
Yang bermaksud:
"Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya".

2. Sabda Rasulullah s.a.w:
Yang bermaksud:
"Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya! Wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah hubungan silaturahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu."

3. Rasulullah s.a.w juga bersabda:
Yang bermaksud:
Apabila Allah s.w.t menghimpunkan makhluk-Nya di hari Kiamat, penyeru pada hari itu menyeru: "Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan". Baginda bersabda: "Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat." Kemudian mereka ditanya: "Apakah keistimewaan kamu?" Mereka menjawab: "Apabila kami dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut". Lalu dikatakan kepada mereka: "Masuklah kamu ke dalam Syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang-orang yang beramal".

C. Contoh-contoh Praktikal Dari Nabi-nabi:

1. Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas hati dengan pembahagian rampasan perang) berkata: "Demi Allah, sesungguhnya ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak bertujuan mendapat keredaan Allah". Setelah diceritakan kepada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda:
Yang bermaksud: "Semoga Allah merahmati Nabi Musa kerana ia disakiti lebih dari ini tetapi ia sabar."

2. Anas r.a telah berkata:
Yang bermaksud: "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w telah memasuki sebuah masjid. Ia memakai kain selendang buatan Najran yang kasar buatannya. Tiba-tiba seorang Arab Badwi datang dari arah belakang baginda lalu menarik kain tersebut dari belakang sehingga meninggalkan kesan di leher baginda. Badwi tersebut berkata: "Wahai Muhammad, berikanlah kepada kami harta Allah yang ada di sisimu, lalu Rasulullah s.a.w berpaling kepadanya dengan wajah yang tersenyum dan baginda bersabda: "Perintahkan kepada yang berkenaan supaya berikan kepadanya."

3. Abu Hurairah menceritakan:
Yang bermaksud: "Bahawa seorang Arab Badwi telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: "Wahai Muhammad! Bawalah gandum ke atas dua ekor untaku, kerana kalau engkau buat begitu ia bukan harta engkau dan bukan juga harta bapa engkau". Kemudian dia menarik kain selendang Rasulullah s.a.w meninggalkan kesan kemerahan di leher baginda. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya membawa kepada Badwi tersebut seguni gandum dan tamar."

4. At-Tabrani menceritakan:
Yang bermaksud: "Bahawa seorang wanita bercakap lucah (iaitu percakapan yang boleh membangkitkan berahi) kepada sekumpulan lelaki, lalu dia melintas di hadapan Rasulullah s.a.w ketika Nabi sedang memakan roti berkuah di atas tanah. Kemudian wanita tersebut berkata: "Kamu lihatlah kepadanya, dia duduk seperti seorang hamba abdi dan dia makan juga seperti seorang hamba abdi".

5. Abu Hurairah r.a menceritakan:
Yang bermaksud: "Seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya mempunyai kaum kerabat yang selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua memutuskan hubungan dengan saya, saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya, saya berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka bersikap keras kepada saya". Lalu baginda bersabda: "Jika sekiranya engkau berbuat seperti yang engkau katakan seolah-olah engkau menjemukan mereka dan engkau tetap akan mendapat pertolongan dari Allah selama engkau berbuat demikian".

6. Pada suatu ketika datang seorang Yahudi menuntut hutang daripada Rasulullah s.a.w dengan berkata: "Kamu dari Bani Abd. Manaf adalah bangsa yang suka melambat-lambatkan pembayaran hutang". Ketika itu Umar bin Al-Khattab ada bersama dan dia hampir-hampir memenggal leher Yahudi itu, lalu Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: "Wahai Umar! Sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik".

7. Diriwayatkan bahawa Nabi Isa a.s bersama para pengikut setianya (Hawariyyun) menjelajah dari satu kampung ke satu kampung yang lain kerana berdakwah. Lalu di dalam dakwahnya itu dia bercakap kepada manusia dengan cara yang baik, sebaliknya mereka membalasnya dengan kata-kata yang buruk, kutukan dan maki-hamun. Para pengikut setia Nabi Isa merasa hairan terhadap tindakan itu lalu mereka bertanya tentang rahsia perbuatan sedemikian. Baginda berkata: "Setiap orang itu mengeluarkan (membelanjakan) apa yang ada padanya".

Semua peristiwa di atas dan peristiwa lainnya menjadi bukti yang menguatkan lagi tuntutan ke atas para pendakwah supaya bersifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada khususnya apabila cabaran-cabaran yang menyakitkan itu datangnya dari kaum kerabat, sahabat handai, orang-orang yang dikasihi, teman-teman rapat dan saudara mara kerana sifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada itu akan menghasilkan kasih-sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan serta perbezaan. Cukuplah seseorang pendakwah itu melakukan apa yang diredhai oleh Allah.


888888888888888888888888888888

berkemungkinan terdapatnya orang yang terasa dengan post sebelum ini...dan datang memerliku...huhu...beselah cabaran...huhu...(dan bukan niatku nak bg terasa2 ni....cuma nasihat sebagai saudara muslim...)

semalam berbicara ngan adik2 medik..hasil perbincangan menunjukkan adik2 ni lebih 'faham' dari saudaraku ini...huhu....(ilmu ALLAH tu bukan sume nye untuk pelajar agama)kadang-kala ALLAH hadiahkan lebih bagi orang yang berkehendak akannya....


dari hati untuk diri.....

Monday, June 14

'Bohong' Yang Diketahui Allah



Sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa, sejak dahulu lagi, amat baik untuk mengingatinya dan dikongsi bersama keluarga, rakan dan taulan. Iaitu :-

إن أول الناس يقضى يوم القيامة عليه رجل استشهد, فأُتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عمِلتَ فيها؟ قال: قاتلت فيك حتى استشهدت, قال: كذبت, ولكنك قاتلت لأن يقال: جريء, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل تعلم العلم وعلّمه, وقرأ القرآن, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: تعلمت العلم وعلّمته, وقرأت فيك القرآن, قال: كذبت, ولكنك تعلمت العلم ليقال: عالم, وقرأت القرآن ليقال: هو قارئ, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل وسّع الله عليه, وأعطاه من أصناف المال كله, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: ما تركت من سبيل تحبّ أن ينفق فيها إلا أنفقت فيها لك, قال: كذبت, ولكنك فعلت ليقال: هو جواد, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه, ثم ألقي في النار

Maksudnya (ringkasan terjemahan) :

Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid

Dibalas : Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar "SANG BERANI"

maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.

Ditanyakan kepada (orang kedua) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al-Quran"

Dijawab semula : Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘ALIM, kamu membaca Al-Quran agar digelar "QARI"

maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.

Ditanyakan kepada (orang ketiga) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"

Dijawab semula : "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar "DERWAMAN"

maka dikatakan kepada Malaikat, lalu telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka ( Riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah)

Semoga kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya. Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah. Mereka itulah yang disebut dalam hadis:-

أرأيت الرجل يعمل العمل من الخير، ويحمده الناس عليه؟ قال: "تلك عاجل بشرى المؤمن

Ertinya : Ditanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?. Jawab baginda : Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para mukmin" ( Riwayat Muslim)

Ibn Qayyim pernah berkata berkata : "Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat."

Benarlah, bahawa ikhlas bagi adalah satu ujian yang lebih malah sangat sukar bagi seorang pendakwah dan mukmin. Pelbagai medium yang diceburi pendakwah termasuklah seni, drama, nasyid dan lain-lain lagi. Namun semua akan menghadapi cabaran besar ikhlas, ia sebuah cabaran yang sangat sukar...



Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Monday, May 3

Hadis ke -8

Dari Ibn Umar r.a, bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda : ' Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengaku tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, memberi zakat, maka jika mereka melakukan semua itu akan terselamatlah darah dan harta benda mereka dariku, kecuali yang mana ada hak Islam padanya dan perkiraan mereka terserahlah kepada Allah Ta'ala. '

Saturday, August 8

Hadis ke-7

Dari Abu Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-Dhari r.a, bahawasanya Nabi SAW bersabda : ' Agama itu adalah an-nasihat. ' Kami sekelian bertanya : ' Untuk siapa ? ' Maka jawab Rasulullah SAW : ' Bagi Allah, kitabNya, RasulNya dan bagi Imam-imam kaum Muslimin dan orang awamnya(seluruh kaum muslimin). '

Friday, July 31

Hadis ke -6

"Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ' Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati. '

Sunday, June 21

Hadis Ke-5

Daripada Ummul Mukminin, Ummi Abdullah Aisyah r.a. katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : ' Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama yang bukan darinya adalah tertolak ', ~ diriwayatkan dari Al-Bukhari dan Muslim. Dan pada riwayat yang lain oleh Imam Muslim : " Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak dari perintah kami, maka ia adalah tertolak. "

Thursday, June 18

Hadis Ke-4

" Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya : ' Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat pekara : rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya ( suratan takdir ) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu

Monday, June 15

Hadis Ke-3

" Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Umar r.a, berkata : Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ' Islam itu didirikan atas lima ( pekara ) - Menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, naik haji ke Baitullah dan puasa sebulan Ramadhan

Saturday, March 21

Hadith Kedua

Dari Umar Ibnul-Khattab r.a, katanya : Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba mucul di dalam majlis itu seorang laki-laki yang berpakaian serba putih, berrambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk ia bersama Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Rasulullah SAW serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua paha Rasulullah SAW, lalu berkata :
Sipemuda : Khabarkan aku tentang Islam ?
Rasulullah : Islam, iaitu hendaklah mengucap syahadat - bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Ta'ala dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan hendaklah bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah apabila berdaya ke sana.
Sipemuda : Benar katamu.
( Berkata Umar r.a : Kami merasa hairan kepada tingkah laku sipemuda itu, dia yang bertanya dan dia pula yang mengiyakannya )
Sipemuda : Khabarkanlah kepada ke tentang Iman ?
Rasulullah : Hendaklah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir Allah yang baikNya atau yang burukNya.
Sipemuda : Benar katamu ! Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan ?
Rasulullah : Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau.
Sipemuda : Khabarkan padaku tentang hari kiamat ?.
Rasulullah : Tiadalah orang yang ditanya itu lebih mengetahui dari orang yang bertanya.
Sipemuda : Khabarkan padaku tentang tanda-tandanya ?
Rasulullah : Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri ; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi.
( Kemudian beredar keluar sipemuda itu dari majlis tersebut ) :
Rasulullah : Tahukan anda wahai Umar siapakah pemuda yang menyoal kau tadi ?
Umar Al-Khattab : Allah dan RasulNya jua yang mengetahui.
Rasulullah : Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu.

Tuesday, March 17

Hadis





Terjemahan Hadis Pertama Dari Kitab HADIS 40.
Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : - ' Hanyasanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'

Laut dan Dakwah – Sebuah Refleksi Jiwa

Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...