Friday, January 7

Kronologi Provokasi Penukaran BKKIMM kepada IMAM

KRONOLOGI PROVOKASI PENUKARAN

BADAN KEBAJIKAN KELUARGA ISLAM MELAKA MESIR (BKKIMM)

KEPADA SUATU KOMUNITI BARU YANG DIBERI NAMA

IKATAN MAHASISWA ANAK MELAKA (IMAM)



TARIKH / HARI

WAKTU

PERISTIWA

28.12.2010

Selasa

11.00 pagi

· Bertempat di kediaman rasmi Y.Bhg TYT Prof Madya Dr. Fakruddin Bin Abdul Mukti, YAB Datuk Ser Hj. Mohd Ali Bin Mohd Rustam telah menyatakan di dalam ucapannya untuk menukar persatuan yang sedia ada ( BKKIMM ) kepada persatuan baru yang tiada kaitan dengan PMRAM yang dianggap sebagai persatuan yang mirip kepada parti pembangkang.

· Di dalam ucapan YAB Datuk Seri juga telah mengumumkan persatuan yang bakal menggantikan BKKIMM diberi nama Ikatan Mahasiswa Anak Melaka ( IMAM ).

· Di dalam ucapannya juga, beliau turut menyifatkan bahawa persatuan dan orang-orang lama di dalam BKKIMM sekarang adalah hipokrit.

· Para delegasi Kerajaan Negeri Melaka dan Pegawai EM, Encik Khairi Jalaluddin yang turut serta di dalam majlis ucapan beliau turut menyokong apa yang diperkatakan YAB Datuk Seri.

12.00 tengah hari

· Maklumat diterima daripada perbualan para delegasi Kerajaan Negeri bahawa selepas majlis di kediaman Y.Bhg TYT Datuk Duta, YAB Datuk Seri akan mengadakan lawatan ke Wisma Melaka (rumah lama) sejurus selepas majlis tersebut berakhir.

· AJKT BKKIMM yang tidak bersama dalam majlis tersebut telah dimaklumkan oleh YDP berkenaan perkara tersebut dan mereka bergegas ke Wisma Melaka untuk bersiap sedia menerima lawatan tersebut.

2.45 petang

· Para delegasi telah tiba di Wisma Melaka bagi menyambut ketibaan YAB Datuk Seri.

3.30 petang

· Ketibaan YAB Datuk Seri di Wisma Melaka dan perbincangan berkenaan status Wisma telah dijalankan secara tidak langsung.


8.00 malam

· Ketibaan YAB Datuk Seri di Wisma Melaka Baru untuk merasmikan bangunan tersebut.

· Program Majlis Perasmian Bangunan baru bermula. YAB Datuk Seri telah memberi ucapan perasmian dan telah menyampaikan hadiah kepada mahasiswa/wi yang telah berjaya dalam peperiksaan sesi lepas.

· Jamuan makan malam.

11.30 malam

· Majlis dialog anak-anak Melaka di Mesir bersama YAB Datuk Seri. Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Abu Bakar Bin Abdul, Pengurus Besar TAPENM.

· Sebanyak enam soalan telah diajukan kepada YAB Datuk Seri.

· Diantara soalan yang telah diajukan adalah mengenai ucapan YAB Datuk Seri pada majlis di kediaman rasmi Y.Bhg TYT untuk menukarkan persatuan yang telah sedia ada kepada persatuan yang baru.

· YAB Datuk Seri telah menyatakan bahawa perkara itu benar dan beliau telah berbincang dengan para delegasi kerajaan negeri serta Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir untuk menubuhkan persatuan baru yang dinamakan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka ( IMAM ).

· Beliau beranggapan bahawa persatuan yang telah sedia ada mempunyai kerjasama yang rapat dengan PMRAM, yang dianggap satu persatuan yang berhaluan kiri.

· Dalam ucapannya juga, beliau telah menyatakan bahawa BKKIMM telah diberi masa 10 tahun bermula pada tahun 2000 untuk memutuskan hubungan dengan PMRAM akan tetapi BKKIMM gagal melaksanakannya. Beliau juga mendakwa bahawa perlembagaan BKKIMM masih meletakkan PMRAM sebagai penaung.

· Seramai lapan ahli BKKIMM telah bangun memberi respon mengenai kenyataan YAB Datuk Seri itu. Semua yang memberi respon tidak bersetuju dengan penubuhan IMAM kerana mereka percaya bahawa persatuan yang telah sedia ada iaitu BKKIMM sudah memadai dan telah menaungi anak-anak Melaka di Mesir sejak tahun 1976 lagi.

· Di antara respon yang telah diberikan ialah BKKIMM tidak bekerjasama dengan PMRAM secara langsung akan tetapi hanya mengambil beberapa manfaat daripada persekutuan tersebut iaiu mengenai pendidikan, kebajikan dan hisbah. Ini adalah untuk kepentingan anak-anak Melaka sendiri dan perkara tersebut telah dipersetujui oleh Pegawai Hal Ehwal Dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir dalam mesyuarat bersama AJKT BKKIMM.

· Majoriti ahli-ahli BKKIMM yang hadir dalam majlis dialog tersebut ( merangkumi mahasiswa pengajian islam dan perubatan ) turut memberi sokongan dengan berdiri beramai-ramai ketika diminta berbuat demikian. YDP BKKIMM, Us. Harman Bin Hassan telah menenangkan keadaan dan meminta semua ahli untuk duduk kerana beliau percaya bahawa YAB Datuk Seri datang ke Mesir dengan niat yang baik serta pintu perbincangan bersama YAB Datuk Seri masih lagi terbuka.

· Walaupun sokongan untuk mengekalkan BKKIMM sangat kuat dan menolak IMAM, YAB Datuk Seri menegaskan beberapa kali bahawa ini adalah keputusan muktamad Kerajaan Negeri Melaka di mana persatuan yang ada sekarang (BKKIMM) tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.

· Melihat respon anak-anak Melaka yang cuba mempertahankan BKKIMM dengan soalan-soalan dan pertanyaan yang bertalu-talu, YAB Datuk Seri segera menamatkan sesi dialog tersebut.


1.00 pagi

· Sesi dialog tamat dan semua ahli masih lagi tidak berganjak daripada dewan.

· Ramai ahli yang masih lagi tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. AJKT cuba menenangkan ahli dan meminta supaya ahli mengadakan solat hajat dan berdoa supaya BKKIMM akan terus dipertahankan.

· Majlis bersurai.

29.12.2011

Rabu

5.00 petang

· Perjumpaan YAB Datuk Seri bersama anak-anak Melaka bertempat di Internasional Bowling Center (IBC), bertujuan untuk beramah mesra bersama anak-anak Melaka sambil mengadakan pertandingan bowling. Turut hadir pada pertemuan tersebut ahli-ahli Kelab Umno Mesir.

· Pada asalnya mengikut tentatif yang telah disusun oleh urusetia delegasi, perjumpaan YAB Datuk Seri khusus bersama anak-anak Melaka adalah pada hari rabu bertarikh 29.12.2010 jam 2.30 petang dan bukan pada malam 28.12.2010. Akan tetapi tentatif telah diubah di atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

9.00 malam

· Sesi dialog YAB Datuk Seri bersama AJKT BKKIMM dijadualkan pada ketika itu telah dibatalkan dengan alasan YAB Datuk Seri kesuntukan masa.

30.12.2010

Khamis

3.00 petang

· Perjumpaan yang dirancang oleh para delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bersama calon AJK bayangan IMAM, AJKT BKKIMM serta ahli-ahli BKKIMM dibatalkan oleh delegasi.

· Perjumpaan dimaklumkan akan ditunda pada waktu malam.


8.00 malam

· Perjumpaan sekali lagi dibatalkan oleh delegasi atas sebab-sebab yang tidak diketahui dan mereka telah mengadakan mesyuarat di rumah Puan Salwa Binti Jasman (kakitangan EM).

· Maklumat yang diterima, perjumpaan bersama para delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bersama calon AJK bayangan IMAM, AJKT BKKIMM serta ahli-ahli BKKIMM akan diadakan pada pagi esoknya.

31.12.2010

Jumaat

9.00 pagi

· Para delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir telah mengadakan perjumpaan dengan mahasiswa/wi perubatan tajaan TAPENM. Seramai lima siswa perubatan dan enam siswi yang hadir pada perjumpaan tersebut. Mereka telah diugut dengan pinjaman TAPENM jika tidak memberi kerjasama yang baik dengan IMAM.

2.00 petang

· Perjumpaan delegasi dan Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bersama mahasiswa/wi perubatan dijadualkan akan diadakan sekali lagi, tetapi telah diminta oleh salah seorang siswa perubatan agar perjumpaan tersebut melibat semua ahli-ahli BKKIMM. Pada awalnya delegasi tidak bersetuju dengan cadangan ini dan setelah diminta berkali-kali delegasi menerima permintaan tersebut.

· AJK bayangan IMAM yang dijangka akan diisytiharkan pada perjumpaan kali ini bertukar menjadi sesi dialog di antara ahli Melaka dengan delegasi.

· Di antara soalan yang telah diajukan ialah, adakah IMAM ini satu persatuan atau hanya sebagai satu komuniti pelaksana dan jika ia hanya sebagai satu komuniti pelaksana, maka ia tidak memerlukan pendaftaran ahli.

· Respon yang diberi oleh En. Abu Bakar Bin Abdul ialah, IMAM merupakan satu komuniti pelaksana bagi mengadakan program-program dan aktiviti-aktiviti. Ia bersifat universal dan akan diwujudkan di semua universiti tempatan di Malaysia.

· Di antara cadangan yang diajukan ialah, jika benar IMAM ini adalah satu persatuan pelajar, maka pemilihan AJKT IMAM mesti dibuat melalui pilihanraya. Akan tetapi cadangan ini ditolak mentah-mentah oleh para delegasi tanpa sebarang alasan.

1.1.2011

Sabtu

6.00 petang

· Kepimpinan BKKIMM telah mengadakan Majlis Sidang Media dan Majlis Penerangan Isu di Wisma Seri Melaka (rumah baru) bagi merungkai segala persoalan ahli-ahli BKKIMM serta seluruh mahasiswa di Mesir berkaitan isu ini. Dewan Wisma Seri Melaka telah dipenuhi oleh ahli-ahli BKKIMM serta beberapa wakil kepimpinan dari DPM dan BKAN yang turut memberi sokongan padu kepada BKKIMM.

· Rata-rata ahli luar yang hadir memberi jaminan bagi menawarkan beberapa sumbangan kepada ahli BKKIMM seperti tempat program jika ahli BKKIMM disekat berbuat demikian di Wisma Seri Melaka.

· Majlis tersebut turut meriah apabila mendapat ucapan dan kalam taujihat daripada wakil mantan kepimpinan Pusat dan mantan kepimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM). Mereka yang memberi ucapan turut menjelaskan berkenaan isu penarikan zakat yang pernah berlaku kepada anak-anak Selangor di Mesir. Jika perkara yang sama berlaku di Melaka, maka Melaka menjadi tempat kelima diugut sedemikian rupa selepas negeri Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

· Walau bagaimanapun majlis tersebut tidak dapat dihadiri oleh sebahagian siswi baru perubatan oleh kerana beberapa AJK bayangan IMAM (siswa) membawa siswi tersebut untuk makan malam di Baitulhasanah.

3.1.2011

Isnin

3.15 - 5.20 petang

· Berita dari Tanah Air : Delegasi kerajaan yang telah pulang ke Malaysia telah mengenakan serangan peribadi terhadap dua orang siswi serta seorang siswa Melaka di Mesir dengan mengatakan mereka telah terlibat dengan persatuan yang mempunyai agenda politik pembangkang tanpa sebarang bukti yang kukuh.

· Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir telah memanggil YDP BKKIMM untuk berbincang mengenai beberapa perkara berkenaan isu ini.

· Di dalam pertemuan tersebut, YDP telah meminta jaminan daripada Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir bahawa tidak akan ada mahasiswa/wi yang ditarik pinjaman dan zakat dengan isu ini.

· Tiada sebarang respon daripada Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir berkenaan permintaan YDP BKKIMM ini sebaliknya Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka Di Mesir telah membuka perbincangan berkenaan hal lain.

4.1.2011

Selasa

7.00 pagi

3.00 petang

9.00 malam

· Roadshow Penerangan Isu BKKIMM ke muhafazah Zagaziq bagi menerangkan isu provokasi penukaran BKKIMM kepada IMAM.

· Roadshow berlangsung di muhafazah Mansurah.

· Roadshow berlangsung di muhafazah Tanta.

6.1.2011

Khamis

8.00 pagi

· Berita dari Tanah Air : Sekali lagi berlaku serangan peribadi terhadap seorang lagi siswi Melaka di Mesir oleh seorang pegawai kerajaan negeri yang merupakan delegasi ke Mesir. Siswi tersebut juga telah diberi amaran keras dan akan ditarik pinjaman dan zakat (TAPENM) jika masih bersama BKKIMM.

sumber : BKKIMM

***************************************************************************************

mohon maaf sekiranya sukar untuk dibaca...anda boleh 'copy' n 'paste' ke dalam word kemudian besarkan sedikit ruangannya...

harap dapat disebarkan kebenaran ini...
kita selaku mahasiswa harus mempertahankan hak kita...

terima kasih BKAWM :)


terima kasih kepada pimpinan Badan Kebajikan anak Wilayah Mesir ( BKAWM ). terharu rasa nya..huhu

Pembinaan Rumahtangga Islam Satu Tuntutan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setengah pasangan atau salah seorang daripadanya meletakkan tujuan yang tidak betul dalam perkahwinan. Sebahagiannya kerana bermatlamatkan kekayaan, kecantikan, keturunan, nafsu dan sebagainya. Cabaran yang akan dihadapi adalah berdasarkan sejauhmana matlamat yang ingin dicapai dalam rumahtangga. Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan, kerana itu perkahwinan disyariatkan.

Islam memberikan perhatian yang sangat besar dalam pembentukan sebuah keluarga, kerana keluarga merupakan satu masyarakat yang kecil sebelum terbentuknya sebuah masyarakat yang lebih luas. Mendirikan dan membentuk sebuah keluarga yang berteraskan Islam, sakinah, mawaddah wa rahmah harus dimulai dengan meletakkan asas keislaman yang kukuh, yang dimulai dengan memilih jodoh mengikut cara Islam, proses walimatul ‘urus, membangun keluarga dari tahap awal, dan mendidik anggota keluarga .

Sahabat yang dimuliakan,
Kejahilan adalah musuh kepada kebahagiaan rumah tangga. Kejahilan mengurus akan membuka ruang yang lebih luas kepada cabaran yang lebih besar. Pengurusan rumahtangga mesti didasarkan kepada tiga perkara berikut :

1. Proses pendidikan Islam perlu berjalan untuk mengukuhkan kesedaran beragama iaitu menyuburkan ketaatan kepada Allah S.W.T., tidak menganiaya sesama manusia, melahirkan sifat kasih sayang dan bertimbangan rasa dan lain-lain.

2. Memahami hukum fikah bab munakahat iaitu memahami kewajipan dan tanggungjawab suami kepada isteri , kewajipan mendidik dan memberi nafkah kepada anak-anak dan memahami hukum-hakam mengenai penceraian, talak, hak-hak suami dan isteri dan sebagainya jika berlaku perselisihan.

3. Memahami perlunya toleransi dan kerjasama serta komunikasi yang baik diantara suami, isteri dan anak-anak. Termasuk keluarga di kedua-dua belah pihak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Perkahwinan itu adalah sunahku, maka barangsiapa yang benci kepada sunahku, nescaya telah membenci aku.”

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
”Ambillah isteri, kerana beristeri lebih membuka pintu rezeki bagi kamu.”
(Hadis Riwayat Thusiy)

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan jadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan."
(Surah al-Rum ayat 21)

Di dalam Islam sebelum seseorang itu ingin mendirikan rumahtangga maka pemilihan jodoh hendaklah berdasarkan pada agama seseorang kerana ini akan membawa kepada kebahagiaan dan kerukunan rumahtangga kerana masing-masing mempunyai asas dalam kefahaman agama.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Wanita itu dikawini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau agamanya, maka hendaklah kamu memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya kamu akan bernasib baik.”

Selain daripada mengutamakan agama satu lagi perkara yang perlu di ambil perhatian adalah sekufu (persamaan). Perkahwinan sekufu adalah perkahwinan di antara suami dan isteri yang mempunyai persamaan dari segi keadaan hidup. Adakah Islam mengaku suami isteri itu bertaraf-taraf? Jawapannya ia. Taraf ini diukur dari darjat kehidupan. Tentunya tidak sama orang berilmu dengan yang tidak berilmu, orang yang bertakwa tidak sama dengan orang yang tidak bertakwa, orang yang suka berpoya-poya dan berbuat maksiat dengan orang yang warak. Dari aspek inilah Islam melihat adanya perbezaan hidup manusia. Walaupun begitu dari segi nilai kemanusiaan, manusia itu sama.

Manusia yang jahat pun dari sudut kemanusiaan perlu diberi pertolongan dan dihormati sebagai manusia. Dari semua perbezaan hidup dan nilai-nilai hidup manusia, tidak ada yang lebih mulia melainkan insan yang bertakwa kepada Allah S.W.T.

Pembinaan institusi kekeluargaan yang mantap merupakan hospital yang paling anggun bagi menghadapi segala bentuk cabaran. Keluarga yang mantap dan bahagia menjadi penawar kepada segala masaalah. Ia juga menjadi prasyarat dalam merencana rekayasa sosial. Rekayasa sosial adalah satu cara dalam mengukuhkan institusi keluarga menerusi pembentukan masyarakat sakinah dalam menghadapi era globalisasi zaman moden ini. Pendekatan ini diambil dengan matlamat untuk melahirkan masyarakat yang aman, makmur, seimbang, maju, berbudaya dan bertatasusila dengan berlandaskan norma moral dan nilai kerohanian hidup yang positif.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Jika seorang perempuan melihat kesalahan suaminya atau telah berpaling hatinya, tiada berdosa jika keduanya mengadakan perdamaian sesama mereka, berdamai itu adalah lebih baik, memang manusia berperangai kikir, jika kamu berbuat baik kepada isteri kamu dan bertakwa, sesungguhnya Allah Amat Mengetahui." (Surah An-Nisaa' ayat 128)

Apakah ciri-ciri penting yang perlu ada pada bakal pasangan suami isteri supaya menjamin kebahagiaan rumahtangga yang akan dibina?

1. Mempunyai matang fizikal iaitu sihat tubuh badan dan tidak naif.

2. Mempunyai kematangan intelektual iaitu mempunyai keyakinan diri (bersikap objektif), mampu membuang segala perangai buruk dan amalan negatif, mengaku kekurangannya dan berkeinginan untuk membaiki kelemahan diri.

3. Mempunyai kematangan emosi iaitu tahu mengawal diri ketika marah dan sebagainya.

4. Mempunyai kematangan sosial iaitu mempunyai hubungan kekeluargaan yang harmoni, mampu menyesuaikan diri dengan masyarakat di mana dia berada.

5. Mempunyai kematangan moral iaitu memahami hal orang lain dan selalu mempertimbangkan akibat perbuatannya terhadap orang lain.

6. Mempunyai kematangan usia iaitu antara 24-30 tahun bagi lelaki dan 20-25 tahun bagi wanita. Ia sebenarnya banyak bergantung kepada iklim dan adat sesuatu tempat.
(dalam kes-kes tertentu jika di dapati pasangan tersebut lebih muda daripada kematangan usia tersebuat dan memerlukan mereka berkahwin maka ianya lebih baik daripada terlibat dengan gejala zina)

Sahabat yang dikasihi,
Di dalam pembinaan rumah tangga bapa sebagai ketua keluarga perlu menyedari bahawa menyediakan bekalan ilmu dan pendidikan kepada isteri dan anak-anak ada satu keperluan yang diutamakan. Semoga dengan ilmu dan pendidikan akan melahirkan rumah tangga muslim 'menjadikan rumahku syurgaku' dan mereka sentiasa terbimbing dengan ilmu dan akhlak Islam.

Bapa juga perlu bekerja keras nencari nafkah untuk mendapatkan wang dan harta supaya sekurang-kurangnya dapat memenuhi tiga keperluan asasi kehidupan iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Setiap keluarga juga mestilah menguruskan soal-soal perbelanjaan dengan betul dan terancang. Perkara-perkara yang menjadi tegahan agama seperti pembaziran, berbelanja dengan berlebih-lebihan sehingga menimbulkan riyak atau membeli barang-barang yang tidak perlu dan seumpamanya hendaklah dielakkan. Amalkanlah kehidupan secara sederhana dan sentiasa berjimat cermat. Rezeki yang diperolehi itu sepertiga darinya hendaklah dibelanjakan untuk maksud nafkah, sepertiganya untuk maslahat umum seperti zakat, sedekah dan seumpamanya dan sepertiga lagi untuk tabungan. Untuk menjamin hidup masa depan, budaya menabung perlu diamalkan dalam keluarga seperti kata pepatah "beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis"

Proses pendidikan kepada keluarga perlu berjalan dengan baik dan berterusan. Untuk melahirkan susana tarbiah persekitarannya perlulah persekitaran yang baik kerana ianya akan membantu mencapai kebahagiaan rumahtangga tetapi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi dan menghalang wujudnya kebahagiaan dan keharmonian dalam keluarga. Banyak aspek persekitaran yang perlu diambil perhatian seperti jiran tetangga, masyarakat sekeliling, pembantu rumah, pengaruh media, pengaruh pemikiran barat, keselesaan dan keindahan di dalam dan luar rumah, menghiasi rumah dengan peralatan dan perhiasan yang diredai Allah. Ibu bapa hendaklah pandai membentuk suasana yang harmoni.

Daripada Saat r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan rumahtangga iaitu wanita yang baik, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik." (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Semasa majlis perkahwinan beberapa perkara yang perlu di ambil perhatian adalah seperti berikut :
1. Menyedari tujuan sebenar kita mengadakan walimah.
2. Menghindari perbuatan syirik dan kurafat.
3. Mengelak daripada melakukan maksiat.
4. Mengundang golongan yang kurang berada.
5. Mengelakkan ikhtilat (percampuran antara lelaki dan wanita)
6. Menghindarkan hiburan yang merosakkan nilai ibadah. (hiburan yang memuji kebesaran Allah tidaklah dilarang)
7. Menghindari pembaziran.
8. Mengelakkan perhiasan yang melampau.
9. Memberikan ucapan selamat serta mendoakan kebahagiaan kedua mempelai serta keluarga mereka.

Sahabat,
Perkahwinan adalah sunah Rasulullah S.A.W. dan hanya jalan perkahwinan sahaja dapat menyelesaikan perzinaan dan pembuangan dan kelahiran anak-anak tidak sah taraf. Apabila sudah ada jodoh dan ada calun yang sesuai teruskanlah diijab kabulkan kerana jika ditangguh-tangguh lagi akan mendatangkan mudarat yang lebih besar. Janganlah dipandang kepada hantaran dan mas kawin yang mahal kerana ianya akan mendatangkan kesusahan kepada pihak lelaki yang berhajat untuk mengambil seorang wanita itu untuk menjadi isterinya .

Rasulullah S.A.W. memberi cara mudah bagi laki-laki untuk mengetahui akhlak calon isterinya dengan mengetahui besar kecil mas kawin yang dimintanya. Seorang wanita yang kuat agamanya tentu tidak akan membebani calon suaminya dengan mas kawin yang mahal harganya. Tetapi dia akan menunjukkan jalan bagi suaminya jalan yang mudah untuk segera mengawininya.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
”Sebaik baik wanita yaitu yang paling murah permintaan mas kawinnya.”
(Hadis Riwayat Thabrani)

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”

“Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang agamanya dan amanatnya, maka sebaik-baiknya kamu kawinkanlah saja. Jika tidak, dikawatirkan akan menjadi fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”

Laut dan Dakwah – Sebuah Refleksi Jiwa

Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...