UCAPAN DASAR YDP LEMBAH PANTAI SEMPENA MESYUARAT AGUNG PAS KALI KE -22/2010

Terima kasih akhi pengerusi majlis merangkap Ketua DPP LP, Yang Berhormat Dr. Hj. Mohd Hatta Ramli, Bendahari PAS Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kuala Krai, Kelantan, Yang Berhormat Pn. Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ybhg. Dr. Ust. Hj. Azhar Yaakob, Tim. PJ PAS WP merangkap mantan YDP Lem Pantai, Tn. Hj. Nik Hamdan dan Tn. Hj. Sulaiman Bujang merangkap mantan2 YDP Lem Pantai, pemerhati daripada PAS WP, Tn. Hj. Osman selaku tuan rumah, seluruh AJK PAS Lem Pantai, para perwakilan drp. dewan2, caw2, Unit Amal, Amal Nisa’, guru-guru PASTI dan seterusnya para pemerhati sekalian.





Assalamualaikum wrh.

Segala puji dan syukur kita rafakkan kpd Allah (s.w.t) di atas rahmat dan kasih sygNya yang membuka ruang kepada keberadaan kita di dalam majlis ini pd hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad (s.a.w) yg menjadi cth teladan kpd kita di dalam setiap gerak dan langkah kehidupan terutama di dlm urusan perjuangan dan jihad. Juga ke atas ahli keluarga baginda, para sahabat, pejuang2 agama Allah (s.w.t) dan seluruh umat Islam sehingga ke hari pengadilan.

Firman Allah (s.w.t):

“Wahai orang2 yg. beriman, mahukah kamu sekiranya aku tunjukkan kpd kamu satu perniagaan yg dapat menyelamatkan kamu drp azab yg cukup pedih? (bahawa) kamu beriman kpd Allah dan rasul-Nya dan kamu berjihad pada jalan-Nya dgn harta benda kamu dan jiwa raga kamu. Yg. demikian itu terlebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui”.

(al-Shaf: 10-11)




Alhamdulillah, pada hari ini PAS Lem Pantai merayakan Mesyuarat Agung Tahunannya buat kali ke 22. Bermakna usia jemaah ini sudah sampai usia muda iaitu 22 tahun. Gerakan Islam PAS LP ini bersama 11 kawasan yang lain bergabung membentuk Jemaah Islam PAS Wilayah Persekutuan.



Muslimin muslimat pejuang kebenaran,



Sebagai sebuah harakah dakwah, Perlembagaan PAS pindaan (1993) menyatakan dalam muqaddimahnya:



“bahawa dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MAKRUF WAN NAHYU ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)”.



Inilah asas penubuhan PAS yang menjadi mata rantai kepada siri perjuangan Islam sepanjang zaman pada setiap tempat. Bukankah syarat khairal ummah (ummat terbaik) adalah dengan keimanan kepada Allah (s.w.t) dan gerakerja Amar makruf Nahi Mungkar?



Maka falsafah teras ini mesti dihadam oleh setiap ahli gerakan Islam PAS khususnya di LP. Kebersamaan kita dengan PAS LP mesti dilakukan secara sedar, insaf dan faham. Bukannya ikut-ikutan atau main-mainan. Keyakinan kita kepada nilai aqidah serta perkataan Allah (s.w.t) iaitu ( ) menjadi pemangkin kepada perjuangan dan kesetiaan kita kepada jemaah. Janganlah ada sekelumit rasa ragu atau curiga apatah lagi sifat main-mainan dalam diri kita terhadap perjuangan ini. Lupakah kita bahawa perjuangan ini menuntut pengorbanan yang bukan kepalang; wang ringgit dikorbankan, detik kerehatan dilupakan, anak-isteri ditinggal-tinggalkan. Justeru, ia bukan perjuangan main-mainan, bukan juga buat-buatan.



Firman Allah (s.w.t):

“dan hindarilah diri kamu drp orang2 yang menjadikan agama mereka sebagai bahan permainan dan olok-olokan serta mereka dikuasai kehidupan duniawi (semata-mata)” (al-An’am: 70)



Alangkah bertuahnya kita apabila berjaya meletakkan diri di dalam sebuah organisasi dakwah yang tersusun. Dalam situasi AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR semakin dipinggirkan pada masa yang sama tuntutan ke arahnya semakin mendesak. Bukankah hari ini kita berada dalam sebuah masyarakat yang sakit tenat? Masyarakat yang semakin buta agama, jahil iman dan berperasaan seperti Tuhan sudah mati! Lihatlah kepada angka-angka gejala sosial yang begitu menakutkan:



* Jenayah kanak-kanak (bawah 12 thn): 2001 = 1,036. 2005=7,201 (700%)!
* Jenayah remaja: 2007 sebanyak 3,383 kes pelajar di seluruh negara yang terlibat dalam kes rogol, cabul, curi, merusuh, ponteng dsbnya (BH: 18 Mei 2008).
* Bunuh diri: 2000 purata 7 orang satu hari.
* Rasuah: keputusan PBB: 1995: ke 23; 2004: ke 39.
* Anak luar nikah: 2009: 17,303 didaftarkan. 2005-2009, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status bayi tidak sah taraf (Melayu sahaja: 74,723 orang!)
* Arak: kedudukan 10 tertinggi pengambilan arak di dunia Belanja minum arak RM1.75 bilion setahun. Kuantiti pengambilan perkapita setanding eropah. Kedai runcit boleh jual arak tanpa lesen.
* Perceraian: 2007: 131, 086 perkahwinan, 20,259 bercerai! Dalam sehari: 359 kahwin dan 56 bercerai. (Harian Metro: Sumber JAKIM)



Lantaran itu, kita menjadi saksi mata kepala di atas nilai akhlak yang semakin bobrok, iman yang semakin polos. Apakah kita akan berasa selamat daripada tsunami maksiat dan kejahilan yang berlaku secara collateral damage ini? Apakah kita yakin generasi keturunan kita akan mewarisi “negara yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun? Kerana itulah kita meyakini kembali kepada Islam dan berada di dalam perjuangan Islam adalah jawabannya.



Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,



Sebagai sebuah harakah tarbiyah, PAS LP melaksanakan pelbagai program yang menjurus ke arah pentarbiahan diri ahli jemaah, keluarga seterusnya masyarakat. Program usrah menjadi tulang belakang, tamrin adalah lanjutannya, mukhayyam, liqa’fikri, jaulah tarbawi, hiwar ulama, kuliah2 dan pelbagai rencam warna dan bentuk pentarbiyahan lain telah diatur.



Ahli-ahli diperingatkan dengan tanggungjawab dan kewajiban sebagai ahli PAS. Fasal 14 Perlembagaan PAS di bawah perkara hak-hak dan kewajiban ahli menyatakan:



“kewajiban ahli antaranya ialah menghadiri mana-mana kursus-kursus, tamrin-tamrin atau perhimpunan-perhimpunan parti sebagaimana yang ditetapkan dan diarahkan. Juga kewajiban ahli adalah memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum Islam”



Agaknya inilah rahsia PAS boleh bertahan dgn kelebihan 1 kerusi yang menang hanya dengan 2 undi sahaja di DUN Kemuning, Kelantan pada tahun 2004 yang lalu. Demikian juga pada ketika rakan-rakan dalam PR berhadapan dengan ancaman lompat melompat, PAS aman daripadanya.



Muslimin muslimat ahli gerakan Islam sekalian,



Sebagai sebuah harakah siasah pula, PAS LP telah, sedang dan akan sentiasa melakukan gerakerja-gerakerja politik secara berterusan.Usaha menambahramaikan ahli, urusan daftar pemilih, gerakerja pemutihan ahli, ceramah-ceramah kesedaran politik dengan penjelasan isu-isu semasa dan terkini dalam dan luar negara sentiasa dilaksanakan. Hubungan dengan rakan dalam PR terutama pihak YB Puan Nurul Izzah sentiasa diperkemaskan. Malah tidak keterlaluan diakui PAS LP satu-satunya kawasan di WP yang mempunyai hubungan “kawan tapi mesra” dengan rakan PR yang lain. Dalam persoalan ini Unit Amal terlalu berperanan sebagai duta dan penghubung silaturrahim. Tahniah kepada mereka.



Demikian juga halangan dengan non muslim dirobohkan menerusi dasar pintu terbuka PAS LP. Kami menyertai forum anjuran pihak YB LP yang bertajuk “Is PR sustainable?” yang membuka kefahaman non muslim bahawa kumpulan yang lebih dikenali sebagai “the group of pious men” ini tidak ada apa-apa masalah dengan non muslim. Kami juga menjadi penganjur bersama program Citrawarna 3 budaya (Islam, Cina dan India). Kami juga mengadakan edaran buah limau, “greeting card”, akhbar-akhbar HARAKAH dan masuk ke dalam pasar serta restoran orang-orang Cina di Bangsar. Blog kawasan LP pula dilancarkan sebagai medium utama memasarkan PAS LP kepada masyarakat.



Sekali lagi syukur kita yang berada dalam sebuah harakah siasah yang berjuang menerusi politik atau siasah untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia ini. Sirah Nabawiyyah mengajar kepada kita bahawa dakwah menerusi sistem bernegara ini adalah kemuncak dakwah. Dakwah fardiyyah tidak akan kemana-mana jika sistem negara tidak dirubah kepada sistem Islam. Teringat pula kepada kata-kata TG Nik Abdul Aziz pada hari-hari pertama beliau dinobatkan sebagai MB Kelantan:



“ Dulu waktu ambo ngaja, arok tu hare, ore pakat dok dengar jah. Takdok tindake, Tapi loni, bilo ambo royak arok tu hare dan najih, ore2 kerajae berlari2 ambik tindake…”



Muslimin muslimat rakan perjuangan Islam,



Marilah kita merapatkan barisan, menyatukan hati dan membulatkan tekad untuk mendokong harakah dakwah, harakah tarbiyah dan harakah siasah ini. Hari ini PAS LP menghadapi serangan musuh yang bertali arus, yang semakin tajam dan menggila. Raja Nong Chik yang berpengkalan di LP begitu ghairah menggunakan segala kelengkapan perang kerajaan pusat dan menyasarkannya kepada kawasan LP. Saban masa dan ketika kita melihat program memperbodohkan rakyat yang silih berganti di kawasan kita. Benarlah kata-kata YB Tian Chua, ahli Parlimen Batu bahawa LP dan Batu adalah 2 kawasan sasaran utama kerajaan BN.



Oleh itu, kita tidak mempunyai banyak masa dan pilihan. Marilah bersama PAS kawasan LP menyusun strategi, mempertajamkan kelengkapan dan mengatur perancangan menjelang PRU 13 yang semakin hampir ini.



Firman Allah (s.w.t):

“Dan bersiap sedialah dengan segala kelengkapan daripada kuda2 perang yg dapat menggerunkan dgnnya akan musuh2 Allah, musuh2 kamu dan yg lain daripada mereka yg kamu tidak mengetahuinya. Allah yg terlebih mengetahui mereka. Dan segala apa yg kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan kpd kamu sedangkan kamu tidak dizalimi (walaupun sedikit)” (Al-Anfal: 60)





Firman Allah lagi:

“Apabila kamu telah berazam maka bertawakkallah kpd Allah, Sesungguhnya Allah amat kasih kpd orang2 yg bertawakkal”. (Ali Imran: 159)



Akhirnya saya mewakili PAS Kawasan Lembah Pantai mengucapkan terima kasih di atas kunjungan semua tetamu kehormat pada pagi ini. Terima kasih juga kepada seluruh sahabat yang terlibat menjayakan pertemuan kita pada hari ini. Segalanya kita serahkan kembali kepada Allah (s.w.t). Hanya Dialah sebaik-baik penilai.



Akhir kata:

Budak-badak main kotak,

Main kotak atas titi,

Terima kasih adik kakak,

Lain masa berjumpa lagi..

Takbir, takbir, takbiiiiiiiir!!!


*SUMBER : http://paslembahpantai.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=119:ucapan-dasar-ydp-lembah-pantai-sempena-mesyuarat-agung-pas-lembah-pantai-kali-ke-222010&catid=1:latest-news

Comments

Popular posts from this blog

Sajak Perjuangan - RASULULLAH SUNGGUH MULIA

نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول