Taubat perlu disertai keikhlasan

Syeikh al-Maraghi berkata: Selepas Allah memperihalkan golongan musyrikin dan hukum bagi orang yang murtad, dia menceritakan berkenaan balasan orang yang beriman, yang berhijrah dan berjihad berdasarkan firmannya.
Allah berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, Lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)
Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.
Al-Mawardi berkata: Sebab turun ayat ini ialah turun sekumpulan orang Islam berkata berkenaan Abdullah bin Jahsy dan yang bersamanya, jika sekiranya mereka tidak mendapat dalam musafir mereka dosa nescaya tiada padanya pahala.
Sayid Qutub berkata: Harapan seseorang Mukmin terhadap rahmat Allah tidak sekali-kali dikecewakan Allah. Kumpulan Mukmin yang ikhlas kepada Allah dan sanggup berhijrah meninggalkan Mekah telah mendengar janji yang benar ini. Lalu mereka berjihad untuk sabilillah sehingga Allah memenuhi janji-Nya terhadap mereka dengan memberi kemenangan atau penghormatan mati syahid dan kedua-dua merupakan kebaikan dan rahmat belaka. Mereka berjaya mendapat keampunan Allah dan rahmat-Nya.
Al-Maraghi berkata: Mereka mengharapkan rahmat Allah dan ihsan-Nya justeru layak mereka dikurniakan kerana pengorbanan mereka semata-mata mencari keredaan Allah. Lihatlah sejarah bagaimana Nabi s.a.w berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah semata-mata menyelamatkan dari fitnah oleh kaum musyrikin Quraisy sehinggalah Islam dapat bertapak. Seterusnya pertahankan diri dan akhirnya dapat membuka kota Mekah pada tahun 8 Hijrah.
Ternyata Allah menghina orang musyrikin dan menjadikan kalimah mereka begitu rendah sedangkan kalimah Allah berada di puncak. Di sini suka dinyatakan betapa pentingnya hijrah dalam kehidupan umat Islam sehingga Imam Nawawi menyebut hadis yang pertama di dalam kitabnya Matan Arba’in berkenaan dengan hijrah:
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.
Guru kami Dr. Mustafa al-Bugha di dalam al-Wafi berkata, hijrah daripada negeri kafir ke negeri Islam adalah wajib ke atas orang Islam yang tidak mungkin daripada menzahirkan agamanya. Ini merupakan hukum yang kekal dikaitkannya.
Adapun hadis Nabi yang bermaksud tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah kerana Mekah menjadi sebahagian daripada negeri Islam.
Jika ditanya bagaimana Allah menyebut mereka yang mengharapkan rahmat Allah sedangkan rahmat Allah bagi orang yang beriman adalah perkara yang hak? Al-Mawardi berkata: Jawapannya dua:
Pertama: Tatkala mereka tidak mengetahui keadaan pada masa hadapan maka haruslah mereka memohon rahmat kerana takut apa yang berlaku tidak membawa kepada mendapat rahmat.
Kedua: Kerana mereka mengharapkan rahmat disebabkan tidak yakin segala penunaian yang Allah wajibkan ke atas mereka. Adakah diterima atau tidak?
Firman Allah: Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Iaitu Allah Maha Luas Keampunan bagi orang yang bertaubat dan beristighfar di mana keluasan rahmat-Nya kepada orang yang beriman ditahqiqkan bagi mereka yang mengharapkan keampunan-Nya.
Qatadah berkata, mereka merupakan umat yang terbaik di mana Allah menjadikan mereka sebagai ahli yang mengharap dan siapa yang mengharap pasti menuntut dan siapa yang takut pasti lari.
Dr. Yusuf al-Qardawi berkata, unsur keempat yang membentuk hakikat taubat ialah mengikhlaskan taubat kepada Allah. Di sana terdapat satu rukun yang amat dituntut di dalam taubat. Sekalipun ia tidak disebutkan oleh kebanyakan orang. Namun, saya berpendapat ia adalah suatu yang sudah dimaklumi.
Rukun tersebut ialah membebaskan diri, menyesal serta berazam untuk tidak mengulangi dosa yang lalu, semuanya dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t lantaran tamakkan pahala-Nya dan takutkan hukuman-Nya.
Barang siapa yang meninggalkan tabiat minum arak kerana doktor melarangnya dan kerana ia boleh memudaratkan kesihatannya, maka peninggalannya dengan sebab itu tidak dikira sebagai taubat.
Barang siapa yang meninggalkan perbuatan zina kerana dia mengidapi Aids atau takut dijangkitinya atau lain-lain penyakit kelamin, yang dibimbanginya lalu dia meninggalkan tabiat berzina, ia tidak dikira sebagai taubat.
Barang siapa yang meninggalkan aktiviti pengedaran dadah kerana takut diberkas oleh polis serta takutkan hukuman mati maka itu tidak dikira sebagai bertaubat dan dia tidak tergolong di dalam golongan yang bertaubat.
Barang siapa yang kalah dalam perjudian, lalu dia meninggalkannya kerana muflis dan hilang kekayaannya, maka itu tidak dikira bertaubat.
Barang siapa yang menderhakai bapanya, lalu bapanya menghalangnya dari harta dan warisan, lantas dia menyesali penderhakaannya, maka penyesalan itu tidak dikira sebagai taubat. Ini kerana dia menyesal atas dasar keduniaan bukan kerana ia adalah penderhakaan kepada Allah s.w.t.
Kita telah pun melihat al-Quran al-Karim mengisahkan kepada kita tentang dua anak Adam, yang mana salah seorangnya jahat antara keduanya telah membunuh saudaranya yang baik. Dia telah membawa mayatnya sekian lama, kerana tidak tahu bagaimana hendak menanamnya lantaran ia adalah mayat yang pertama di dalam sejarah kemanusiaan.
Allah berfirman yang bermaksud: Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana sewajarnya dia menanamkan mayat saudaranya. Qabil berkata: Alangkah celakanya aku. Mengapakah aku tidak mampu melakukan demikian seperti burung gagak ini. Atau aku dapat menanam mayat saudaraku ini? Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal. (al-Maidah: 31)
Penyesalan Qabil saudara yang jahat ini bukanlah kerana maksiatnya kepada Allah serta tindakannya membunuh saudaranya. Sebaliknya penyesalan tersebut adalah kerana dia membawa mayat saudaranya dalam jangkamasa yang sebegitu serta kelemahannya mengetahui cara menanamnya. Oleh kerana itu dia tidak mendapat perlepasan kerana penyesalan ini.
Tetapi jika pelbagai musibah dan kerugian di dunia ini boleh menjadi pendorong keimanan di dalam hati manusia serta menjadikannya memeriksa dirinya dan mengingati hari akhirat, lantas ketika itu dia bertaubat, maka dia termasuk di kalangan orang-orang yang diterima taubat mereka, insya-Allah.
Iktibar Ayat
* Kelebihan orang beriman yang berhijrah dan berjihad fi sabilillah.
* Sifat orang beriman sentiasa mengharapkan rahmat Allah.
* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Comments

Popular posts from this blog

نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول

Sajak Perjuangan - RASULULLAH SUNGGUH MULIA