mereka yang sudi

Sunday, May 16

Bekerja Untuk Islam Wajib (1)

SAYA MESTI MEYAKINI BAHAWA BERKERJA UNTUK ISLAM ADALAH WAJIB

Sebenarnya berkerja untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah berkerja untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan syakhsiyah Islam yang syumul sehinggalah lahir masyarakat yang berpegang teguh dengan cara hidup Islam yang sempurna, serta memikul amanah dakwah untuk menegakkan kebenaran Islam di alam ini.

Segala keperluan, persediaan dan pra-syarat bagi melahirkan masyarakat seumpama itu adalah dituntut oleh syara’.

Kewajipan beramal dan bekerja untuk Islam tidak akan gugur kecuali setelah tertegaknya satu ummah yang memelihara urusan kaum muslimin dan melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya. Selagimana ummah ini tidak wujud, maka setiap kecuaian atau pengabaian oleh pekerja Islam atau oleh orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini, menurut pandangan Islam adalah satu dosa. Dosa ini tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.
Di antara bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:


1. Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda')

Beramal dan bekerja untuk Islam pada prinsipnya adalah wajib kerana ia adalah ketetapan Subhanahuwata’ala ke atas seluruh umat manusia. Perlaksanaan tanggungjawab ini didahului oleh para Nabi dan para Rasul kemudian diikuti oleh umat manusia hinggalah ke hari kiamat kelak. Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahuwata’ala:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesanan dengan kebenaran serta berpesan-pesanan dengan kesabaran.
(Surah Al-Asr, Ayat: 1 - 3)
Dan firman Allah Subhanahuwata’ala:

Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Rabmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya.
(Surah Al-Maidah, Ayat: 67)
Dan firman Allah Subhanahuwata’ala:

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekelian makhluk.
(Surah Al-Baqarah, Ayat: 159).

Dalam sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang mulia terdapat riwayat-riwayat yang mengkhabarkan secara khusus mengenai dakwah kepada kebenaran dan menentang kebatilan. Antaranya ialah sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله (صلى الله عليه وسلم) يقول: "من رأى منكم منكراً فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان".

(رواه مسلم)

Dari Abi Said Al-Khudri r.a, katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya (nasihatnya). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya (tidak meredhai perbuatan tersebut). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.
(Hadith Riwayat Muslim)

Sabda baginda yang lain:
"Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Perintahlah (manusia) supaya melakukan perkara-perkara yang ma’ruf (yang baik) dan cegahlah mereka dari melakukan perkara-perkara yang mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu Aku tidak lagi menerimanya dan kamu memohon pertolongan lalu Aku tidak menolong kamu lagi".
(Hadith riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)


2. Wajib dari Sudut Hukum
Beramal untuk Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syari’at Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem atau undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam.
Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabdikan diri kepada Allah di dalam i’tikad, keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil-dalil dari Al-Quran:

“Maka demi Rabmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”
(Surah An-Nisa', Ayat: 65)

Dan firman Allah Subhanahuwata’ala lagi:

”Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka keputusannya (terserah) kepada Allah. (yang mempunyai sifat-sifat demikian) Itulah Allah Rabku, kepada-Nya lah Aku bertawakkal dan kepada-Nyalah Aku kembali.”
(Surah Asy-Syura, Ayat: 10)

Begitu juga firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”
(Surah Al-Maidah, Ayat: 44)

Firman Allah Subhanahuwata’ala lagi:

“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”
(Surah Al-Maidah, Ayat: 45)

Firman Allah Subhanahuwata’ala lagi:

“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.”
(Surah Al-Maidah, Ayat: 47)

Oleh kerana menegakkan hukum-hukum Allah (dan menegakkan masyarakat Islam) adalah wajib maka segala kerja ke arahnya adalah juga wajib, berdasarkan kaedah syarak:

ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب

“Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib".

Rata-rata negara (umat) Islam diperintah dengan sistem ciptaan manusia yang merupakan campur aduk pelbagai sistem seperti undang-undang Rumani, Yunani, Perancis dan Inggeris. Demikian juga, sistem ekonomi yang menguasai negara-negara itu adalah sistem ekonomi Kapitalisma dan Sosialisma.

Maka, umat Islam berkewajipan menyusun gerak-kerja untuk meruntuhkan jahiliah dan mengembalikan kedaulatan Islam. Kewajipan ini menjadi fardu a’in ke atas setiap muslim sehingga kepimpinan dan kekuasaan kembali ke pangkuan Islam.

Kewujudan Khalifah (Imam) dan daulah Islam adalah suatu yang mesti (wajib) bagi membolehkan pelbagai sistem dalam Islam seperti sistem kemasyarakatan, ekonomi, politik, undang-undang, pendidikan perdamaian, peperangan, jihad, akhlak dan mu’amalat dilaksanakan.

Rujukan:
Apa Ertinya Saya Menganut Islam, Fathi Yakan

No comments: