Lelaki mati terjatuh apartmen



GOMBAK – Gara-gara takut dicekup pihak berkuasa kerana dipercayai berkhalwat, seorang pelajar lelaki sebuah kolej komuniti nekad melarikan diri dengan keluar melalui tingkap di tingkat lima, Apartmen Jelutong di Selayang Heights di sini awal pagi semalam.

Bagaimanapun tindakan pemuda berusia 21 tahun itu mengundang padah apabila dia terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.


LONGKANG tempat mangsa terjatuh.

Difahamkan, kejadian pada pukul 1.40 pagi itu disedari oleh ahli jawatankuasa masjid berdekatan yang pergi ke rumah tersebut untuk membuat pemeriksaan selepas menerima aduan berhubung satu pasangan bukan muhrim yang bersekedudukan.

Sebaik sampai di depan rumah, salah seorang daripada lima ahli jawatankuasa masjid yang mendapat tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu mengetuk pintu yang pada awalnya tidak dibuka.


ANAK panah menunjukkan tempat mangsa terjatuh dari tingkat lima di Gombak semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, setelah beberapa minit menunggu, salah seorang daripada mereka dikejutkan dengan bunyi objek terjatuh sebelum seorang wanita membuka pintu rumah.

“Pihak berkuasa itu kemudian memperkenalkan diri mereka dan menunjukkan kad kuasa untuk melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan.

“Ketika kejadian, salah seorang daripada mereka melihat terdapat satu tingkap dalam keadaan terbuka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Menurut Rosly, sebaik melihat ke bawah, kakitangan tersebut terkejut apabila melihat seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan terperosok di dalam longkang.

Oleh ATIKAH DALI
*sumber :http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Comments

Popular posts from this blog

نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول

Sajak Perjuangan - RASULULLAH SUNGGUH MULIA