Saturday, December 4

Alhamdulillah :)




Alhamdulillah...setelah hampir 3 bulan menunggu keputusn peperiksaan yang tak kunjung tiba...akhirnya penantianku berakhhir dengan sedikit lega apabila keputusan peperiksaan yang ku nanti-nantikan telah ditampak kat kuliahh hari ini...Alhamdulillah yang tidak terhingga ku panjatkan kepada ALLAH atas kejayaan ini...


Alhamdulillah,kini berkira-kira mengenai tarikh untuk pulang ke tanah air....nantikan :)

sibuk @ penyibuk???

Ketika anda sedang sibuk menyiapkan assignment yang perlu dihantar beberapa hari lagi, tiba-tiba kawan sebilik mengajak anda keluar minum. Anda pun menjawab ringkas "Maaf, saya sibuk, tak ada masa".

Atau mungkin anda sedang membersihkan kereta yang anda sayangi, tiba-tiba anak anda datang dan meminta anda bacakan buku cerita yang isteri anda belikan beberapa hari lepas atau mungkin beberapa bulan lepas. Andapun menjawab sambil lewa "Ayah tengah sibuk ni, tak ada masa".

Mungkin juga anda sedang menonton TV lalu adik anda datang memohon bantuan untuk baiki sedikit kerosakan pada basikalnya lalu anda menjawab tanpa memandang wajah adik anda "Abang tak ada masalah sekarang".

Katakan dalam semua keadaan itu, tiba-tiba anda menerima panggilan dari pihak hospital yang memaklumkan bahawa ayah anda kemalangan dan sekarang di wad kecemasan. Adakah anda akan jawab dengan selamba "Maaf encik, saya tengah sibuk ni, tak ada masa".

Hari ini kesibukan atau tidak ada masa adalah modal utama untuk kebanyakan orang menolak satu permintaan atau melupakan satu tanggungjawab. Persoalan yang sebenar bukanlah tidak ada masa tetapi adakah kita melihat satu perkara itu penting bagi kita atau tidak. Bahkan yang amat merisaukan ialah KEPENTINGAN ini kadang-kadang ditentukan oleh minat, kecenderungan jiwa atau nafsu kita semata-mata bukan diukur dengan tanggungjawab, amanah dan hak yang perlu ditunaikan.

Ada orang yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk 'cycling' tetapi orang yang sama juga tidak ada cukup masa untuk mengajarkan anak-anaknya membaca al Quran atau membetulkan solat. Saya tidak katakan cycling itu tidak syarak. Memang elok kalau kita boleh berbasikal untuk satu jarak tertentu yang sesuai untuk keperluan kesihatan kita tetapi apa yang saya perhatikan ternyata berbeza; berkayuh baru beberapa KM dah berhenti pekena teh tarik dan roti canai. Kayuh pula begitu slow motion sambil berbual lepas tu balik rehat ketika peluh baru nak keluar. Bahkan yang lebih menyedihkan, ada golongan yang berpendapatan rendah tetapi basikalnya ribuan ringgit. Yuran sekolah anaknya tidak berbayar, makan pakai anak isterinya tidak menentu bahkan (maaf kalau ada yang tersinggung) ada yang berpesan pada anak-anak atau isteri yang mengadu kesempitan hidup supaya berfikir dan hidup sederhana.

Ada juga yang terlalu sibuk membangunkan empayar perniagaannya hingga tidak ada masa untuk membangunkan keperibadian anak sendiri. Setiap hari kesibukannya atau masanya untuk customer dan bina 'networking' namun hatinya tidak pernah perasan tingkahlaku dan akhlaq anaknya yang semakin hari semakin runtuh.

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW juga ada yang berjaya dalam perniagaan bahkan mungkin jauh lebih berjaya dari kita namun pada masa yang sama mereka juga berjaya dalam bidang kekeluargaan, dakwah dan kemasyarakatan serta puluhan bidang lain. Siapa yang tidak kenal Abdullah Ibnu Umar RA anak kepada sahabat (Saidina Umar RA) yang paling sibuk hingga malam harinya pun digunakan untuk mengintai keperluan dan keadaan rakyatnya.

Jadi persoalan yang paling besar bukannya masa atau kesibukan kita tetapi apakah matlamat hidup kita, apa yang kita cari dalam kehidupan yang sementara ini atau apa sebenarnya yang kita PENTINGkan dalam kehidupan kita.

hijrah dari sekarang...

Kehidupan kita di dunia ini hanya sementara. Perjalanan kehidupan tidak terhenti di sini walaupun roh kita sudah berpisah daripada jasad kita nanti. Akhirat adalah hentian terakhir sebelum menuju Syurga atau Neraka.

Allah swt jadikan dunia ini untuk kita beramal kepadaNya. Bekalan amalan kita di dunia ini akan dihitung dan ditimbang di hari akhirat nanti. Keputusan hari pengadilan itu akan menentukan destinasi terakhir kita – syurga atau neraka!

Tak mungkin di peringkat ini, kita dapat mengetahui dan menilai bekalan kita itu mencukupi ataupun tidak untuk melayakkan kita masuk ke syurga ! Kita setakat berusaha ! Hanya Allah swt akan menentukan samada amalan kita ini diterima atau tidak. Kita berserah dan memohon keredhaan dan belas kasihanNya. Semoga juga syafaat Nabi Muhammad s.a.w. akan menyinari kita di hari tersebut. Apapun, sewajarnya kesempatan dan ruang yang masih ada ini digunakan sebaik mungkin untuk merperbanyakkan lagi bekalan amalan kita! Untuk melakukannya, kita perlu berhijrah sentiasa dan berterusan membuat perubahan pembaikan diri ! Semestinya, ia dilakukan dengan penuh keikhlasan !

Allah swt ada berfirman dalam Al-Quran, surah At-Taubah, ayat 20-22, dengan maksud:

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya di sisi Allah Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mengembirakan mereka dengan rahmat dan keredhaanNya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisiNya pahala yang besar”

Sesungguhnya ayat-ayat Al-Quran adalah kata-kata Allah swt dan tiadalah benar melainkan benar sahaja.

MAKSUD HIJRAH

Hijrah dari sudut bahasa bermaksud berpindah atau meninggalkan. Dalam konteks makna ini, hijrah memiliki dua bentuk - hijrah makaniyah dan hijrah ma’nawiyah. Hijrah makaniyah bermaksud berpindah secara fizikal iaitu berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain. Contohnya, hijrah Junjungan Rasulullah SAW dari kota Mekah ke Madinah pada tahun ke 14 kenabian.

Hijrah ma'nawiyah pula diertikan sebagai berpindah dari satu keadaan kepada suatu keadaan lainnya yang lebih baik. Dalam konteks pengertian ini, kehidupan hari ini seharusnya lebih baik daripada semalam, dan kehidupan esok pula lebih baik daripada kehidupan hari ini. Hijrah itu tidak terikat oleh ruang dan waktu. Hijrah itu sifatnya berterusan, bahkan hijrah harus sentiasa dilakukan setiap masa dan di mana sahaja. Contoh-contoh hijrah ma’nawiyah ini akan diberikan dalam huraian selanjutnya nanti.

Kata kunci hijrah ialah “PERUBAHAN” iaitu perubahan menuju ke arah yang lebih baik, dalam segala hal. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi saw bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berhijrah untuk Allah dan RasulNya, maka hijrahnya untuk Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang berhijrah untuk dunia (untuk memperolehi keuntungan duniawi) dan untuk menikahi wanita maka hijrah itu untuk apa yang diniatkannya”

Hijrah hendaklah dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas mengharapkan keredhaan Allah swt. Perubahan diri yang dimulai dengan niat kerana Allah swt semata-mata pasti mendapat pertolonganNya. Manakala hijrah ke arah kebaikan yang dilakukan dengan cara yang tidak ikhlas (untuk menunjuk-nunjuk sebagai contoh) akan hanya mengundang kemarahan Allah swt. Kebaikan yang dilakukan itu tidak akan kekal.

KELEBIHAN MEREKA YANG BERHIJRAH

Islam jelas sekali menggalakkan kita semua melakukan hijrah. Allah swt menganugerahkan pelbagai kelebihan kepada mereka yang berhijrah dengan ikhlas. ANTARA kelebihan tersebut:

1. Orang yang berhijrah dikategorikan oleh Allah swt sebagai orang yang benar-benar mengharapkan rahmat Allah swt.


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Al-Quran, Surah Al Baqarah, ayat 218)

2. Orang yang berhijrah dikategorikan sebagai seorang mu’min yang haq (sebenarnya)

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezki (ni`mat) yang mulia” (Al Quran, Surah Al Anfaal, ayat 74)

3. Ditinggikan derajatnya, mendapatkan pahala yang melimpah serta dikategorikan sebagai orang yang berjaya

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan” (Al Quran, Surah At Taubah, ayat 20)

4. Dihapuskan dosa-dosanya serta dimasukkan ke dalam syurga.

“Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku-hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam surga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah pada sisi-Nya pahala yang baik" (Al Quran, Surah Ali Imran, ayat 195)

5. Orang yang berhijrah akan mendapatkan rezeki yang luas dan lapang

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Al Quran, Surah An Nissak, ayat 100)

RUANG LINGKUP HIJRAH DIRI

Hijrah secara khusus (dari Makkah ke Madinah) telah berakhir semenjak kaum muslimin menguasai kota Makkah. Yang tidak mengenal kata akhir ialah hakikat hijrah yang menjelma dalam perubahan secara ma’nawi. Hijrah ma’nawiyah ini mencakup :

1. Hijrah pemikiran dan pemahaman - Setiap muslim sentiasa dituntut untuk meninggalkan pemahaman dan pemikiran yang salah dan mengelirukan dan menggantikannya dengan pemahaman dan pemikiran yang benar dan tepat sebagaimana yang digambarkan dan dimaksudkan Penciptanya. Sebagai contoh, secara sedar atau tidak, terdapat umat Muslim terjebak dalam pemahaman dan pemikiran yang dipancarkan dalam kehidupan yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat. Jika adapun perhatian dan kesempatan yang diberikan untuk kepetingan akhirat, ia hanyalah usaha sampingan sahaja dan sebagai hasil usaha sisa-sisa keletihan kerja yang lebih menfokus kepada kepentingan hidup duniawi.

2. Hijrah spiritual dan mental - Setiap muslim dituntut untuk memperkukuh dan memantapkan semangat, mental dan jiwanya dalam menegakkan prinsip kebenaran sebagai kelanjutan hijrah pemikiran dan pemahaman. Hanya kalangan orang-orang yang berpegang teguh kepada prinsip kebenaran yang dapat melakukan perubahan. Sekalipun taruhannya adalah nyawa, namun ia tetap mahu menerus dan merealisasikan perjuangannya.

3. Hijrah etika dan moral - Setiap muslim seharusnya dapat memperlihatkan prilakunya yang penuh etika dan akhlak yang mulia sebagai cermin dari pemikirannya yang agung dan mentalitinya yang penuh dedikasi. Hijrah ini memang memerlukan ketekunan dan kesiapan hijrah fasa pertama dan kedua di atas. Cabaran dan dugaannya lebih jauh dan nampak kelihatan dengan jelas. Berbeza dengan hijrah fasa pertama dan kedua yang seluruhnya bersifat abstrak dan tidak kelihatan di mata kasar atau dirasakan secara langsung penampilannya. Contohnya, ketika seseorang memahami kewajiban jilbab dalam batas keyakinan semata, ia tidak akan secara langsung berhadapan dengan cabaran. Jauh berbeza dengan seseorang yang kemudian menampilkannya dalam pakaian sehari-hari termasuk di tempat kerja, ia akan berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kalau tidakpun menerima tentangan daripada ibu bapa atau pegawai atasannya, kemungkinan ia akan mengalami kata-kata reaksi yang tidak menggalakkan daripada teman-teman sekerja. Dengan melalui ketiga-tiga fasa hijrah ini, maka jati diri seorang muslim akan terbentuk . Ia menjadi pelajar, pekerja, pengurus, pemimpin dan lain-lain yang disegani dan dihormati.

APA YANG HENDAK DIHIJRAHKAN?

Pengislahan (pembaikan diri) boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk dan cara. Setakat memberikan beberpa contoh dalam kehidupan kita:

1. Kalau dulu kita kurang menghadiri kuliah-kuliah agama, maka sekarang kita mahu perbanyakkan lagi kehadiran kita di majlis-majlis ilmu.

2. Kalau dulu kita kurang berikan perhatian terhadap kualiti kerja yang kita hasilkan, maka sekarang kita pastikan setiap kerja yang kita lakukan itu adalah yang terbaik yang boleh kita lakukan pada masa tersebut.

3. Kalau dulu kita amalkan sikap bermusuhan, maka sekarang kita mahu berubah kepada sifat kasih-sayang.

4. Kalau dulu kita hanya melakukan solat fardhu lima waktu, maka sekarang kita tambahkan dengan solat-solat sunat.

5. Kalau dulu kita ada mengamalkan sifat dengki (hasad), maka sekarang kita buangkan sifat tersebut dan amalkan sifat mencintai (mahabbah).

6. Kalau dulu kita hanya menunaikan puasa ramadhan, maka sekarang kita tambah dengan melakukan puasa-puasa sunat.

7. Kalau dulu kita kufur dengan nikmat Allah swt, maka sekarang kita bersyukur kepadaNya terhadap segala nikmatNya yang tidak terhingga banyaknya.

8. Kalau dulu kita terlibat dengan pelbagai jenis kemaksiatan, maka sekarang kita berubah kepada amalan ketaatan kepada ajaran Allah swt.

9. Kalau dulu kita terlibat dengan amalan-amalan kekufuran, maka sekarang kita lakukan perkara-perkara yang memiliki dasar keimanan kepada Allah swt.

10. Kalau dulu kita tidak berapa memberi perhatian terhadap soal tutup aurat, maka sekarang kita hanya mahu memakai jenis dan bentuk pakaian yang dibenarkan oleh agama kita.

11. Kalau dulu kita sering berkunjung ke tempat-tempat maksiat, maka sekarang kita tidak lagi pergi ke tempat-tempat tersebut. Rumah-rumah ibadat adalah tempat pilihan kita.

12. Kalau dulu kita mengamalkan sifat-sifat kemunafikan (seperti khianat, dusta dan tidak amanah), maka sekarang kita meninggalkan sifat-sifat tercela tersebut dan mengamalkan sifat-sifat mulia.

13. Kalau dulu kita sanggup makan makanan yang tidak jelas kehalalannya, maka sekarang ini kita hanya makan makanan yang jelas halalnya dan dibenarkan oleh agama kita.

Dan banyak lagi, dan banyak lagi …….... yang boleh kita hijrahkan! Fikirkan !

APAKAH KITA SUDAH MELAKUKAN HIJRAH DIRI?

Sepertimana yang difahami, hijrah diri ialah pembaikan diri. Ia adalah suatu proses bukan destinasi. Proses yang berterusan tanpa henti sehingga berhentinya nafas kita. Tiada manusia yang akan berada pada satu titik kehidupan dan menyatakan bahawa hidupnya telah cukup sempurna tanpa perlu berusaha lagi memperbaiki diri. Persoalannya, sejauh mana kita berusaha dalam proses pengislahan ini?

Apakah kita ini menunggu kemunculan tahun baru (Hijrah atau Masihi) dan kemudian kita membuat keazaman baru untuk dilaksanakan pada tahun tersebut ? Alhamdulillah, kalau kita dapat melakukan sebahagian atau semuanya ! Bagaimana, kalau keazaman tersebut kekal sebagai keazaman sahaja di akhir tahunnya dan diri kita tidak berubah? Walhal, serentak itu juga, masa terus berlalu dan hari kematian terus bergerak mendekati kita ! Tahun berikutnya, sejarah yang sama juga berulang. Janji keazaman juga tidak dipenuhi. Nak salahkan siapa? Kerja yang banyak, masa yang terhad, diri sendiri atau apa?

Junjungan Rasulullah saw ada menggariskan panduan kepada umat-umatnya dalam usaha kita untuk melakukan hijrah diri. Baginda saw, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, bersabda dengan maksud:

"Sesungguhnya berkawan dengan orang-orang yang soleh (orang-orang baik) dibandingkan dengan orang-orang jahat adalah seperti berkawan dengan orang yang menjual minyak wangi berbanding dengan tukang besi. Maka berkawan dengan tukang penjual minyak wangi terkadang dia memakaikan kepadamu atau kamu mengikutnya atau mencium wanginya. Akan tetapi berkawan dengan tukang besi (peniup api) mungkin terbakar pakaianmu atau kau merasakan panasnya”

Mengapa sahabat atau kawan memainkan peranan penting dalam penghijrahan diri kita? Ini kerana dengan apa yang dia lakukan akan tempias kepada diri kita sepertimana terpeciknya air hujan. Jika berkawan dengan orang yang buruk perangainya lambat laun pasti akan terikut-ikut begitulah sebaliknya jika berkawan dengan org yang baik, InsyaAllah sedikit demi sedikit kita akan tertarik.

Dengan perlakuannya. dengan cara percakapannya, dengan segala tindak tanduknya, dengan kesabarannya, dengan kesungguhannya, dengan sifat kesederhanaanya, dengan kesabarannya dan setiap apa yang dia lakukkanya akan tempias kepada diri kita jika kita bersahabat baik dengan dia (orang yang soleh). Oleh itu pilihlah kawan dari kalangan orang-orang yang beriman.

Mari kita fikir-fikirkan ! Mari kita sama-sama lakukan perubahan diri ! Wallahhua’alam.

Monday, November 29

Wasiat Ustaz Hasan Al Hudhaibi

Wahai Ikhwan, sesungguhnya Allah telah menjadikan kamu tentera untuk menegakkan

kebenaran, kemuliaan dan ketinggian di tanah air kamu dan di dunia Islam seluruhnya.

kewajipan tentera yang ikhlas ialah sentiasa bersedia untuk melaksanakan

tanggungjawab dalam mengharungi medan perjuangan. oleh itu menjadi kewajipan kamu,

bersedia setiap masa untuk melakukan apa saja yang boleh membawa kepada kemenangan

di medan pengislahan dan pembebasan ummah. maka sucikanlah jiwamu, bersihkan hatimu,

perangi hawa nafsumu sebelum kamu memerangi musuhmu. sesungguhnya orang yang tidak

mampu menewaskan nafsunya, lebih tidak mampu untuk mengalahkan musuhnya di medan

perang bersenjata. jadilah kamu contoh bagi apa yang kamu cakapkan dengan

mempamerkan akhlak al-Quran agar kamu dikenali manusia dengan akhlak kamu sebelum

mereka mengenali kamu dengan kata-katamu.

Wednesday, November 24

mulakan islam dari diri kita

Untuk meningkatkan komitmen kita terhadap Islam, banyak yang mesti kita lakukan. Langkah berikut merupakan beberapa langkah dasar yang patut dilaksanakan :


1.Meningkatkan pengetahuan Islam secara sempurna dan menyeluruh :


Perlulah memahami ilmu tentang Allah, Rasul dan al-Quran. Untuk melahirkan keyakinan dan kekuatan iman mustahil diperolehi tanpa pengetahuan terhadap apa yang diimani. Ertinya, tahap keimanan, banyak ditentukan oleh tahap pemahaman seseorang.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."
(Surah az-Zumar ayat 9)


Oleh itu sebagai seorang Muslim ilmu pengetahuan mengenai Islam yang asas dan menyeluruh perlulah dipelajari dan difahami supaya kefahaman kita bukanlah berdasarkan ikutan semata-mata. Kerana Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Dewasa ini umat Islam hanya memahami secara serpihan yang terpisah-pisah dan tidak difahami secara satu sistem hidup.


2.Memperbanyakkan amal soleh dan mempertingkatkan ketaatan :
Dr Muhammad Yasin dalam bukunya al-Iman menyebutkan bahawa keimanan mesti mencakupi dua faktor asasi . Pertama, pengakuan secara ilmu pengetahuan dan membenarkannya. Kedua, pengakuan secara amaliyah dengan mentaati apa yang telah diketahui dan diyakini. Oleh itu seorang Mukmin wajib melaksanakan keyakinannya dalam bentuk perbuatan dan tindakkan, iaitu ia perlu melaksanakan amal-amal soleh dalam kehidupannya.


Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam bukan sekadar tentera-tentera penunggang kuda di siang hari bahkan mereka melaksanakan ibadah seperti rahib-rahib yang khusyuk di malam hari. Rasulullah s.a.w. sendiri menunjukkan contoh tauladan yang baik, di siang hari memimpin tentera-tentera Islam, melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah, kemudian di malam hari melakukan qiyamulail sehingga bengkak-bengkak kaki baginda tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t.


3.Zikir dan fikir
Zikir adalah mengingati Allah beserta sifat-sifat-Nya, kebesaran-Nya dan membaca kitab-Nya, sehingga hati selalu berhubung dengan Allah s.w.t.


Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Iman itu bertambah dan berkurang," lalu ia bertanya kepada baginda, "Apa gerangan ya Rasulullah, yang dapat menambah dan menguranginya?"
Jawab Rasulullah , "Jika kita mengingati Allah dan memuji-Nya, menyucikan-Nya dan bertasbih kepada-Nya, maka disitulah iman akan bertambah kualitinya. Manakala jika kita melupakan atau lalai kepada-Nya, maka disitulah iman kita berkurang,"


Kefahaman yang mendalam terhadap zikrullah inilah menyebabkan Abdullah bin Rawahah memegang tangan seorang sahabatnya seraya berkata, "Bangkitlah sejenak bersama kami, marilah duduk di majlis zikir."


Fikir pula adalah aktiviti yang mengarah kepada renungan ciptaan Allah dengan memikirkan apa yang ada pada ciptaan-Nya, memandang tanda-tanda kebesaran-Nya, mukjizat-Nya, sehingga bertambah keimanan kepada Allah dan merasakan keagongan-Nya dan kekuasaan-Nya. Aktiviti seperti ini disebut sebagai tafkir dan i'tibar. Kepekaan pancaindera terhadap ciptaan Allah walau hanya secara garis kasarnya saja sudah cukup memberi kesan akan keagungan sifat dan perbuatan Allah. Ini jelas akan mempengaruhi tahap keimanan dan seterusnya, pasti tahap komitment kita.

Sunday, November 21

Memali




Meja Bulat,
Para bangsawan,
Mula Sepakat,
Hapuskan saja mereka yang menggugat,

Takla Fajar baru menjengah
19 November segalanya bermula,
Berdarah peristiwa, dongengkan berita,
Propaganda bermaharajalela,

14 nyawa tak berharga,
Mereka bebas gembira setelah musnah segala,
Bermula episod duka,
Di pekan kecil MEMALI namanya,

Langit berkerut tanpa cahaya
Seolah ngerti...
Pada peristiwa..
Darah Syuhada mengalir indah...

Embun pagi menguap,
Di atas jalan berlumpur,
Puluhan kaki kasar,
Ke hulu ke hilir,

Kemudian berubah keseratus,
di atas rumput,
becak bersampah,
Laungan Allahuakbar, bermula cerita,

Terdengar laungan peluru...
Tiada Sedih sendu..
Seakan ngerti,
Mereka tewas di dinihari, tiada lagi...

"Biar mereka datang,
Hadapkan dengan parang,
Kita akan meradang dihidang seperti jalang,
Menerajang.. walaupun kecundang,"

Allahuakbar!!!
Allahuakbar!!!
Allahuakbar!!!
Teriak terakhir...
Sepi... tiada lagi memuji Ilahi,


Tinggal anak tak berbapa,
Keluarga tiada ketua,
Hanya cerita mereka penderhaka,
Propaganda...

Sempena 19 Nov ini... kisah dari memali... ini bukan tujuan aku berpolitik hanya luahan yang aku rasa ketidak adilan berlaku... diharap tiada yg mempergunakannya dgn tujuan politik....


Al-fatihah aku tujukan buat mereka yga tewas...




1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.

9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.



dicopy dari-

Dakwah dan Hidayah | peranan pendakwah |


Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Berdakwahlah (wahai Muhammad) ke arah jalan (agama) Tuhanmu dengan (cara) berhikmah, nasihat yang baik serta berdebatlah dengan mereka melalui cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui tentang orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dia juga lebih mengetahui tentang golongan yang mendapat petunjuk. [Surah an-Nahl: 125]

Ayat ini menunjukkan beberapa perkara:

[1] Allah Ta'ala memerintahkan Nabi-Nya Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam supaya sentiasa berdakwah mengajak manusia masuk ke dalam agama Islam. Walaupun perintah ini ditujukan kepada baginda, namun hakikatnya perintah ini turut ditujukan kepada kita selaku umat baginda. Perintah ini ditujukan kepada baginda kerana baginda adalah contoh tauladan serta simbol dakwah ke arah kebaikan. Maka umat baginda yang meneruskan kelangsungan perjuangan dakwah baginda mesti mengikut jejak langkah baginda dalam menyampaikan dakwah Islam.

[2] Dalam berdakwah, Allah Ta'ala mengajar Nabi-Nya teknik dakwah yang sepatutnya digunapakai dalam proses menyampaikan dakwah. Tiga teknik telah dikemukakan iaitu menggunakan cara yang berhikmah, memberi nasihat yang baik dan berdebat/berdialog melalui medium yang terbaik. Bukan semua teknik sesuai digunakan pada semua sasaran dakwah. Ada orang sesuai diajak memahami Islam dengan cara yang berhikmah. Hikmah itu pula luas. Ia memerlukan kreativiti pendakwah dalam memahami watak orang yang didakwah serta cara yang sesuai untuk dipakai. Ada orang yang telah pun memahami Islam, namun kadangkala dia tersasar lalu melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam. Orang sebegini perlu dibimbing dengan khidmat nasihat yang baik. Psikologinya perlu diperhalusi supaya nasihat yang disampaikan berkesan. Ada golongan yang degil dan tidak mahu menerima Islam. Dia hanya bergantung kepada fakta. Orang sebegini perlu diajak berdialog/berdebat. Namun dengan cara yang paling baik dan tujuan yang murni iaitu untuk menegakkan kebenaran bukan untuk menegakkan benang yang basah atau untuk menunjukkan siapa yang hebat. Selain itu teknik-teknik ini juga boleh digunakan secara berperingkat.

[3] Jika kita perhatikan ketiga-tiga teknik yang dikemukakan di dalam ayat berkenaan, kita dapati semuanya berpaksikan kebaikan. Dengan erti kata lain, dakwah itu mesti disampaikan dalam bentuk yang terbaik. Secara berhikmah, nasihat yang baik dan dialog. Bukan secara hentam kromo, teguran yang tidak membina, serangan peribadi, berdialog dengan tujuan untuk menjatuhkan lawan dan sebagainya. Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa hikmah itu luas. Ia boleh dipelbagaikan bergantung kepada kreativiti pendakwah. Nasihat yang baik juga mempunyai skop yang luas. Boleh didatangkan dalam berbagai-bagai bentuk. Dialog pula boleh diadakan dalam apa saja cara asalkan ia memberi faedah yang terbaik melalui medium yang terbaik juga.

[4] Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa tugas kita hanyalah berdakwah. Manakala urusan untuk memberi hidayah, maka ia adalah tugas Allah Ta'ala. Kerana itu Dia menyebut di akhir ayat bahawa Dia lebih mengetahui siapa yang layak untuk disesatkan dan siapa yang berhak mendapat hidayah. Dia memberi hidayah kepada seseorang kerana Dia lebih tahu bahawa orang tersebut berhak mendapat hidayah berdasarkan hikmah yang Dia juga tahu. Dia menyesatkan seseorang kerana Dia Maha Tahu bahawa orang berkenaan layak untuk disesatkan berdasarkan hikmah yang Dia juga tahu. Justeru itu, Dia tidak melantik kita untuk menjalankan tugas memberi hidayah dan menyesatkan orang lain kerana jika kita berkuasa untuk memberi hidayah atau menyesatkan seseorang, pasti kita akan memberi hidayah kepada semua orang yang kita sayangi dan bertindak menyesatkan semua orang yang kita benci. Namun Allah Ta'ala tidak begitu kerana Dia tidak terikat dengan emosi dan perasaan. Dia memberi hidayah berdasarkan hikmah walaupun orang yang diberi hidayah itu adalah orang yang paling kita benci. Dia menyesatkan seseorang juga berasaskan hikmah walaupun orang yang disesatkan itu adalah orang yang paling kita sayangi. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak boleh memberi hidayah kepada orang yang engkau sayang, namun Allah jualah yang boleh memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia lebih mengetahui golongan (yang berhak) mendapat petunjuk. [Surah al-Qosos: 56]

Persoalan: Kita telah pun jelas mengetahui bahawa hanya Allah Ta'ala yang berkuasa untuk memberi hidayah. Namun begitu, terdapat ayat yang berbunyi, mafhumnya:

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar memberi petunjuk ke jalan yang lurus. [Surah asy-Syuro: 52]

Mengapa hidayah itu disandarkan kepada Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam?

Kami menjawab: Dalam ayat ini, perbuatan memberi hidayah disandarkan kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam kerana baginda adalah sebab kepada hidayah. Dengan maksud lain, Allah Ta'ala menjadikan baginda sebagai pintu hidayah menuju ke jalan yang lurus. Jika anda inginkan petunjuk, anda mesti mengikut sunnah dan ajaran baginda. Ini menunjukkan kemuliaan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam sehingga Allah Ta'ala menjadikan orang yang mengikut baginda pasti akan mendapat petunjuk seakan-akan bagindalah yang memberi petunjuk. Baginda memberi petunjuk dengan sunnah. Namun hakikatnya, Allah Ta'ala jualah yang memberikan hidayah. Dalam ayat yang sama Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Demikianlah Kami (Allah) telah mewahyukan suatu roh (al-Quran) daripada perintah Kami kepadamu (wahai Muhammad). Engkau tidak pernah mengetahui apa itu al-Kitab (al-Quran) dan Iman, namun Kami menjadikannya (al-Quran/Iman) sebagai cahaya yang dengannya Kami memberi petunjuk kepada sesiapa yang Kami inginkan dari kalangan hamba-hamba Kami. Sesungguhnya engkau benar-benar memberi petunjuk ke jalan yang lurus. [Surah asy-Syuro: 52]

Allah Ta'ala yang memberi petunjuk secara hakiki. Namun dengan syarat mengikut ajaran Rasulullah sallallahu 'alaihi wa alihi wasallam kerana melalui baginda dan dengan sebab baginda, kita mendapat petunjuk.

Konklusinya, kita dituntut untuk berdakwah secara terus-menerus tanpa mengenal erti putus asa. Jangan fikirkan soal orang yang kita dakwah akan mendapat hidayah atau tidak. Itu bukan kerja kita. Namun tidak salah untuk berdoa agar orang yang didakwah mendapat petunjuk. Dalam berdakwah, perlu ada teknik. Ia memerlukan ilmu. Jika tidak ada ilmu, bagaimana kita boleh mengajak orang lain supaya memahami Islam kerana hikmah, nasihat yang baik dan dialog menuntut kepada ilmu pengetahuan yang lengkap. Golongan yang didakwah pula mempunyai latar belakang yang pelbagai. Oleh itu, perlengkapkan diri dengan ilmu dan dalam masa yang sama hidupkan dakwah. Semoga Allah Ta'ala membimbing kita semua.

Wallahu a'lam.

p/s: Artikel ini untuk muhasabah diri sendiri. Entah berapa banyak dakwah yang telah digerakkan? Ya Allah! Ampunkan aku...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
KAHERAH.

*************************************************************************************
saya copy dari- humair





Laut dan Dakwah – Sebuah Refleksi Jiwa

Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...