mereka yang sudi

Wednesday, November 24

mulakan islam dari diri kita

Untuk meningkatkan komitmen kita terhadap Islam, banyak yang mesti kita lakukan. Langkah berikut merupakan beberapa langkah dasar yang patut dilaksanakan :


1.Meningkatkan pengetahuan Islam secara sempurna dan menyeluruh :


Perlulah memahami ilmu tentang Allah, Rasul dan al-Quran. Untuk melahirkan keyakinan dan kekuatan iman mustahil diperolehi tanpa pengetahuan terhadap apa yang diimani. Ertinya, tahap keimanan, banyak ditentukan oleh tahap pemahaman seseorang.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."
(Surah az-Zumar ayat 9)


Oleh itu sebagai seorang Muslim ilmu pengetahuan mengenai Islam yang asas dan menyeluruh perlulah dipelajari dan difahami supaya kefahaman kita bukanlah berdasarkan ikutan semata-mata. Kerana Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Dewasa ini umat Islam hanya memahami secara serpihan yang terpisah-pisah dan tidak difahami secara satu sistem hidup.


2.Memperbanyakkan amal soleh dan mempertingkatkan ketaatan :
Dr Muhammad Yasin dalam bukunya al-Iman menyebutkan bahawa keimanan mesti mencakupi dua faktor asasi . Pertama, pengakuan secara ilmu pengetahuan dan membenarkannya. Kedua, pengakuan secara amaliyah dengan mentaati apa yang telah diketahui dan diyakini. Oleh itu seorang Mukmin wajib melaksanakan keyakinannya dalam bentuk perbuatan dan tindakkan, iaitu ia perlu melaksanakan amal-amal soleh dalam kehidupannya.


Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam bukan sekadar tentera-tentera penunggang kuda di siang hari bahkan mereka melaksanakan ibadah seperti rahib-rahib yang khusyuk di malam hari. Rasulullah s.a.w. sendiri menunjukkan contoh tauladan yang baik, di siang hari memimpin tentera-tentera Islam, melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah, kemudian di malam hari melakukan qiyamulail sehingga bengkak-bengkak kaki baginda tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t.


3.Zikir dan fikir
Zikir adalah mengingati Allah beserta sifat-sifat-Nya, kebesaran-Nya dan membaca kitab-Nya, sehingga hati selalu berhubung dengan Allah s.w.t.


Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Iman itu bertambah dan berkurang," lalu ia bertanya kepada baginda, "Apa gerangan ya Rasulullah, yang dapat menambah dan menguranginya?"
Jawab Rasulullah , "Jika kita mengingati Allah dan memuji-Nya, menyucikan-Nya dan bertasbih kepada-Nya, maka disitulah iman akan bertambah kualitinya. Manakala jika kita melupakan atau lalai kepada-Nya, maka disitulah iman kita berkurang,"


Kefahaman yang mendalam terhadap zikrullah inilah menyebabkan Abdullah bin Rawahah memegang tangan seorang sahabatnya seraya berkata, "Bangkitlah sejenak bersama kami, marilah duduk di majlis zikir."


Fikir pula adalah aktiviti yang mengarah kepada renungan ciptaan Allah dengan memikirkan apa yang ada pada ciptaan-Nya, memandang tanda-tanda kebesaran-Nya, mukjizat-Nya, sehingga bertambah keimanan kepada Allah dan merasakan keagongan-Nya dan kekuasaan-Nya. Aktiviti seperti ini disebut sebagai tafkir dan i'tibar. Kepekaan pancaindera terhadap ciptaan Allah walau hanya secara garis kasarnya saja sudah cukup memberi kesan akan keagungan sifat dan perbuatan Allah. Ini jelas akan mempengaruhi tahap keimanan dan seterusnya, pasti tahap komitment kita.

1 comment:

Admin P@P said...

Assalamualaikum saudara.
Mungkin boleh kita katagorikan sebagai kelemahan umat Islam sekarang, sentiasa ambil mudah hal berkaitan agama, sebaliknya mengagungkan kehidupan dan kesenangan dunia yang hanya sementara ini.

TQ