Saturday, May 29

Millatfacebook cabar Facebook


Profesional IT Pakistan cipta web lawan kempen hina nabi, Islam

ISLAMABAD: Sekumpulan warga Pakistan mencipta laman web baru untuk menghubungkan 1.6 bilion Muslim selepas berang dengan laman Facebook kerana menyiarkan karikatur Nabi Muhammad selain mewujudkan saluran baru melawan propaganda anti-Islam.

Kumpulan itu membabitkan enam profesional teknologi maklumat (IT) di pusat budaya dan hiburan Pakistan, Lahore, yang melancarkan laman web www.millatfacebook.com, awal minggu ini.

Ia dilancarkan selepas mahkamah Pakistan mengarahkan sekatan ke atas Facebook sehingga Isnin ini atas bantahan terhadap satu laman Everyone Draw Mohammed Day (Hari Lakar Muhammad) yang menghina Islam.

“Millatfacebook dicipta bagi memenuhi keperluan sosial penduduk Pakistan. Laman untuk Muslim termasuk orang lain yang baik daripada agama lain turut dialu-alukan,” kata laman web itu kepada yang berminat menjadi ahli.

“Kami mahu beritahu ahli Facebook bahawa mereka akan terima padah jika mengganggu kami,” kata Ketua Pegawai Operasi syarikat yang menempatkan laman itu, Usman Zaheer, 24.

“Jika ada orang menghina nabi, kami akan jadi lawan mereka dan menyebabkan mereka rugi besar,” katanya yang bermimpi menjadikannya laman sosial terbesar Muslim.

Dikenali dengan singkatan MFB, seperti juga FB bagi Facebook, pengasasnya berkata, pakar IT kini berusaha memasukkan ciri-ciri lain ke dalamnya bagi mencabar pesaing dari California itu.
Setiap ahli memiliki ‘dinding’ untuk ulasan sahabat selain mengandungi kemudahan emel, foto, video, ruang sembang dan perbincangan.

Perkataan ‘Millat’ adalah bahasa Urdu yang biasa digunakan untuk merujuk kepada negara. Laman web itu sudah mempunyai 4,300 ahli selepas tiga hari dilancarkan, kebanyakannya warga Pakistan yang boleh berbahasa Inggeris dalam lingkungan usia 20-an.

Angka itu jauh lebih kecil daripada keahlian Facebook di Pakistan buat masa ini sebanyak 2.5 juta dan ulasan awal menunjukkan MFB memerlukan lebih banyak masa untuk benar-benar menyaingi FB.

Bagaimanapun, Usman gembira dengan hasil awal laman web itu yang sudah menarik penyertaan warga Britain, Bulgaria, Kanada, China, Russia, Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat. – AFP

sumber

PMRAM dan Akta Pertubuhan 1966

Salam Bai’ah,

PMRAM selamanya tidak boleh dinafikan hak kewujudannya oleh kerajaan Malaysia, malah tidak boleh langsung mengambil sebarang tindakan yang berkait dengan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan. Hujah saya adalah hal yang berkait dengan AKTA PERTUBUHAN 1966 (AKTA 335).


Di bawah akta ini, iaitu kuasa menteri (menteri yang berkuasa dengan akta ini) adalah boleh membatalkan mana-mana pertubuhan yang dianggap telah menyalahi undang-undang Negara. Seksyen 5(1); iaitu yang berbunyi,

5.Kuasa Menteri mengisytiharkan pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang.

(1) maka adalah sah di sisi undang-undang bagi Menteri, menurut budibicaranya yang muthlak, dengan jalan perintah, mengisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang mana-mana pertubuhan, cawangan atau peingkat atau jenis pertubuhan yang pada pendapatnya, adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana tempat di dalamnya, ketenteraman awam atau akhlak.

Maka, anda sudah fahami mengikut seksyen tersebut bahawa Menteri yang berkaitan mempunyai kuasa multak terhadap pertubuhan mana-mana yang melanggari akta maka boleh dimansuhkan mengikut kuasa menteri.

Adakah PMRAM juga termasuk di bawah akta ini?

Semestinya anda tahu jawapanya.

Maka pertubuhan tersebut di bawah seksyen ini mestilah selari dengan Seksyen 4 (Akta 335)

Iaitu perkara yang menyebut Pertubuhan disifat ditubuhkan di dalam persekutuan.


Nah. sekarang ketahuilah bahawa PMRAM tidak sama sekali akan boleh dimansuhkan pertubuhannya dengan kuasa Menteri kerajaan Malaysia, yang berkuasa pada pertubuhan ini adalah Menteri di Mesir di bawah Kementerian kemasyarakatan kerajaan Republik Arab Mesir.

Atas fakta inilah, PMRAM tidak diharamkan sama sekali walupun perkara tersebut telah dibawa di dalam Mesyuarat Agung Umno pada beberapa tahun yang lalu. Mungkin saudara yang membawa usul berkenaan tidak baca dan tidak mendalami undang-undang negara.

PMRAM salah satu pertubuhan yang bukan sifatkan pertubuhan dalam persekutuan.

Fakta saya ialah pada seksyen 4 (a)(b)(c)(d) yang menyebutkan sifat-sifat pertubuhan yang terkeluar dari bidang kuasa akta ini; yang berbunyi;

(a) Ia disusun dan menjalankan gerakannya semata-mata di luar Persekutuan; dan

(b) Tiada apa-apa jua pejabat, tempat urusan atau tempat mesyuarat diselenggarakan atau digunakan di dalam Persekutuan oleh pertubuhan itu atau oleh sesiapa jua bagi pihaknya; dan

(c) Tiada apa-apa daftar mengenai semua atau mana-mana daripada anggota pertubuhan itu disimpan di dalam Persekutuan dan

(d) Tiada apa-apa yuran dipungut atau diminta di dalam Persekutuan oleh pertubuhan itu atau oleh sesiapa jua bagi pihaknya.

Maka jelas lagi bersuluh PMRAM tidak berkait dengan sebarang akta ini,

Saya menjelaskan,

pada seksyen 4 (a)(b)(c)(d) akta 335 yang telah disebut diatas

Seksyen 4 (a) : Bahawa PMRAM hanya semata-mata bergerak dan beroperasi di Mesir.

Seksyen 4 (b) : Pihak PMRAM tiada sebarang pejabat untuk beroperasi di Malaysia.

Seksyen 4 (c) : Tiada sebarang dokumen yang berkaitan PMRAM disimpan di Malaysia.

Seksyen 4 (d) : PMRAM tiada langsung membuat sebarang kutipan yuran keahlian di Malaysia melali cara wakil atau selainnya.

Maka dengan huraian ini, moga-moga mahasiswa-mahasiswi yang berada di Mesir dapat penerangan yang jelas berkenaan PMRAM adalah pertubuhan yang sah dan tidak diragui dan selamanya tidak boleh diragui oleh Kerajaan Malaysia kerana berpandukan akta di atas, melainkan akta tersebut di pinda (sama ada dimansuhkan,di tambah, dipotong dsb).

Pejuang keadilan undang-undang


Halis fansuri

Fakulti Syariah Dan Undang-Undang

University Al-Azhar As-Syarief

*RUJUKAN;

#Perlembagaan Persekutuan [Hingga Jun 2009]
#Kamus Undang-Undang [ILBS]
#Undang-Undang Am Malaysia Jilid i,ii,iii,iv

sumber -(halis fansuri)

Mahasiswa v.s AUKU

Salam Bai’ah,

4 mahasiswa UKM ditahan di bawah akta AUKU kerana telah membabitkan diri dalam politik ketika mana PRK di Sibu baru-baru ini.

Anda adalah mahasiswa, anda berhak atas hak anda di dalam Perlembagaan Persekutuan.


Perlembagaan menyebut;

BAHAGIA 8. PILIHANRAYA


Perkara 119. Kelayakan pemilih-pemilih.

(1) Tiap-tiap warganegara yang-

(a) Telah mencapai umur dua puluh satu tahun pada tarikh kelayakan;

Adalah berhak mengundi dalam bahagian pilihanraya itu dalam sesuatu pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negeri…


Saya berpendapat,

Adakah dikira dengan umur 21 tahun maka tugas anda hanya perlu pergi mengundi, tidakkah mengundi itu secara tidak langsung adalah pembabitan anda ke dalam politik Negara ?

Pada hemat saya, Jika anda telah mencapai umur 21 tahun sepertimana di dalam kad pengenalan anda, maka perkara 119 tersebut telah mengiktiraf anda bahawasanya anda adalah diterima untuk terlibat di dalam pembabitan politik negara.

Baru-baru ini berlaku kes 4 orang mahasiswa UKM yang terlibat dengan PRK Sibu di tahan pihak Polis atas sebab melibatkan diri dalam politik dalam keadaan mereka masih mahasiswa dan belajar, amat bercanggah dengan peruntukkan Perlembagaan ini yang memberi kebebasan kepada mana-mana warganegara bahawa pencapaian umur 21 tahun mereka layak untuk mengundi.

Sesungguhnya Akta Universiti dan kolej universiti 1971 (AUKU) sangat mengongkong mahasiswa, sangat menghalang aktiviti mahasiswa,

1) penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja, dan

2) penggabungan di antara badan-badan pelajar.

AUKU telah dibantah oleh persatuan-persatuan mahasiswa hampir seluruh Negara, pada tahun 2008 sebuah memorandum yang diserahkan oleh kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Negara bersempena dengan sidang Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK). Namun, respon dari kementerian amat mengecewakan apabila diumumkan tidak sama sekali akan dimansuhkan atau dipinda oleh kerajaan.

Perkara ini amatlah bertentangan dengan rules against bias yang menjadi tonggak utama kepada prinsip keadilan semula jadi (natural justice) yang menjadi dasar utama kepada mana-mana badan pengadilan termasuklah mahkamah atau pun mana-mana tribunal.

Tidak ada jaminan pelajar yang dipertuduh oleh Jawatankuasa Tatatertib tersebut akan mendapat perbicaraan yang adil oleh kerana komposisi Jawatankuasa Tatatertib adalah terdiri dari orang yang sama yang menjalankan segala kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang. Peruntukan ini juga bertentangan dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak sama rata di sisi undang-undang dan hak sama rata untuk mendapat perlindungan undang-undang.

Tidak terdapat pun sebarang peruntukan samada di dalam AUKU mahupun di dalam Kaedah Tatatertib Pelajar yang memberikan hak kepada pelajar yang didakwa di hadapan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar untuk mendapatkan khidmat seorang Peguambela dan Peguamcara bagi mewakilinya di dalam perbicaraan tersebut. Sedangkan bagi kakitangan universiti termasuk pensyarah yang turut di dakwa atas suatu pertuduhan tatatertib, mereka dibenarkan untuk diwakili oleh seorang peguam berdasarkan peruntukan di dalam Statutory Bodies (Discipline and Surcharge) Act 2000.

Diskriminasi ini adalah bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam (right to counsel) adalah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. AUKU sepatutnya dipinda bagi memasukkan peruntukkan yang membenarkan seseorang pelajar diwakili oleh peguam pilihannya sendiri jika dia dibicarakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Universiti.

Bangkitlah atas keberanian dan ilmu kalian demi mempertahankan hak dan maruah kalian, semoga menteri kerajaan yang di berkaitan bukakan hati mereka untuk meminda AUKU.

Pejuang keadilan undang-undang

Halis fansuri

Fakulti Syariah Dan Undang-Undang

University Al-Azhar As-Syarief

*Rujukan;
#Undang-Undang Malaysia [Cetakan Semula]/Akta 30
#Akta Universiti Dan Kolej Universiti 1971 (Auku) Pindaan Hingga 1 Januari 2006
#Perlembagaan Persekutuan [Hingga Jun 2009]
#Kamus Undang-Undang [ILBS]
#Undang-Undang Am Malaysia Jilid i,ii,iii,iv



sumber - halis fansuri

7 Langkah Mencapai Matlamat

Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang." - Cecil B. DeMille

Artikel motivasi ini menjelaskan langkah-langkah, cara-cara, kaedah-kaedah, strategi-strategi, teknik-teknik, tip-tip, panduan-panduan atau rahsia-rahsia mencapai matlamat dan kejayaan yang anda inginkan.
Untuk mencapai matlamat anda dan berjaya dalam kehidupan, anda mestilah membina suatu kebiasaan berdasarkan langkah-langkah yang telah terbukti keberkesanannya seperti berikut:

1. Wujudkan Keinginan Anda Sebesar Mungkin
Keinginan tersebut mestilah yang benar-benar anda idamkan. Bagaimana menyemarakkan keinginan anda? Duduk dan tulis semua keinginan anda. Nyatakan faedah-faedah dan kebaikan-kebaikan mencapai segala keinginan anda itu. Fikir dan tulislah sepuas-puasnya. Apabila senarai anda menjangkau 50 hingga 100, suatu bentuk perasaan atau semangat pada diri anda akan timbul. Teruskan. Anda akan mula menjadi lebih bersemangat. Jika anda terus menulis dan menghayati segala matlamat anda itu, semangat anda akan bertambah menyala, berapi-api! InsyaAllah.

2. Tuliskan Matlamat-Matlamat Anda
TULIS matlamat-matlamat anda di atas sehelai kertas. Jika anda tidak tulis, ia hanya akan menjadi angan-angan sahaja. Salinkannya ke dalam Buku Matlamat anda. Ini PENTING, kerana dengan berbuat demikian, ia akan menjadi perkara yang penting bagi anda. Dengan berbuat demikian juga, ia akan mula meresap ke dalam minda separa sedar anda.

3. Tetapkan Tempoh dan Bila Anda Akan Mencapai Matlamat Anda
Kaji tahap atau kedudukan anda sekarang berbanding dengan apa yang anda inginkan. Kira dan tentukan berapa banyak masa yang anda perlukan untuk mencapai matlamat anda itu. TETAPKAN bila matlamat tersebut mesti anda capai.

4. Buat Perancangan
RANCANGKAN tindakan-tindakan anda. Senaraikan semua aktiviti mengikut susunan keutamaannya. Perbaiki senarai anda; optimumkannya, sempurnakannya.

5. Gambarkan Kejayaan Pada Minda Anda
Letakkan suatu Studio Filem di minda anda! Bayangkan satu GAMBARAN MENTAL yang anda telah berjaya mencapainya. Buat imej minda yang jelas dan terang pada mata minda anda. Mainkan gambaran itu berulang-ulang – berkali-kali di fikiran anda. Ingatlah bahawa: "Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang." - Cecil B. DeMille. Ingatlah juga kata Mahatma Gandhi: Seseorang itu

6. Tangani Halangan
1) Kenalpastikan halangan-halangan yang perlu anda atasi.
2) Tumpukan kepada usaha mendapat bantuan; bantuan yang anda akan perlukan untuk mencapai matlamat anda - misalnya pengetahuan, pakar-pakar, penasihat-penasihat atau badan-badan tertentu. adalah hasil dari fikirannya. Apa yang dia fikir, itulah yang dia akan menjadi".

7. Baki 90% Adalah Usaha dan Keazaman Anda
Sokong rancangan anda dengan KEAZAMAN (Resolve) dan SEMANGAT TIDAK MENGENAL PUTUS ASA (Persistence). Tekadkan semangat. Tumpukan kepada kejayaan. Fokuskan segala perhatian dan tenaga anda untuk mencapai segala matlamat anda pada waktu yang anda sendiri tetapkan. Bulatkan hati dan fikiran. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap sebarang cabaran. Lakukanlah tindakan-tindakan proaktif dan produktif.

Insya-Allah, dengan diiringi doa, keazaman, disiplin yang tinggi serta usaha gigih, anda akan mencapai apa juga matlamat yang anda ingini dan impikan.


Oleh Taidin Suhaimin

Teknik-Teknik Mengulangkaji Pelajaran

Pengertian Mengulangkaji
Mengulangkaji adalah suatu proses mempelajari atau menyemak semula dengan tujuan memahami dan mengingat semua maklumat serta fakta dari nota-nota ringkas bahan-bahan pelajaran yang telah anda pelajari sebelum ini. Ia bukannya bertujuan mendapatkan maklumat-maklumat baru.
BAGAIMANA MENGULANGKAJI?
Antara perkara-perkara yang anda harus lakukan dalam proses mengulangkaji adalah:

Membaca dan menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran sambil melengkapkan yang kurang. Ini akan memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.
Membaca buku teks. Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip, isu dan fakta yang dimuatkan.
Menjawab soalan-soalan latihan atau kerja rumah yang guru berikan. Ini akan membolehkan anda menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.
Mengkaji contoh-contoh jawapan peperiksaan tahun lepas bersama skima jawapan. Ini akan membolehkan anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan lebih yakin dan pantas.
Menjawab soalan-soalan yang berbentuk objektif. Ini akan membolehkan mengetahui soalan-soalan yang anda sudah tahu menjawabnya dan soalan-soalan yang mengelirukan agar semasa peperiksaan jika soalan yang sama keluar, anda akan dapat menjawab dengan yakin.
Bersoal jawab bersama-sama rakan. Selain ini membolehkan anda mengenalpasti sama ada anda sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa yang sama, anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian yang anda kurang faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan pelajaran itu.

Pelajar-Pelajar Sekolah Di Kudat, Sabah sedang membuat kerja berkumpulan dalam Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar yang dikendalikan oleh Taidin Suhaimin pada tahun 2007.

Tempoh Mengulangkaji (Pecutan Akhir)
Adalah mustahil untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa yang perlu diperuntukkan untuk mengulangkaji kerana kemampuan seseorang itu berbeza. Ada pakar yang mengatakan bahawa masa mengulangkaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada pula yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana anda telah menamatkan tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan. Yang lain pula mengatakan selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat mengulangkaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan. Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses mengulangkaji. Namun, bagi pelajar yang lemah hendaklah proses mengulangkaji pecutan akhir ini dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas.
Anda mungkin perlu membuat ulangkaji beberapa kali sehinggalah anda benar-benar dapat menguasai setiap mata pelajaran anda.

Merancang Program Mengulangkaji

Buat jadual ulangkaji yang seimbang bagi tiap-tiap mata pelajaran. Jadualkan juga masa berehat untuk mengurangkan ketegangan. Dalam mengulangkaji pelajaran, anda hendaklah berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit.
Tumpukan pada topik utama sahaja. Tanya guru anda untuk mendapatkan "hint" (bayangan) tentang topik yang mungkin akan disoal di dalam peperiksaan.
Semak contoh-contoh soalan tahun-tahun yang lalu supaya anda dapat menjangka bentuk jawapan yang diperlukan.
Ulangkaji dengan cermat setiap mata pelajaran.
Sediakan nota-nota ringkas, terutamanya bagi topik yang dijangka akan keluar.
Buat rangka jawapan topik-topik yang dijangka keluar berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.
Latih diri anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Rujuk kepada guru apabila menghadapi masalah berhubung dengan pelajaran.
Jangan sekali-kali ponteng kelas ketika hampir peperiksaan. Anda mungkin tertinggal tip-tip penting yang diberikan oleh guru atau pensyarah anda.
Pembahagian Mata Pelajaran Dalam Mengulangkaji
Mata Pelajaran Yang Anda Lemah

Cuba sedaya upaya kuasai mata pelajaran ini. Jangan berputus asa.
Banyakkan bertanya kepada guru atau rakan tentang mata pelajaran ini.
Mata Pelajaran Yang Anda Kuat
Jangan ambil mudah walaupun anda fikir sudah menguasainya.
Beri masa yang secukupnya kepada pelajaran ini untuk memastikan kejayaan anda.
Bila hampir hari peperiksaan, lebihkan lagi tumpuan anda kepada mata pelajaran seperti ini.
Menilai Keupayaan Anda
Anda haruslah menilai sejauh mana anda dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan.
Berikut ini dipaparkan beberapa cara di mana anda boleh menilai serta memperbaiki keupayaan anda menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.

1. Penilaian Dari Ujian dan Latihan
Ujian / Peperiksaan yang dijalankan dalam kelas merupakan satu bentuk penilaian terhadap kefahaman dan keupayaan anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang sebenar. Berdasarkan keputusan ujian / peperiksaan tersebut, anda akan dapat mengetahui tahap penguasaan anda terhadap mata pelajaran-mata pelajaran anda. Melalui keputusan ujian tersebut, anda boleh memperbaiki segala kelemahan anda bagi menghadapi peperiksaan yang sebenar dengan jayanya.

2. Penilaian Dari Contoh Jawapan
Anda juga boleh menguji tahap keupayaan anda dengan menjawab soalan-soalan contoh jawapan. Selepas anda menjawab soalan contoh jawapan, bandingkan jawapan anda dengan contoh jawapan. Kenalpasti di manakah kelemahan anda dan buat pembaikan sewajarnya.

3. Penilaian Secara Lisan
Contohnya, seorang pelajar menyoal kawannya dan meminta beliau menghuraikan secara lisan sehingga yang satu pihak lagi berpuas hati.

Mengatasi Kelemahan

Mencari Sebab (Post-Mortem)
Anda perlu mengkaji kelemahan anda setiap kali anda selesai menjawab soalan-soalan ujian. Setelah anda selesai membuat latihan ujian, semak setiap jawapan yang anda buat. Sekiranya jawapan anda salah, lakukan 'post-mortem' (suatu proses mencari sebab kelemahan dan kekuatan). Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan perkara utama yang perlu anda atasi.

Sebab-sebab kesalahan berlaku:

Anda Tidak tahu - Ini bermakna persediaan anda belum mencukupi.
Penyelesaian: Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.

Anda Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham.
Penyelesaian: Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.

Anda Keliru – Anda tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda ingin pelajari atau fahami.
Penyelesaian: Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.

Anda Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi atau mengulangkaji apa yang telah anda pelajari.
Penyelesaian: Kerapkan ulangkaji.

Anda Cuai – Anda tidak teliti semasa membaca soalan.
Penyelesaian: Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum menjawab.

Umumnya, kelemahan-kelemahan anda boleh diatasi dengan:-

Segera / selalu bertanya kepada guru/rakan tentang masalah anda dalam pelajaran.
Mendapatkan jawapan-jawapan yang betul bagi jawapan yang salah.
Mengulangkaji dan membaca nota-nota anda dengan kerapkali.
Memahirkan diri dengan teknik menjawab soalan berpandukan contoh jawapan.

pelajar cemerlang

Pelajar yang cemerlang bukan sahaja handal dalam akademik tetapi juga hebat akhlak serta kelakuannya. Mencapai keputusan cemerlang dalam akademik tanpa jati diri atau keperibadian cemerlang, belum cukup untuk membolehkan seseorang pelajar itu dianggap sebagai cemerlang. Kedua-dua kualiti utama tersebut mesti ada pada pelajar cemerlang.
Kualiti-kualiti pelajar cemerlang yang dimaksudkan adalah seperti berikut:


Amanah
Pelajar yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya. Ia sentiasa bercakap benar, tidak bohong, tidak menipu, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain. Ia sedar bahawa segala perbuatannya adalah diperhatikan oleh Allah S.W.T..

Bijak
Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekelilingnya. Ia menggunakan masa hidupnya dengan sebaik-baiknya; melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Ia cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah.
Cergas
Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri. Ianya juga menjaga pemakanan serta membuat latihan jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin, sihat, dan cergas. Ini juga menyebabkannya lebih tangkas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang diceburinya.

Dedikasi
Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya. Apa juga tugasannya, akan dilakukan dengan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang akan melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam apa juga perkara yang harus dilaksanakan ke arah dan untuk mencapai hasil yang terbaik.

Elok
Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan maksiat. Ianya sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Tuhan.

Pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya.

Faham
Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.

Gigih
Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat dan tekun. Ia seronok belajar setiap mata pelajaran. Ianya juga pandai dan mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya.

Hasrat
Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya memberikan suntikan motivasi kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam kehidupannya.

Iman
Pelajar yang cemerlang sentiasa taat kepada perintah Allah S.W.T. dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan tuntutan agama iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ianya juga mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.

Sekian. Semoga ciri-ciri tersebut sudah atau akan tertanam dengan kukuhnya pada diri anda demi kejayaan anda di dunia dan di akhirat. Insya-Allah.

Friday, May 28

kisah cinta


Suatu pagi aku terbangun dan berpeluang melihat mentari terbit. Aaah.. kecantikan alam ciptaan Allah memaang tiada
tolok bandingnya. Sedang aku memerhati. Aku puji Tuhan atas segala keindahan yang telah Ia sajikan. Aku duduk dan terasa kehadiranNya di sisiku.

Dia bertanya kepadaku, Adakah kamu mencintai aku. Aku menjawab, Sudah tentu!
Engkaulah Penciptaku, masakan aku tidak mencintaiMu. Kemudian Dia bertanya lagi, Jika kamu ditakdirkan cacat anggota, adakah kamu akan mencintaiKu. Aku tergamam seketika. Aku lihat tangan, kaki dan seluruh anggotaku. Aku
teringat pelbagai kerja yang mustahil aku lakukan tanpa anggotaku ini yang selama ini tidak kusedari kepentingannya. Kemudian aku jawab, Tentunya ia
amat sukar bagiku, tetapi aku akan tetap mencintaiMu.

Kemudian Dia bertanya lagi, Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan menyayangi segala ciptaanKu? Bagaimana mungkin bagiku untuk mencintai sesuatu yang di dunia ini yang tak mampu aku lihat? Kemudian aku berfikir...ramai orang yang ditakdirkan buta di dunia ini, dan
mereka masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya. Lantas aku menjawab, Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang sedemikian rupa, namun begitu aku akan tetap menyintaimu Ya Allah. Dia bertanya lagi, Jika kamu ditakdirkan pekak, adakah kamu akan tetap mendengar kepada kata-kataKu? Bagaimana mungkin bagiku mendengar jika aku pekak? Kemudian aku tersedar bahawa mendengar itu tidak semestinya menggunakan telinga;
tetapi menggunakan hati. Aku jawab, Walaupun takdir itu amat berat bagiku, namun aku akan tetap menyintaiMu. Dia menyambung lagi persoalanNya, Jika kamu ditakdirkan bisu adakah kamu akan terus memujiKu. Aku tertanya lagi,
bagaimana aku boleh memuji tanpa suara. Aku terfikir kemudian yang Allah mahu kita memujiNya dari dalam hati dan jiwa kita; tidak penting bagaimanakah bunyinya.

Kemudian aku menjawab, Sungguhpun aku tidak mampu untuk membunyikan pujian bagiMu. Aku akan tetap
memujiMu. Dan... Dia terus bertanya lagi, Adakah kamu benar-benar menyintaiKu? dengan nada yang tegas dan penuh keberanian. Aku jawab dengan yakin, Ya, benar
Tuhanku. Aku menyintaimu kerana Engkaulah satu-satunya Tuhanku dan Tuhan yang sebenar. Aku fikir jawapanku tadi sudah cukup bagus untuk menjawab soalanNya tadi, tetapi Dia terus bertanyakan lagi, Kalau begitu Kenapa kamu
masih melakukan dosa. Aku jawab, Kerana aku cuma manusia bisa yang selalu lalai. Aku tidak sempurna...aku bukan maksum. Kalau begitu, Kenapa ketika kamu senang dan gembira...kamu lupakanKu; kamu lari jauh daripadaKu? Dan Kenapa ketika kamu susah dan mahukan bantuan. Kamu terus ingat kepada aku; kamu datang dekat dan merayu kepada aku. Aku tidak mampu berkata-kata. Yang kusedari...titisan panas turun membasahi pipiku.

Dia sambung lagi, Mengapa kamu buat begini...kadang-kadang sujud menyembahKu, dan kemudian membelakangiKu; tidak pedulikanKu? Mengapa kamu hanya datang mencariKu hanya ketika kamu nengingatiKu? Mengapa kamu meminta kepadaKu sedang kamu tidak setia
kepadaKu? Kurasakan titisan panas mengalir deras membasahi pipiku tanpa henti. Mengapa kamu malu kepadaKu? Mengapa kamu tidak mahu menyebarkan suruhanKu? Mengapa ketika kamu dizalimi kamu adukan kepada yang lain sedang aku sedia mendengar segala
rintihanmu? Mengapa kamu sering membuat alasan ketika aku memberi peluang untuk berkhidmat di jalanKu? Ku gagahi bibirku untuk mengucapkan patah-patah perkataan bagi menjawab segala soalan yang bertubi-tubi diajukan
kepadaku. Tetapi aku tidak punyai jawapan bagi persoalan-persoalan tadi. Lidahku yang selama ini lancar berkata-kata, kini kelu. Otakku ligat mencari jawapan... atau alasan... namun tiada apa yang kutemui sebagai jawapan.

Dia berkata-kata lagi... Kamu diberikan sebuah kehidupan. Aku jadikan dalam dirimu keistimewaan dan kelebihan berbanding orang lain untuk kamu berjuang di jalanKu, tetapi kamu tetap berpaling dari jalanKu. Aku tunjukkan kepadamu kata-kataKu sebagai panduan kamu dalam hidup
ini, tetapi kamu tidak mahu mempelajari atau
menghayatinya. Acap kali aku berkata-kata kepadamu, tetapi kamu berpaling daripada melihatnya. Aku turunkan kepada kamu pesuruhKu, tetapi kamu tidak ambil peduli ketika sunnahnya ditinggalkan. Aku dengar segala
permintaan dan rayuanmu kepadaKu... dan semuanya telah aku perkenankan dengan pelbagai cara. SambungNya lagi, Kini... adakah kamu menyintaiKu. Aku tidak mampu menjawabnya lagi.

Bagaimana harus aku jawab persoalan ini?. Dalam tak sedar. Aku malu dengan segala apa yang telah aku lakukan selama ini. Aku tidak lagi punya alasan bagi menyelamatkan diriku. Apa yang boleh aku jawab bagi persoalan itu? Ketika hatiku berteriak menangis, dan bercucuran airmata
mengalir turun di kedua-dua belah pipiku. Aku merintih, Oh Tuhanku... ampunkanlah segala dosaku. Aku tidak layak menjadi hambaMu Ya Allah...

kemudian Dia menjawab, Sifatku pengampun...barangsiapa yang memohon keampunan dariKu, nescaya aku ampunkannya. Dan aku ampunkan kamu wahai hambaKu. Aku bertanya kepadaNya, Mengapa Engkau tetap
mengampunkanku sungguhpun aku melakukan kesalahan berulangkali dan memohon ampun berulangkali? Sampai begitu sekalikah cintaMu terhadapku? Dia menjawab Kerana kamu adalah ciptaanKu. Aku sekali-kali tidak akan
mengabaikanmu.

Apabila kamu menangis aku akan bersimpati kepadamu dan mendengar segala rintihanmu. Apabila kamu melonjak kegirangan aku akan turut gembira dengan kegembiraanmu. Apabila kamu berasa gundah dan kesepian. Aku akan memberikanmu semangat. Apabila kamu jatuh aku akan membangkitkanmu. Apabila kamu
keletihan aku akan membantumu. Aku akan tetap bersama-samamu hinggalah ke hari yang akhir dan aku akan menyayangimu selama-lamanya.

Seingat aku... aku tidak pernah menangis sebegini. Aku sendiri tidak mengerti Kenapa hatiku ini begitu keras; tidak mampu menangis menyesali segala dosaku selama ini. Dan..buat kali pertamanya dalam hidupku ini... aku benar-benar solat dalam ertikata yang sebenar.

Laut dan Dakwah – Sebuah Refleksi Jiwa

Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...