Mengenang Persaudaraan Yang Manis
Alhamdulillah. Hampir seminggu sudah berada di tanah kelahiran, pulang bercuti menziarah keluarga. Sambil bersantai-santai malam menanti lelap, tiba-tiba ringan kaki mahu melepak di depan televisyen. Rupanya ada siaran langsung bual-bicara Ops Piramid di TV1, dengan pimpinan pelajar Mesir menjadi antara ahli panelnya. Namun dek kelewatan mengikuti rancangan, siaran tamat beberapa minit selepas itu.
Bagaimanapun saya sempat tertarik dengan cerita seorang wartawan yang turut menjadi panel, katanya:
“ Di Cairo Airport, ketika sedang menguruskan kepulangan para pelajar, saya lihat ada seorang Arab tua menangis. Saya tarik seorang pelajar yang tahu berbahasa arab supaya menanyakan masalah orang tua itu. Lalu si tua menjawab, beliau sedih kerana orang Malaysia yang baik-baik ni sudah pulang beramai-ramai. Beliau sangat kesal dengan kekacauan yang berlaku di Mesir hingga kerajaan Malaysia menarik rakyatnya pulang.”
Memang sudah diduga.
Saya terimbau ingatan seminggu lepas sewaktu masih berada di Ardhul Kinanah. Ketika segelintir rakyat Malaysia sedang gelabah biawak mahu lari pulang, seorang sahabat mengeluh kepada saya “ Aduh, inikah namanya persaudaraan Islam? Saat saudara Misriyun kita bergolak, kita lari beramai-ramai meninggalkan mereka. Bukankah tindakan ini akan menjatuhkan moral mereka? Walaupun tidak dapat menolong apa-apa, tapi bukankah kebersamaan kita akan meniup semangat kepada mereka?”
Saya tidak menyalahkan siapa-siapa. Terpulang kepada diri masing-masing. Tapi sejenak difikirkan, memang banyak benarnya.
Ada orang Britain menangis untuk pelajar Malaysia?
Ada orang Ireland atau Rusia menangis?
Orang Jepun, Australia atau India?
Indonesia yang serumpun itu, pernah mensyukuri kewujudan kita?
Tiada. Tapi Misriyun, saudara Islam di sana menangisi kehilangan kita.
Malizia, Ahsan Naas…..
Saya kira pujian itu berakar-umbi sejak perang Ramadhan 1973. Saat Ardhul Kinanah gontai diasak dua penjuru, saudara dari Nusantara sebelah sini menyinsing lengan terjun ke medan. Yang tidak mampu, berlumba-lumba menyumbang darah. Wanitanya bertungkus-lumus menjahit seragam angkatan. Tapi itu kenangan lama, cerita ayah dan emak kita. Generasi anak-anak hanya tersenyum simpul dipuji ‘Ahsan Naas’….
Memperingati persaudaraan yang manis, saya mengimbau lagi.
Hari ‘Jumaat Kemarahan’, 28 Januari. Saya berada di Jaami’ Al-Azhar saat saudara Misriyun merancang muzhaharat besar-besaran. Sengaja ingin mengucup tanah mulia di masjid tua itu sebelum bermusafir ke tanah air. Jemaah wanita berkurangan tak seperti selalu. Saya jangkakan khutbah hari itu akan panas berapi-api, rupanya hanya nasihat pendek sedingin air di kali. Imam mengingatkan muslimin bahawa insan yang paling mulia adalah yang terindah akhlaknya. Topik sesuai dengan demonstrasi yang akan meletus sebentar lagi. Usai salam terakhir, di luar masjid mula bingit. Saya panjangkan doa biar gelombang manusia itu pergi dulu. Sambil-sambil menunggu, muslimah di sebelah saya menegur. Dukturah Ibtisam, pensyarah Tibb Asnan di kuliyah banat Al-Azhar. Kami berbual sepatah-dua, lalu saya khabarkan minggu depan saya akan pulang bercuti. Selepas solat akan ke Husain mencari buah tangan buat keluarga. Segera dia menawarkan diri mahu menemani, tapi saya tolak dengan baik. Khuatir dia tidak selesa dengan langkah saya yang meraban sesuka hati. Sebelum berpisah, beliau minta saya mendoakannya. Saya senyum sahaja, berjanji akan mendoakannya dalam musafir kelak.
Rupanya di Khan El-Khalili sedang ribut. Lorong perniagaan menjadi tempat persembunyian mutazhahirin yang lari dari kejaran polis. Kedai-kedai ditutup. Saya hanya berdiri di kaki lima bersama sekumpulan ‘Arabi, kami menonton drama kejar-mengejar sambil menikmati semburan gas pemedih mata. Seorang gadis Arab menarik saya ke dalam kedai. Pakcik-pakcik bertanya saya adakah di Malaysia juga rakyat ber-demo begitu? Saya iyakan sahaja.
Hampa tak dapat semua yang dicari, jalan pulang ke Madinah Nasr juga menguji kesabaran. Dari Zuhur bawa ke Asar tiada kenderaan awam yang boleh ditumpang. Menjelang petang barulah dapat menahan teksi seorang ‘ammu tua. Rezeki saya dapat melihat perkampungan di celah-celah kuburan Muqattam, terasa makin faham dengan apa yang diminta para mutazhahirin. Ah, di celah kematian itu mereka menumpang hidup.
Berbual dalam perjalanan pulang, ‘ammu driver bertanya apa saya buat di Husain pada hari begitu, tak tahukah ada muzhaharat? Saya senyum saja. Jawab saya, ‘aiza syuf. Saje nak tengok. Bahkan saya minta kepada Allah supaya izinkan saya tengok. Pakcik driver senyum. Seperti Dukturah Ibtisam, dia juga minta saya doakannya dalam permusafiran nanti.
Dua tahun lepas di Iskandariah, juga di bulan Januari, saya saksikan demonstrasi anti-israel. Bayarannya saya dimarahi exco DPMI, sebelum disental pula dek UMI. Tak apa, kalau buahnya ialah pengalaman, persefahaman dan persaudaraan, saya rela. Melihat mereka dengan mata kepala, sama-sama takbir dan berdoa, saya kecapi ukhuwah yang tak dapat diterangkan. Jauh beza dengan apa yang disiar dek televisyen dan akhbar, mereka hanya meniup ketakutan yang tak bertempat.
Lantaran itu, Malizia Ahsan Naas lari pulang beramai-ramai.
Arab tua di lapangan terbang menangis kehilangan.
Mengenang persaudaraan yang manis….
Minggu lepas di Ardhul Kinanah. Bila saya menatap akhbar, pujian kepada syabab Misr yang keluar membenteng negara buat saya teringat ayah-ayah yang terjun ke medan, 38 tahun lalu. Bila saya lihat iklan derma darah, saya kenangkan pakcik-pakcik yang memberi infaq. Membaca kisah wanita Mesir menjaga rumah dengan dengan air panas buat menyimbah pencuri, saya teringatkan makcik-makcik Melayu yang bersama menjahit seragam jihad. Persaudaraan yang manis ini, satu anugerah yang tak ternilaikan. Namun 38 tahun kini, Malizia Ahsan Naas lari beramai-ramai….
Arab tua di lapangan terbang menangis kehilangan. Mungkin beliau adalah veteran perang Ramadhan 1973, siapa tahu.
Hanya secebis ingatan buat saudara-saudara di Perlembahan sana.
Takut susah, takut mati , ia adalah normaliti seorang insan, meskipun satu keanehan bagi seorang mukmin. Kerana junjungan mulia Rasulullah s.a.w sudah mengkhabarkan bahawa umat bongsunya ini akan menderita penyakit Wahn…
Allahumma asleh ummata Muhammadin s.a.w…
Ardhul Kinanah, kami akan kembali.
Comments