kawal hati...kaya peribadi
pemuda-pemudi Islam sejati; ku mengasihi kalian dengan kasih sayang Islam supaya dengannya kita dikumpulkan bersama-sama di yaumil akhir nanti. Di sana nanti tiada lagi naungan selain dari naungan-Nya. Hamba-hamba Allah yang beriman dan saling berkasih-sayang kerana Allah serta saling ingat-memperingati kepada kebenaran dan kesabaran, layak dihimpunkan di bawah naungan dan lindungan-Nya.
Pemuda-Pemudi harapan! Mari sama-sama kita meneliti maksud sabda Rasulullah s.a.w; "Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Apabila ia rosak, akan rosak pula seluruh jasad. Iulah hati atau kalbu.(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bertolak dari penelitian ini perlu sentiasa diingat, telah Allah sediakan dua pontensi pada hati;"Maka Allah mengilhamkankepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya".(Surah Asy-Syam:8-10)
pejuang, ketahuilah hati juga adalah sumber keberanian, semangat dan komitmen. Ia sumber tenaga yang menuntun kita melaksanakan berbagai bentuk tindakan samaada baik maupun buruk. Sekiranya hati itu diperkaya dengan iman dan takwa, maka beruntunglah tuan punya. Kekayaan iman dalam hati lebih lumayan dan mewah berbanding kekayaan fizikal yang dihitung sebagai kebendaan. Tidak dinafikan untuk memenuhi keperluan hidup harian, kita perlukan wang ringgit dan harta benda. Namun hanya dengan prasarana yang lengkap belum dapat memastikan kita mampu menjalani hidup ini dalam bahagia dan makmur. Hanya kemewahan fizikal, sedangkan hati jahil dan rakus sering menjerumuskan tuan punya kepada penyelewangan serta kehanuran.
sahabat-sahabatku yang Allah bahagiakan dengan nikmat Islam; Mari sama-sama kita singkap sejarah keagungan Islam yag memaparkan kepada kita bukti tentang hati yang menjadi pusat kawalan kepada setiap tindakan jasad...
Pada suatu hari yang cerah, ketenangan Kota Madinah dihiruk-pikukkan oleh masuknya satu rombongan kafilah besar, Kesibukkan begitu rupa turut menarik perhatian ummul mukminin Saydatina Aisyah; "Rombongan kafilah inikah yang menyibuk semua orang berkumpul dan memerhati?".
Salah seorang sahabat menjelaskan; "Benar ya ummul mukminin, ada 700 kenderaan. Itu kepunyaan Abdurrahman bin Auf yang baru pulang dari Syam. Sudah tentu membawa barang dagangan yang banyak!".
Saydatina Aisyah:"Ingatlah aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda; Aku melihat Abdurrahman bin Auf masuk syurga dengan perlahan-lahan!".
"Mengapa dia tidak memasuki syurga dengan berlari kencang bersama angkatan pertama para sahabat Rasulullah?".
Beberapa orang sahabat Rasulullah menyampaikan teguran Saydatina Aisyah pada Abdurrahman bin Auf. Abbdurahman sendiri mengakui bahawa dia pernah terdengar Rasulullah s.a.w. bersabda demikian. Malah dia ingat hadis-hadis tersebut telah diulang Nabi s.a.w beberapa kali dengan susunan kata-kata yang berbeza.
Sebelum mengemaskan barang-barang dagangan yang dibawanya, Abdurrahman terus menuju ke rumah Saydatina Aisyah r.a.
Abdurrahman bin Auf: "Wahai ummul mukminin, anda telah mengingatkan saya kepada hadis yang sentiasa saya ingati. Dengan ini saya berharap anda menjadi saksi, bahawa kafilah ini serta seluruh muatan dan kelengkapan juga kenderaanya, saya sumbangkan di jalan Allah s.w.t! Bahagikanlah semuanya kepada penduduk madinah".
Sungguh tulus hati Abdurrahman bin Auf. Meski pun dia merpakan ahli perniagaan paling berjaya di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah, namun dia tidak membiarkan keuntungan akhirat diatasi oleh dunia semata-mata. Sepanjang hayatnya dia telah menguruskan harta kekayaannya dengan sifat dermawan dan hati yang sentiasa mengharapan keredhaan Allah.
sahabat-sahabat tercinta! Dalam membiayai kehidupan hari ini tidak dinafikan dengan wang dan kekayaan sangat diperlukan. Namun sebagai seorang muslim sewajarnya kita memastikan harta yang kita miliki memberi manfaat untuk kehidupan dunia dan akhirat. Juga menepati ciri-ciri harta yang barakah;
- Membuat pemiliknya merasa qanaah(puas dan cukup)
- Pemiliknya merasakan harta itu sebagai pinjaman dari Allah, dia sekadar pengurus amanah.
- Pribadi miliknya dihormati kerana bijak menggunakan harta di jalan kebajikan dengan banyak bersedekah di samping mengeluarkan zakat.
Begitulah sahabat-sahabatku yang gigih!
Iman dan takwa yang memenuhi hati merupakan kekayaan hakiki yang mampu mengawal kemewahan fizikal dan material menepati keredhaan Allah. Seiring dengan itu akan membawa manfaat kepada orang lain, seperti mana maksud sabda Rasulullah s.a.w; "Sebaik-baik manusia ialah dia yang membawa manfaat kepada orang lain".
Comments