MENERAPKAN NILAI DALAM PENULISAN


Salam sejahtera denagn limpah rahmat dan kasih Ilahi!

Pembaca budiman, yang dimuliakan;

Saban hari sepanjang kita melalui kehidupan yang masih berjalan,kita semestinya melihat berbagai fenomena yang berlaku. Samaada fenomena alam semulajadi, maupun rentetan peristiwa yang diangkat sebagai isu besar untuk dihebahkan.Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, apakah peranan kita dalam setiap fenomena yang kita lihat? Adakah kita menyedari, sebenarnya kita adalah sebahagian dari fenomena yang berlaku itu? Dengan lain perkataan kita turut bertanggungjawab terhadap apa jua perkara berlaku dalam kehidupan harian insan.


MARI KITA MULAKAN PENELITIAN DARI DIRI KITA SEBAGAI PENULIS.

Apakah sebenarnya peranan kita dalam kehidupan insan yang seterusnya dikaitkan ke dalam semua fenomena yang berlaku? Rumitkah penelitian ini? Bagi diri saya, secara peribadi, tidak rumit! Malah saya merasa bahagia jika saya berupaya menyumbang peranan untuk bertanggungjawab dalam apa jua sudut kehidupan insan. Justru saya sendiri juga tergolong insan. Bukankah begitu juga hakikatnya kepada diri anda semua?
Ya, tepat sekali, selaku insan penulis kita sangat wajar menyedari kita punya peranan besar dalam mencorakkan kehidupan insan sejagat.



Sering benar kita mendengar orang menyebut; kita adalah apa yang kita fikir, kita adalah apa yang kita baca, kita adalah apa yang kita makan....,dan banyak lagi kita menjadi apa yang kita terapkan kepada diri kita. sebutan sedemikian seolah-olahnya menjelaskan bahawa kita akan terbentuk mengikut nilai yang kita terapkan ke dalam
diri. Ini bermakna jika nilai yang baik diterap, kesan yang akan diperolehi juga semestinya baik. Begitu juga jika sebaliknya yang diterapkan, akan berlakulah begitu juga.


Berdasarkan hakikat hal yang baik menerbitkan perkara yang baik, semestinya kita menerapkan nilai baik dalam penulisan kita. Bermakna kita hanya menulis hal-hal yang baik sahaja kerana kita mahu orang yang membacanya menjadi baik. Atau sekurang-kurangnya membina fikiran yang baik kepada semua orang. Begitulah sepatutnya dasar kerja tulis dan sikap kita sebagai penulis. Kita mesti sentiasa menerapan nilai-nilai murni dalam semua bahan dan bentuk penulisan kita. Fikirkanlah dengan teliti, apa kesan dan akibatnya jika kita memasukkan unsur tidak sihat ke dalam penulisan kita?


Seperkara lagi, di samping menerapkan nilai murni dalam masa yang sama kita mesti membenteras/membasmi nilai buruk dan negatif. Kita ambil contoh begini; kita ingin menyubang peranan dalam mengurangkan kadar merokok di kalangan remaja, sebagai contoh. Ini bermakna selain kita mengemukakan teguran supaya tidak merokok, dalam masa yang sama kita tidak sepatutnya mencipta watak merokok dalam penulisan kita. Dengan lain perkataan kita mencadangkan sikap juga aktiviti gantian kepada rokok seiring dengan tidak menyebut langsung tabiat buruk itu. Kaedah demikian bersamaan dengan kita cegah sesuatu penyakit sebelum penyakit itu muncul. Kita telah sedia setuju dengan ungkapan; 'mencegah lebih baik dari mengubati'. Bertitik tolak dari situ, sangat wajar kita membina satu sikap yang lebih jelas; 'menghindari lebih baik dari melarang'. Bagaimana pandangan anda semua kepada saranan saya ini...,setuju? Saya sangat menunggu-nunggu maklum balas anda semua! Diharapkan hal ini akan memberi kesan positif kepada kita semua.


Sebelum mengakhiri bicara saya ini, saya ingin mengajak anda meneliti satu gejala lumrah dan berleluasa berlaku dalam kehidupan masyarakat hari ini, khasnya golongan remaja; gejala sosial dan pergaulan bebas. Kita semua maklum gejala ini membawa kesan sangat besar dan sensitif dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita, malah sangat pula menyedihkan dan membimbangkan. Dalam ruang serba terbatas ini saya hanya ingin menyentuh peranan kita sebagai penulis. Di sinilah sepatutnya kita bawa penerapan nilai murni dengan memaparkan bahan tulis berakhlak mulia. Sedapatnya kita elakkan dari membesarkan malah tidak perlu sama sekali mendedahkan tingkah laku buruk yang berkaitan. Hal ini hanya akan meransang remaja yang semulajadinya angresif untuk melakukan hal yang kita sebut. Hakikat larangan yang ingin kita kemukakan tidak meresap ke hati remaja, tetapi mereka hanya mencedok yang keroh dan kotor saja. Kerana itulah kita perlu masuk terus kepada pokok nilai yang wajar; kita mahu remaja berakhlak mulia, jadi kita hanya perbesarkan dan sebut hal-hal yang baik. Dengan itu secara tabii akan membina sikap positif yang mulia dalam fikiran dan tingkah laku golongan remaja. Ketahuilah hal ini perlu kita halusi dengan lebih mendalam lagi, dari masa ke semasa.


Akhirnya ingin saya tegaskan, sepanjang kita menulis kita mesti peka apa saja yang kita tulis memberi kesan kepada orang yang membacanya. Tanya kepada hati kita, sukakah kita melihat orang yang membaca tulisan kita mengalami/melakukan keburukan?
Tentu kita tidak mahu begitu yang terjadi. Hati kita yang sedia baik ini sangat ingin orang lain beroleh kebaikan dari hasil tulisan kita. Kita akan rasa bahagia jika orang lain menjadi baik setelah membaca bahan penulisan kita. Begitulah sepatutnya yang kita harapkan dan semestinya yang kita lakukan.

SELAMAT MENULISKAN SEGALA KEBAIKAN

sumber

Comments

Popular posts from this blog

نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول

Sajak Perjuangan - RASULULLAH SUNGGUH MULIA