mereka yang sudi

Monday, June 14

Tiada Erti Kesenangan Jika Tidak Mengalami Kesusahan

01

Kehidupan manusia di dunia ini umpama roda yang sedang berpusing, dan terus berpusing sehinggalah ia terhenti, iaitu ketika kematian seseorang. Ketika roda hidup manusia sedang berputar, sudah pasti bahagian bawah roda akan naik ke atas, dan bahagian atas akan turun ke bawah. Tidak mungkin sebuah roda yang bulat, yang berputar, tetapi bahagian atasnya tetap berada di atas.

Hakikat kehidupan manusia hari ini, selepas kesusahan, pasti datangnya kesenangan. Mana mungkin selepas kesusahan, datang kesusahan. Begitu juga kesenangan. Kesenangan dan kesusahan adalah perkara yang berbeza. Kita tidak akan mengenal erti sebuah kesenangan sekiranya kita tidak merasai kesusahan. Begitu juga kita tidak akan merasa susah sekiranya kita tidak pernah menikmati kesenangan.

Begitu juga siang dan malam, tidak akan wujud erti “malam” sekiranya tiada waktu siang. Begitulah sebaliknya. Maka kedua-dua perkara yang berlawanan ini sering berputar, sehinggalah seseorang itu meninggal dunia. Oleh itu, setiap kesedihan pasti ada kegembiraan. Mana mungkin seseorang akan berterusan sedih di dalam hidupnya, kerana roda itu terus berputar.

Ramai yang beranggapan bahawa dirinya adalah insan yang paling teruk diuji. Setiap hari, kesusahan demi kesusahan dialaminya. Tetapi hakikatnya, dia terlupa bahawa terdapat jutaan manusia lain yang lebih menderita daripada dirinya. Sekiranya dia bersedih kerana kehilangan orang yang disayangi, sudah berjuta-juta manusia yang sudah merasainya.

Begitu juga kesusahan, sekiranya dia merasakan dirinya adalah orang yang paling susah, tetapi sebenarnya dia lupa, masih terdapat berjuta-juta orang yang jauh lebih susah daripada dia. Hatinya sering berkata, akulah orang yang paling perit diuji, sedangkan dia tidak pernah dimalukan di hadapan khalayak ramai.

Nabi Muhammad SAW, ketika berdakwah di Thaif, Baginda SAW, telah dilempar dengan batu dan najis oleh penduduk-penduduk di situ, kerana menyebarkan Islam. Pernahkah kita diperlakukan begitu? Nabi SAW pernah diuji dengan ancaman dibunuh oleh ramai orang, sehinggakan Baginda SAW bergelar WANTED oleh masyarakat Mekah. Sedangkan kita tidak pernah diuji sedemikian.

Adakah dengan kesusahan yang sedikit ini kita sudah merasa lemah? Sekiranya kita kalah dengan ujian, kita tidak akan merasa kesenangan hidup. Kesenangan akan dapat dinikmati setelah kesusahan itu dialami. Kegembiraan akan dapat dirasai setelah kesedihan itu didepani. Anda tidak akan merasa senang sekiranya anda tidak mahu menerima kesusahan. Oleh itu, hadapilah kesusahan dan kesedihan untuk mendapat kesenangan dan kegembiraan.

No comments: