mereka yang sudi

Tuesday, May 11

Tentang ARMA : Fakta Yang Tidak Mungkin Berubah

Perintis permulaan perjuangan mendapatkan sebuah penempatan anak Melayu bukanlah satu usaha yang baru malahan usahanya menjangkau puluhan tahun melepasi beberapa dasawarsa kewujudan PMRAM di bumi Anbiya’ ini.Langkahan pertama diatur pada tahun 1932 ,pelbagai usaha telah diperhebatkan samada dari segi pengumpulan dana, pancarian lokasi dan penubuhan sebuah jawatankuasa yang dikenali dengan “ Panitia Rumah Melayu ”.Kewujudan jawatankuasa ini secara langsung bertindak dalam segala pengurusan yang berkaitan dengan ARMA.

Pengumpulan dana merangkumi dari pelbagai pihak termasuk jemaah-jemaah haji yang datang ke tanah suci Mekah.Di antara yang terlibat secara langsung untuk mendapatkan ARMA adalah Almarhum Dato’ Haji Abdul Jalil Hasan yang merupakan Pemangku Mufti Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1960. Beliau juga terlibat dengan penubuhan PPS ( Persekutuan Putera-putera Semenanjung ) pada tahun 1930 telah menyatakan bahawa jumlah dana Rumah Melayu yang terkumpul pada Bendahari PPS adalah sebanyak RM 1544.50.

Dengan usaha gigih generasi ketika itu ,beberapa sumbangan derma telah diperolehi di antaranya kunjungan Tuan Haji Hussien bin Haji Ya’qub (seornag peniaga Melayu terkenal di Kelantan), begitu juga yang berlaku pada 1952, Persidangan Raja-raja Melayu telah memutuskan supaya setiap Majlis Agama Negeri dan Pejabat Agama di setiap negeri melancarkan sumbangan dengan menetapkan jumlah yang tidak kurang daripada RM 6500.00.

Pada tahun 1954, Badan Pengurus telah mengambil inisiatif untuk terus berjumpa dengan Almarhum Presiden Mesir ,Jamal Abdul Nasir bagi memohon sebidang tanah yang bertujuan untuk pembinaan. Hubungan yang baik terjalin di antara PPS dan Kerajaan Mesir dibuktikan lagi dengan perjanjian Jamal Abdul Nasir yang akan memberikan sebidang tanah kepada PPS.

Setahun kemudian pada 1955,beliau telah memperuntukkan sebidang tanah dengan keluasan 600 meter persegi di dalam kawasan Bandar Kaherah [ Tahrir ] yang diberikan secara percuma yang pada ketika itu telah ditukar nama kepada PMM pada tahun 1952.
Akhirnya pada tahun pada tahun 1959 sebidang tanah yang berkeluasan 2,212 meter persegi telah sah menjadi milik PMM melalui sebuah majlis penyerahan geran tanah yang telah dihadiri oleh YDP PMM ketika itu Ustaz Wan Mokhtar Ahmad. Maka dengan itu telah termaktubnya pemilikan tanah tersebut yang diakui oleh Kerajaan Republik Arab Mesir malahan juga diperakui oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Maka peraturan - peraturan Asrama Rumah Melayu Abbasiah diwujudkan dengan disahkan oleh ketiga-tiga pihak iaitu Duta Besar Kaherah, Pengarah Jabatan Penuntut dan YDP PMRAM. Di antaranya peraturan-peraturan yang telah termaktub pada 1986 adalah seperti berikut :

- Pada ceraiaan 1.2 [ Pendahuluan ] – Asrama ini dibina oleh Kerajaan Malaysia dan diletakkan dibawah naungan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.
- Pada ceraiaan 1.3 [ Pendahuluan ] – Tapak bangunan ini diperolehi dari hadiah pihak berkuasa Kerajaan Mesir atas daya usaha dan jasa ahli-ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
- Pada ceraiaan 1.6 [ Pendahuluan ] – Anjung tingkat bawah Asrama ini adalah dikhaskan sebagai Pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
- Pada ceraiaan 2.3 [ Pentadbiran dan Pengurusan ] – Dasar pentadbiran ARMA ini dapat diputuskan oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada :
• Pengarah JPM ( Pengerusi)
• Penyelia Asrama ( Setiausaha )
• Pegawai Kebajikan 1 ( AJK )
• Pegawai Kebajikan 2 ( AJK )
• Juruwati Asrama ( AJK )
• 3 Wakil PMRAM ( AJK )

** Jawatakuasa in bertindak dalam sebarang bentuk perubahan dasar dan membuat keputusan serta menjadi penasihat dan mempertimbangkan segala rayuan yang berkaitan dengan Asrama Rumah Melayu Abbasiah .

Namun begitu ,pada tahun 1992 KBMK telah memutuskan hubungan dengan PMRAM sekaligus menyatakan peraturan ARMA yang telah dipersetujui dahulu secara langsung dimansuhkan.Jika diteliti tiada satu ceraian dalam peraturan tersebut menyatakan apabila tiada kerjasama antara KBMK dan PMRAM maka secara langsung peraturan ARMA dimansuhkan. Usaha PMRAM tidak pernah pudar dek zaman yang terus laju melangkah ke hadapan oleh kerana yang sedemikian pada 13 November 2000, satu mesyuarat telah diadakan di antara Badan Pengurus PMRAM dan Duta Besar Malaysia Kaherah .Dalam perjumpaan tersebut ,beliau sendiri telah mengakui bahawa peraturan ARMA yang baru pada 1999 tidak sah kerana dibuat tanpa persetujuan dan pengetahuan pihak PMRAM.Wakil Penasihat dan Badan Pengurus PMRAM yang hadir bersama ketika itu, Presiden PMRAM Ustaz Mohd Nizam Mohd Noh, Ketua Penasihat Ustaz Anhar Opir, AJK Penasihat Ustaz Azhar Yahya, Badan Pengurus ,Ustaz Ahmad Arif bin Mohd Arshad, Ustaz Hasri Hassan dan Ustaz Muhidir Tamjis. Seterusnya pada ketika itu juga Peraturan ARMA 1971 dan 1986 masih diterima pakai ataupun dengan erti kata lain diiktiraf .

Burhubung hak pemilikan tanah, PMRAM mengiktiraf bahawa nama pemilik yang tercatat pada geran tanah itu pada masa kini ialah Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia), akan tetapi PMRAM tetap memiliki keistimewaan sebagai tuan tanah yang asal kerana usaha-usaha memperolehi tanah itu keseluruhannya adalah hasil perjuangan PMRAM dengan sokongan pelbagai pihak tanpa melibatkan kerajaan Malaysia. Pindaan nama itu dibuat oleh PMRAM hanya semata-mata bertujuan mematuhi protokol bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengeluarkan bantuan kewangan sebanyak 250,000.00 Ringgit Malaya yang telah dijanjikan. Perkara ini berlaku pada tahun 1959 apabila Tan Sri Khir Johari yang datang ke Mesir sebagai Menteri Pelajaran telah menyatakan bahawa wang peruntukan tersebut tidak dapat dikeluarkan melainkan setelah nama tanah itu ditukar kepada nama Persekutuan Tanak Melayu. Bagi menunaikan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, Panitia Rumah Melayu telah berusaha pula untuk menukarkan nama yang tercatat pada geran tersebut sebagaimana yang ditetapkan. Akhirnya pada bulan Jun 1960, sempurnalah proses penukaran tersebut dan wang bantuan yang dijanjikan dapat disalurkan.
Perihal ini telah menjadi bukti bahawa,PMRAM masih lagi mempunyai hak ke atas ARMA sehingga kini. Cuma apa yang berlaku hari ini adalah beberapa peraturan ARMA telah diubah tanpa sebarang makluman dan persetujuan daripada pihak PMRAM seperti yang telah termakbtub di dalam peraturan ARMA.

sumber = PMRAM

No comments: