mereka yang sudi

Saturday, May 1

PMRAM TIDAK PERNAH MENYUSAHKAN MAHASISWA: PRESIDEN PMRAM 2010


Sebagai sebuah persatuan induk yang menyatukan suara anak-anak Melayu di Mesir ini, PMRAM tidak pernah melaksanakan suatu polisi gerak kerja yang menyusahkan mana-mana pihak. Bahkan PMRAM dikenali dengan persatuan yang beorientasikan kebajikan kepada seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir.

ISU KEBAJIKAN

Di peringkat PMRAM, kebajikan yang disalurkan bukanlah hanya tertumpu pada kewangan samata-mata bahkan lebih meluas daripada perkara tersebut. PMRAM menekankan kebajikan mahasiswa dari segi keselamatan, pendidikan, thaqafah, kesihatan dan lain-lain.

Dengan bahasa realitinya, PMRAM mementingkan soal akademik mahasiswa dengan melaksanakan 'study group' berpusat, kelas tutorial, kempen sifar rasib dan lain-lain. Sebagai bukti kesungguhan PMRAM dalam perkara ini, setiap tahun PMRAM mengkaji statistik keberjayaan mahasiswa Malaysia di Mesir. Sehingga kini, PMRAM cuba menghadapi isu mahasiswa qiraat Shoubra dan Mansurah dengan melibatkan pihak berwajib dalam menangani masalah ini.

ISU PERPINDAHAN MUHAFAZAH

Berkenaan isu perpindahan muhafazah, PMRAM menggunakan pendekatan mengkaji maklumat secara terperinci sebelum membuat sebarang kenyataan rasmi. Walaupun begitu, PMRAM mengharapkan semua mahasiswa memberikan fokus terhadap peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi. Serahkan perkara tersebut pada pimpinan untuk menyelesaikannya.

ISU KESELAMATAN

PMRAM memandang serius isu keselamatan mahasiswa Malaysia di Mesir. Sebagai contoh masalah visa pelajar, sosial penempatan, hubungan dengan warga tempatan, program dan aktiviti yang dianjurkan oleh setiap BKAN dan DPM. Baru-baru ini, PMRAM telah membantu seorang mahasiswa Shibin El-kom daripada ditahan polis akibat tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Sementara itu, PMRAM juga sedaya upaya membantu mengenai penangkapan 4 orang mahasiswa Malaysia pada pertengahan bulan ini melalui hubungan terus dengan pihak keselamatan Mesir, namun pihak keselamatan Mesir belum bersedia untuk melepaskannya. Dalam pada itu juga, pihak KBMK bertungkus lumus membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Justeru, PMRAM tidak pernah sesekali menafikan peranan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) sebagai wakil Malaysia di Mesir. Pada 28 April yang lalu, PMRAM mengadakan kunjung hormat ke pejabat KBMK untuk bertemu dengan Kuasa Usaha Sementara En Shaiful Anuar bin Mohammad. Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha 2 KMBK Encik Shamsul Kahar bin Kamaruddin bagi membincangkan isu mahasiswa Malaysia di Mesir. Hal ini membuktikan kerjasama yang baik antara PMRAM dan KBMK.

Selain itu, PMRAM juga bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu tuduhan terhadap Pengerusi DPM Tanta. Pada 27 April yang lalu, beberapa orang wakil Badan Pengurus PMRAM membuat temujanji untuk bertemu dengan salah seorang pegawai JPMK En Khairi Jalaluddin bagi mendapatkan penjelasan dan bukti tuduhan terhadap Pengerusi DPM Tanta Saudara Dzulhilmi bin Roslan.

Dalam pertemuan tersebut, beliau gagal mendatangkan bukti yang kukuh bagi tuduhan yang dibuat. Demi melihat suasana yang baik dan harmoni, PMRAM meminta kepada En Khairi Jalaluddin untuk menunaikan hasrat mahasiswa Malaysia di Mesir bagi memohon maaf secara terbuka terhadap tuduhan tidak berasas tersebut.

Semoga Allah SWT memberi perlindungan dan petunjuk kepada PMRAM dalam melakukan sebarang tindakan.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden PMRAM 2010.

No comments: