Maaf sebagai perhiasan diri mukmin
Indahnya sifat pemaaf menghiasi diri para nabi dan rasul serta orang-orang yang dekat dengan Allah. Allah s.w.t menyatakan dalam al-Qur’an, terdapat dua sifat yang membawa kita kepada taqwa iaitu adil dan pemaaf.
“ Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua Yang kamu kerjakan.”
Memberi maaf sebenarnya maqam abrar (orang yang soleh). Manakala melupakan kesalahan (memadamkannya dari hati) pula adalah maqam muqarrabin, iaitu orang yang benar-benar dekat dengan Allah. Cuba fikir sejenak, kita berada dalam kategori yang mana…
Kemaafan di mulut dan keredhaan di hati adalah sesuatu yang amat berbeza. Mengucap kemaafan kepada seseorang tidak semestinya hatinya benar-benar memaafkan, redha dan melupakan segala kesalahan yang dilakukan. Tak semua orang mampu memaafkan dengan hati, hanya sekadar di mulut. Begitu juga dengan orang yang memohon maaf, sekadar ucapan. Lebih-lebih lagi time raya, semua orang pun boleh lafazkan perkataan “maaf” tapi adakah kita benar-benar menghayati maksudnya?
“I can forgive, but I can’t forget”. Biasa dengar tak ayat macam ni? Agak-agak, orang yang macam ni betul-betul ikhlas nak maafkan orang ke tak? Sebagai muhasabah, tanyalah diri sendiri.
Imam al-ghazali dalam kitab “Mau’izatul mukminin” menggariskan beberapa tatacara amalan memberi maaf seperti yang diajarkan oleh rasulullah s.a.w:
1. Memaafkan terus kesalahan orang lain terhadap diri kita dengan melupakan bentuk kesalahannya. 2. Memuliakannya dengan cara berjabat tangan sebagai tanda memaafkannya. 3. Maaf bermakna melupakan aib orang yang berbuat salah dan melindunginya. 4. Memberi maaf hendaklah dilakukan dengan senyum dan redha, bukan kerana terpaksa dengan wajah yang marah. 5. Memberi maaf adalah bentuk silaturrahim yang amat tinggi dan merupakan satu bentuk ibadah.
Sesungguhnya pada diri rasulullah s.a.w itu ada contoh teladan yang baik. Masakan tidak, sebagaimana yang pernah diriwayatkan oleh saidatina Aisyah r.a, akhlak baginda adalah al-Qur’an. Maafkanlah orang lain agar mereka juga memaafkan kita. ~Maafkan diri ini~
Comments