mereka yang sudi

Monday, May 10

Fikrah Islamiyyah

Muqaddimah
Sudah menjadi kehendak Allah SWT, kita dilahirkan dan membesar dalam zaman yang begitu mirip zaman awal pengutusan Rasulullah SAW.


· Zaman yang dipenuhi kezaliman, dipadati oleh kebodohan dan didominasikan oleh kerosakan.
· Zaman dimana tidak ada lagi ajakan atau dorongan untuk manusia patuh dan tunduk kepada kehendak dan perintah Allah SWT.
· Masyarakat di zaman ini bagaikan haiwan ternak yang tidak mengenal kebenaran dan membiarkan kezaliman menguasai dan mengembala mereka.
· Dunia seakan-akan hutan belantara yang dikuasai hukum rimba; yang berkuasa menentukan segala hukum dan peraturan hidup.
Perlu Persediaan
Kita yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk berada di dalam medan tarbiyyah seharusnya merasakan suatu keperluan untuk kita menyiapkan diri kita untuk menjadi Da’ie dan Murabbi.
· Kerana fikrah yang kita terima adalah hak semua umat manusia; mereka yang berdampingan dengan kita tetapi tidak mendengar ajakan kepada kebenaran dari kita akan mendakwa kita di Akhirat nanti.
· Kerosakan Aqidah dan Akhlak yang menimpa manusia lambat laun akan meresapi kehidupan kita; kalau bukan kita, anak-anak kita atau generasi yang akan datang nanti akan menerima akibatnya.
· Mereka yang dihanyutkan oleh arus jahiliyyah itu adalah saudara-saudara kita. Inilah tuntutan Ukhuwah yang selalu kita laungkan tetapi setakatmanakah kita melaksanakan tuntutannya.
Keperluan Kepada Amal
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Hai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, dan sujudlah, dan sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebaikan, supaya kamu mendapat kemenangan."

(Al Hajj; 22:77)

Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat Allah di atas, perubahan dan kemenangan yang hakiki tidak hanya dapat dicapai dengan iman, tunduk dan ibadah kepada Allah semata tanpa direalisasikan dengan amal usaha yang nyata, "dan perbuatlah kebaikan!."
Sesungguhnya kemenangan atau perubahan itu tidak akan diperoleh dengan berpangku tangan sambil berangan-angan kosong, dan tidak akan datang hanya dengan menadahkan tangan ke langit. Kemenangan atau perubahan hanya akan datang selepas sulitnya perjalanan dan kerasnya rintangan dan tentangan.
Kesabaran itu tidak cukup ditumpahkan dalam lelehan air mata, panjangnya ruku' dan sujud, serta lamanya dzikir dan do'a. Tetapi dia harus diikuti dengan kerja nyata, yang kadang harus dengan bermandian keringat dan debu.
وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ .......
"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya."

(Al Hajj; 22:78)

Ummat yang mengharapkan kemenangan atau perubahan tidak akan berlama-lama dalam angan-angan kosong untuk menghibur diri sementara musuh- musuh Islam telah membuat persiapan di segala bidang. Mereka tidak cukup hanya puas dengan tangisan dan air mata, sementara musuh-musuh Islam telah mengelilingi untuk menghancurkan mereka.
Sudah waktunya ummat Islam beralih ;
· dari konseptual ke operational,
· dari nadzoriat ke amaliyat,
· dari fikrah menuju harokah,
· dan dari tsaqofah menuju hadhoroh.
Cita-cita ummat ini tidak akan dapat diraih hanya dengan konsep-konsep yang bijaksana dengan kata-kata yang indah. Perjuangan ummat ini tidak cukup hanya diungkapkan dalam nasyid-nasyid pengobar semangat. Tetapi sudah saatnya konsep-konsep manhaj dakwah itu direalisasikan melalui anggota-anggota fizikal. Sudah saatnya nasyid-nasyid itu tidak hanya berkobar di dalam dada-dada saja, tetapi juga di dalam kehidupan nyata.
Akan tetapi melaksanakan semua ini bukanlah sesuatu yang mudah; Merealisasikan konsep tidaklah semudah menggubah syair atau menyanyikan nasyid-nasyid. Menghadapi rintangan-rintangan di sepanjang perjalanan tidaklah semudah meratapinya di dalam tangisan. Menyelesaikan masalah tidaklah semudah membayangkannya di dalam angan-angan. Menghadapi musuh yang nyata tidaklah semudah melemparkan cacian dan makian.
Fikrah Sebenar
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيْ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mendahului apa yang dia antara Allah dan Rasulnya, Sesungguhnya Allah maha mendengar dan maha mengetahui.

(Al Hujurat: 1)
Fikrah kita ialah Islam Deen Allah yang kekal, luas dan lengkap, kita tidak memiliki kuasa untuk menambah atau mengurangkan atau mendahului Islam
Kita pengikut Islam bukan pereka deen Islam. Kewajipan kita ialah memahami Islam sepertimana sepatutnya difahami, bukan sepertimana yang manusia kehendaki mengikut hawa nafsu mereka. Islam sentiasa berada di hadapan kita untuk kita ikut dengan penuh kefahaman dan ketaatan bukan untuk kita ubahsuai mengikut sesuka hati kita atau mengikut kehendak majoriti masyarakat. Fikrah kita adalah milik Allah dan kita hanya menerima sepenuhnya. Memahami Fikrah Islamiyah sebenar adalah tuntutan utama dalam usaha membangunkan Deen Allah dan mendaulatkan syariatnya.
Islam adalah Deenul Hayah dan Nidzamul Hayah; peraturan yang menguasai semua urusan kehidupan.
Nidzam yang mampu mencorakkan semua aspek kehidupan dengan corak Islam
Tanda-tanda faham fikrah Islamiyyah sebenar antara lain ialah lahir perseimbangan dalam aspek-aspek berikut:

· Perseimbangan / rapat jurang antara teori dan praktikal
· Perseimbangan / rapat jurang antara ideal dan realiti
· Perseimbangan / rapat jurang antara perancangan dan pelaksanaan.
· Perseimbangan / rapat jurang antara pengurusan dan tarbiyah.
· Perseimbangan / rapat jurang antara kepentingan peribadi dan kepentingan jamaah.
Iman Dan Tindakbalas Haraki
Keimanan yang cuba dibentuk melalui proses Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah bukanlan keimanan yang mandul yang tak membuahkan amal. Tapi keimanan yang cuba dihasilkan ialah keimanan yang tulen dan peka terhadap tuntutan keimanan serta peka dan mudah bertindakbalas dengan suasana-suasana yang cuba meruntuhkan atau menggugat pertumbuhan dan perkembangan Iman tersebut.
Islam bukan Agama Rahbaniyyah (pertapaan) yang mengasingkan para pemeluknya di gereja-gereja dan biara-biara. Akan tetapi dia adalah Agama Haraki, agama yang bertindak dengan tindakbalas yang sanggup menggempur dan digempur, sanggup menyerang dan diserang.
Muhammad Ahmad ar Rashid di dalam bukunya Al Muntalaq menyebut;
“Walau bagaimana dahsyatnya kerosakan, seorang Pendakwah tidak boleh meninggalkan tugasnya untuk menyelamatkan hamba-hamba Allah dari cara hidup Jahiliyyah kepada cara hidup Islam, mengeluarkan mereka dari Kesesatan kepada Hidayah, dari Kebatilan kepada Kebenaran dan dari Kezaliman kepada Ke’adilan.Segala kesangsian dan putus asa dalam proses Islah ini perlu segera dimusnahkan dengan detik-detik kesedaran.”
Oleh itu anggota harakah hendaklah menjadi Rahban (Rahib) di malam hari dan Fursan (tentera berkuda) di siang hari. Dengan itu mehnah-mehnah (tribulasi) di dalam hidup Harakah Islamiyyah menjadi dapur pembakar yang membakar logam-logam untuk membersihkan segala karat dan campurannya
Dengan ini barulah anggota harakah akan menjadi Mukmin Mujahid ataupun Rijalun ‘Aqidah bukan buih-buih.
أَنزَلَ مِنْ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الأَرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الأَمْثَالَ
Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.

(Ar ra’du :17)
Oleh itu anggota harakah mestilah beriman dengan sebenar-benarnya dan menyelaraskan diri dengan Islam dengan sungguh-sungguh. Mereka itulah yang menjadi lampu-lampu hidayah. Di samping itu, mereka terdedah dengan fitnah-fitnah yang membuta tuli.
Sejarah Islam telah menyaksikan di setiap zamannya yang berbeza-beza, berbagai-bagai contoh teladan yang indah dan cemerlang. Para pemudanya telah menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang telah gugur dan ada pula dari mereka yang menuggu dan mereka sedikitpun tidak berubah.
Di atas asas inilah terbentuknya harakah Islamiyyah yang pertama. Harakah yang beriman dengan da’wahnya selaras dengan segala prinsip yang didukung. Ia mengetahui segala bahaya jalan yang dilaluinya dan bersiap sedia memberi pengorbanannya dengan redha dan murah hati
Renunglah kata-kata As Syahid Hassan Al Banna:
“Betapa inginnya kami agar umat ini mengetahui bahawa mereka lebih kami cintai daripada diri kami sendiri. Kami berbangga ketika jiwa-jiwa kami gugur sebagai penebus bagi kehormatan mereka, jika memang tebusan itu yang diperlukan atau menjadi harga bagi tegaknya kejayaan, kemuliaan dan terwujudnya cita-cita mereka, jika memang itu harga yang harus dibayar. Tiada sesuatu yang membuat kami bersikap seperti ini selain rasa cinta yang telah mengharu biru hati kami, menguasai perasaan kami, memeras habis air mata kami dan mencabut rasa ingin tidur dari pelupuk mata kami. Betapa kami menyaksikan bencana yang mencabik-cabik umat ini, sementara kita hanya sanggup menyerah kepada kehinaan dan pasrah oleh keputusan. Sungguh kami berbuat di jalan Allah untuk kemaslahatan seluruh manusia, lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk kepentingan diri kami. Kami adalah milik kalian wahai saudara tercinta, sesaatpun kami tidak akan pernah menjadi musuh kalian.”

No comments: