'Kami telah beriman' hanya kenyataan berpura-pura

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SYEIKH as-Sya'rawi berkata dalam tafsirnya: ''Allah mengurniakan kepada kita di sini hikmat sebagaimana yang diriwayatkannya berkenaan kisah Bani Israel kerana mereka memainkan peranan penting bersama umat Islam di kota Madinah, kemudian di Baitul Maqdis dan seterusnya di Masjid al-Aqsa.

"Allah menggambarkan kepada kita bahawa mereka menyebabkan nabi mereka berasa penat, di samping derhaka kepada Tuhan mereka. Mereka bertindak biadab; nikmat dibalas dengan maksiat dan rahmat dibalas dengan ingkar. Kalau beginilah sikap dan pendirian mereka, wahai Muhammad, terhadap Allah dan nabi mereka, justeru jangan sekali-kali kamu begitu berkeinginan supaya mereka beriman dan memeluk Islam. Ini kerana di sisi mereka ada Taurat yang menyeru mereka supaya beriman kepada Muhammad, sedangkan mereka enggan.''

"SESUDAH KAMU - WAHAI MUHAMMAD DAN PENGIKUT-PENGIKUTMU - MENGETAHUI TENTANG KERASNYA HATI ORANG-ORANG YAHUDI ITU) MAKA BOLEHKAH KAMU MENARUH HARAPAN BAHAWA MEREKA AKAN BERIMAN KEPADA SERUAN ISLAM YANG KAMU SAMPAIKAN ITU, PADAHAL SESUNGGUHNYA TELAH ADA SATU PUAK DARIPADA MEREKA YANG MENDENGAR KALAM ALLAH (TAURAT), KEMUDIAN MEREKA MENGUBAH DAN MEMUTARKAN MAKSUDNYA SESUDAH MEREKA MEMAHAMINYA, SEDANGKAN MEREKA MENGETAHUI (BAHAWA PERBUATAN ITU SALAH)?

"dAN APABILA MEREKA (ORANG-ORANG YAHUDI PADA ZAMAN RASULULLAH) BERTEMU DENGAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, MEREKA BERKATA: "kAMI TELAH BERIMAN." TETAPI APABILA MEREKA BERJUMPA SESAMA SENDIRI, MEREKA BERKATA: "PATUTKAH KAMU CERITAKAN KEPADA MEREKA (ORANG-ORANG ISLAM) DENGAN APA YANG TELAH DITERANGKAN OLEH ALLAH KEPADA KAMU (DALAM KITAB TAURAT MENGENAI KEBENARAN NABI MUHAMMAD) UNTUK MENJADIKANNYA HUJAH (BUKTI) YANG DAPAT MENGALAHKAN KAMU DI SISI TUHAN KAMU? TIDAKKAH KAMU BERAKAL?" (al-Baqarah: 75-76).

Allah menghadapkan ucapan-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dengan firman-Nya (Sesudah kamu – wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu – mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu. Dengan bahasa yang mudah, apakah kamu mengharap mereka masuk ke agamamu? Ayat ini ditujukan kepada Rasulullah s.a.w. sahaja. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.

Adapun pendapat Abu al-'Aliah dan Qatadah: Bahawa ia ditujukan kepada seluruh orang yang beriman dengan ditakdirkan: Adakah kamu berasa tamak bahawa kamu membenarkan nabi kamu?

Pendapat ketiga dan terakhir bahawa mereka adalah orang Ansar kerana sesungguhnya mereka apabila memeluk Islam amat berharap supaya orang Yahudi juga memeluk Islam kerana berlaku radha'ah (penyusuan) antara mereka sebagaimana yang disebut oleh an-Naqqash.

Perkataan (alif) pada kalimah yang pertama (afatatma'un), mengikut pandangan ulama, bersifat istikhbar, iaitu meminta perkhabaran atau be-

rita seolah-olah melemahkan mereka daripada bercita-cita dan tamak berkaitan keimanan mereka.

Padahal sesungguhnya telah ada satu puak daripada mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), sedangkan sebahagian daripada ulama mereka dan pendita membaca kitab Allah dan mendengar secara jelas.

Kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, dengan mengubah dan meminda ayat-ayat Allah, sedangkan mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)? Allah amat mengetahui segala tindakan mereka dengan melakukan pelbagai jenayah bukan kerana lupa atau tersilap. Terdapat dua pendapat ulama yang dimaksudkan dengan pengetahuan dan maklumat mereka:

- Mereka mengetahui bahawa mereka yang mengubah dan memindanya.

- Mereka mengetahui bahawa mereka akan ditimpa azab atas perbuatan mereka memindanya. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn al-Jauzi dalam kitabnya, Zad al-Masir.

Sayid Qutub berkata: ''Yakni sebenarnya tiada harapan lagi bahawa orang-orang yang seperti itu akan beriman, kerana keimanan itu memerlukan tabiat dan kesediaan yang lain. Tabiat orang yang beriman itu bersifat mudah, senang dan lembut. Jendela-jendela hatinya sentiasa terbuka kepada cahaya. Ia sentiasa bersedia untuk berhubung dengan sumber Azali yang kekal abadi (Allah). Ia sentiasa lembut, jernih, hening, peka, taqwa, segan dan malu (kepada

Allah). Taqwa inilah yang menghalangnya daripada mendengar kalam Allah dan kemudian bertindak mengubahnya setelah ia memahaminya, yakni mengubah kalam Allah dengan penuh kesedaran dan kedegilan. Tabiat orang yang beriman bersifat lurus, malu dan segan melakukan penyelewengan seperti ini."

Golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah golongan ahli agama Yahudi yang amat arif dengan hakikat-hakikat yang diturunkan kepada mereka dalam kitab-kitab suci mereka, iaitu golongan paderi-paderi dan rabbani-rabbani yang mendengar kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s. dalam Taurat, kemudian mereka mengubah maksudnya dan membuat penafsiran-penafsiran yang jauh terkeluar daripada ruang lingkupnya.

Mereka melakukan pemesongan ini bukan kerana tidak mengetahui maksud-maksudnya yang sebenar, malah mereka sengaja melakukan pemesongan itu dan mereka benar-benar tahu tentang pemesongan itu.

Mereka melakukannya dengan dorongan hawa nafsu, kepentingan diri dan tujuan-tujuan yang tidak sihat. Mereka yang seperti ini tentulah menyeleweng lebih jauh lagi daripada kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s.. Mereka yang mempunyai hati yang tidak bertanggungjawab seperti ini dan berpegang kukuh dengan kepalsuan yang mereka sendiri sedar dan tahu tentang kepalsuannya tentulah lebih sanggup menentang dakwah Islam, melepaskan diri daripadanya dan mengadakan fitnah-fitnah yang dusta terhadapnya.

Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman." Inilah sifat munafik mereka yang pandai berpura-pura. Sebaliknya apabila mereka berjumpa sesama sendiri daripada golongan munafik, mereka berkata: "Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (dalam kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) dengan mempertikaikan segala sifat Muhammad untuk menjadikannya hujah (bukti) yang dapat mengalahkan kamu di sisi Tuhan kamu?

"Tidakkah kamu berakal? Tidaklah mampu akal kamu mencegahmu daripada berbicara berkaitan orang Islam kerana menjadi hujah ke atas kamu."

Sayid Qutub berkata: ''Yakni apakah kamu masih menaruh harapan bahawa mereka akan percaya kepada kamu, sedangkan di samping mereka mempunyai sifat-sifat yang tidak bertanggungjawab, menyembunyikan kebenaran dan mengubah maksud-maksud kalam Allah. Mereka menambah sifat-sifat yang lain lagi iaitu sifat berpura-pura, talam dua muka, menipu dan berhelah."

Sesetengah mereka apabila bertemu dengan orang-orang yang beriman berkata: "Kami percaya bahawa Muhammad s.a.w. itu rasul berdasarkan bisyarah yang terkandung dalam kitab Taurat yang ada pada mereka, dan kepada kenyataan bahawa mereka juga sedang menunggu kebangkitan rasul itu dan memohon agar dengan kebangkitannya Allah akan memberi kemenangan kepada mereka di atas kaum yang lain daripada mereka."

Comments

Popular posts from this blog

نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول

Sajak Perjuangan - RASULULLAH SUNGGUH MULIA