mereka yang sudi

Friday, January 8

Gereja hangus terbakar


Sebuah gereja dibaling dengan bom petrol mengakibatkan tingkat bawahnya hangus terbakar, kata sumber gereja.

Insiden tersebut berlaku sewaktu memuncak kontroversi berhubung penggunaan perkataan Allah oleh satu penerbitan Katholik.

Dua lagi gereja di Lembah Kelang turut jadi sasaran dalam tempoh 12 jam lalu, termasuk Gereja Assumption di Petaling Jaya.

Seorang pegawai jabatan bomba berkata semua balai diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memantau kebakaran di rumah-rumah ibadat, menjelang bantahan besar-besaran tengah hari ini anjuran beberapa NGO Islam.

Bangunan tiga tingkat Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, adalah sebahagian pergerakan Assemblies of God, terbakar kira-kira tengah malam tadi, kata pemimpin gereja itu, Peter Yeow, 62.

Beliau memberitahu AFP bahawa ada saksi yang ternampak empat orang - yang datang menaiki motosikal - memecahkan kaca dan membaling bom petrol ke dalam bangunan gereja.

Tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian tersebut. Gereja itu yang terletak di bahagian hujung lot rumah kedai di situ, dihadiri kira-kira 1,500 setiap minggu.

"Api memusnahkan bahagian pentadbiran gereja tersebut. Kita tidak tahu sama ada dewan sembahyang di tingkat tiga juga mengalami kerosakan," katanya sambil menggesa gereja lain supaya meningkat kawalan keselamatan.

Anuar Harun, yang mengetuai operasi memadam kebakaran tersebut berkata, pakar forensik sedang bekerjasama dengan polis dan unit anjing untuk menyiasat kebakaran tersebut.

"Kami sedang menyiasat punca kebakaran. Kami tidak boleh memberi lagi maklumat. Ia isu sensitif," katanya ketika ditanya sama ada ianya kes khianat dengan api.

"Kita telah meminta semua balai bomba supaya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kebakaran di tempat ibadat," katanya kepada AFP.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Sabtu Othman berkata polis menemui satu spanar dan satu bekas minyak tanah di tempat kejadian, bersama dengan dua helmet yang terbakar.

Katanya, polis menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara atau denda.

Sementara itu, Gereja Assumption yang terletak di sebelah Hospital Assunta, dipercayai turut menjadi sasaran kira-kira jam 4 pagi tadi.

Pegawai gereja itu berkata, bom petrol dibaling ke dalam kawasan perkarangan gereja, tetapi tidak meletup.

Gereja ketiga di Seksyen 17, Petaling Jaya juga menjadi sasaran malam tadi, menyebabkan kerosakan berlaku di bahagian luar luar bangunan Gereja Life Chapel.

sumber :Malaysiakini/-

No comments: