Wednesday, September 1

muhasabah

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Mari kita mulakan dengan do'a ini :
"Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Kepada-Mu kami menyembah dan kepada-Mu sahajalah kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami kejalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan orang-orang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat."

Sahabat yang dimuliakan,
Persaksikan bahawa tidak ada pengatur kecuali Allah dan bersyahadahlah bahawa Nabi Muhammad itu sebagai hamba dan utusan Allah. Fokuskan hati kalian kepada memuja dan mentaati Allah serta mengikut contoh kehidupan ar-Rasul, Muhammad s.a.w.

Peliharalah diri kalian dari terikut rentak dan ragam manusia yang dimurkai Allah. Sedarilah tekanan kehidupan hari ini terlalu banyak. Semua gejala tamadun baru yang direka menurut keinginan nafsu hanya bertujuan menyesatkan dan meruntuhkan nilai norma yang tinggi. Sekaligus menghancurkan sendi-sendi budi dan akhlak yang mulia yang mengembangkan sifat kejahilan di kalangan umat.

Sahabat yang diredhai Allah,
Janganlah merasai jemu apabila risalah yang ditulis ini berulang-ulang untuk membicarakan perkara yang sama. Ingatlah sahabat!Sememangnya tabiat tarbiyyah itu dinyatakan berulang-ulang. Untuk menghidupkan balik hati yang keras dan mati, untuk menaikkan semula iman yang telah turun dan untuk memulihkan balik akhlak yang telah rosak, bukanlah satu perkara yang mudah. Nabi s.a.w. sendiri mendidik dan mentarbiyyah sahabat-sahabat baginda di Mekkah mengambil masa 13 tahun. Proses ini berterusan di Madinah dan memakan masa 10 tahun pula.
Didalam al-Qur'an sendiri Allah sentiasa mengulang-ulangkan asas iman, tauhid dan perkara-perkara ghaib dan kehidupan dihari Akhirat. Selagi hayat dikandung badan dan masih bernafas di bumi Allah proses tarbiyyah imaniah dan takwa perlu berterusan dan berjalan tanpa berhenti.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Al-Ustaz Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara memelihara diri dari dorongan nafsu serta bisikan syaitan telah menyarankan 10 dasar muhasabah harian. Yakinilah dasar ini akan dapat memelihara jiwa kalian untuk terdorong memusatkan pemujaan dan ketaatan kepada Allah. Juga memperteguhkan iman diatas jalan yang diredhai.

Pertama : Qiyamulail merupakan pendidikan rohani yang tidak patut diabaikan. Ia boleh melahirkan kekuatan iman yang tidak dapat dihasilkan oleh ibadat-ibadat yang lain.

Kedua : Sedapatnya solat Subuh berjemaah kerana akan beroleh jaminan perlindungan dari Allah, seperti maksud hadis : "Siapa yang solat Subuh berjemaah maka ia berada dalam jemaah Allah. Allah tidak sekali-kali meminta sesuatu dari kamu kerana jaminan-Nya."
(Hadis Riwayat Muslim) .
Ketahuilah malaikat menjaga kita dan mereka datang berhimpun serta bergilir masa kerja pada waktu Subuh dan Asar.

Ketiga : Al-Qur'an itu sebagai penawar dan kita sangat berhajat rawatan hati dari ayat-ayatnya. Dengannya, hati akan tenang, tenteram dan dapat merasai suasana hening. Berwirid dengan al-Qur'an sewajarnya diamalkan sehingga berlinangan air mata.

Keempat : Setiap kali menghadap hidangan makanan telitilah sumber ia diperolehi. Pastikan rezeki yang diperolehi itu adalah halal dan suci serta sedaya upaya menjauhkan diri dari berbuat yang haram. Disamping itu, kita patut menyedari tujuan utama makan adalah untuk menambah kekuatan beribadah kepada Allah, dan bukannya melakukan kerosakan.

Kelima : Bersihkan diri dari sifat malas. Islam tidak menyukai hamba Allah yang tidak berusaha atau menganggur. Sepatutnya setiap Muslim perlu bersungguh dalam melaksanakan apa jua tugas dan pekerjaan. Di samping itu, tidak lupa untuk membersihkan rezeki dengan mengeluarkan zakat, insaf dan sedekah. Usaha yang gigih serta rezeki yang bersih akan membawa kebahagiaan hakiki.

Keenam : Dalam setiap waktumu berada dikhalayak, sentiasalah menjaga dan mengawal pandangan mata serta perasaan. Jauhkan diri daripada tergoda atau digoda. Malahan, tidak juga terdorong kepada perkara-perkara syubahah atau yang tidak jelas halal atau haramnya.

Ketujuh : Perhatikan setiap tingkah lakumu supaya dikuasai akhlak Islam. Sebaliknya, jadilah Muslim contoh yang akan membawa kebaikan kepada manusia lain. Sesungguhnya, engkau akan beroleh pahala seperti orang yang mendapat hidayah kerana kebaikanmu.

Kelapan : Tanyakan dirimu adakah setiap saat dan sepanjang hayatmu dipergunakan untuk menuntut serta menambah ilmu khasnya ilmu Islam itu sendiri.

Perhatikan maksud hadis berikut : "Pelajarilah ilmu! Dalam mempelajarinya kerana Allah akan menambah takwa; menuntutnya ibadah, muzakarah menjadi tasbih, membahas menjadi jihad dan mengajarkannya menjadi sedekah. Mewariskannya kepada ahli keluarga menjadi ibadah qurban. Ilmu itu menunjukkan perbezaan halal dan haram. Juga menjadi lampu isyarat dijalanan ahli Syurga. Ilmu menjadi teman keseorangan, menjadi sahabat kepada perantau, dan menjadi penghibur dalam suka dan duka. Juga menjadi senjata berhadapan dengan musuh, dan perhiasan dalam persahabatan. Dengan ilmu juga Allah mengangkat darjat Muslim untuk memimpin setiap insan."
(Hadis Riwayat Ibnu Adil Barri)

Kesembilan : Sejauh mana telah engkau bulatkan hati untuk sentiasa melaksanakan tuntutan syarak serta sentiasa berada dalam tanggungjawab mengutamakan kehidupan Islam atas kepentingan-kepentingan lain.

Kesepuluh : Usah dilupakan hak jasad. Kesihatan dan kekuatan fizikal wajib dipelihara. Ingatlah! Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari Mukmin yang lemah. Hindari diri dari kerja yang meletihkan dan merosakkan ketangkasan badan. Oleh itu bersederhanalah dalam bekerja dan makan-minum.

Sahabatku,
Jadikanlah sepuluh perkara diatas sebagai KPI untuk muhasabah diri yang mesti berjalan setiap masa dan saat selagi denyutan nadi kalian berfungsi bukan hanya berjalan dalam waktu tertentu sahaja.

Ingatlah! Kalian semua harapan Islam untuk membawa risalah yang mulia ini dan untuk memakmurkan alam dan membawa kebahagiaan dalam kehidupan insan. Berhati-hatilah dalam menghadapi cabaran baru yang mendatang!

Sunday, August 29

puasa yang indah

Subhanallah, Alhamdulillah, Laillahailallah, Allahuakhbar!

Sungguh Maha Pengasihi dan Maha Penyayang Allah,
Sebesar-besar kegembiraan bagi diri ini ketika ini,
Dengan izinya dapat kita bersama kembali dalam tautan hati yang sama-sama berhajatkan hidayah dan keredhaan Allah.

Suatu petang yang kian pantas bergerak ke hujung Ramadhan...
Seorang ibu separuh usia duduk menjahit pakaian bersama lima anak gadis remajanya. Mereka tekun membaca pelbagai judul buku mengikut pilihan masing-masing dan telah dipastikan bermanfaat oleh si ayah. Gadis yang bongsu berumur sekitar 11 tahun bertanya, " Semua yang ibu jahit ini baju raya untuk kami kah ibu?" "Yang warna biru muda ini, tentu untuk Cik kan ibu?" tangan lembut gadis manja berumur 12 tahun sambil menarik sehelai baju bercorak bunga-bunga kecil dari sisi ibunya.

"Angah punya tentu yang ungu ni,"gadis manis yang paling pendiam pun dengan pantas menunjukkan sehelai baju tergantung kepada gadis paling sulung. Masing-masing berebut membelek baju yang sedang ibu mereka siapkan. "Sabar dulu semua anak-anak ibu..., memang semua baju ini untuk kamu. Tapi dengan satu syarat!", Si ibu merenung kelima-lima anak gadisnya dengan lembut.

"Syarat apa pula ibu? Kan selalunya. kami rajin berpuasa, ibu beri kami peluang untuk memilih baju mengikut corak yang kami sukai..." Anak gadis ketiga memberanikan diri membela hak adik-beradiknya. "Alhamdulillah, anak-anak ibu memang baik, taat kepada Allah. Cuma ibu ingin kita pastikan kita semua menyempurnakan puasa seperti yang Allah kehendaki. Nanti di akhirat pun kita boleh peroleh ganjaran. Tidaklah hanya gembira di dunia saja." Si ibu menerangkan niat sucinya.

"Oo gitu..." kelima-lima gadis solehah manjawab serentak. "Semalam ada ayah beritahu kami macam mana sepatutnya puasa yang sebaik-baiknya." gadis ketiga cuba memulakan penjelasan.
"Boleh semua sama-sama jelaskan pada ibu, apa yang telah ayah beritahu?" Si ibu cuba menduga ketajaman fikiran dan ingatan anak-anak kesayangannya.
Setiap seorang daripada anak-anak gadis solehah tersebut menjelaskan semula apa yang ayah mereka terangkan...

Anak pertama: :"Hati seorang mukmin mestilah puasa dari rasa sombong dan ujub. Juga berpuasa dari segi iri hati dan dengki. Semua amal kita musnah jika dalam hati terdapat sifat hasad dengki. Rasulullah SAW pernah memberitahu perihal seorang sahabatnya yang tergolong menjadi penghuni syurga. Apabila ditanya tentang amalanya, dia menjawab, "Saya tidak tidur jika dalam hati ada rasa dengki, iri hati dan khianat. Iri hati dan dengkiakan menghalang kita masuk syurga."

Anak kedua:"Lidah juga mesti berpuasa! Puasa lidah adalah dengan terdiamnya lidah dari berbohong, dusta, mencela, mengumpat, dan menyebar fitnah. Juga memperkatakan perkara-perkara yang tidak baik di dengar. Kita mesti ingat lidah boleh menghantar kita ke syurga jika digunakan untuk zikrullah. Sebaliknya jika lidah digunakan untuk menyebut perkara yang dimurkai Allah, ia akan menjuruskan kita ke neraka. Nauzubillah!"

Anak ketiga: "Mata juga mesti berpuasa. Malahan mesti sentiasa tunduk dan dipalingkandari melihat perkara dilarang Allah. Apabila pandangan dijaga, hati akan gundah gulana. Pernah yang tidak seorang alim berkata, "Aku pernah terlihat perkara yang dilarang, al-Quran yang telah aku hafaz selama 40 tahunhilang dari ingatan...Ingatlah! jika mata dibiarkan sebebasnya ia akan membawa hati kepada kehancuran!"

Anak keempat: "Telinga orang mukmim juga ikut berpuasa. Telinga orang yang berpuasa mesti dijauhkan daripada mendengar perkataan-perkataan jahat dan keji. Telinga mesti digunakan untuk mendengar ucapan yang baik dan nasihat berguna."

Anak kelima: "Sememangnya sewaktu berpuasa perut menahan lapar hingga waktu berbuka. Apabila berbuka, perut hendaklah diisi secara sederhana dan tidak berlebihan. Makanan yang mengisi perut mestilah halal. Begitulah hakikatnya berpuasa yang Allah kehendaki. Tidak ada yang lebih mengetahui sama ada kita betul-betul berpuasa atau sebaliknya."

"Alhamdulillah... anak-anak ibu sudah ciri-ciri puasa yang Allah tuntut. Itu lebih indaj daripada baju cantik yang ibu jahit ini. Apabila ibadah puasa kita sempurnakan dengan sebaik-baiknya, takwa akan memenuhi hati kita. Takwa itulah sebenarnya pakaian cantik untuk orang beriman. Kejayaan sepanjang berpuasa itulah yang akan mengindahkan Syawal yang dinanti-nantikan." Si ibu mengakhiri sambil mengusap lembut kepala anak gadisnya yang bongsu.


ni saya copy dari

SEJARAH PARTI POLITIK (PAS)









Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu
persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.

Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.

Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.

Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.

Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari
matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,

”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.

Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.

PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.

Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.

Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.

1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2
Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3
Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4
Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5
Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple Unive
rsity, h. 25-28.

Rujukan: Tulisan Jabatan Arkib PAS
Rabu 23 July 2008


sumber-blog ni

Friday, August 27

Redha ALLAH | perbaiki akhlak |


Allah s.w.t. menciptakan manusia berpasang-pasangan lelaki dan perempuan, supaya mereka dapat berkenal-kenalan dan mencari pasangan yang sesuai untuk membina ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak. Islam menggalakkan umatnya berkahwin supaya melahirkan zuriat keturunan umat Islam yang ramai, dari sinilah terbinanya keluarga-keluarga masyarakat Islam dan seterusnya kearah pembinaan Daulah Islamiyyah.


Walaubagaimanapun, sebelum ikatan perkahwinan berlaku, Islam memandang serius pergaulan bebas lelaki perempuan tanpa batas ketika menjalani hubungan sosial atau mencari pasangan untuk teman hidup. Perbuatan ini di larang keras kerana ianya boleh membawa kepada perbuatan zina, sedangkan zina adalah perbuatan yang sangat di kutuk oleh Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat"
(Surah Al-Israak ayat 32)


Allah s.w.t. melarang menghampiri perbuatan zina adalah bermaksud sebarang bentuk unsur-unsur maksiat seperti menonton wayang, menari dan menyanyi, bersiar-siar berdua-duaan dan berpimpinan tangan atau perbuatan-perbuatan yang seumpamanya. Perhubungan melalui mms, sms, e-mail atau telefon sekiranya berlebih-lebihan dan boleh menimbulkan fitnah atau menimbulkan rasa berahi atau syahwat juga di larang.


Menutut kaedah usul fikh "matlamat tidak boleh membersihkan jalan" walaupun mungkin matlamatnya murni untuk taaruf dan mengenali hati budi masing-masing sebelum berumah tangga, tetapi apabila caranya tidak syarak maka ianya tidak di benarkan.


Mengikut hukum Islam, berpandangan muka antara lelaki dan perempuan bukan muhrim atau suami isteri adalah haram. Kalau terpandang seimbas lalu sahaja tidak mengapa tetapi apabila di ulang lalu berpandangan maka ianya di larang.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Katakan (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan."
(Surah An-Nur ayat 30)


Ahli-ahli tafsir menerangkan bahawa di antara memandang yang haram bagi lelaki itu termasuk memandang perempuan yang bukan muhrim dan bukan isterinya. Memelihara kehormatan diri ialah mengawal diri dari melakukan zina. Ayat tersebut juga memberi kefahaman bahawa perbuatan zina berpunca daripada memandang wanita yang bukan muhrim dan bukan isteri.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.."
(Surah An-Nur ayat 31)


Pada ayat ini pula di tujukan kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka juga menyekat pandangan mereka daripada melihat yang haram (termasuk memandang lelaki yamg bukan muhrim atau bukan suaminya), bahkan juga menjaga kehormatan mereka daripada melakukan zina dan seumpamanya.


Perempuan juga di wajibkan menutup seluruh tubuhnya (menutup aurat) kecuali muka dan dua tapak tangan terutama bila berpergian keluar rumah.


Terdapat suatu kisah iblis bertemu dengan Nabi Musa :
" Suatu hari iblis datang bertemu Nabi Musa dengan memakai kopiah yang bersambung dengan baju sekali serta warna-warni. Apabila telah dekat dengan Nabi Musa, iblispun membuka kopiah itu. Kemudian ia mendekati Nabi Musa dan memberi salam,
"Assalamualaikum ya Musa!"


Nabi Musa a.s. menyahut : "Siapa engkau?"


Iblis menjawab : "Aku iblis"


Nabi Musa lalu berkata : "Engkau tidak di beri penghormatan oleh Allah. Mengapa engkau datang ke mari?"


Iblis menjawab : "Aku datang untuk mengucapkan selamat kepada engkau, kerana kedudukan engkau dan tempat engkau di sisi Allah."


Nabi Musa selanjutnya bertanya : "Apakah yang aku lihat di kepala engkau itu?"


"Ini kopiah, untuk aku gunakan bagi menarik hati anak Adam," jawab iblis.


Nabi Musa a.s. selanjutnya bertanya : "Bagaimanakah engkau selalu berjaya mempengaruhi manusia?"


Iblis menjawab ; "Aku berjaya kerana manusia itu menghairani dirinya (ujub), merasa banyak amalnya dan lupa akan dosanya."


Iblis selanjutnya mengingatkan Nabi Musa a.s. tiga perkara :


Pertama : Engkau jangan berada di tempat sepi (berdua-duaan) dengan wanita yang tidak halal bagi engkau.
"Apabila seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita yang tidak halal baginya, maka akulah temannya. Aku akan goda lelaki itu dengan wanita tersebut dan goda wanita itu dengan lelaki tersebut," kata iblis.


Kedua : Engkau jangan berjanji dengan nama Allah sesuatu perjanjian kecuali engkau tepati janji itu.


Ketiga : Engkau tidak akan jadi mengeluarkan sedekah, kecuali engkau laksanakan terus.
"Sesungguhnya seseorang yang berniat hendak mengeluarkan sedekah, tidak jadi hendak melaksanakannya kerana aku menjadi temannya. Aku halangi dari menepati janji sedekahnya itu,"terang iblis.


Selepas itu iblis pun meninggalkan tempat tersebut dengan rasa kesal kerana perkara-perkara yang menakutkan anak Adam itu telah di ketahui oleh Nabi Musa a.s.


Dari Abu Hurairah katanya, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Tiap-tiap anak Adam (manusia) itu mempunyai bahagian dari zina. Dua matanya berzina iaitu dengan memandang (yang di haramkan). Dua tangannya berzina iaitu dengan memegang. Dua kakinya berzina iaitu dengan berjalan. Mulutnya berzina iaitu dengan mencium. Dan hatinya bercita-cita atau berangan-angan, dan ia dibenarkan oleh kemaluannya atau didustakannya."
(Hadis Riwayat Muslim)


Pengajaran yang boleh kita ambil iktibar berdasarkan ayat-ayat Allah s.w.t, hadis Nabi s.a.w dan kisah pertemuan Nabi Musa dengan iblis, kita hendaklah berhati-hati di dalam setiap amalan, tindakan , pergaulan dan perhubungan di antara lelaki dan perempuan.Islam meletakkan peraturan yang cukup jelas didalam bab munakahat (cara-cara pemilihan jodoh,perhubungan sebelum berkahwin dan selepas berkahwin, perhubungan suami isteri, urusan anak-anak dan lain-lain lagi) ,muamalat, ekonomi dan dalam bidang-bidang yang lain.


Letakkanlah Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w di hadapan kita, tanda kita beriman kepada Allah sw.t dan rukun-rukun iman yang lain dan gunakanlah sepenuhnya panduan ini yang akan membawa kita kejalan yang lurus dan di redhai Allah s.w.t. di dunia dan akhirat.

Ramadhan | kejayaan umat islam |

Sahabat yang dikasihi,
Ramadhan adalah bulan yang mulia disisi Allah s.w.t. Kehadiran Ramadhan umat Islam diwajibkan berpuasa dan melaksanakan ibadah dengan penuh kusyuk semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t.

Namun begitu dibulan Ramadhan ini juga mengandungi rahsia kejayaan Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat dan juga para mujahid Islam dalam usaha untuk mengembalikan balik kedaulatan dan hukum-hukum Islam. Islam hanya mampu dihayati sepenuhnya apabila wujud Daulah Islamiyyah.

Perlulah kita memahami bahawa kewajipan berpuasa dengan kewajipan berjihad tidak ada bedzanya. Malah puasa yang sedang mereka lakukan benar-benar menjadi penguat ruhiyah yang jauh melebihi kekuatan fizikal. Semasa berpuasalah semangat jihad dan pengorbanan akan terbentuk didalam hati dan jiwa orang Mukmin.

Terdapat beberapa peristiwa dalam sejarah Islam, kejayaan umat Islam berjaya dalam jihad dan peperangan ketika berhadapan dengan tentera kuffar ianya berlaku didalam bulan Ramadhan. Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

1.Perang Badar al-Qubra :
Dengan pertolongan Allah Rasulullah dan sahabat-sahabat telah berjaya mengalahkan pasukan kafir Quraish meskipun secara fizikal dan material memihak kepada Quraish.

Perang Badar al-Kubra adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadhan. Perang itu berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua hijrah, menyaksikan pertembungan antara tentera Islam yang disertai 313 orang dengan bala tentera kafir Musyrikin seramai 1,000 orang.

Jumlah tentera yang tidak seimbang itu menyebabkan Rasulullah berdo'a kepada Allah sambil bermunajat: "Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika Jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini."

Baginda terus berdo'a sehingga selendangnya jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah seraya berkata: "Wahai Nabi Allah! Cukuplah do'amu itu kepada Allah. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu."

Selepas itu, turun wahyu yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): 'Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut."
(Surah al-Anfal ayat 9)

Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan do'a dalam kehidupan Muslim. Setiap Muslim dituntut berdo'a hanya kepada Allah. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba dhaif. Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Kepada-Nya setiap Muslim bergantung harapan dan memohon bantuan sebagaimana mafhum daripada surah al-Fatihah yang diulang-ulang sekurang-kurang 17 kali sehari semalam maksudnya: "Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan."
(Surah al-Fatihah, ayat 5)

Maka tidak hairan Baginda sentiasa menggalakkan umat Islam agar tidak putus-putus berdo'a kepada Allah dalam semua keadaan tidak kira pada masa senang atau susah, kaya atau miskin dan seterusnya. Baginda pernah bersabda maksudnya: "Do'a adalah senjata Mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi."
(Hadis riwayat Abu Ya'la)

2. Perang Khandak :
Pada bulan Ramadhan tahun 5H pula, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat melakukan persiapan untuk Perang Khandak. Persiapan dilakukan dengan menggali parit (khandak) di sekeliling kota Madinah. Taktik yang diusulkan oleh Salman Al-Farisi ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini. Peperangan Khandak akhirnya terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah dengan kemenangan berpihak kepada kaum Muslimin setelah Allah menurunkan bantuan-Nya.

3. Pembukaan Kota Mekah :
Satu lagi peristiwa penting berlaku pada 21 Ramadhan 8H yakni Fathul (pembukaan) Mekah. Rasulullah s.a.w. keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Mereka berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukaddid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum Muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Peristiwa penting ini telah menyaksikan berapa ramai dari para sahabat khasnya golongan Muhajirin menitiskan air mata gembira kerana kejayaan mereka menawan¡ kembali kota yang dulunya menjadi tempat mereka dihina dan disiksa di dalam perjuangan menegakkan agama Allah.

Kisah yang terjadi pada 10 Ramadhan tahun ke-8 Hijrah adalah Pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah) di mana umat Islam telah berjaya menakluki Mekah dan ia merupakan kejayaan yang terbesar kepada umat Islam apabila berjaya menguasai Mekah dan Madinah sekaligus menjadikan kedua-duanya sebagai pusat yang penting bagi Daulah Islamiyyah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w.

Kejayaan umat Islam pada waktu itu bukan sahaja dapat menakluki Mekah, bahkan hasil penaklukan kota Mekah itu telah menyebabkan penduduk Mekah yang dahulunya kafir telah berbondong-bondong memasuki agama Allah s.w.t. Ini terkandung di dalam Al-Qur'an iaitu pada Surah An-Nasr ayat 1 hingga 3.
Firman Allah s.w.t maksudnya :
"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah)
Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan padaNya, Sesungguhnya, Dia Maha Penerima Taubat".

Ayat ini jelas menceritakan kisah Fathul Makkah (pembukaan Kota Mekah) dan dalam ayat ini juga, Allah s.w.t. menyeru agar hamba-hambaNya bertasbih kepadaNya apabila beroleh kemenangan sebagai tanda mensyukuri atas nikmat yang diberikan. Seperti yang kita sedia maklum, kita juga akan bertasbih, bertakbir dan bertahmid meraikan hari kemenangan seperti pada Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha khususnya.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi telah berkata,
"Ianya satu pembukaan teragung yang dengannya Allah memuliakan agamaNya, RasulNya, tenteraNya dan partiNya yang beramanah, dengannya juga Allah telah menyelamatkan negeri-negeri-Nya dan rumah-Nya yang telahpun ditetapkan sebagai tempat hidayah untuk seluruh alam, menyelamatkan dari tangan-tangan kafir dan musyrikin, ianya pembukaan yang turut bergembira olehnya penghuni-penghuni langit, lanjutan kemuliaannya melimpah ke angkasa cakerawala hingga dengannya maka berduyun-duyunlah manusia menganut agama-Nya, hingga dengan-Nya wajah bumi terukir seribu senyuman mekar".

4. Tentera Islam mendarat di Pantai Andalusia (Sepanyol)
Pada bulan Ramadhan tahun 91H, pasukan tentera Islam mendarat di selatan Pantai Andalusia (Sepanyol) dan terus berjihad. Kemudian pada Ramadhan tahun berikutnya Panglima Thariq bin Ziyad berjaya mengalahkan Raja Roderick.

5. Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib :
Ramadhan 584H pula menyaksikan Panglima Islam yang terkenal, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Oleh kerana bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba, tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas benteng Shafad yang kuat.

6. Tentera Islam mengalahkan tentera Mongol :
Seterusnya dalam bulan Ramadhan 658H, tentera Mongol berjaya dikalahkan di Ain Jalut dan Palestin kembali ke tangan kaum Muslimin.
Banyak lagi peperangan lain yang berlaku di masa Rasulullah dan juga para khulafa' semasa bulan Ramadhan yang tidak dapat diungkapkan di sini. Catatan sejarah membuktikan kepada kita bahawa bulan Ramadhan bukan sahaja dipenuhi dengan ibadah khusus tetapi juga penuh dengan perjuangan untuk menyebarkan agama Allah dan meninggikan syiar Islam.

Beberapa peristiwa yang tercatit juga menunjukkan betapa Rasulullah s.a.w. dan para khalifah sentiasa berusaha menyebarkan rahmat Allah di muka bumi dengan jalan dakwah dan jihad meskipun mereka dalam keadaan lapar dan dahaga. Mereka tidak rela melihat dan membiarkan umat Islam terus berada di bawah kekuasaan musuh mereka. Mereka sentiasa memerangi kaum kuffar demi menjaga nasib umat Islam dari ditindas dan diancam oleh musuh Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu apakah kita sebagai umat Islam saat ini terfikir akan nasib yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, Afghanistan, Khasmir, Selatan Filipina (Philipine) dan Selatan Thailand yang sedang ditindas dan mereka menjalani kehidupan yang sukar dan terpaksa mempertahankan maruah diri untuk mempertahankan negara mereka yang diceroboh oleh tentera kuffar. Penderitaan ini yang datang berpanjangan adalah kerana umat Islam telah kehilangan Khalifah Islamiyyah sejak jatuhnya Khalifah Islamiyah di Turki pada 3 Mac 1924 hinggalah kini.

Sudah 82 tahun Khilafah Islamiyah (Daulah Islam) dihancurkan oleh musuh-musuh Allah dengan kerjasama oleh sang pengkhianat dari pemimpin-pemimpin umat Islam sendiri. Sekarang ini, muncul pula para pengkhianat lain yang mewarisi dan mempertahankan negara masing-masing yang telah dihadiahkan oleh penjajah kuffar.

Mereka bersungguh-sungguh mempertahankan negara masing-masing walhal apa yang sepatutnya mereka pertahankan ialah Islam dan umatnya. Mereka takutkan musuh Allah, Amerika dan sekutunya, walhal apa yang sepatutnya mereka takutkan ialah Allah dan azabNya. Mereka mencari perlindungan, kemuliaan dan kekuatan dari orang-orang kafir yang jelas-jelas merupakan musuh Allah dan musuh mereka sendiri, walhal sepatutnya mereka mencari kemuliaan dan kekuatan dari Allah. Mereka menjadi lemah dan pengecut dan tunduk kepada kaum kuffar, walhal Allah s.w.t. berfirman maksudnya : "Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, RasulNya dan bagi orang-orang Mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui¡¨
(Surah Al-Munafiqun ayat 8).

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita mengambil iktibar di sini bahawa bulan Ramadhan bukan sahaja dituntut kita mengerjakan ibadah puasa sahaja tetapiAlign Left dan melahirkan hubungan iman kita dengan Allah tetapi ibadah puasa juga bertujuan memberi keyakinan kepada kita bahawa perlu dikembalikan balik Daulah Islamiyah dan meletakkan Islam sebagai satu kuasa yang dapat memerintah dan Islam pastinya akan beroleh kejayaan sekali lagi seperti zaman kegemilangannya sebelum ini. Hanya Allah yang mengetahui masanya. Alangkah indahnya jika kita dapat hidup mengikut syariat Islam di dalam semua kehidupan kita dan Islam dapat dikembalikan ditempatnya yang sebenarnya.


888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888

huhu...

Friday, August 20

Nasihat Nabi

Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Aku menasihatkanmu;

* Kamu hendaklah bertakwa kepada Allah kerana Ianya sumber segala amalan.

* Utamakanlah bacaan al-Qur'an dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut dilangit dan sebabkan nur dipermukaan bumi.

* Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu akan ditolong tentang urusan-urusan agamamu.

* Janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan lenyap.

* Utamakan jihad kerana itulah kebanggaan umatku.

* Hendaklah mengasihi orang-orang miskin dan mengauli mereka.

* Dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu.

* Janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang Ia kurniakan kepada kamu.

* Hendaklah mengukuhkan silaturahim dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka denganmu.

* Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit.

* Jangan sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama Allah.

* Carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghebuhkan keaiban orang lain.

* Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirimu sendiri.

Wahai Abu Zar,

* Tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya,

* Sebaik-baik takwa ialah menjauhi segala larangan dan

* Tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna."

Pengajarannya :
Berdasarkah hadis di atas yang diriwayatkan oleh Abu Zar r.a, Nabi s.a.w telah menjelaskan beberapa perkara mengenai ciri-ciri akhlak Islam dan amal soleh yang perlu ada pada diri seorang Mukmin. Walaupun nasihat ini ditujukan kepada sahabat baginda (Abu Zar) tetapi sebenarnya ia adalah ditujukan untuk semua umat Islam untuk mencapai tahap akhlak Islam dan amal soleh yang sempurna. Sekiranya kita fahami dan melaksanakan apa yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w, insya Allah kita akan menjadi Mukmin yang sempurna dan memiliki peribadi yang mulia.

Wednesday, August 18

muhasabah fasa 1 ramadhan | permulaannya Rahmat |

Sahabat yang dirahmati Allah,
Masa berjalan begitu cepat sekali, sekarang ini kita telah berada pada hari ke lapan puasa Ramadhan. Kita masih di fasa pertama iaitu 'permulaannya rahmat'. Marilah kita bermuhasabah dan menilai ibadah puasa yang dilaksanakan dan adakah segala pengisian Ramadhan kali ini dapat kita penuhkan dengan aktiviti ibadah atau masa berlalu begitu saja tanpa kita pergunakannya sebaik mungkin?
Amalan seorang Mukmin adalah hari ini lebih baik dari semalam dan amalan hari esok lebih baik dari hari ini. Setiap hari amalannya meningkat dan lebih berkualiti.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah s.w.t."

Sahabat yang dimuliakan,
Pergunakanlah masa yang Allah berikan pada kita dengan sebaik mungkin. Jika kita terlepas Ramadhan kali ini, tidak ada peningkatan dan perubahan dari Ramadhan sebelumnya maka kita akan mendapat kerugian. Kita belum pasti samaada Ramadhan tahun hadapan kita akan bertemu lagi kerana kematian seorang anak Adam itu akan datang bila-bila masa. Ada dikalangan sahabat-sahabat kita telah kembali menemui Allah s.w.t belum sempat menikmati kehadiran Ramadhan tahun ini.

Permulaan fasa pertama ini adalah Allah s.w.t memberi rahmat-Nya kepadahamba-hamba-Nya yang berpuasa. Rahmat bermaksud kasih sayang Allah. Apabila Allah s.w.t kasih pada seseorang hamba itu Dia akan memberikan :

1. Kerseonokkan dalam mengerjakan ibadah dan memperbanyakkannya.
2. Meningkat iman dan taqwanya kepada Allah s.w.t.
3. Bertambah ilmunya , cinta untuk menuntut ilmu dan diberi kemampuan untuk melaksanakan ilmu tersebut.
4. Bertambah cinta dan kasihnya pada Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
5. Bertambah kasihnya kepada alim ulama' yang memberikannya ilmu.
6. Diberi oleh Allah kefahaman tentang agama.
7. Memiliki kekuatan untuk beristiqamah di jalan Allah s.w.t.
8.Merasa gelisah apabila hari berjalan tanpa memberi sedekah, tidak membaca al-Qur'an, meninggalkan qiyamulail dan solat terawih.

Adakah kalian telah memiliki ciri-ciri rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t?

Jika ada alhamdulillah, jika belum ada maka kalian kena muhasabah balik dimana kelemahan dan kekurangan diri kalian hinggakan rahmat Allah s.w.t belum kalian miliki sedangkan lapan hari puasa telah berlalu.

Sahabat yang dihormati,
Betapa rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya yang berpuasa, dijauhkan oleh Allah s.w.t dari siksaan api Neraka.
Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya,Rasulullah s.a.w bersabda:"Setiap orang yang puasa satu hari keranaAllah, maka Allah akan menjauhkannya dari Neraka sejauh 70 000 musim."
(Hadis Riwayat Muslim)

Ganjaran puasa pula akan diberikan sendiri oleh Allah s.w.t dan malaikat pencatat amal tidak tahu berapa banyak ganjaran yang hendak diberikan kepada manusia.

Nabi s.a.w pernah bersabda maksudnya : "Semua amal anak Adam a.s. dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah s.w.t. dan Dia akan terus memberikan pahala kepada sekelian"
(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi s.a.w pernah bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata dusta (bohong semasa berpuasa) maka Allah s.w.t.tidak berhajat padanya untuk meninggalkan makan minumnya."
(Riwayat Bukhari)

Allah s.w.t Maha Pemurah dan Maha Penyayang menjanjikan dua kegembiraan untuk orang yang berpuasa iaitu satu di dunia dan satu lagi dihari akhirat :
Nabi s.a.w pernah bersabda: "Bagi orang yang melaksanakan ibadah puasa, baginya ada dua saat kegembiraan.Pertama pada waktu berbuka dan kedua ketika menghadap Ilahi"

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita buat senaraikan beberapa amalan-amalan yang perlu kita laksanakan dibulan Ramadhan ini untuk mendapat taqwa dan redha Allah :

1. Membaca al-Qur'an dan melihat terjemahannya.
2. Solat fardu berjemaah dimasjid atau surau.
3. Solat terawih dan witir berjemaah di masjid atau disurau
4. Qiyamulali (solat tahajjud, hajat, taubat, istiqarah)
5. Membanyakkan solat sunat sebelum dan selepas solat fardu dan solat dhuha.
6. Bersedekah kepada fakir miskin, anak yatim , sekolah agama dan masjid.
7. Sentiasa berwudhuk
8.Menjamu orang berpuasa .
9. Berzikir kalimah tayyibah (zikir tahlil)
10. Membaca zikir al-Mathurat lepas subuh dan lepas asar (himpunan zikir-zikir Nabi s.a.w).
11. Menghadirkan diri di majlis ilmu dan tazkirah.
12. Berselawat kepada Nabi s.a.w.
13. Banyakkan berdo'a.
14. Segerakan berbuka dan mulakan dengan buah tamar dan
15. Melewatkan makan sahur.

Marilah sama-sama kita perelokkan ibadah puasa kita dengan memperbanyakkan amal ibadah, amal soleh dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Jika kita sentiasa istiqamah dengan perkara-perkara yang meningkatkan iman dan hubungan hati kita dengan Allah, maka ibadah puasa kita akan menjadikan kita Mukmin yang bertaqwa. Kita akan rugi jika di dalam fasa pertama ini kita tidak memperolehi rahmat daripada Allah s.w.t.

Laut dan Dakwah – Sebuah Refleksi Jiwa

Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...