HATI KAYA CINTA



Wahai setiap hati dan diri yang dikasihi kerana Allah,

Ketahuilah sesungguhnya kesejahteraan hidup insan berlangsung secara harmoni dengan adanya limpahan cinta kasih Ilahi. Limpahan dan curahan kasih Ilahi itu pula fitrah semulajadinya yang memenuhi ruang kosong dalam hati. Jika hati yang pada awalnya bersih dan kosong diisi dan dicemari hasad dengki dan dendam kesumat, maka cinta kasih Ilahi akan terhalang dari menyelinap masuk. Maka hati akan rosak dan membusuk...akan musnahlah kebahagiaan hakiki.
Hakikat ini sangat penting kita fahami dan hayati. Dengannya akan terpelihara kesejahteraan hidup insan.

Atas dasar cinta kasih Ilahi jugalah semua makhluk diberi fitrah masing-masing. Cintalah yang menyebabkan seluruh planet bergerak pada garis edarnya. Dengan cinta, jiwa manusia berasa sangat beruntung kerana wujud pengharapan. Puncak kebahagiaan insan tercapai apabila seluruh kecintaan hati diasaskan kepada mencintai Allah dan Rasulullah.

Perhatikan dengan teliti perumpamaan ini...
Cinta itu laksana pohon dalam hati. Akarnya adalah kepatuhan kepada kekasih yang dicintai sepenuh hati. Dahannya adalah mengenali dan memahami kehendak Allah. Rantingnya pula adalah ketakutan kepada murka Allah. Manakala daunya adalah malu kepada Allah. Buahnya ialah ketaatan. Sementara air dan baja adalah zikrullah.

Begitulah hati yang dimiliki hamba kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah pula akan mentautkan antara hati hamba-hamba yang mentaatiNya dengan perasaan saling mengasihi sesama saudaranya. Perasaan ini merupakan puncak tertinggi kasih yang diredhai Allah. Inilah bentuk cinta kasih yang membawa manfaat dan kesejahteraan hidup insan. Jika kecintaan tulus dikotori dengan bisikan syaitan dan desakan nafsu, maka bencana kesengsaraan akan menjerumuskan kita ke lembah maksiat. Nauzubillah!

Wahai setiap diri yang diperhati...
Ketahuilah juga orang yang hatinya kaya dengan cinta kasih Ilahi pasti mampu mendorong orang lain juga untuk turut mentaati Allah dan Rasulullah. Inilah yang dimaksudkan diri kalian selaku 'khair al-nas' - sebaik-baik manusia yang membawa manusia lain kepada manusia lain. Sesungguhnya semua ini tidak berakhir setakat di dunia sahaja. Malahan akan diberi perhatian oleh Allah dalam perhimpunan di akhirat kelak. Setiap mukmin yang berkasih sayang kerana Nya dan dalam mentaati titah perintahNya akan diseru berhimpun di bawah lindungan Allah.

Daripada riwayat Hassan, Rasululullah SAW ada bersabda; "Umatku masuk syurga bukan kerana banyak solat dan puasa, tetapi disebabkan selamatnya hati, kemurahan jiwa dan kasih sayang kepada sesama Muslim."

Lantaran begitu besar ganjaran dari cinta kasih Ilahi, maka berdoalah semoga kalian sentiasa tergolong sebagai hamba-hambaNya yang memiliki hati yang kaya cinta kasih Ilahi. Juga berusahalah meneguhkan ikatan ukhwah dan mahabbah di jalan Allah. Keteguhannya dapat ditingkatkan dengan tertingkanya iman dan taqwa. Jika benar cinta kasih Ilahi yang memenuhi hati kita, pastinya kita sentiasa taat kepada kekasih yang ditaati! Iaitu Allah Rabbul Izzati.

Comments

Popular posts from this blog

نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول

Sajak Perjuangan - RASULULLAH SUNGGUH MULIA