Hati Cemas si Ayah



Dalam kesempatan berziarah sanak-saudara beberapa bulan lalu, bermalam dirumah seorang bapa saudara. Anaknya ramai, seramai sepuluh orang. Lima daripadanya masih bersekolah. Tapi kebetulan dengan cuti minggu pertama semua anaknya pulang kerumah orang tua mereka. Senyum mula terukir lebar di bibir kedua orang tuanya ketika menyambut kepulangan anak-anak yang tersayang.
Maka terciptalah suasana yang lebih riuh dan begitu meriah sekali. Selain lima orang anaknya yang masih bersekolah itu memang setia menjadi periuh dan pemeriah rumah. Tumpang terhibur melihat kehidupan ceria bapa saudara dan isteri serta anak-anak mereka.
Waktu menjelang subuh hari kedua di rumah itu, terdengar suara si ayah mengejutkan anak-anaknya bangun. Bukan mahu disuruh melakukan apa-apa, cuma bangun menunaikan solat subuh. Itu sahaja. Bangun menyempurnakan tanggungjawab kepada Allah yang telah dikhaskan waktunya sedari terbit fajar sadiq sampai sebelum menjegah sang mentari.
Entah keberapakali, seruan awal tidak berjaya menguak pelupuk-pelupuk mata yang tertutup kemas. Hinggalah terdengar di biasan telinga, antara jelas dengan tidak si ayah bernada sedikit mengeluh. Kiranya bukanlah keluhan penyesalan. Barangkali sekadar membangkitkan keinsafan, agar keinsafan itu pula membangkitkan sedikit pengertian di tabir hati anak-anak apa yang sedang dirasai oleh sang ayah.
“Bangunlah, sembahyang. Esok (maksudnya di akhirat) teruklah ayah. Nak tanggung beban ayah sendiri, kena tanggung beban kamu lagi,” keluh si ayah bersahut lemah. Terhidu nada kesayuan pada pengucapannya itu.
Terbetik rasa kasihan mendengar butiran perkataan itu. Itulah cemasnya naluri seorang ayah. Selain memikirkan nasib keluarga yang harus diberikan rezeki dia juga terpaksa memikirkan nasib dirinya dihadapan Allah kelak.
Siapa sangka disebabkan anak-anak, di sebabkan isteri langkah tersadung takala menyeberangi titian sirat. Nauzubillah.Beruntung sebenarnya anak-anak yang memiliki ayah seperti ini. Cuma keuntungan itu tidak dapat dikongsi oleh si ayah kalau anak-anak tidak mahu mengerti.
Cemas seorang ayah tidak dihargai. Dalam keadaan begini, walaupuan diletakkan kesalahan kepada anak-anak yang tidak mahu mengerti atau ayah yang mungkin kurang bersunggug-sungguh ‘memengertikan’ anak-anak, sudahnya tetap si ayah jugalah yang terpaksa menjawab segala pertanyaan di hadaapan Allah kelak.
Kerana itu cemas seorang ayah memang patut disuburkan di dalam hati. Mudah-mudahan ia menjadi pendorong untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Tanggungjawab terhadap kelangsungan hidup tidak sekadar meyangkut persoalan makanan, minuman, dan tempat tinggal sahaja. Sekaligus merangkumi persoalan amal ibadah, pahala dan dosa yang bakal diperhitungkan di akhirat kelak. Itulah beratnya beban tugas seorang ayah.

Comments

Popular posts from this blog

Sajak Perjuangan - RASULULLAH SUNGGUH MULIA

نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول