mereka yang sudi

Tuesday, May 10

tanggungjawab mukmin dalam melaksanakan amanah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap muslim akan dipertanggungjawab terhadap segala amalannya di dunia ini. Jika dia berusaha dan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah dan tugas yang dibebankan dibahunya dengan penuh rasa tanggungjawab maka ianya akan meringankan timbangan amal di hari akhirat nanti.

Setiap lelaki muslim dan wanita muslimah mempunyai berbezaan tanggungjawab ketika di dunia ini mengikut bidang dan tugas masing-masing. Kaum lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dan besar berbanding dengan kaum wanita. Dia akan bertanggungjawab kepada isterinya, anak-anaknya, adik perempuannya dan kepada ibu-bapanya.

Amanah adalah satu hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang samada tanggungjawab itu milik Allah (hak Allah) mahupun hak manusia (hak insan) baik berupa pekerjaan mahupun perkataan dan pekerjaan hati.

Pengertian amanah bererti menempatkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, seperti sesuatu kedudukan tidak diberikan kecuali kepada orang yang betul-betul berhak dan yang betul-betul mampu menunaikan tugas dan kewajipannya dengan benar.
Pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat untuk pertanggungjawabkan.

Sabda Rasulullah S.A.W. dari riwayat Al-Bukhari yang bererti : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pemimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga dipimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya."

Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat satu kisah yang telah diceritakan oleh Abdullah Ibnu Dinar: " Pada suatu hari, saya berjalan bersama Khalifah Umar Al-Khatab di Mekah, waktu itu saya bertemu dengan seorang budak pengembala kambing yang sedang mengembala kambingnya.

Kemudian Saidina Umar berkata kepada budak pengembala kambing itu : " juallah kambing itu kepadaku "

Budak itu menjawab :" Kambing ini bukan kambingku, tetapi kepunyaan tuanku ".

Kemudian Saidina Umar sekali lagi cuba menawarnya : " Bukankah engkau dapat mengatakan kepada tuan engkau, bahawa satu di antaranya telah dimakan serigala, dan pasti tuan engkau tidak akan mengetahuinya.

" Tidak, saya tidak mahu, " kata budak itu, " Sesunggguhnya Allah Maha Mengetahui ".

Kemudian setelah mendengar yang demikian, menangislah Saidina Umar dan berkata kepada pengiringnya supaya memanggil tuannya, Saidina Umar telah membeli budak itu lalu dibebaskan oleh beliau, dengan berkata : " Sejak hari ini engkau bebas merdeka di dunia dan engkau akan lapang di akhirat ".

Sabda Rasulullah S.A.W. seperti mana yang telah diberitahu oleh Anas bin Malik yang bermaksud : "Tidak sempurna iman seseorang yang tidak dapat dipercayainya. Dan tidak sempurna agama orang yang tidak menunaikan janji."

Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa' ayat 58 yang berbunyi :
Maksudnya : " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".

Amanah hendaklah diberikan kepada orang yang benar-benar boleh melaksanakannya, kerana menurut hadis Rsulullah S.A.W. dari riwayat Muslim : " Dari Abu Zar, dia berkata : " Saya berkata " : Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya. " Rasulullah bersabda " hai Abu Zar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya.

Dan perhatikan riwayat hadis dibawah ini :
Yazid bin Abu Sufiyan berkata : Telah berkata kepadaku Abu Bakar r.a. diwaktu beliau mengutusku ke negeri Syam : "Hai Yazid ! sesungguhnya engkau mempunyai kerabat, boleh jadi engkau mengutamakan mereka buat memegang kekuasaannya, dan itulah yang aku khuatirkan atasmu, kerana Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bererti :"Barangsiapa menguasai sesuatu dari urusan kaum muslimin, lalu dia memberi kuasa kepada seseorang atas mereka kerana cintanya, maka laknat Allah menimpa atasnya, Allah tidak diterima daripadanya gantian dan tidak pula tebusan, sehingga dia dimasukkan ke dalam neraka jahannam ". (Hadis Riwayat Al-Hakim)

Sahabat yang dihormati,
Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. digambarkan bahawa kemusnahan akan berlaku sekiranya amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya. Hadis tersebut yang bererti : Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., bertanya tentang " bilakah terjadi kiamat ". Rasulullah s.a.w. menjawab : yang bermaksud : " Apabila hilang amanah, tunggulah kiamat itu. Orang itu bertanya lagi : Bagaimanakah keadaan itu berlaku ? jawab Rasulullah s.a.w. : " iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamatnya (kerosakan)."

Untuk memenuhi erti amanah, hendaklah manusia berlumba menunaikan tugasnya dengan tegas dan bersungguh-sungguh serta sebaik-baiknya dalam menyempurnakan satu amanah yang dijunjung tinggi. Islam menyarankan supaya manusia ikhlas bekerja dan suka memperhatikan hak-hak manusia yang diamanahkan kepadanya, tidak memandang ringan tugas yang diamanahkan.

Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan, tidak akan berlaku kiamat yang lebih besar dan yang lebih buruk daripada khianat seorang muslim yang diamanahkan memimpin urusan manusia, tetapi kemudian dia mengabaikannya sehingga semua urusan jadi terbiar dan sia-sia. Oleh itu jangan kita menyalahgunakan kedudukan yang diberikan untuk menarik keuntungan peribadi atau keluarga.

Sahabat yang dihormati,
Memang telah sewajarnya bagi pekerja tanpa mengira pangkat mendapat imbuhan kaji sebagai ganjarannya, tetapi berusaha mencari tambahan kaji atau upah dengan jalan penyelewengan seperti rasuah adalah usaha haram dan berdosa besar.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :"Barangsiapa yang kami angkat menjadi penguasa (pemerintah) untuk mengerjakan sesuatu, dan kami memberi upah menurut semestinya, maka apa yang dia ambil lebih dari upah yang sepatutnya adalah satu kesalahan "
(Riwayat Abu Daud)

Di hari akhirat nanti terdapat empat golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita kerana ketika di dunia ini dia tidak melaksanakan amanah iaitu mendidik mereka dengan ajaran dan akhlak Islam dan tidak memberikan hak kepada wanita . Mereka ialah:

1. Ayahnya.
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik
ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya.
Apabila suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yg bukan mahram apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya. Suami mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya adalah satu kesalahan dan dosa yang mana isteri boleh menuntut haknya di hari akhirat.

3. Abang-abangnya.
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak lelakinya.
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram dari ajaran Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat , mendedahkan aurat dan membuat maksiat sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Oleh itu marilah sama-sama kita tunaikan amanah yang diberikan kepada kita dengan penuh tanggungjawab dan istiqamah, kerana sesungguhnya 'amanah' yang laksanakan dengan sempurna nanti akan menunggu kita ditepi 'Titian Sirat' untuk membantu dan memudahkan perjalanan kita untuk menuju ke syurga Allah S.W.T.

No comments: