mereka yang sudi

Wednesday, October 20

Tarbiyah dan Kompetensi



Di dalam gerak kerja jemaah, unsur tarbiyyah sangat perlu dititik-beratkan oleh kepimpinan kepada ahli-ahli serta struktural organisasi.

Ini menjamin kompetensi dan maintainance serta produktiviti kerja dan ahli berkualiti dan sentiasa bertambah seiring dengan tercapainya matlamat jemaah Islam.

Kealpaan dalam tarbiyah bakal menjuruskan jemaah kepada bibit-bibit perpecahan dan hilang arah akibat jiwa tidak dibasahi dengan panduan rabbani.

Beberapa kesilapan ini pernah diperkatakan oleh seorang tokoh gerakan Islam, Ustaz Mustafa Mahsyur bahawa setiap ahli jemaah tidak boleh cuai dan lalai. Beliau melihat hari ini gerakan dan jemaah Islam banyak melakukan kesilapan berikut:

1. Memberikan tumpuan yang lebih kepada bidang politik dan meringankan aspek tarbiyah. Hal ini berlaku kerana gerakan diatur oleh politik dan terlalu sibuk menghabiskan masa dalam menyelesaikan pelbagai masalah, kemusykilan dan perhitungan.

2. Tidak menyediakan murabbi (penasihat) dan para pelatih. Para murabbi hanya menumpukan kepada peringkat tinggi. Maka menyebabkan mundurlah peringkat rendah. Selain itu, ia berlebihan memberi keutamaan kepada berceramah di merata-rata tempat kerana banyak jemputan hingga melemahkan tugas mereka dalam aspek tarbiyyah.

3. Usrah diubah kepada bengkel semata-mata untuk mengetahui dan bukan untuk mengasah bakat, pembentukan peribadi, dan membina akhlak. Lebih teruk menukarkan medan tarbiyah sebagai tempat untuk menonjolkan diri.

4. Sibuk dengan bidang-bidang lain hingga mengenepikan tugas tarbiyyah. Tarbiyyah tidak boleh diganggu dengan sesuatu walaupun dengan jihad atau memerangi musuh, malah tarbiyyah dalam suasana begini menjadi sangat penting dan diperlukan kerana unsur Iman merupakan keperluan yang dimestikan untuk mendapat sokongan dan pertolongan Allah.

5. Menjalarnya sikap cuai, dan sifat tidak mengapa, semangat tidak terikat dan tidak mematuhi syarat-syarat keanggotaan jemaah dan gerakan. Kesannya akan merosakkan suasana kerja dan merosakkan hasil kerja malah akan membawa pelbagai akibat buruk.

Ujian dan tabiatnya

Seterusnya, kebanyakan ahli-ahli gerakan pada hari ini kurang faham dan bersedia apabila berhadapan dengan ujian yang mencabar jemaah kita. Perkara-perkara seumpama ini haruslah dijauhkan:

1. Adalah satu kesilapan apabila menganggap bahawa ujian bukan merupakan perkara tabi'e (nature) dalam berdakwah, atau merasakan ujian itu merupakan natijah daripada kesalahan yang dilakukan oleh pimpinan.

2. Ragu-ragu dengan memperkatakan bahawa ujian itu dengan mengatakan : "Kalaulah kita berada di jalan yang hak nescaya Allah akan menolong kita, kerana kesalahan kitalah maka musuh mendapat kekuatan lebih dari kita"

3. Juga menjadi satu kesilapan apabila menganggap bahawa ujian yang ditempuhi boleh ditebus (diganti) dengan menggunakan hikmah dan siasah atau 'diplomasi', sedangkan musuh-musuh Islam tidak henti-henti serangan ke atas jemaah dengan tujuan menghapuskan Islam.

4. Berlindung diri dengan memberi sokongan kepada pihak yang zalim dan menyatakan bebas daripada gerakan atau jemaah, seterusnya menghentam dan mengecam jemaah sebagai cara melepaskan diri dari ancaman.

Betapa perjuangan Islam adalah jalan yang panjang dan penuh berliku. Sunnah ujian dan cabaran tidak akan berakhir selagi mana perjuangan itu masih bernafas.

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

No comments: