mereka yang sudi

Tuesday, August 10

ketibaan tetamu | ramadhan |


Salam rahmat dan barakah yang melimpah-ruah! Wahai setiap diri yang sentiasa mengecapi kasih sayang Ilahi... Lihat dan renungilah perjalanan hidup insan hari ini yang terpapar di hadapan mata kita... Berbagai ragam dan corak diiringi isu yang silih berganti. ADAKAH MENEPATI KEHENDAK ALLAH? Kita diberikan Allah keupayaan untuk berfikir. Sewajarnya kita berfikir mengikut neraca kebenaran. hayati maksud firman Allah; "Maha Suci Allah yang di tanganNya segala kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu, yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu siapa di antaramu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun"(QS Al-Mulk:1-2)
Sedarilah! Hakikat keimanan memerlukan kepada bukti pengorbanan dan perjuangan. Jalannya panjang, memenuhi sepanjang hayat. Setiap diri mukmin dalam meniti jalan berliku ini sangat memerlukan perlindungan Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melindungi hambaNya yang berhubung terus kepadaNya, yang bertawakkal kepadaNya, yang berpegang kepada kitabNya dan yang mengikuti sunah NabiNya. Juga pada hakikatnya jalan ke Syurga dipenuhi kesusahan, manakala jalan ke Neraka dihiasi keindahan hawa nafsu. Rasulullah SAW telah menegaskan di dalam sabdanya yang bermaksud;
"Orang-orang mukmin sentiasa di ambang lima dugaan yang susah:
* mukmin yang dengki kepadanya,
* munafik yang benci kepadanya,
* kafir yang memeranginya,
* syaitan yang menyesatkannya,
* nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya."
Ketahuilah!
"Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa."(QS Al-Baqarah: 97)
Pintalah kepada Allah semoga dengan bekalan taqwa, kita akan berjaya dan selamat daripada segala yang ditakuti. Juga berjaya mencapai segala yang dicita-citakan. Bekalan ini juga mampu melindungi kita dari segala bentuk penyelewengan yang boleh memesongkan kita dari jalan kebenaran dan keredhaan Allah.
Kini RAMADHAN DATANG LAGI...
Ia satu bulan istimewa dan dahulunya sangat dinantikan oleh para sahabat Rasulullah SAW. Ramadhan bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Kawajipan berpuasa pula telah Allah hubung kaitkan dengan bulan Ramadhan. Hayati maksud firman Allah;
"Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelummu, agar kamu bertaqwa."(QS Al-Baqarah: 183)
jadi puasa itu akan meningkatkan taqwa setiap mukmin. Juga menjadi perisai yang mampu melindungi kita dari sebarang kejahatan.
Dahulunya...Jika disebut saja Ramadhan, sahabat-sahabat Rasulullah seolah-olah diperingatkan dengan sebuah taman bunga yang harum semerbak baunya. Dijadikan tempat persinggahan untuk berehat sebentar dan menambah perbekalan...Dalam perjalanan melalui padang pasir kehidupan yang panas dan meletihkan. Allah telah menjadikan hikmah yang cukup banyak dalam bulan Ramadhan. Seandainya setiap muslim mukmin mengetahui semua keistimewaan dan ganjaran pada bulan Ramadhan, pasti kita semua berhajat supaya sepanjang tahun menjadi seperti bulan Ramadhan. Dari itu, marilah sedapatnya kita bersungguh-sungguh melipat gandakan bekalan dan menambah kesempurnaan ibadah puasa. Mari kita jadikan puasa Ramadhan kita tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.
Mari kita teliti satu persatu kesan yang sepatutnya kita perolehi dalam melaksanakan ibadah puasa, menepati yang Allah kehendaki;
1. Puasa menyuburkan sifat ikhlas kepada Allah serta cinta kepadaNya semata-mata. Puasa itu rahsia di antara Allah dan hambaNya. Orang yang berpuasa menahan dorongan nafsu sepanjang hari bulan Ramadhan. Ini memberikan kita latihan mendisiplinkan diri sepanajng masa dan dalam apa jua keadaan.
2. Puasa menerbitkan sifat sabar dalam diri orang yang berpuasa. Sifat sabar ini mampu menolong melintasi segala halangan dan meneruskan hidup tanpa rasa lesu dan malas.
3. Puasa menghias orang yang berpuasa dengan sifat hilm - sifat penyantun. Sifat penyantun mampu menberi kekuatan untuk menahan marah. Setiap orang yang berpuasa akan menahan marahnya dengan mengucapkan, 'aku ini sedang berpuasa.'
4. Puasa juga menyuburkan sifat pengasih. Puasa akan menjadikan perut ringan dan meninggikan jiwa. Hati menjadi jernih dan bersinarlah caahya kejujuran pada wajah orang yang berpuasa. Nurani yang bersih pula mudah bersimpati kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan bantuan. Bersedekah pun menjadi mudah sepanjang waktu berpuasa.
5. Puasa menerbitkan rasa bersyukur dan gembira dalam hati orang yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang berpuasa itu mendapat dua kegembiraan, sekali di waktu berbuka dan sekali lagi pada waktu bertemu dengan Tuhannya."
6. Puasa memperkuat ikatan sesama kaum muslimin dengan rasa persaudaraan. Seluruh umat Islam di serata pelusuk dunia serentak berpuasa pada bulan Ramadhan. Dengan ini memberi rasa kesatuan yang tidak mengira warna kulit dan bangsa.
Yakinlah!
Puasa adalah satu latihan kerohanian yang berkesan untuk memperkuatkan kemahuan dan kesungguhan. Puasa memastikan dorongan iman dan taqwa sebagai penguasa kepada keperluan dan tindakan jasad. Dengan demikian, jasad menuruti arahan taqwa dari hati yang teguh. Pada masa yang sama dapat mengawal desakan nafsu yang sentiasa mesti diluruskan dengan iman. Oleh itu rebutlah sebanyak mungkin peluang meningkatkan taqwa. Agar nanti kita sentiasa beroleh redha Allah.
Wassalam.

No comments: