NIKMAT TUHANMU YANG MANAKAH ENGKAU DUSTAKAN

KOTA METROPOLITAN
“Ibu M kata kakak hitam.” Saya terselingar. Hari ini, selepas memandikan dia dan adiknya, saya membedakkan mukanya. Tiba-tiba bicara itu terlantun daripada bibir comelnya. Kanak-kanak berusia hampir empat tahun di hadapan direnung penuh rasa kasih dan sayang. Betapa tidak, bukankah Rasulullah s.a.w adalah qudwah terbaik yang amat menyayangi anak-anak. Malah baginda pernah menyebut: “Barang siapa yang tidak berkasih-sayang, dia tidak akan disayangi.” Mafhum hadis yang amat mudah difahami bagi yang sesiapa membaca mahupun mendengarnya ini tidak akan bisa disanggah kebenarannya. Penulisan utama entry saya pada kali ini bukanlah mahu menjadikan tittle ‘kasih-sayang’ sebagai entry utama, sebaliknya ia sekadar muqaddimah kepada jemari untuk terus bermain kekunci.

Musim libur sempena saifi dari kota Kaherah telah melontar saya ke tengah-tengah kota metropolitan berbanding musim libur sebelum-sebelum ini. Tentunya suasana baharu sedikit sebanyak memberi impak dalam rutin harian saya bagi meneruskan perjalanan hidup. Kuala Lumpur, kota metropolitan yang semakin pesat membangun. Saya cukup yakin, ia telah dikenali hampir seluruh Negara yang namanya tercatat di dalam peta dunia.

Persoalan yang sering bermain di benak saya melihat modennya kota metropolitan yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia ini, bukan pada kemajuan-kemajuan yang dicapai. Tidak juga pada ramainya insan-insan yang mempunyai kepakaran menjadikan Malaysia sebuah Negara yang dikenali di arena antarabangsa. Tetapi, pada sejauh mana maju serta modennya ia selari dengan pengakuan, “Malaysia sebuah Negara Islam.” Pun begitu, saya mengambil kata putus, bukan persoalan ini yang bakal saya publishkan untuk entry kali ini.

Saya kecilkan skop, cukup sekadar sebuah penulisan kecil yang diharapkan bisa difahami oleh siapa sahaja yang membacanya. Berbalik kepada bicara anak kecil yang berusia hampir empat tahun di hadapan saya tadi. Bicaranya pendek. Juga boleh ditafsirkan oleh sesiapa yang mendengarnya. Barangkali akan ada yang mentafsirkan bicara pendek tersebut sebagai satu luahan peribadi seorang kanak-kanak kecil yang belum mengerti apa-apa. Tidak kurang juga, akan ada yang mentafsir ia sebagai rasa tidak puas hati. Biar apapun tafsiran anda, bagi saya ia adalah satu pendapat peribadi yang jika dirungkaikan secara halus serta teliti dan penuh kasih-sayang akan menemukan satu titik hasil firman Allah swt dalam lembar mukjizat teragung yang berbunyi: “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?”

KESEMPURNAAN ADALAH ANUGERAH
“Kakak, hitam muka kakak Allah yang bagi bukan kakak minta. M, kalau selepas ni ada yang kata kakak hitam, kakak jawab macam tu ya.” Ibu M adalah pengasuh kepada anak kecil di hadapan saya. Dia dan adiknya akan saya dan Kak Long tinggalkan di rumah salah seorang jiran yang tinggal berdekatan rumah yang didiami Kak Long sekeluarga.

Jiwa pendidik yang mula menjalar di segenap jiwa menjadikan saya senantiasa bertanggungjawab menjadikan orang sekeliling saya sebagai mad’u yang harus memahami bahawa proses pentarbiahan tidak hanya wujud di sekolah-sekolah mahupun intitusi pengajian semata. ‘Manusia yang baik adalah manusia yang boleh memberi manfaat kepada orang lain’. Begitu prinsip yang saya tanamkan sebelum mula menyambut lamaran sebagai seorang pendidik. Meski dia hanya anak kecil, dia tetap bakal pewaris generasi Islam yang akan meneruskan perjuangan para nabi dan ulamak.

“Kerja yang paling senang adalah kerja sebagai seorang guru mahupun pendidik. Cuti pun lama, gaji tetap dapat.” Kalam ini yang sering diulang-ulang di telinga saya. Saya menghormati pandangan setiap orang. Apabila disebut sebagai pandangan,ia adalah hak peribadi setiap orang. Setiap orang bebas untuk menyuarakan pendapat. Namun bagi saya, kalam sebegitu adalah tafsiran bagi mereka yang melihat kerjaya seorang pendidik sebagai mata pencarian atau sumber pendapatan. Amanah sebagai seorang pendidik adalah satu tanggungjawab yang maha berat. Sementelah jika pendidik tersebut beragama Islam dan mengajar mata pelajaran agama kepada anak didiknya. Konsep agama sering diterjemah sebagai praktikal wajib (seperti solat, puasa, zakat, haji dan amalan wajib lain) oleh kebanyakan manusia. Itu realiti masyarakat kita hari ini. Dan itulah rutin harian yang saya lalui di kota metropolitan di sini.

Agama seharusnya dilihat dari seluruh aspek bukan tertumpu pada yang wajib sahaja. Contoh yang mudah, kalimah 'zikir'. Kalimah yang mengandungi lima huruf ini difahami masyarakat umum di negara kita dengan membayangkan seorang yang memegang tasbih meratib kalimah-kalimah arab tertentu berulangkali. Atau pabila bibir seseorang terkomat-kamit mengulang kalimah-kalimah arab tertentu berulang kali baharu dikatakan zikir. Masyarakat lebih menilai melalui mata zahir. Sedangkan hakikatnya, zikir itu semua perbuatan baik yang diniatkan kerana Allah swt adalah zikir. Ia adalah suatu kesilapan yang harus dibetulkan. Tanggungjawab membetulkan kesilapan dan kepincangan dalam masyarakat jika tidak terpikul di bahu pendidik, di bahu siapa harus dipundakkan?

Saya fahami rasa sedih anak kecil tadi kerana sering dikatakan memiliki wajah yang sedikit hitam berbanding adiknya. Bicara pendek tadi sebenarnya adalah seruan dakwah untuk proses tarbiah. Pentarbiahan ini seringkali disalahertikan oleh kebanyak ibu bapa. Mereka meletakkan anak-anak di bawah jagaan pendidik sepenuhnya untuk dididik. Inilah masalah terbesar yang saya lihat di kota yang semakin membangun ini. Anak kecil adalah aset berharga bagi sesebuah Negara. Tidak kira dia seorang Islam mahupun tidak. Ia bakal generasi penerus usaha insan-insan pakar kemajuan sesebuah Negara. Bahkan, apabila seorang anak kecil itu dilahirkan daripada rahim seorang ibu yang beragama Islam ia adalah seorang khalifah yang telah diamanahkan untuk memakmurkan bumi ini.

“Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia itu di atas fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi..” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim dengan lafaz al-Bukhari). Berdasarkan hadis ini, ia jelas menunjukkan bahawa ibu bapa juga adalah seorang pendidik kepada anaknya. Malah jika diteliti secara telus, peranan ibu bapa amat besar jika mahu dibandingkan dengan tugas seorang guru mahu pun pendidik. Mereka tidak sahaja berperanan menjadikan anak itu mempercayai agama mereka adalah Islam, bahkan mereka amat berperanan menjadikan anak-anak yang dilahirkan seorang Islam yang tidak hanya Islam di atas sijil kelahiran mahu pun kad pengenalan. Oleh kerana itu Islam meletakkan syarat-syarat tertentu sebelum mendirikan sebuah baitul muslim. Rasulullah saw ada menyatakan bahawa seorang perempuan itu dikahwini kerana empat perkara; kerana harta, kecantikan, kerana keturunannya juga kerana agama. Baginda menyuruh seseorang itu mengutamakan keperluan agama yang dimiliki, berbanding dengan faktor-faktor lain.

Saranan ini bersebab. Dan setiap sunah Rasulullah itu mengandungi hikmah. Inilah hikmah daripada saranan baginda tersebut. Seorang wanita yang memiliki agama berperanan besar untuk memastikan zuriat yang dilahirkan dapat dibentuk selari dengan acuan Islam. Inilah yang mahu saya kongsikan bersama anda semua.

Dalam situasi seorang anak kecil yang masih belum memahami erti sebuah kehidupan, ia harus dibimbing oleh ibu bapanya. Inilah yang saya katakan tadi, hikmah daripada pemilihan calon isteri dan calon seorang ibu yang memiliki agama. Seorang ibu yang beragama harus tahu bagaimana caranya untuk memahamkan si anak bahawa wajah hitam tersebut adalah anugerah pemberian Allah swt. Ia bukan permintaan si anak. Ia tidak terhenti setakat itu. Bahkan, seorang ibu yang mengakui dirinya adalah seorang hamba Allah yang diamanahkan untuk memeihara zuriat yang dilahirkan mengikut acuan Islam akan menyedarkan bahawa betapa sempurna anugerah Tuhan pada wajah hitam yang diberikan. Menanamkan rasa syukur bahawa si anak lebih beruntung daripada insan lain yang tidak miliki wajah sempurna adalah nikmat terbesar kurniaan Allah.

KUFUR NIKMAT
“Ala, apa salahnya. Dia pun nak cantik juga. Nanti tak cantik pula macam anak orang lain.” Persoalan ‘cantik’ akan sering dijadikan alasan apabila saya mula membuka mulut. Melihat wajah anak-anak orang Islam hari ini yang diconteng dengan pelbagai tona dan warna di muka, saya akan cepat berasa sayu. Anugerah memiliki seraut wajah yang sempurna adalah terlalu besar ertinya jika mahu dibandingkan dengan warna kulit putih dan hitam yang sering diperkatakan. Berapa ramai orang kurang sempurna atau cacat mahu memiliki wajah dan tubuh sempurna seperti anak-anak kita? Inilah kesilapan yang harus kita betulkan. Si anak harus dibimbing supaya menerima hakikat sedikit kekurangan diri dengan memberikan teladan bahawa setiap kejadian berlaku atas kehendak Tuhan dan rasa syukur harus wujud lantaran ada insan lain yang lebih banyak kekurangan berbanding si anak. Bukannya menggalakkan mereka kepada bertabarruj dengan pelbagai tona warna kosmetik yang diragui halal haram isi kandungannya. Sekaligus akan menjadikan si anak seorang yang kufur nikmat atas penciptaan Tuhan.

Sebelum terlambat, berusahalah untuk menyedarkan si anak bahawa tiada satu pun nikmat yang dikurniakan bisa kita dustakan. Nikmat pancaindera yang dipinjamkan, nikmat nafas yang masih berdenyut yang memberikan kita nyawa untuk terus menghirup rencamnya dunia, nikmat hidup terbaik seorang manusia yang bergelar muslim, hatta untuk mengangkat sebatang jari telunjuk pun adalah nikmat kurniaan Allah swt. “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah engkau dustakan?”







*ni saya baca di http://sammaituhanajwa.blogspot.com....sungguh menarik...

Comments

Popular posts from this blog

نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول

Sajak Perjuangan - RASULULLAH SUNGGUH MULIA