BINGKISAN BUAT SAHABAT UKHWAHKU YANG DIKASIHI ALLAH


Bismillahhir Rahmanir Rahim…

Untuk Sahabatku Yang Dikasihi Kerana Allah..
Semoga isi surat ini semata-mata kerana Allah dan mengikut Sunnah RasulNya dan dapat mengubati segala penyakit-penyakit hati. Sheikh Said Ramadhan Al Buty (Ulama' Syria) pernah menyebut dalam bukunya bertajuk “Dosa Batin” bahawa apa juga perbuatan yang tidak didasari keikhlasan hati, ia tidak akan menjadi perbuatan yang menghampirkan diri kepada Allah..

Sahabatku Yang Disayangi..
Pada hari ini kita sedang berada di suatu zaman yang dipenuhi dengan Jahiliyah yang bermacam ragam, dan keadaan ini menjadi lebih tenat lagi kerana tidak adanya kefahaman Islam yang sebenar melainkan hanya segelintir manusia sahajayang mengetahui. Semoga Allah memilih hati-hati kita untuk diletakkan hidayah dan kefahaman.. Alangkah besar nikmat sekiranya Allah memilih kita.. Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian Alam..!

Sahabatku Yang Budiman..
Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangun dan memakmurkan alam, tetapi orang lain menggunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia. Di mana saja kita akan bertemu dengan pemuda-pemuda tetapi bagaimana keadan mereka? Sebahagian besar pemuda-pemuda hari ini telah dirosakkan pemikiran mereka, dilemahkan jiwa mereka dengan dipenuhi nafsu syahwah. Akhlak mereka bukan lagi akhlak muslim yang luhur tetapi akhlak yang campur aduk..

Sahabat SeIslamku..
Aku sentiasa mendoakan keimananmu kerana dunia ini memerlukanmu. Nilai keimanan pemuda remaja sepertimu jauh lebih tinggi dari nilai keimanan orang yang sudah tua. Suatu tahap terkumpulnya tenaga yang banyak, semangat yang berkobar dan hajat yang tinggi yang merupakan kekuatan untuk mencapai keredhaan Allah..

Jadilah “belajar” wasilah untuk mendekatkan diri pada Allah. Semoga darjatmu diangkat oleh Allah. Rantailah nafsumu dengan aturan Islam..

Sahabatku Yang sejati..
Semoga kita tidak banyak bergaul dengan manusia hingga membawa gangguan hati dan menjauh hubungan dengan Allah..
Perkara yang paling penting untuk menolong kita sentiasa berfikir dan berzikir ialah selalu bersama orang-orang soleh dan condong kepada mereka. Semoga Allah lindungi kita dari orang yang dilihat selalu mendekatkan diri kepada Allah, namun hatinya sebenarnya sangat jauh dari Allah..

Sahabatku..
Rasa tidak dikasihi yang kau dan aku rasakan, sejak kecil hingga kini merupakan dorongan Allah supaya kita dapat hayati makna kemanusiaan, penuh kasih sayang kepada semua orang dan kasihan belas kepada orang yang menderita. Pengalaman ini juga sebagai dorongan untuk kita lebih memahami perasaan orang lain..

Ibn Jauzi ada menyatakan dalam kitabnya “Mahabatullah”; “Orang yang melihat dirinya serba kekurangan akan menyebabkan kedekatannya dengan Allah”..

Sahabatku..
Rasanya cukup dulu buat kali ini..
Barangsiapa beramal untuk akhiratnya, maka Allah akan mencukupi urusan dunianya. Barangsiapa memperbaiki hati nuraninya maka Allah akan memperbaiki lahirnya. Barangsiapa yang mempebaiki apa yang ada diantara dia dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki apa yang ada di antara dia dan manusia..

Comments

Popular posts from this blog

نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول

Sajak Perjuangan - RASULULLAH SUNGGUH MULIA