Berani menegakkan keadilan, walaupun mengenai diri sendiri, adalah puncak segala keberanian.
Friday, January 7
Pembinaan Rumahtangga Islam Satu Tuntutan
Bersatu Di Jalan Dakwah

Bersatu Di Jalan Dakwah
Selaut kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah swt., selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah saw. dan kaum kerabatnya serta para sahabat yang diredhai sekalian.
Firman Allah swt dalam surah Ali ‘Imran ayat 103 :
Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.
Ayat ini jelas menerangkan kepada kita akan kesatuan yang mesti dibina di atas tali (agama) Allah swt. dan jangan sesekali kita berpecah belah. Selain itu Allah swt. telah mengeluarkan manusia daripada kejahilan bermusuhan sesama sendiri dengan mengikat hati-hati mereka serta menjadikan manusia itu bersaudara, juga Allah swt telah menyelamatkan manusia daripada kejahilan yang berada di tebing neraka. Jika difahami sebaik mungkin akan ayat ini, Allah swt. menuntut kepada orang-orang Islam agar bersatu-padu dan jangan sesekali berpecah belah bagi merealisasikan ayat selepasnya iaitu;
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan.
Dapat kita simpulkan daripada kedua-dua ayat ini akan pentingnya kesatuan sebelum membina kekuatan ummah dalam berdakwah. Semestinya kita yakin dan percaya akan ayat ini dengan penyerahan sepenuhnya segala bentuk tawakkal kepada Yang Maha Agung. Allah swt. telah menjanjikan kejayaan bagi mereka yang berusaha menjalankan kerja-kerja dakwah. Semestinya kita yakin dengan ayat ke 31 daripada surah Al-Ra’d yang bermaksud : “sesungguhnya Allah swt sesekali tidak memungkiri janjinya”.
Justeru semestinya kita menolak sebarang bentuk perpecahan yang cuba disusup masuk ke jiwa anak-anak Melaka agar kesatuan dakwah ini akan terus dinobatkan sebagai satu wadah dan wasilah bagi memastikan proses dakwah di Wisma Seri Melaka terus berjalan sebaiknya. Jangan sesekali kita benarkan usaha memecahbelahkan kesatuan yang telah berjaya dibina sejak 34 tahun ini dengan mengenepikan keyakinan kita terhadap Allah swt. akan kesatuan ini. Jangan sesekali kita meletakkan tanggungjawab ini hanya dipikul oleh beberapa orang sahabat-sahabat kita sahaja, akan tetapi bersama kita mengambil tanggungjawab bagi memastikan survival Islam yang telah kita dukungi melalui BKKIMM terus terlaksana dengan kesinambungan yang gemilang. Jangan kita biarkan musuh dalam selimut terus melenyapkan kesatuan ini di dalam selimut keselesaan kita. Jangan kita biarkan gunting dalam lipatan terus merobek kesatuan ini. Jangan kita biarkan api dalam serkam terus membakar dalam diam. Jangan kita biarkan duri dalam daging terus menusuk sehingga meracuni naluri terhadap persatuan berjaya mereka laksanakan.
Wa Allahu Ta’ala A’lam…
“BERILMU DAN BERAMAL”
Harman Bin Hassan
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2010/2011
Sunday, January 2
Wadah Dan Wahdah Yang Cuba Dihancurkan
Wadah Dan Wahdah Yang Cuba Dihancurkan
Wisma Seri Melaka, 1.1.11; Umum mengetahui apa yang sedang dialamai oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dengan kehadiran Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam. Kehadiran yang disambut dengan rasa penuh gembira oleh semua anak-anak Melaka yang berada di Mesir tiba-tiba bertukar menjadi kesedihan apabila Y.A.B. Datuk Seri telah mengumumkan satu perkara diluar jangkaan kami ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis di kediaman rasmi TYT Y.Bhg Prof. Madya Dr. Fakhruddin Bin Abdul Mukti pada 28hb 12, 2010,dengan menyatakan persatuan anak-anak Melaka yang sedia ada iaitu BKKIMM akan ditukar dengan persatuan baru yang diberi nama Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) serta pengiktirafan kepada BKKIMM akan ditarik semula. Turut hadir dalam majlis tersebut kesemua delegasi Kerajaan Negeri Melaka serta pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) juga pegawai-pegawai Education Malaysia (EM). Lebih menyedihkan lagi, BKKIMM dituduh sebagai satu persatuan yang hipokrit. Bagi saya, perkataan ini sebenarnya bukan lahir dari hati yang mulia Y.A.B. Datuk Seri bahkan telah didoktrin oleh ‘individu’ yang mempunyai hasat dengki kepada wadah dan wahdah anak-anak Melaka yang sudah sekian lama terbina. Saya yang turut hadir dalam majlis tersebut terus menyebarkan perkara ini melalui SMS dan YM kepada beberapa orang sahabat yang tidak bersama kami dalam majlis tersebut dan meminta untuk disebarkan kepada seluruh ahli BKKIMM. Alhamdulillah, rupa-rupanya sensitiviti ahli BKKIMM mula bangkit ibarat hati meraka telah dijentik dengan isu ini sehingga menyebabkan ahli BKKIMM mula memberontak setelah sekian lama mereka membawa hasrat Kerajaan Negeri Melaka yang inginkan mahasiswa-mahasiswi Mesir bersama dengan kemajuan negeri Melaka.
Berlalu beberapa hari dalam menghadapi isu ini, dan melihat kepada setiap dimensi, BKKIMM telah menetapkan satu pendirian hasil harapan seluruh ahli BKKIMM agar BKKIMM terus dipertahankan di atas satu tujuan dan matlamat iaitu tidak ingin melihat wadah dan wahdah ini dihancurkan oleh ‘tangan’ yang di kawal oleh minda penjajah. Sekian lama hubungan BKKIMM dengan Kerajaan Negeri Melaka terbina sebaiknya, ‘individu’ berminda penjajah tersebut datang dengan penuh hasat dengki melihat kesatuan ini.
Berdasarkan mafhum ayat 103 daripada surah Ali Imran, semestinya kita berpegang teguh kepada tali Allah swt dan jangan sesekali kita berpecah-belah. Untuk apa perkara ini direalisasikan? Tidak lain dan tidak bukan, bagi melaksanakan satu perintah Allah swt. menerusi ayat selepasnya yang bermaksud:
“Hendaklah ada dikalangan kamu satu ummah yang menyeru ke arah kebaikan dan menyuruh ke arah yang ma’ruf dan mencegah daripada melakukan kemungkaran dan merekalah orang-orang yang berjaya”
Wadah dan wahdah anak-anak Melaka melalui BKKIMM yang sekian lama terbina telah berusaha sedaya upaya melaksanakan perintah Allah swt. melalui ayat 104 surah Ali Imran. Justeru, usaha bagi menghancurkan wadah dan wahdah ini oleh ‘individu’ tersebut perlu diperangi sekuat mungkin oleh semua ahli BKKIMM. Untuk apa ‘individu’ tersebut menghancurkannya? Bagi saya, ia semata-mata bagi melenyap dan membenamkan usaha murni ini. 34 tahun BKKIMM berusaha menyatukan anak-anak Melaka di Mesir, 4 bulan kedatangan ‘beliau’ cuba menghancurkan kesatuan ini serakus dan seghairah nafsunya. Tidak hanya setakat itu, ‘beliau’ berusaha menafikan kejayaan yang bakal terhasil dengan kesatuan ini kerana janji Allah itu pasti benar bagi mereka yang mengumpul kekuatan ummah dalam menyeru ke arah kebaikan dan menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari melakukan kemungkran dan merekalah orang-orang yang berjaya. Di hujung ayat 104 surah Ali Imran, Allah swt. menjanjikan kejayaan bagi mereka yang melaksanakan tuntutan-NYA kalau tidak di dunia, di akhirat pasti sekali.
Justeru saya bagi pihak BKKIMM mengajak seluruh ahli BKKIMM bersatu hati dalam mempertahankan konvensi wadah dan wahdah ini. Bagi pihak pimpinan BKKIMM, kami akan terus berusaha agar pengiktirafan BKKIMM daripada Kerajaan Negeri Melaka diperoleh semula. Komitmen dan kesatuan kita semua bakal menghasilkan kejayaan yang gemilang satu hari kelak. Insya Allah. Kita terus berdoa sekerap mungkin agar pihak Kerajaan Negeri Melaka menerima semula kesatuan anak-anak Melaka di bawah satu persatuan iaitu Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir.
Wa Allahu Ta’la A’lam.
Harman Bin Hassan
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2010/20
Saturday, January 1
Orang Mukmin Akan Melaksanakan Amanah Dengan Penuh Tanggungjawab
Setiap muslim akan dipertanggungjawab terhadap segala amalannya di dunia ini. Jika dia berusaha dan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah dan tugas yang dibebankan dibahunya dengan penuh rasa tanggungjawab maka ianya akan meringankan timbangan amal di hari akhirat nanti.
Setiap lelaki muslim dan wanita muslimah mempunyai berbezaan tanggungjawab ketika di dunia ini mengikut bidang dan tugas masing-masing. Kaum lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dan besar berbanding dengan kaum wanita. Dia akan bertanggungjawab kepada isterinya, anak-anaknya, adik perempuannya dan kepada ibu-bapanya.
Amanah adalah satu hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang samada tanggungjawab itu milik Allah (hak Allah) mahupun hak manusia (hak insan) baik berupa pekerjaan mahupun perkataan dan pekerjaan hati.
Pengertian amanah bererti menempatkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, seperti sesuatu kedudukan tidak diberikan kecuali kepada orang yang betul-betul berhak dan yang betul-betul mampu menunaikan tugas dan kewajipannya dengan benar.
Pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat untuk pertanggungjawabkan.
Sabda Rasulullah S.A.W. dari riwayat Al-Bukhari yang bererti : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pemimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga dipimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya."
Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat satu kisah yang telah diceritakan oleh Abdullah Ibnu Dinar: " Pada suatu hari, saya berjalan bersama Khalifah Umar Al-Khatab di Mekah, waktu itu saya bertemu dengan seorang budak pengembala kambing yang sedang mengembala kambingnya.
Kemudian Saidina Umar berkata kepada budak pengembala kambing itu : " juallah kambing itu kepadaku "
Budak itu menjawab :" Kambing ini bukan kambingku, tetapi kepunyaan tuanku ".
Kemudian Saidina Umar sekali lagi cuba menawarnya : " Bukankah engkau dapat mengatakan kepada tuan engkau, bahawa satu di antaranya telah dimakan serigala, dan pasti tuan engkau tidak akan mengetahuinya.
" Tidak, saya tidak mahu, " kata budak itu, " Sesunggguhnya Allah Maha Mengetahui ".
Kemudian setelah mendengar yang demikian, menangislah Saidina Umar dan berkata kepada pengiringnya supaya memanggil tuannya, Saidina Umar telah membeli budak itu lalu dibebaskan oleh beliau, dengan berkata : " Sejak hari ini engkau bebas merdeka di dunia dan engkau akan lapang di akhirat ".
Sabda Rasulullah S.A.W. seperti mana yang telah diberitahu oleh Anas bin Malik yang bermaksud : "Tidak sempurna iman seseorang yang tidak dapat dipercayainya. Dan tidak sempurna agama orang yang tidak menunaikan janji."
Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa' ayat 58 yang berbunyi :
Maksudnya : " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".
Amanah hendaklah diberikan kepada orang yang benar-benar boleh melaksanakannya, kerana menurut hadis Rsulullah S.A.W. dari riwayat Muslim : " Dari Abu Zar, dia berkata : " Saya berkata " : Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya. " Rasulullah bersabda " hai Abu Zar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya.
Dan perhatikan riwayat hadis dibawah ini :
Yazid bin Abu Sufiyan berkata : Telah berkata kepadaku Abu Bakar r.a. diwaktu beliau mengutusku ke negeri Syam : "Hai Yazid ! sesungguhnya engkau mempunyai kerabat, boleh jadi engkau mengutamakan mereka buat memegang kekuasaannya, dan itulah yang aku khuatirkan atasmu, kerana Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bererti :"Barangsiapa menguasai sesuatu dari urusan kaum muslimin, lalu dia memberi kuasa kepada seseorang atas mereka kerana cintanya, maka laknat Allah menimpa atasnya, Allah tidak diterima daripadanya gantian dan tidak pula tebusan, sehingga dia dimasukkan ke dalam neraka jahannam ". (Hadis Riwayat Al-Hakim)
Sahabat yang dihormati,
Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. digambarkan bahawa kemusnahan akan berlaku sekiranya amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya. Hadis tersebut yang bererti : Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., bertanya tentang " bilakah terjadi kiamat ". Rasulullah s.a.w. menjawab : yang bermaksud : " Apabila hilang amanah, tunggulah kiamat itu. Orang itu bertanya lagi : Bagaimanakah keadaan itu berlaku ? jawab Rasulullah s.a.w. : " iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamatnya (kerosakan)."
Untuk memenuhi erti amanah, hendaklah manusia berlumba menunaikan tugasnya dengan tegas dan bersungguh-sungguh serta sebaik-baiknya dalam menyempurnakan satu amanah yang dijunjung tinggi. Islam menyarankan supaya manusia ikhlas bekerja dan suka memperhatikan hak-hak manusia yang diamanahkan kepadanya, tidak memandang ringan tugas yang diamanahkan.
Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan, tidak akan berlaku kiamat yang lebih besar dan yang lebih buruk daripada khianat seorang muslim yang diamanahkan memimpin urusan manusia, tetapi kemudian dia mengabaikannya sehingga semua urusan jadi terbiar dan sia-sia. Oleh itu jangan kita menyalahgunakan kedudukan yang diberikan untuk menarik keuntungan peribadi atau keluarga.
Sahabat yang dihormati,
Memang telah sewajarnya bagi pekerja tanpa mengira pangkat mendapat imbuhan kaji sebagai ganjarannya, tetapi berusaha mencari tambahan kaji atau upah dengan jalan penyelewengan seperti rasuah adalah usaha haram dan berdosa besar.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :"Barangsiapa yang kami angkat menjadi penguasa (pemerintah) untuk mengerjakan sesuatu, dan kami memberi upah menurut semestinya, maka apa yang dia ambil lebih dari upah yang sepatutnya adalah satu kesalahan "
(Riwayat Abu Daud)
1. Ayahnya.
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik
ke neraka oleh anaknya.
2. Suaminya.
Apabila suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yg bukan mahram apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya. Suami mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya adalah satu kesalahan dan dosa yang mana isteri boleh menuntut haknya di hari akhirat.
3. Abang-abangnya.
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.
4. Anak lelakinya.
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram dari ajaran Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat , mendedahkan aurat dan membuat maksiat sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.
Oleh itu marilah sama-sama kita tunaikan amanah yang diberikan kepada kita dengan penuh tanggungjawab dan istiqamah, kerana sesungguhnya 'amanah' yang laksanakan dengan sempurna nanti akan menunggu kita ditepi 'Titian Sirat' untuk membantu dan memudahkan perjalanan kita untuk menuju ke syurga Allah S.W.T.
Saturday, December 25
Hukum Menyambut Krismas, Adakah Dibenarkan Memberikan Ucapan Kepada Orang Kafir?
Tanggal 25 Disember merupakan tarikh istimewa bagi penganut agama kristian di seluruh dunia. Pada hari tersebut, para penganut agama ini akan meraikan perayaan Krismas sempena memperingati kelahiran Nabi Isa mengikut kepercayaan mereka. Menurut pegangan agama kristian, Nabi Isa merupakan anak kepada Allah S.W.T yang mengorbankan dirinya bagi menebus dosa warisan yang diturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain akibat perbuatan Nabi Adam a.s. yang dikeluarkan dari syurga. Namun berbeza pula kita sebagai seorang muslim yang dikurniakan dua perayaan besar iaitu ‘Idulfitri dan ‘Iduladha tanpa mengingkari Nabi Isa adalah sebagai utusan, bukannya anak Allah S.W.T.
Nabi Isa Tidak Disalib
Kelahiran Nabi Isa a.s. merupakan satu peristiwa istimewa yang telah tertulis di dalam Al-Quran. Kelahiran amat yang luar biasa apabila ibunya, Maryam terpilih untuk dihidupkan roh seorang insan agung di dalam rahimnya dengan izin Allah S.W.T. walaupun dirinya ketika itu belum pernah berkahwin. Malah, Maryam berasa sangat hairan apabila menerima khabar ini. Bahkan beliau tidak pernah langsung disentuh oleh mana-mana lelaki. Tetapi, ia dijawab dengan ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa Allah S.W.T. berkuasa ke atas segala sesuatu. FirmanNya :
Maksudnya : (ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! bahawasanya Allah memberikan khabar Yang mengembirakanmu, Dengan (mengurniakan seorang anak Yang Engkau akan kandungkan semata-mata dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang Yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang Yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil Dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang Yang soleh. Maryam berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah Aku akan beroleh seorang anak, padahal Aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa Yang dikehendakiNya; apabila ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah Engkau ', lalu menjadilah ia." (Surah Ali ‘Imran: 45-47)
Suatu perkara pelik berlaku kepada Nabi Isa a.s. apabila mampu berkata-kata ketika masih kecil dan sungguh mengejutkan penduduk kawasan setempat pada waktu itu. Perkara ini ada disebutkan dalam ayat yang telah dibacakan sebelum ini. Tatkala ibunya Maryam ditohmah masyarakat berikutan peristiwa kelahiran seorang bayi yang tidak berbapa sedangkan mereka mengetahui bahawa Maryam masih seorang gadis sunti yang belum pernah berkahwin, Allah mendatangkan pembantu melalui anaknya sendiri yang membela ibunya. Nabi Isa a.s. berkata :
Maksudnya : “Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku al-Kitab (injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi. Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) salat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup; dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikanku seorang yang sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadahu, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali. ” (Surah. Maryam: 30-33)
Begitulah kisah kelahiran agung yang cukup luar biasa di dalam Al-Quran yang jelas bertentangan dengan kepercayaan masyarakat Kristian yang mengangkat baginda sebagai tuhan mereka. Malah baginda sendiri menolak dan menafikan sekerasnya kepercayaan orang kafir ini seperti yang terakam di dalam Al-Quran :
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah aku dan ibuku dua orang Tuhan selain Allah?”. Isa menjawab: “Maha suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya).Jika aku pernah mengatakan Maka tentulah Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha mengetahui perkara yang ghaib-ghaib. Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya Yaitu: "Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu", dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau menangkatku, Engkau-lah yang mengawasi mereka, dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. (Surah Al-Ma’idah: 116-117)
Bukan itu sahaja, malah baginda sebenarnya tidak pernah dibunuh atau disalib tetapi hanya diserupakan muka baginda dengan salah seorang pengikutnya. Dakwaan berani ini telah direka-reka dan dinisbahkan kepada baginda serta menjadi anutan penganut agama ini sehingga ke hari ini. Perkara sebenar yang berlaku kepada baginda ialah diangkat ke langit sebelum akan diturunkan semula sebagai antara tanda besar hari kiamat. Firman Allah S.W.T. :
Maksudnya : dan juga (disebabkan) dakwaan mereka Dengan mengatakan: "Sesungguhnya Kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah". padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang Yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). dan Sesungguhnya orang-orang Yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada Dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya Dengan yakin. bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadanya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah An-Nisaa’ ayat 157-158).
Kebangkitan semula Nabi Isa a.s. pula ada diceritakan pada beberapa hadith Nabi S.A.W., antaranya :
حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ شُجَاعٍ وَهَارُونُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ وَحَجَّاجُ بْنُ الشَّاعِرِ قَالُوا حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ وَهُوَ ابْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ ابْنِ جُرَيْجٍ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو الزُّبَيْرِ أَنَّهُ سَمِعَ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ قَالَ فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا فَيَقُولُ لَا إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الْأُمَّةَ
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami al-Walid bin Syuja' dan Harun bin Abdullah serta Hajjaj bin asy-Sya'ir mereka berkata, telah menceritakan kepada kami Hajjaj -yaitu Ibnu Muhammad- dari Ibnu Juraij dia berkata, " Abu az-Zubair telah mengabarkan kepadaku, bahwa ia mendengar Jabir bin Abdullah berkata, "Saya mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Akan senantiasa ada dari umatku sekelompok orang yang berperang di atas kebenaran, mereka akan selalu nampak hingga hari kiamat." Beliau bersabda lagi: "Lalu turunlah Isa putra Maryam, lalu pemimpin mereka berkata, 'Kemarilah, pimpinlah kami shalat." Isa lalu berkata, 'Tidak, sesungguhnya sebagaian kalian atas sebagian yang lain adalah pemimpin, sebagai bentuk pemuliaan Allah terhadap umat ini'." (Hadith ke-225 riwayat Imam Muslim)
Allah S.W.T. turut menegaskan didalam kitabNya bahawa Nabi Isa a.s. hanyalah manusia biasa yang diangkat menjadi seorang rasul seperti rasul-rasul sebelumnya dan bukanlah tuhan seperti yang diagung-agungkan oleh para penganut agama Kristian. Firman Allah :
Maksudnya: “Tidaklah Al-Masih putera Maryam itu melainkan hanyalah seorang Rasul yang mana telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar. Kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli Kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami itu). (Surah Al-Ma’idah: 75)
Hukum Sambutan Hari Krimas Oleh Umat Islam
Rata-rata masyarakat di dunia ini hidup dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai penganut berbeza agama. Manakala dalam setiap agama pula mempunyai tarikh-tarikh tertentu yang dirayakan bagi memperingati sesuatu peristiwa. Keadaan yang sama berlaku dalam negara Malaysia dan beberapa buah negara di Timur Tengah.
“Christmas Day” menurut orang Kristian adalah sambutan hari ulangtahun kelahiran anak Allah di muka bumi, iaitu Jesus. Walaupun di sana ada perselisihan pendapat pada tarikh kelahirannya, tumpuan utama adalah pada diri Jesus yang telah dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Pengorbanan sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati dengan sambutan Hari Krismas. Jelas, perayaan ini disambut bersempena dua perkara ; Pertama : Jesus sebagai anak Allah dan kedua : pengorbanan Jesus yang disalib demi menebus dosa manusia.
Persoalan : Adakah perayaan ini boleh disambut oleh orang Islam dan bagaimana jika kita hanya mengucapkan tahniah/memberikan ucapan kepada masyarakat Kristian?
Jawapan : Hukum sambutan krimas ini boleh dibahagikan kepada dua :
1) Hukum Menyambut Perayaan Krismas Bersama Orang Kafir :
Ulamak bersepakat dalam PENGHARAMAN meraikannya atau turut serta dalam apa-apa sahaja bentuk sambutan yang berkaitan dengan perayaan orang kafir termasuk perayaan Krismas. Seperti yang telah diterangkan di atas, umat islam hanya mempunyai dua perayaan yang besar iaitu ‘Idulfitri dan ‘Iduladha.
Imam ibnu Qayyim menerangkan didalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” tentang hukum sambutan perayaan orang kafir : (TIDAK HARUS bagi orang mukmin itu menghadiri perayaan orang kafir dengan persetujuan semua para ulama. Perkara ini telah dijelaskan oleh para fuqaha’ mazhab empat dalam kitab mereka, berdasarkan hadis riwayat Imam Baihaqi daripada Umar bin Al-Khattab berkata “Janganlah kamu masuk bersama orang kafir ke dalam gereja mereka pada hari perayaan mereka, maka sesungguhnya kemurkaan diturunkan kepada mereka”).
Imam an-Nawawi juga menjelaskan dalam kitabnya Al-Majmu’ akan tegahan daripada bersama-sama dengan orang kafir di dalam majlis mereka kerana perbuatan tersebut memuliakan mereka dan dikira menyamakan kemuliaan orang mukmin dengan orang kafir, maka perkara tersebut adalah tidak harus.
Antara pendapat ulama dalam mengharamkan sambutan perayaan orang kafir adalah berdasarkan beberapa dalil antaranya :
• Sambutan tersebut menyerupai orang kafir. Pengharaman ini berdasarkan hadith baginda S.A.W. yang berbunyi :
حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا أَبُو النَّضْرِ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ ثَابِتٍ حَدَّثَنَا حَسَّانُ بْنُ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي مُنِيبٍ الْجُرَشِيِّ عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Utsman bin Abu Syaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Abu An Nadhr berkata, telah menceritakan kepada kami 'Abdurrahman bin Tsabit berkata, telah menceritakan kepada kami Hassan bin Athiyah dari Abu Munib Al Jurasyi dari Ibnu Umar ia berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa bertasyabuh dengan suatu kaum, maka ia bagian dari mereka." “Barangsiapa yang menyerupai (meniru) suatu kaum (yang bukan Islam), maka dia tergolong dalam golongan mereka” (Hadith ke-3512 riwayat Imam Abu Daud)
• Penyertaan atau menyambut perayaan tersebut merupakan satu daripada tanda kita menyukai dan cinta kepada mereka. Allah S.W.T. berfirman :
Maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya Yang lain; dan sesiapa di antara kamu Yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka Sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Yang berlaku zalim. (Surah Al-Maidah ayat 51)
Maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, Dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) Dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra Yang ada di antara kamu Dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) Yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra Dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa Yang kamu rahsiakan dan apa Yang kamu zahirkan. dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu Yang melakukan perkara Yang demikian, maka Sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan Yang betul.(Surah Al-Mumtahanah ayat 1)
• Perayaan merupakan hal keagamaan dan aqidah kaum tertentu, seperti dalam hadith Nabi S.A.W. :
حَدَّثَنَا عُبَيْدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ مِنْ جَوَارِي الْأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتْ الْأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ قَالَتْ وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَلِكَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami 'Ubaid bin Isma'il berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Hisyam dari Bapaknya dari 'Aisyah berkata, "Abu Bakar masuk menemui aku saat itu di sisiku ada dua orang budak tetangga Kaum Anshar yang sedang bersenandung, yang mengingatkan kepada peristiwa pembantaian kaum Anshar pada perang Bu'ats." 'Aisyah menlanjutkan kisahnya, "Kedua sahaya tersebut tidaklah begitu pandai dalam bersenandung. Maka Abu Bakar pun berkata, "Seruling-seruling setan (kalian perdengarkan) di kediaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam!" Peristiwa itu terjadi pada Hari Raya 'Ied. Maka bersabdalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan sekarang ini adalah hari raya kita." (Hadith ke-899 riwayat Imam Bukhari)
Perayaan krismas menunjukkan akan aqidah mereka yang salah serta mensyirikkan Allah, maka tidak harus kita menyertainya.
2) Hukum Mengucapkan Tahniah/Memberikan Ucapan Perayaan Kepada Mereka :
Berhubung permasalahan mengucapkan tahniah kepada orang kafir pada perayaan mereka, terdapat perselisihan pendapat ulama. Ada yang membenarkan dan ada pula yang mengharamkan tindakan ini.
Imam Ibnu Qayyim mengharamkan ucapan tahniah ini dengan katanya dalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” pada Bab Ucapan Tahniah Kepada Ahli Zimmi : (dan adapun ucapan tahniah terhadap syiar yang telah dikhusukan kepada orang kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan tahniah terhadap perayaan dan puasa mereka, dengan ucapan : Eid Mubarak ‘Alaika / tahniah atas perayaan ini, atau sebagainya).
Tetapi menurut Dr Yusuf Qardawi dalam fatwanya, beliau mengharuskan tindakan ini selagi mana kita tidak menyambut perayaan mereka dan sekadar ucapan tahniah kepada mereka sebagai tanda hubungan kemasyarakatan. Pendapat ini bersandarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
Maksudnya : dan apabila kamu diberikan penghormatan Dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu Dengan Yang lebih baik daripadanya, atau balaslah Dia (dengan cara Yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisaa’ ayat 86)
Maksudnya : Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. (Surah Al-Mumtahanah ayat 8)
Namun, perlu diingat bahawa ucapan yang ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan yang bukan digambarkan dengan keredhaan kita terhadap agama mereka tetapi semata-mata ingin menjaga hubungan dan berbuat baik kepada mereka. Sikap ini dari satu sudut menunjukkan Islam merupakan agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama yang lain dengan menjaga batasan syara’ yang telah ditetapkan.
Kesimpulan : Agama Islam merupakan agama yang menitikberatkan toleransi antara pengikutnya dan penganut agama lain. Namun, dalam masalah yang berkaitan dengan soal akidah, perkara ini adalah lebih utama. Berdasarkan kepada perbahasan yang telah diletakkan, kita dapat melihat penyelesaian kepada permasalahan adalah seperti berikut :
1. Haram menyambut perayaan orang kafir disebabkan kesalahan aqidah yang dianuti oleh mereka. Secara umumnya, perkara ini disamakan seolah-olah kita turut sama menyokong pendirian dan pegangan mereka.
2. Dibolehkan memberikan ucapan atau tahniah pada hari kebesaran mereka dengan syarat bukan disebabkan kita berasa gembira dengan perayaan ini tetapi hanya ingin menjaga hubungan kemasyarakatan dalam sebuah komuniti.
Apa yang paling penting ialah pendekatan yang digunakan oleh umat Islam dalam mendepani masyarakat berbeza bangsa dan agama dalam sesebuah kawasan. Cara ini perlu diberikan perhatian supaya Islam itu dapat diperlihatkan wajahnya yang indah dan kefahaman tentang suatu peristiwa itu dapat diperbetulkan.
Rujukan :
1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Sahih Muslim, karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Sunan Abi Daud, karangan Abu Da'ud Sulayman ibn Ash`ath al-Azadi al-Sijistani.
6. Al-Majmu’, karangan Imam An-Nawawi.
7. Ahkam Ahli Zimmah, karangan Imam Ibnu Qayyim.
8. Al-Bidayah Wa An-Nihayah, karangan Imam Ibnu Kathir.
9. Tasamuh Fi Hadarah Islamiyah, karangan Dr Ikrimah Sobri.
Disediakan oleh,
Muhammad Hanif bin Jamaluddin,
Pemangku Pengerusi Felo MANHAL PMRAM.
Senarai calon-calon kepimpinan PMRAM & AJKT HEWI 2011
Dengan ini,Suruhanjaya Pilihanraya PMRAM 2010 mengisytiharkan calon-calon kepimpinan PMRAM dan AJKT HEWI PMRAM 2011
sumber - SPR PMRAM
Friday, December 17
Tarikh Pembukaan Pencalonan BP Dan HEWI PMRAM 2011
Pencalonan dibuka kepada seluruh ahli PMRAM yang berada di setiap cawangan, tidak kira mahasiswa Pengajian Islam mahupun Perubatan. Tarikh tersebut telah dipersetujui oleh SPR PMRAM yang telah menetapkan di dalam perbincangan mesyuarat.
Segala urusan pencalonan boleh dibuat sepanjang tarikh tersebut. Borang pencalonan boleh didapati di Tingkat 5, Bilik Gerakan SPR PMRAM, Rumah Kelantan Baru, Hayyu Sabiek, bagi pencalonan BP PMRAM, manakala HEWI, borang boleh didapati di Bilik Gerakan SPR HEWI PMRAM, Rumah Pulau Pinang, Hayyu Sabiek, Kaherah. Setiap borang pencalonan yang hendak dihantar, perlu menghantar dari terikh permulaan pembukaan pencalonan sehingga pada tarikh akhir pencalonan selewat-lewatnya pada jam 4 petang.
Waktu urusan bilik gerakan SPR bermula pada jam 3 petang hingga 5 petang bermula daripada 20 Disember sehingga tarikh tutup pencalonan. Untuk maklumat lanjut, boleh terus menghubungi Pengarah SPR PMRAM 2010, Saudara Ab Samad bin Abdul Aziz, di talian +20119893830 atau Timbalan Pengarah SPR PMRAM 2010, Saudari Hanisah binti Muslim, di talian +20113713628, ataupun melalui blog rasmi SPR PMRAM, http://spr-pmram.blogspot.com/
info dari - PMRAM
Laut dan Dakwah – Sebuah Refleksi Jiwa
Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...
-
(gambar ni search kat google).. huhu... Berlaku di Penjara Pudu Kuala Lumpur di suatu ketika dulu. Hanya boleh disebarkan pada orang...
-
Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...
-
نموذج خطة الدرس اليومية لمادة اللغة العربية للصف الأول 1 المادة : اللغة العربية / الصف الاول بودي ...

