Tuesday, July 12

persahabatan


Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap diri muslim melalui perjalanan hidup yang berbagai ragam. Tiada berada di dalam suasana yang sama warnanya sepanjang masa. Adakalanya kita mudah melakukan kebaikan. Adakalanya kita ditimpa bencana hasutan syaitan dan perdayaan nafsu hingga menyeleweng dari keredaan Allah.

Oleh itu perkara yang berpengaruh kuat dan mampu menarik kita kembali ke jalan kebenaran adalah keteguhan persahabatan di jalan Allah SWT. Di sebabkan kekuatan luar biasa terkandung di dalam persaudaraan Islam, maka perkara yang Ar-Rasul Muhammad SAW laksanakan sewaktu di Madinah ialah mempersaudarakan golongan Mujahirin dan Ansar.

Kekuatan yang dimaksudkan adalah anugrah Allah SWT kepada setiap muslim yang merasai mereka telah terikat dengan keimanan . Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfaal ayat 63 bermaksud : "dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang beada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".

Abu Hurairah r.a. berkata bahawa satu hari, seorang mendatangi Rasulullah S.A.W. dan berkata : "Rasulullah S.A.W. saya kelaparan" .

Rasulullah S.A.W. pun menyanyakan persediaan makanankepada para isteri baginda. Namun mereka memberitahu, bahawa tidak ada makanan sama sekali.

Lalau baginda S.A.W. berkata kepada para sahabatnya, "Semoga Allah merahmati siap pun di antara kalian yang mahu menjamunya malam ini."
"Aku yang akan menjamunya ya Rasulullah" kata seorang sahabat Ansar.
Ia pun pulang dan berkata kepada isterinya : "Siapkan makanan kepada tetamu Rasulullah ini."

"Demi Allah, makanan ini hanya cukup untuk anak-anak kita," jawab isterinya.

"Jika anak kita lapar, tidurkanlah mereka dan padamkan lampu. Biar kita menahan lapar pada malam ini," pesan sahabat tadi. Isterinya pun melakukan pesan suaminya itu.

Atas peristiwa itu, Allah menurunkan ayat surah al-Hasyr ayat 9. maksudnya : "Dan orang-orang (Ansar) yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), dan mereka mencintai orang yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang di berikan kepada mereka (Muhajirin), dan mereka mengutamakan (Muhajirin), atas diri mereka sendiri, meskipun mereka juga memerlukan. Dan siapa yang dijaga dirinya dari kekikiran (bakhil), maka mereka itulah orang-orang yang beruntung."

Betapa Allah S.W.T. memberikan kemuliaan kepada sahabat Ansar yang berhati mulia, yang telah dididik oleh Rasulullah S.A.W. sanggup mengutamakan sahabat yang kelaparan dan memerlukan makanan walaupun dia, isteri dan anak-anaknya kelaparan pada malam tersebut.

Sahabat yang dimuliakan,
Pada hakikatnya serigala akan menerkam kambing yang terpisah dari kumpulannya. Sudah tentu sahabat yang soleh (baik) tidak akan membiarkan kita bersendirian. Dia akan sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan.

Seperkara lagi yang perlu diingat; setiap diri manusia merupakan cermin sahabatnya. Sekiranya sahabat yang kita pilih itu berakhlak mulia, maka kesannya kepada diri kita juga adalah kebaikan belaka. Sebaliknya andainya sahabat yang kita pilih itu berakhlak buruk, maka kita akan terdorong melakukan dosa dan kemungkaran.
Ibnul Qayyim mengisahkan, “Kami (murid-murid Ibnu Taimiyyah), jika kami ditimpa perasaan gundah gulana atau muncul dalam diri kami prasangka-prasangka buruk atau ketika kami merasakan sempit dalam menjalani hidup, kami segera mendatangi Ibnu Taimiyah untuk meminta nasehat. Maka dengan hanya memandang wajah beliau dan mendengarkan nasehat beliau serta merta hilang semua kegundahan yang kami rasakan dan berganti dengan perasaan lapang, segar, yakin dan tenang".
(Lihat Shahih Al Wabilush Shoyyib, antara hal. 91-96, Dar Ibnul Jauziy)

Ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.”
(Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Musa r.a )
Ibnu Hajar Al Asqolani mengatakan, “Hadis ini menunjukkan larangan bersahabat dengan orang-orang yang dapat merusak agama maupun dunia kita. Dan hadis ini juga menunjukkan dorongan agar bergaul dengan orang-orang yang dapat memberikan manfaat dalam agama dan dunia."
(Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqolani, 4/324, Darul Ma’rifah, Beirut, 1379)

Banyak hadis-hadis Nabi SAW yang menjelaskan ciri-ciri sahabat yang baik.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa menutup rahsia saudaranya, nescaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Apabila kalian telah berjaya beroleh sahabat sejati berteraskan iman dan takwa, perlulah diberi perhatian terhadap langkah-langkah yang menyuburkan ikatan ukhwah tersebut :
1. Mengasihi saudara sesama Islam semata-mata kerana Allah SWT
2. Mengucap salam bila bertemu
3. Sentiasa menziarahi terutama ketika sakit
4. Sentiasa saling mendoakan
5. Menolong ketika kesempitan
6. Memenuhi jemputan
7. Memberi ucapat tahniah dan takziah
8. Saling memberi hadiah
9. Tidak memutuskan silaturahim dan memulaukan
10. Bertolak ansur dan saling memaafkan
11. Bermanis muka bila bertemu
12. Sentiasa jujur dan ikhlas inginkan kebaikan sesama saudara seislam
13. Memberi tempoh yang diperlukan untuk dia membayar balik hutangnya
14. Bersangka baik dan tidak mudah mempercayai berita fitnah mengenai dirinya
15. Membantunya mencarikan pasangan hidup yang baik jika dia belum berumahtangga

Pada hakikatnya, persahabatan yang baik memerlukan perhatian dari kita untuk mengawalnya dari dirosakkan oleh gejala-gejala liar sepertimana maksud sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Janganlah kamu saling putus memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Setiap masa kita dituntut untuk mencari sahabat yang baik, apalagi dengan mencari pasangan hidup iaitu suami atau isteri. Pasangan suami-isteri tentu saja akan menjalani hubungan bukan hanya seketika. Bahkan suami atau isteri akan menjadi teman setiap masa. Sudah sepatutnya, kita berusaha mencari pasangan yang soleh atau solehah. Dengan ini akan membuat kita semakin teguh dalam menjalani agama.

Monday, May 30

___________________________________

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang sempurna sifatnya telah diciptakan oleh Allah SWT dengan diberikan-Nya akal dan nafsu. Akal akan berfikir dan menilai segala kebenaran yang di turunkan oleh Allah SWT melalui ar-RasulMuhammad SAW lalu mengimani dan meyakini di dalam hatinya. Manakala nafsu yang suka mendorong kepada keburukan perlu diawasi dan ditundukkan dibawah telunjuk iman dan akal fikiran yang waras.

Bersabar di dalam konteks amalan hati ialah menahan nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau memberontak, resah gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman kesusahan, ketidak selesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau diingini. Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan iaitu :

1. Tabah dan tekun di dalam melakukan taat
2. Menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran
3. Memelihara diri dari godaan dunia, nafsu dan syaitan.
4. Tenang atau teguh hati menghadapi cobaan musibah

Sabar adalah satu tuntutan agama dan satu perisai untuk menahan diri daripada fitnah nafsu yang bergelora. Orang yang gagal bersabar akan gagal di dalam hidup dan akan rugi di dunia dan akhirat. Antara tujuan kita di suruh bersabar itu ialah:

1) Supaya dapat mengerjakan ibadah dengan tenteram dan dapat kesempurnaan dan seterusnya mencapai matlamatnya.

2) Untuk kita berfikir dengan lebih matang. Apabila nafsu telah menguasai akal, akal tidak dapat berfikir secara rasional di dalam menghadapi tindakan yang akan dilakukan. Segala yang dilakukan itu hanya betul mengikut ukuran nafsu. Akibatnya apabila terjadi kerusakan atau kecelakaan disebabkan tindakan itu, diri manusia sudah tidak dapat mengelak, jadilah manusia itu terbelenggu disebabkan perbuatannya sendiri. Kerana itu di dalam menangani nafsu yang bergelora, sabar itu sangat perlu. Di samping kita disuruh untuk bermujahadah (berperang) dengan nafsu yang jahat.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Sejahat-jahat musuh kamu iaitu nafsu yang di antara dua lambungmu." (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Selain daripada itu, sifat takwa perlu diusahakan dengan menanamkan iman di dalam diri. Untuk mendapatkan sifat takwa, kelemahan diri perlu diperbaiki. Bagi mereka yang berusaha memperbaiki dirinya, hati mereka akan sentiasa tenang dan bahagia. Bukan kerana kaya atau berada, tetapi kerana puas kepada apa yang ada.

“Dari Anas bin Malik RA, bersabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih dari cintanya kepada yang lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (dari kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api.”(Hadis Riwayat Muslim)

Di samping itu apabila orang yang memiliki iman, sembahyangnya akan kusyuk, mereka menyempurnakan puasa dan menunaikan pembayaran zakat dengan segala adab dan tuntutannya, menunaikan Haji dengan memahami segala tujuan dan tuntutannya, menjauhkan diri dari maksiat dan dosa, menjauhi perbuatan zina dan perkara yang menghampirinya, tidak mengumpat, mengadu domba, menfitnah, tidak hasad dengki, tidak sombong, tidak ujub dan sum'ah (mencari nama dan pangkat), tidak pendendam dan lain-lain.

Bila dapat kemanisan iman. penderitaan menjadi kecil dan dunia tiada ruang di dalam hatinya. Hatinya akan asyik dengan Allah. Ini berlaku pada sahabat-sahabat Rasulullah SAW contoh Sayyidina Bilal apabila dijemur di tengah panas serta diazab untuk dipaksa kembali kepada kekufuran, dengan tenang dia menjawab, "Ahad, Ahad." Azab sengsara, tidak terasa dan mampu dihadapinya dengan tenang.

Ini juga berlaku kepada seorang sahabat Nabi SAW yang dicuri untanya ketika sedang bersembahyang, dia tidak menghentikan sembahyangnya itu. Kerana terasa kemanisan sembahyang dan tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Banyak lagi hal-hal yang sedemikian yang boleh kita baca di dalam sejarah kehidupan para sahabat RasulullahSAW.

Kerana itu kita perlu melakukan Mujahadatun Nafs (melawan hawa nafsu) dan membersihkan diri kita daripada sifat-sifat mazmumah ( yang tercela ) seperti iri hati, dengki, dendam, buruk sangka, mementingkan diri, gila pangkat, gila puji, gila dunia, bakhil, sombong dan sebagainya.

Langkah pertama untuk mendapatkan iman ini, maka seseorang itu perlu mempunyai :

Pertama : Ilmu Islam .

Perlu memiliki ilmu Islam yang sempurna dan tepat agar segala tindakan dapat diselaraskan dengan syariat dan kehendak Allah melalui hukum-hukum yang telah ditetapkannya.

Firman Allah SWT maksudnya : “………Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat……..”. (Surah al-Mujadillah ayat 11).

Kedua : Mempunyai keyakinan.

Keyakinan adalah perlu dan penting. Oleh itu wajiblah kita belajar dan berusaha menyuburkan keyakinan kita. Jangan biarkan keyakinan dicelahi oleh keraguan walaupun sedikit. Keraguan mesti dilawan dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan akal semata-mata.

Syaitan dan nafsu sentiasa menyuruh dan mempengaruhi akal untuk ragu-ragu dan mewas-waskan kita. Tanpa ilmu yang benar dan menyeluruh, kita akan terperangkap di dalam perangkap syaitan. Jikalau kita terperangkap di dalam jerat syaitan bagi soal-soal keyakinan, maka hapuslah segala pahala amal dan hapuslah iman. Jikalau terjadi demikian, maka matilah kita sebagai orang yang tidak beriman dan kekal di dalam neraka.

Ketiga : Beramal dengan ilmu yang telah difahami dan diyakini.

Firman Allah SWT. dalam surah Ash-Shaff, ayat 2 – 3 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."
Keempat : Bermujahadah.

Bermujahadah melawan nafsu yang mendorong ke arah kejahatan dan menghalang diri dari melakukan maksiat lahir dan batin.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan (fujur) dan jalan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya."
(Surah As-Syams ayat 7-10)
Dan Ibnu Abbas berkata “ Takwa itu ialah bermudjahadah pada jalan Allah dengan benar-benar jihad, dan tidak dipengaruhi pada jalan Allah oleh celaan para pencela, dan menegakkan keadilan kerana Allah, walaupun terhadap diri sendiri, ibu dan bapak."

Kelima : Istiqamah beramal.

Istiqamah untuk melakukan amalan ketaatan dan ibadah serta menjauhi kemungkaran secara berterusan.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: "Istiqamahlah kamu semua, dan beruntunglah jika kamu istiqamah." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sayyidina Ali bin Abu Talib k.w. berkata: "Istiqamah adalah melaksanakan kewajiban-kewajiban."

Keenam : Mempunyai guru yang Mursyid yang dapat memimpin dan mendidik diri agar sentiasa taat kepada Allah.

Ketujuh : Selalu berdoa kepada Allah.

Doa adalah senjata orang mukmin kerana jikalau hanya usaha lahir saja dilakukan tanpa mengharapkan bantuan dari Allah, maka ia amat mustahil untuk membuang nafsu yang jahat di dalam jiwa manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Apabila hamba-Ku bertanya kepada engkau tentang hal-Ku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku perkenankan do’a orang yang meminta, bila ia meminta kepada-Ku, tetapi hendaklah ia mengikut perintah-Ku, serta beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.”
(Surah Al-Baqarah ayat 186)


3. Kita disuruh bersabar adalah untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah :

" Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar." - (Surah Ali Imran ayat 146)

" Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas "
(Surah az Zumar ayat 10)


Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bersabar dalam menahan gelora nafsu amarah kerana hanya dengan bersabar akan menjadi ubat yang pahit tetapi mujarab di dalam menahan diri daripada nafsu dan godaan dunia. Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita, sekaligus menolak kemudaratan kepada kita. Sebagai ubat 'kepahitan' hanya sesaat, akan tetapi 'kemanisannya' akan berpanjangan iaitu mendapat balasan syurga.

Tuesday, May 10

tanggungjawab mukmin dalam melaksanakan amanah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap muslim akan dipertanggungjawab terhadap segala amalannya di dunia ini. Jika dia berusaha dan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah dan tugas yang dibebankan dibahunya dengan penuh rasa tanggungjawab maka ianya akan meringankan timbangan amal di hari akhirat nanti.

Setiap lelaki muslim dan wanita muslimah mempunyai berbezaan tanggungjawab ketika di dunia ini mengikut bidang dan tugas masing-masing. Kaum lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dan besar berbanding dengan kaum wanita. Dia akan bertanggungjawab kepada isterinya, anak-anaknya, adik perempuannya dan kepada ibu-bapanya.

Amanah adalah satu hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang samada tanggungjawab itu milik Allah (hak Allah) mahupun hak manusia (hak insan) baik berupa pekerjaan mahupun perkataan dan pekerjaan hati.

Pengertian amanah bererti menempatkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, seperti sesuatu kedudukan tidak diberikan kecuali kepada orang yang betul-betul berhak dan yang betul-betul mampu menunaikan tugas dan kewajipannya dengan benar.
Pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat untuk pertanggungjawabkan.

Sabda Rasulullah S.A.W. dari riwayat Al-Bukhari yang bererti : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pemimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga dipimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya."

Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat satu kisah yang telah diceritakan oleh Abdullah Ibnu Dinar: " Pada suatu hari, saya berjalan bersama Khalifah Umar Al-Khatab di Mekah, waktu itu saya bertemu dengan seorang budak pengembala kambing yang sedang mengembala kambingnya.

Kemudian Saidina Umar berkata kepada budak pengembala kambing itu : " juallah kambing itu kepadaku "

Budak itu menjawab :" Kambing ini bukan kambingku, tetapi kepunyaan tuanku ".

Kemudian Saidina Umar sekali lagi cuba menawarnya : " Bukankah engkau dapat mengatakan kepada tuan engkau, bahawa satu di antaranya telah dimakan serigala, dan pasti tuan engkau tidak akan mengetahuinya.

" Tidak, saya tidak mahu, " kata budak itu, " Sesunggguhnya Allah Maha Mengetahui ".

Kemudian setelah mendengar yang demikian, menangislah Saidina Umar dan berkata kepada pengiringnya supaya memanggil tuannya, Saidina Umar telah membeli budak itu lalu dibebaskan oleh beliau, dengan berkata : " Sejak hari ini engkau bebas merdeka di dunia dan engkau akan lapang di akhirat ".

Sabda Rasulullah S.A.W. seperti mana yang telah diberitahu oleh Anas bin Malik yang bermaksud : "Tidak sempurna iman seseorang yang tidak dapat dipercayainya. Dan tidak sempurna agama orang yang tidak menunaikan janji."

Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa' ayat 58 yang berbunyi :
Maksudnya : " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".

Amanah hendaklah diberikan kepada orang yang benar-benar boleh melaksanakannya, kerana menurut hadis Rsulullah S.A.W. dari riwayat Muslim : " Dari Abu Zar, dia berkata : " Saya berkata " : Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya. " Rasulullah bersabda " hai Abu Zar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya.

Dan perhatikan riwayat hadis dibawah ini :
Yazid bin Abu Sufiyan berkata : Telah berkata kepadaku Abu Bakar r.a. diwaktu beliau mengutusku ke negeri Syam : "Hai Yazid ! sesungguhnya engkau mempunyai kerabat, boleh jadi engkau mengutamakan mereka buat memegang kekuasaannya, dan itulah yang aku khuatirkan atasmu, kerana Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bererti :"Barangsiapa menguasai sesuatu dari urusan kaum muslimin, lalu dia memberi kuasa kepada seseorang atas mereka kerana cintanya, maka laknat Allah menimpa atasnya, Allah tidak diterima daripadanya gantian dan tidak pula tebusan, sehingga dia dimasukkan ke dalam neraka jahannam ". (Hadis Riwayat Al-Hakim)

Sahabat yang dihormati,
Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. digambarkan bahawa kemusnahan akan berlaku sekiranya amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya. Hadis tersebut yang bererti : Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., bertanya tentang " bilakah terjadi kiamat ". Rasulullah s.a.w. menjawab : yang bermaksud : " Apabila hilang amanah, tunggulah kiamat itu. Orang itu bertanya lagi : Bagaimanakah keadaan itu berlaku ? jawab Rasulullah s.a.w. : " iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamatnya (kerosakan)."

Untuk memenuhi erti amanah, hendaklah manusia berlumba menunaikan tugasnya dengan tegas dan bersungguh-sungguh serta sebaik-baiknya dalam menyempurnakan satu amanah yang dijunjung tinggi. Islam menyarankan supaya manusia ikhlas bekerja dan suka memperhatikan hak-hak manusia yang diamanahkan kepadanya, tidak memandang ringan tugas yang diamanahkan.

Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan, tidak akan berlaku kiamat yang lebih besar dan yang lebih buruk daripada khianat seorang muslim yang diamanahkan memimpin urusan manusia, tetapi kemudian dia mengabaikannya sehingga semua urusan jadi terbiar dan sia-sia. Oleh itu jangan kita menyalahgunakan kedudukan yang diberikan untuk menarik keuntungan peribadi atau keluarga.

Sahabat yang dihormati,
Memang telah sewajarnya bagi pekerja tanpa mengira pangkat mendapat imbuhan kaji sebagai ganjarannya, tetapi berusaha mencari tambahan kaji atau upah dengan jalan penyelewengan seperti rasuah adalah usaha haram dan berdosa besar.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :"Barangsiapa yang kami angkat menjadi penguasa (pemerintah) untuk mengerjakan sesuatu, dan kami memberi upah menurut semestinya, maka apa yang dia ambil lebih dari upah yang sepatutnya adalah satu kesalahan "
(Riwayat Abu Daud)

Di hari akhirat nanti terdapat empat golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita kerana ketika di dunia ini dia tidak melaksanakan amanah iaitu mendidik mereka dengan ajaran dan akhlak Islam dan tidak memberikan hak kepada wanita . Mereka ialah:

1. Ayahnya.
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik
ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya.
Apabila suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yg bukan mahram apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya. Suami mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya adalah satu kesalahan dan dosa yang mana isteri boleh menuntut haknya di hari akhirat.

3. Abang-abangnya.
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak lelakinya.
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram dari ajaran Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat , mendedahkan aurat dan membuat maksiat sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Oleh itu marilah sama-sama kita tunaikan amanah yang diberikan kepada kita dengan penuh tanggungjawab dan istiqamah, kerana sesungguhnya 'amanah' yang laksanakan dengan sempurna nanti akan menunggu kita ditepi 'Titian Sirat' untuk membantu dan memudahkan perjalanan kita untuk menuju ke syurga Allah S.W.T.

Tuesday, March 29

dipenghujung..

tiada post terbaru yang ingin dikongsi..cuma blog ini semakin ketandusan isi...dan mungkin penghujung jalan jalan mati yang ditemui ....

Tuesday, March 8

kerja mukmin

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup sebagai seorang mukmin sentiasa dipertanggungjawabkan dengan tugas dan amanah yang besar. Selain diamanahkan menjadi seorang suami dan ayah untuk membimbing keluarganya, dia juga bertanggungjawab untuk memimpin umat ini semoga tugas sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini dapat di jalankan dengan sempurna.

Tugas untuk memimpin umat ini bergerak di dalam Jemaah Islam di panggil sebagai daie dan murabbi. Tugas sebagai daie dan murabbi bukanlah tugas yang mudah dan boleh dibuat sambil lewa kerana kerana kesilapan kita memimpin umat Islam dan berlaku penyelewengan akan mengakibatkan Islam di fitnah dan menyebabkan orang akan lari daripada ajaran Islam maka kita akan menanggung dosanya.

Tugas untuk mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran adalah tugas yang amat mulia kerana tugas ini adalah tugas para rasul yang diutus oleh Allah S.W.T. Islam tidak akan tersebar luas apabila tugas amar makruf nahi mungkar ini tidak dilaksanakan dan gejala kerosakan dan kefasadan akan tersebar luas dan semakin parah bila umat Islam hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mahu pikul bersama tugas yang mulia ini. Pasti bala Allah S.W.T akan turun ditempat itu jika tidak ada usaha-usha yang berterusan mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan.


Ketahuilah, bahawasanya amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah puncak tertinggi dalam agama. Ia merupakan suatu soal yang amat penting sekali, yang kerananya Allah S.W.T. telah mengutuskan para Nabi sekalian.

Andaikata tugas ini dilengahkan dan segala jentera amar makruf dan nahi mungkar itu dicuaikan, sama ada dalam ilmu pengetahuan mahupun amalan, tentulah kesesatan bermaharajalela dan kejahilan terus akan melanda setiap orang, dan ketika itu negara akan menjadi rosak binasa manakala rakyatnya menjadi kacau bilau.

Tugas menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu menyuruh membuat kebaikan dan melarang dari membuat kejahatan menjadi wajib, di kaji dari beberapa ayat al-Quran al-Karim seperti berikut:

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru (manusia) kepada kebajikan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang yang beruntung."
(Surah Ali-Imran ayat 104)

Ayat yang tersebut di atas jelas sekali menunjukkan kewajiban hukum amar makruf dan nahi munkar. Sebab perkataan ' waltakun 'yang bermaksud hendaklah ada, ini adalah suatu perintah, dan zahir sekali perintah itu menunjukkan kewajiban perkara yang disuruh. Kemudian dalam ayat itu diterangkan pula perkataan beruntung yang mana pencapaian tingkat itu bergantung dengan melakukan perintah yang wajib tadi. Perhatikanlah firmanNya: 'Wa Ulaika Humul Muflihuun' yang maksudnya: Merekalah orang yang beruntung. Ternyata padanya bahwa tugas itu merupakan wajib fardu Kifayah, bukannya fardu ‘Ain, yang mana bila sesuatu ummat atau golongan menjalankan perintah atau tugas itu, maka gugurlah kefarduannya ke atas manusia yang lain.

Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pemimpin kepada setengah yang lain; mereka menyuruh mengerjakan yang baik dan melarang dari mengerjakan yang jahat dan mereka mendirikan sembahyang.”
(Surah at-Taubah: 71)

Allah S.W.T. telah mensifatkan orang-orang yang beriman itu sebagai orang-orang yang menyuruh mengerjakan kebaikan, maka dengan itu sesiapa yang meninggalkan tugas menyuruh membuat yang baik itu terkeluarlah ia daripada golongan orang-orang yang disifatkan oelh Allah Ta’ala dalam ayat tersebut sebagai orang yang beriman:

Berfirman Allah lagi maksudnya :
"Telah dilaknat orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampau batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melakukan tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu." (Surah al-Maaidah ayat 78-79)

Ayat tersebut merupakan kemuncak ancaman dan kemurkaan dari Allah S.W.T. kerana yang menyebabkan mereka ditimpa laknat itu ialah kerana mereka meninggalkan nahi mungkar; iaitu mencegah orang dari melakukan kejahatan.

Allah S.W.T. berfirman lagi maksudnya :
“Kamu sekalian adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan.” (Surah ali-Imran ayat 110)

Ayat tersebut menunjukkan bahwa tugas amar makruf dan nahi mungkar itu paling utama sekali kerana Allah telah memberi kepujian kepada orang yang menjalankan tugas ini, sebagai sebaik-baik ummat di atas muka bumi ini.

Berfirman Allah S.W.T. lagi maksudnya :
"Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik."
(Surah al-A'raaf ayat 165)

Berfirman Allah S.W.T. maksudnya :
“Dan tolong-menolong kamu atas kebajikan dan takwa dan janganlah kamu tolong-menolong atas dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Maidah ayat 2)

Perintah ini adalah suatu kemestian dan maksud tolong-menolong itu ialah mengajak melakukannya dan mempermudahkan jalan kepada melakukan kebajikan serta menutup jalan-jalan yang boleh menyampaikannya kepada kejahatan, dan permusuhan sekadar kemampuan.

Adapun terdapat riwayat daripada hadis yang memberitakan tentang amar makruf dan nahi munkar ialah apa yang diriwayatkan dari Abu Bakar as-Siddiq r.a. dari Rasulullah S.A.W. sabdanya maksudnya :
“Tiada ada suatu kaum pun yang melakukan maksiat-maksiat, sedang dalam kalangan kaum itu ada orang yang mampu mencegah mereka dari perbuatannya itu tetapi ia tiada berbuat, tiadakah ia merasa bimbang bahwa Allah hampir-hampir akan menimpakan seksaNya atas mereka sekalian.”

Dalam dalil-dalil yang tersebut di atas, nyatalah bahwa tugas amar makruf dan nahi mungkar itu menjadi seperkara yang wajib, dan kewajibannya pula tiada terluput sama sekali, selagi ada kemampuan untuk melaksanakannya, kecuali jika sudah ada orang lain yang memenuhi tugas itu.

Sahabat yang dimuliakan,
Orang mukimin yang dipilih menjadi para daie atau pendakwah hendaklah menjalankan tugas menyuruh berbuat baik dan melarang dari berbuat jahat mempunyai tiga tata-cara atau adab yang penting menghiasi akhlaknya. Perkara tersebut adalah seperti berikut :
(1) Berilmu
(2) Warak
(3) Berbudi pekerti baik

Berilmu maksudnya: Patutlah ia mengetahui letak duduknya perkara-perkara yang hendak disuruh atau dilarang, supaya ia tiada terkeluar dari had dan batasan syariat Islam.

Warak maksudnya: Mencegah seseorang dari melakukan kemungkaran itu saja, dan jangan ia sekali-kali melampaui batas yang diizinkan oleh syariat dalam tugas ini, disebabkan oleh tujuan-tujuan yang lain. Hendaklah kata-katanya itu masuk akal, dapat diterima oleh orang itu. Kalau tidak tentulah ia akan dijadikan bahan ejekan dalam menjalankan tugas menyuruh atau melarang ini. Kelak orang itu akan menunjukkan sikap berani terhadapnya.

Adapun berbudi pekerti baik pula, seberapa boleh biarlah ia bersikap lemah-lembut dan berbalas kasihan kepada sesiapa pun, sebab ia merupakan pokok bab ini dan tujuan asalnya. Berilmu dan berwarak saja tidak mencukupi, kerana bila kemarahan menguasai diri tiada memadailah untuk menahannya hanya dengan berilmu dan berwarak semata-mata, melainkan jika ada pada tabiat kita sifat berbudi pekerti baik yang akan melenyapkan perasaan marah dan tidak sabar itu.

Dengan terkumpulnya ketiga-tiga sifat ini pada diri seseorang maka akan sempurnalah maksud untuk membimbing dan terkiralah ia salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Dengan itu sajalah akan tertolaknya kemungkaran, dan tanpanya tentu sekali kemungkaran itu tidak dapat dihapuskan.

Sekali peristiwa pernah Khalifah al-Makmun diberi nasihat oleh seorang dan orang itu menggunakan ucapan-ucapan yang kasar dan keras. Maka berkata Khalifah al-Makmun kepadanya : "Wahai manusia! Berkata lunaklah! Sebenarnya Allah telah mengutus orang lebih mulia daripadamu kepada orang yang lebih hina dariku. Dalam menggalakkan hakikat lemah-lembut dan lunak kata-kata, Allah telah berfirman:
“Maka katalah (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah-lembut semoga ia akan ingat atau takut.” (Surah Taha ayat 44)

Orang yang mahu membimbing orang lain, patutlah ia meniru sikap lunak dan lemah-lembut kerana para Anbia sentiasa mengunakan pendekatan yang lemah lembut untuk mengajak manusia beriman kepada Allah S.W.T. dan meninggalkan kemugkaran yang dilakukannya.

Sahabat yang dikasihi.
Untuk menjadi para daie atau pendakwah bukan semestinya kita perlu memiliki ilmu yang tinggi seperti para ulama, tetapi sebenarnya kita semua adalah para pendakwah kerana Nabi S.A.W ada bersabda maksudnya : "Sampaikanlah daripadaku satu ayat." Oleh itu kita wajib sampaikan Islam ini kepada isteri, anak-anak, jira tetangga, kawan-kawan pejabat, saudara mara , sahabat handai dan sesiapa saja orang yang kita kenal atau pun tidak.

Jika ada kenalan kita orang yang bukan Islam perlu juga kita sampaikan tentang kebaikan Islam semoga terbuka pintu hatinya untuk menerima Islam. Kalau ada bahan-bahan tarbiah yang ringkas mengenai kebaikan Islam hulurkanlah kepada mereka supaya mereka dapat membacanya dan cuba mendekati dengan ajaran Islam.

Biasakanlah diri kita memberi nasihat yang baik dan cegahlah kemungkaran yang kita lihat berlaku dihadapan mata. Jika kita sampaikan dakwah atau ilmu Islam ini kepada mereka dan mereka amalkan ilmu tersebut kita akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T. Sekiranya mereka tak terima atau tidak amalkan kita tetap mendapat pahala kerana kita telah berusaha memberi nasihat yang baik . Ingatlah hidayah itu milik Allah S.W.T. dan Dia akan beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Dalam suatu hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Tolongilah saudara kamu samada dia menzalimi atau di zalimi." Lalu seorang lelaki bertanya : "Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia di zalimi. Apa pula pendapatmu jika dia yang menzalimi, bagaimana aku menolongnya?" Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: "Engkau hendaklah menegahnya daripada melakukan kezaliman itu, maka itulah cara menolongnya". (Hadis sohih riwayat Imam Bukhari daripada Anas. Sila lihat Nuzhatul Muttaqin, Syarah Riyadus Solihin, jilid 1, m/s 206. )

Berpandukan hadis ini, maka kita diseru supaya sentiasa menolong, samada orang yang menzalimi atapun yang di zalimi dengan syarat pertolongan itu akan membawa kepada maslahah ataupun kebaikan kepada kita, agama dan juga kepada saudara seagama kita. Maka cara menolong orang yang di zalimi adalah dengan menyekatnya daripada melakukan kezaliman tersebut atau pun menasihatkannya dengan baik. Dan perlu kita faham bahawa kezaliman adalah setiap perkara yang dianggap dosa dan mungkar oleh agama.

Hubungan kekuatan iman dalam kalbu mukmin terukur pada sejauh mana kemauan dan kemampuannya dalam amar makruf nahi mungkar. Sabda Nabi S.A.W maksudnya :
“Barangsiapa melihat kemungkaran, harus mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah lemah iman”. (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu marilah kita besama-sama memikul tugas amar makruf nahi mungkar dan sentiasa istiqamah dengan tugas ini kerana di hari akhirat pasti kita akan ditanya oleh Allah S.W.T. adakah kita telah melaksanakan tugas ini dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh?. Jika jawapannya kita telah melaksanakan ketika di dunia maka kita akan terselamat daripada azab yang pedih kerana satu kesalahan besar jika kita tinggalkan suruhan Allah S.W.T. ini, dan amalan-amalan kita yang lain akan dihitung dengan cara yang mudah kerana pahala menjalankan tugas ini lebih berat daripada amalan sunat kita.

Saturday, March 5

kesibukan

assalamualaikum kepada pembaca sekalian...

memandangkan masa yang tidak mencukupi dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat, jadi diri yang lemah ini kekurangan masa untuk meng'update' blog ini....

jadi kesimpulannya, buat sementara waktu ini...blog ini akan ditinggalkan buat sementara waktu..

ku mohon doa kepada pembaca sekalian, agar mendoakan diri ini diberi kekuatan dan juga ilmu yang bermanfaat bagi membolehkan diri ini berkongsi bersama-sama masyarakat...

''Semoga Allah melimpahkan Rahmat dan kasih sayangnya kepada kita''

Monday, February 14

Memahami dan Menghayati Sirah dan Perjuangan Rasulullah S.A.W. Adalah Sifat Orang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai saja 12 Rabi'ul awal umat Islam diseluruh dunia akan menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W.

Tidak ada satu pun biografi kehidupan seseorang di dunia ini selengkap biografi Rasulullah SAW.

Kita boleh menyemaknya mulai dari masa pernikahan Abdullah dan Aminah -ayah bunda baginda sampai dengan wafatnya. Kita boleh mengenal jelas waktu kelahirannya, masa kecil dan masa mudanya. Apalagi setelah baginda diangkat sebagai Nabi dan Rasul, dengan terperinci.

Biografi baginda merupakan sejarah lengkap kehidupan seorang manusia yang dimuliakan dengan risalah Allah, yang tidak terlepas dari sisi-sisi kemanusiaannya· Maka sangatlah relevan bila Allah SWT memerintahkan agar individu Muhammad SAW diteladani dan dijadikan rujukan hidup umat manusia.

Firman Allah S.W.T maksudnya : “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al Ahzab ayat 21).

Di jelaskan dibawah salasilah dan keturunan Rasulullah S.A.W.

1. Nasab keturunan Rasulullah saw
Muhammad bin Abdullah bin Abd al Muttalib (asy-Syaibah) bin Hashim (Amru) bin Abd Manaf (al Mughirah) bin Qusai (Kilab) bin Murrah bin Kaab bin Lui bin Ghalib bin Fihr (Qurais pada beliau dinasabkan qabilah ini) bin Malik bin Nadhar (Qais) bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah (Amir) bin Alias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan (anak kepada Nabi Ismail as).Nasab ini disepakati semua ahli sirah.

2. Kelahiran Rasulullah saw
Baginda S.A.W. dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabi'ul awal tahun gajah bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun571 masihi. Disebut tahun gajah kerana Abrahah al Asyram menyerang Mekah dan cuba meruntuhkan Kaabah, tetapi Allah menghancurkan tentera Abrahah dengan mengutuskan burung ababil seperti yang termaktub dalam surah al Fil.

Rasulullah S.A.W. telah dilahirkan di Syi’ab Bani Hashim. Lahir dalam keadaan yatim, bapanya Abdullah meninggal semasa ibunya mengandung dua bulan. Datuknya Abdul Muttalib memeliharanya. Adat resam arab, mereka mencari penyusu dari kawasan pendalaman, Baginda s.a.w diserahkan kepada Bani Saad bin Bakar iaitu Halimah binti Abi Zuaib suaminya al Harith bin Abdul al Qira (Abu Kabhsyah)

3. Peristiwa Pembedahan dadaNabi S.A.W.
Imam Muslim telah meriwayatkan hadis dari Anas ra bahawa Rasulullah telah didatangi Jibril as ketika baginda sedang bermain main dengan anak-anak lain. Jibril memegang baginda dan merebahkannya lalu dibelah dadanya dan dibawa keluar hati dan dikeluarkan segumpal darah dari dalamnya, dengab berkata; inilah bahagian tempat syaitan bersarang, setelah dicucikan hati baginda di dalam sebuah talam emas dengan air Zamzam, setelah itu disembuhkan semula badannya dan dibawa semula Rasulullah ke tempat anak-anak tadi, manakala anak-anak lain berlarian menemui ibunya Halimah menceritakan dengan kata mereka “Muhammad telah dibunuh” Apabila menemuinya semula mereka dapati baginda kepucatan.

4. Ibunya wafat dan dipelihara oleh datuknya
Selepas peristiwa pembedahan dada, Halimah ketakutan lalu segera menyerah Baginda kepada ibunya, ketika itu baginda berumur 5tahun. Baginda di bawah penjagaan ibunya selama setahun.Ibunya wafat semasa kembali dari menziarahi kubur bapanya di Yasrib. Ibunya dikebumikan di Abwa’. Rombongan ziarah disertai oleh baginda, khadamnya Ummu Aiman dan datuknya Abdul Muttalib. Selepas kematian ibunya baginda dipelihara oleh datuknya dengan penuh kasih sayang sehingga datuknya wafat, ketika itu baginda berusia 8 tahun.

5. Di bawah penjagaan bapa saudaranya Abi Talib
Abi Talib telah memikul tanggungjawab menjaga anak saudaranya dengan sebaik-baiknya, malah beliau lebih memberi keutamaan kepada baginda dari anak-anaknya sendiri dengan keistimewaan, penghormatan dan sanjungan dalam tempoh lebih dari 42 tahun. Beliau menyokong, melindungi dan membenarkan baginda bahkan sanggup bergaduh untuk baginda.

Beberapa peristiwa penting sebelum di utus menjadi Rasul :

1. Baginda memelihara kambing.
Baginda pada usia remajanya bekerja sebagai pengembala kambing keluarga Bani Saad dan di Mekah pula mengambil upah dari penduduk Mekah.

2. Bertemu Pendeta Buhaira
Semasa berusia 12 tahun, baginda keluar bersama bapa saudaranya berniaga ke Syam, ketika sampai di Basrah, seorang paderi bernama Jarjis yang dikenali sebagai Buhaira keluar untuk menemui mereka dan memuliakan mereka sebagai tetamu. Semasa bertemu dengan mereka lalu Buhaira memegang tangan baginda dan beliau berkata; inilah penghulu dunia sejagat, inilah orang yang diutuskan Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam. Abi Talib bertanya dari mana tuan dapat matlumat ini? Buhaira menjawab tahukan kamu semasa kamu sampai di ‘al Aqabah’ semua batu dan pokok tunduk sujud kepadanya, sujud ini hanya berlaku kepada seorang Nabi sahaja, dan aku kenali pada baginda ‘Khatam al Nubuwwah’ penutup kenabian, ianya terletak di belakang baginda di bawah tulang duyung bentuknya seperti epal, semua sifat-sifat baginda tersebut dalam kitab kami. Seterusnya Buhaira meminta Abi Talib membawa baginda segera pulang ke Mekah dan jangan bawanya ke Syam kerana takut tindakan jahat Yahudi untuk membunuh baginda.

3. Peperangan al Fujjar
Peperangan ini berlaku ketika baginda berumur 14 atau 15 tahun. Berlaku antara gabungan Quraisy dengan Kinanah lawan gabungan Qais bin Ilan dengan Hawazin. Baginda terlibat dalam peperangan ini dengan menolong bapa saudaranya dengan menyediakan dan menghulurkan anak-anak panah kepada bapa saudaranya.

4. Perjanjian al Fudhul
Perjanjian ini telah diadakan pada bulan Zulkaedah. Kaum Quraisy yang terlibat antaranya Bani Hashim, Bani Zuhrah bin Kilab, Bani Tim bin Murrah, Abu Talib, Asad bin Abdul Uzza dan Baginda juga turut serta dalam perjanjian, mereka semua berkumpul di rumah Abdullah bin Jad’aan. Antara isi perjanjian semua bersetuju dan berjanji untuk memihak kepada sesiapa sahaya yang dianiayai, dan bertindak terhadap penganiaya, hingga dapat dikembalikan hak kepada tuannya.Baginda turut memuji perjanjian tersebut dengan sabdanya “Daku telah menyertai satu perjanjian yang dilangsungkan di rumah Abdullah bin al Jad’aan, perjanjian yang menyenangkan hatiku, lebih dari kesenanganku kepada unta-unta gemuk, sekiranya aku dijemput semasa di dalam Islam nescaya daku beri persetujuan segera.”

5. Meniaga harta Khadijah dan berkahwin dengan Khadijah
Setelah perkhabaran tentang kebaikan, kejujuran dan ketinggian akhlak Rasulullah sampai kepada Khadijah, tanpa berlengah beliau mengantar utusan, menawarkan kepada baginda untuk keluar berniaga dengan hartanya ke Syam. Beliau menjanjikan perkongsian yang lebih baik dari apa yang pernah ditawarkan oleh peniaga lain kepada baginda. Rasulullah menerima tawaran Khadijah dan baginda ditemani oleh budak suruhan Khadijah yang bernama Maisarah dalam perniagaan ke Syam.

Selepas Rasulullah kembali dari perniagaan di Syam harta Khadijah semakin bertambah dan berkat serta dijaga oleh Baginda dengan penuh amanah. Laporan yang diterima dari Maisarah tentang budi pekerti yang mulia, perwatakan yang lurus serta kebijaksanaan mengurus perniagaan, lalu Khadijah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Baginda kepada teman rapatnya Nafisah binti Manbah. Nafisah berjumpa denganRasulullah menyatakan hasrat Khadijah ingin berkahwin denganya. Baginda bersetuju untuk berkahwin dengan Khadijah. Baginda pun memberitahu bapa-bapa saudaranya persetujuannya untuk berkahwin dengan Khadijah lalu bapa-bapa saudara baginda pergi meminang Khadijah kemudian berlangsunglah perkahwinan antara Baginda dengan Khadijah. Semasa perkahwinan umur Baginda 25 tahun dan Khadijah 40 tahun. Kesemua anak-anak Baginda adalah dari Khadijah r.a kecuali Ibrahim dari Mariah al Qibtiyah. Baginda berkahwin lain hanya selepas Khadiyjah r.a wafat.

6. Pembinaan semula Kaabah dan isu tahkim antara kabilah.
Semasa Baginda berusia 35 tahun telah berlaku banjir yang besar di Mekah, air deras mengalir ke arah Kaabah dan hampir-hampir meruntuhkan seluruh struktur binaan Kaabah. Pihak Quraisy bersetuju membina semula Kaabah dan mereka membahagikan tugas binaan Kaabah mengikut kabilah. Setelah selesai pembinaan semula Kaabah, timbul perbalahan yang hampir membawa kepada peperangan antara kabilah tentang siapa yang sepatutnya meletakkan hajarul aswad pada tempatnya sehinggalah Abu Umaiyah bin al Mughirah memberi cadangan untuk menerima penyelesaian dari orang yang pertama masuk ke dalam masjid melalui pintu besar dialah yang akan menjadi hakim.

Dengan izin Allah, Rasulullah lah orang yang pertama masuk ke dalam masjid melalui pintunya, lalu mereka melaungkan itu pun al Amin, kami semua setuju dengan penyelesaian Muhammad. Baginda membentang sehelai kain dan meletakkan hajarul aswad di atas kain, lalu baginda memanggil ketua-ketua kabilah memegang hujung kain seterusnya meminta mereka mengangkatnya sehingga sampai tempatnya, seterusnya baginda sendiri mengangkat hajarul aswad dan meletaknya di tempat kedudukan asal hajarul aswd. Semua kabilah redha dengan cara penyelesaian Muhammad.

Kehidupan baginda sangat kompleks, menyangkut segala aspek kehidupan, sehingga tidak ada satu sisi pun dari kehidupan manusia yang terlepas dari sisi kehidupan baginda.Nabi S.A.W. adalah seorang suami terbaik dari beberapa orang isteri, seorang ayah terbaik dari beberapa orang anak, seorang datuk terbaik dari beberapa orang cucu, seorang mertua terbaik dari beberapa orang menantu, seorang menantu terbaik dari beberapa orang mertua, seorang pemimpin yang adil, seorang panglima yang cerdas, seorang politikus yang ulung, seorang yang paling berjaya dalam dakwahnya, dan kesemuanya itu dilandasi dengan keagungan akhlak baginda.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Surah al-Qalam ayat 4)

Biografi baginda juga merupakan petunjuk jelas dan mudah dilaksanakan dalam kehidupan bagi umat manusia dalam menjalankan tugasnya sebagai khalifah dan pelaksana hukum Allah (Al Quran) di muka bumi ini.

Aisyah r.ha. menyimpulkan : “Akhlak Rasulullah adalah Al Qur’an”

Al Imam Asy-Syafi’i mengatakan, “Apa yang baginda perbuat adalah apa yang baginda fahami dari al Quran.”

Oleh sebab itu, memahami biografi baginda merupakan bahagian yang tidak terpisah dari memahami Islam itu sendiri, kerana ia adalah saksi nyata, saksi hidup dari buah iman dan keyakinan yang mantap terhadap Dinul Islam, yang terjelma pada sosok pemimpin teladan yang agung, juga tercermin dalam kehidupan generasi pertama yang tumbuh hidup ditangan didikan baginda sendiri.

Biografi Rasulullah SAW ini kita kenal sekarang dengan istilah sirah nabawiyah.

Apabila kita katakan as-sirah, sudah menjadi kesepakatan umat dimaksud adalah as-sirah an-nabawiyah ertinya sejarah hidup Rasulullah SAW dan perjuangan hidup baginda.

Bersabda Rasulullah SAW: “Tidak beriman seseorang (dengan sempurna) di antara kalian kecuali aku lebih dicintai dari pada dirinya sendiri, orang tua dan seluruh manusia.”

Pada dasarnya pembahasan Sirah Nabawiyah mencakup 3 perkara pokok :

1. Sejarah kehidupan Rasulullah SAW sejak tanda-tanda kenabian (sejak lahir) sampai wafatnya.

2. Sejarah kehidupan para sahabat yang beriman dan berjihad bersama baginda.

3. Sejarah penyebaran Dinul Islam yang dimulai turunnya Al ‘Alaq di gua Hira sampai berduyun-duyun umat manusia di jazirah Arab memasuki Islam.

Sahabat yang dimuliakan,
Al Quran merupakan sumber pokok kajian sirah nabawiyah, kerana al- Quran merupakan data paling tepat untuk catatan semua peristiwa-peristiwa penting yang pernah terjadi di alam ini.

Yang menuturkannya adalah satu-satunya saksi sejarah yang masih hidup dan tidak akan pernah mati, bahkan Allah sendirilah pemprogram semua peristiwa sejarah itu· Tetapi Al Quran sendiri tidak secara terperinci memuat peristiwa-peristiwa sejarah, hanya secara global saja· Oleh itu kita tidak hanya cukup bersandar pada Al Quran saja dalam kajian sirah nabawiyah ini, tetapi perlu dibantu oleh sumber hadis dan pandangan sahabat-sahabat baginda.

Untuk memahami sunnah yang lebih terperinci terdapat para ulama hadis dengan cara periwayatan yang sangat cermat, seperti 6 kitab utama dalam ilmu hadis iaitu Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan An-Nasa’i, Sunan Ibnu Majah, dan Sunan At-Tirmidzy. Juga Muwaththa’ Imam Malik dan Musnad Imam Ahmad boleh dijadikan sumber kajian sirah.

Sebagai umat Islam yang yakin dengan sunnah Nabi S.A.W. kita boleh merujuk dari kitab-kitab sirah seperti Sirah Ibnu Hisyam karya Abu Muhammad Abdul Malik Ibn Ayyub Al Humairy (213 atau 218 H), dan kitab-kitab sirah yang lain.

Ciri-ciri sirah nabawiyah sangat terkait dengan huraian dalam al Qur’an dan as-sunnah, kerana ketiganya adalah bersepadu yang tidak terpisahkan.Kerana baginda di utus untuk memberi rahmat kepada sekelian alam dan menjadi contoh ikutan.

Dengan dasar ini maka secara langsung merupakan senjata yang ampuh dan kuat untuk menangkis setiap serangan yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam yang selalu berupaya melontarkan syubuhat (kerancuan-kerancuan) tentang kebenaran risalah dan kenabian Muhammad SAW.

Mereka (Yahudi dan Nasrani) bertujuan supaya kalimat kedua dari dua kalimat syahadat hanya menjadi hanya ucapan dibibir saja. Penjelmaan di hadapan seorang muslim dalam kehidupannya yang jelas dalam kehidupan yang patut dicontoh sebagai penghayatan dari ayat 21 surat Al-Ahzab, sehingga mendapatkan contoh yang nyata dalam pelaksanaan Dinul Islam.

Akan tetapi sayangya, sejarah hidup Rasulullah SAW dan sambutan yang dilaksanakan setiap tahun pada tarikh keputeraan Rasulullah S.A.W. hanyalah laungan semata-mata tidak ada inisiatif untuk melaksanakan.

Kajian sirah nabawiyah membantu dalam menelaah kitabullah (al Quran), merasakan rohnya dalam memahami pesan-pesannya. Dengan demikian Al Quran mudah difahami dengan benar, baik secara menyeluruh.

Banyak sekali ayat-ayat Al Qur’an yang tidak boleh difahami atau ditafsirkan secara benar kecuali dengan merujuk kepada sirah nabawiyah yang berkaitan dengan ayat-ayat itu.

Sebagai contoh surat al-Anfal. Surat ini hanya boleh difahami dan boleh diambil pengajarannya manakala kita baca sirah nabawiyah tentang perang Badar.

Kajian sirah nabawiyah memberikan manhaj (metod) yang jelas bagi para dai untuk meneruskan perjuangan mulia para Nabi dan Rasul. Juga memberikan gambaran susunan agenda kerja dakwah secara lebih terperinci dan jelas.

Dalam perjalanan dakwah Rasulullah SAW, di kenal dua fasa dakwah :

Pertama : Fasa Makkiyah (selama baginda berdakwah di Makkah).

1. Penekanan dengan penyampaian dan penyebaran dakwah, baik secara rahasia ataupun secara terang-terangan, dimulai dari keluarga terdekat, sebagai penyelamatan manusia dari kesesatan kepada petunjuk yang terang, mengeluarkan umat manusia dari kegelapan jahiliyah kepada cahaya Islam yang terang benderang.

2. Penekanan dengan mendidik / mentarbiah orang-orang menerima dakwah dan beriman kepada dakwah baginda, mentazkiyah dan menyucikan jiwa mereka, untuk membentuk asas masyarakat Islami dengan jalan: -mengajarkan Dinul Islam -menlaksanakan Islam dalam kehidupan mereka. -memperdalam makna ukhuwah islamiyah di antara mereka -saling berwasiat dengan hak dan kesabaran

3. Berusaha untuk tidak memberikan perlawanan secara fisikal terhadap gangguan dan rintangan dakwah, cukup dengan jihad dakwah. Padahal musuh-musuh Islam menyerangnya dengan berbagai kekuatan fisikal. Bahkan Khabab ibn Al-Arot ra pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang seksaan yang diderita oleh sahabat yang lain. Sahabat Khabab lalu mengusulkan agar kaum muslimin diizinkan memberikan perlawanan fisikal atau Rasulullah berdoa kepada Allah untuk kehancuran orang-orang kafir. Tapi baginda menganggap tindakan itu sebagai langkah tergesa-gesa dan hendak cepat berjaya.

4. Terus bergerak dengan dakwah, tidak tertumpu pada Makkah saja, hijrahnya beberapa orang ke Habasyah, perginya baginda ke Tha’if, usaha baginda untuk menjalin hubungan dengan jemaah haji yang datang ke Makkah di musim haji merupakan bukti amanah baginda dalam menyampaikan Risalah Islam.

5. Kesinambungan kerja dalam meletakkan strategi dan langkah-langkah untuk masa depan dakwah Islamiyah. Seperti mengadakan perjanjian dan sumpah setia (bai’at) dengan orang-orang Yatsrib; kemudian mengutus Musab bin Umair kepada mereka untuk mengajarkan al- Quran dan Islam; berusaha memiliki perhubungan dengan kabilah-kabilah di luar kota Makkah untuk mencari suaka politik dan tempat berlindung; Dan akhirnya baginda hijrah ke Yathrib/Madinah dengan strategi yang sangat rapi dan matang.

Kedua : Zaman Madaniyah (selama baginda berdakwah di Madinah)

1. Penekanan dalam pemantauan proses penyampaian dakwah, tarbiah dan tazkiah kepada orang-orang yang menerima dakwah dengan cara penyampaian al- Quran, mengajarkannya dan menerapkannya dalam kenyataan hidup mereka. Juga kepentingan pembangunan masjid sebagai tempat pembinaan umat, mempersaudarakan antara orang-orang Ansar dan Muhajirin serta terus mempererat hubungan persaudaraan di antara mereka.

2. Penuh perhatian dengan berdirinya suatu tatanan masyarakat atau tata perlembagaan masyarakat Islami (daulah) setelah ketiga unsurnya sempurna, iaitu: - adanya asas masyarakat yang beriman, hal ini sudah baginda persiapkan sejak diutusnya Musab bin Umair ke Yatsrib sebelum Hijrah. - adanya asas negara yang aman, di mana kota Yathrib sangat sesuai kalau dilihat dari berbagai aspeknya, di samping sebagai realisasi petunjuk Allah dalam mimpi baginda (mimpi seorang Nabi merupakan wahyu yang benar). - adanya aturan hidup yang jelas, iakni syariat Islam yang terus mengatur perhubungan kemasyarakatan.

3. Penekanan pada melaksanakan syar’at Islam bagi seluruh lapisan masyarakat tanpa pandang bulu, baik untuk perseorangan atau masyarakat secara umunya. Malah baginda menegaskan, puteri baginda tercinta pun tidak akan lepas dari hukum tersebut, apabila ia melanggar.

4. Berusaha mengadakan perdamaian dengan musuh-musuh Islam yang mahu berdamai dan berusaha untuk hidup berdampingan dalam suatu tatanan masyarakat Islami.

5. Menghadapi musuh-musuh Islam yang berusaha menyerang dengan jalan melakukan peperangan, mengadakan latihan ketenteraan serta terus mengadakan pasukan mujahidin yang siap tempur bila saja baginda arahkan. Sebagai contoh adalah kisah Hanzalah. Beliau tidak sempat mandi junub setelah malam pengantinnya kerana mendadak ada penggilan jihad menuju Uhud. Di dalam perang Uhud sahabat Hanzalah syahid. Malaikatlah yang memandikan beliau sebelum akhirnya dikebumikan oleh kaum muslimin.

6. Merealisasikan Islam sebagai dakwah yang sempurna dan rahmat untuk sekelian alam dengan cara mengirim utusan-utusan dan surat-surat dakwah ke berbagai daerah atau negara tetangga serta menerima tamu-tamu dari utusan negara lain sebagai bukti bahwa dakwah beaginda untuk seluruh umat manusia.

7. Kajian sirah nabawiyah termasuk aktiviti ilmiah kita yang bernilai ibadah. Ayat 21 surat al-Ahzab secara jelas memerintahkan kita mengikut peribadi Rasulullah SAW. Tidak mungkin kita boleh mengambil contoh daripada baginda sekiranya kita tida mengenal, mengkaji dan memahami sirahnya. Dalam kaidah syarak sering kita jumpai: “Untuk menyempurnakan suatu yang wajib perlu kepada perkara itu, maka perkara itu menjadi wajib"

8. Dengan mempelajari sirah nabawiyah, umat Islam secara tidak langsung mempunyai panduan yang benar dan jelas dalam diri dan kehidupan baginda. Sahabat-sahabat pula adalah satu generasi al-Quran terbaik yang dihasilkan daripada madrasah dan tarbiah Rasulullah S.A.W.

Sahabat yang dihormati,
Sempena kita menyambut hari keputraan Rasulullah S.A.W. di panggil Maulidur Rasul, maka marilah kita menghayati cara hidup, perjuangan dan pengorbanan baginda S.A.W. sebagai Rasul utusan Allah S.W.T. dalam kehidupan kita.

Jadikanlah baginda sebagai idola dan ikutan sepanjang zaman kerana dengan kita mengikut sunnah dan perjuangan baginda ini sebenarnya tidak terpisah dengan iman dan ajaran Islam. Cinta kita kepada Rasulullah S.A.W. akan mendapat cinta Allah S.W.T. kerana sesiapa yang mencintai kekasih Allah, dia akan akan mendapat cinta daripada Allah S.W.T.

Laut dan Dakwah – Sebuah Refleksi Jiwa

Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...