Showing posts with label tarbiah. Show all posts
Showing posts with label tarbiah. Show all posts

Thursday, January 20

Tolonglah teman...

Tolonglah teman..

Menafsir dan menilai kesalahan diri

Perkara yg mudah dirasai

Hakikat ingin membawa perubahan diri

Pun sebenarnya sudah dijiwai

Tinggal aqal, gerak hati, tangan dan kaki

Yang menentukan

Catatan di kanan atau dikiri

Yang paling banyak dihisabi

Tolong teman,

Jangan dilambatkan misi ini,

Tarbiyah telah diberi,

Tazkirah pun sudah banyak jadi makanan rohani,

Kan kesatuan yang sedang di cari,

Kenapa masih leka dengan duniawi

Tolonglah teman,

Tinggalkan perkara leka dan menyesatkan jiwa,

Bantu mereka dalam barisan yg telah diamanahkan kpd kita,

Kelak kita akan ditanya,

Apa sumbangan pada agama

Tolonglah teman...

Pesanan buat sekian kalinya untuk kita,

Jangan kerana kita Islam terfitnah,

Jangan kerana kita kesatuan boleh berpecah,

Jangan kerana kita menggoyah perjalanan dakwah

Tolonglah teman,

Mengharapkan buah fikiran kamu,

Bersama-sama menggerakkan matlamat yang satu,

Moga hati-hati kita kembali bersatu,

Menjulang perjuangan yang kita bina suatu ketika dulu,

Agar berterusan untuk generasi baru...

Luah rasa

9.50 am ~ 20.1.2011 ~ Cairo

Untuk perkongsian sahabat-sahabat perjuangan,

Untuk ingatan ana dan semua..


Nor Hidayah Sulaiman (FB)

Wednesday, October 20

Tarbiyah dan Kompetensi



Di dalam gerak kerja jemaah, unsur tarbiyyah sangat perlu dititik-beratkan oleh kepimpinan kepada ahli-ahli serta struktural organisasi.

Ini menjamin kompetensi dan maintainance serta produktiviti kerja dan ahli berkualiti dan sentiasa bertambah seiring dengan tercapainya matlamat jemaah Islam.

Kealpaan dalam tarbiyah bakal menjuruskan jemaah kepada bibit-bibit perpecahan dan hilang arah akibat jiwa tidak dibasahi dengan panduan rabbani.

Beberapa kesilapan ini pernah diperkatakan oleh seorang tokoh gerakan Islam, Ustaz Mustafa Mahsyur bahawa setiap ahli jemaah tidak boleh cuai dan lalai. Beliau melihat hari ini gerakan dan jemaah Islam banyak melakukan kesilapan berikut:

1. Memberikan tumpuan yang lebih kepada bidang politik dan meringankan aspek tarbiyah. Hal ini berlaku kerana gerakan diatur oleh politik dan terlalu sibuk menghabiskan masa dalam menyelesaikan pelbagai masalah, kemusykilan dan perhitungan.

2. Tidak menyediakan murabbi (penasihat) dan para pelatih. Para murabbi hanya menumpukan kepada peringkat tinggi. Maka menyebabkan mundurlah peringkat rendah. Selain itu, ia berlebihan memberi keutamaan kepada berceramah di merata-rata tempat kerana banyak jemputan hingga melemahkan tugas mereka dalam aspek tarbiyyah.

3. Usrah diubah kepada bengkel semata-mata untuk mengetahui dan bukan untuk mengasah bakat, pembentukan peribadi, dan membina akhlak. Lebih teruk menukarkan medan tarbiyah sebagai tempat untuk menonjolkan diri.

4. Sibuk dengan bidang-bidang lain hingga mengenepikan tugas tarbiyyah. Tarbiyyah tidak boleh diganggu dengan sesuatu walaupun dengan jihad atau memerangi musuh, malah tarbiyyah dalam suasana begini menjadi sangat penting dan diperlukan kerana unsur Iman merupakan keperluan yang dimestikan untuk mendapat sokongan dan pertolongan Allah.

5. Menjalarnya sikap cuai, dan sifat tidak mengapa, semangat tidak terikat dan tidak mematuhi syarat-syarat keanggotaan jemaah dan gerakan. Kesannya akan merosakkan suasana kerja dan merosakkan hasil kerja malah akan membawa pelbagai akibat buruk.

Ujian dan tabiatnya

Seterusnya, kebanyakan ahli-ahli gerakan pada hari ini kurang faham dan bersedia apabila berhadapan dengan ujian yang mencabar jemaah kita. Perkara-perkara seumpama ini haruslah dijauhkan:

1. Adalah satu kesilapan apabila menganggap bahawa ujian bukan merupakan perkara tabi'e (nature) dalam berdakwah, atau merasakan ujian itu merupakan natijah daripada kesalahan yang dilakukan oleh pimpinan.

2. Ragu-ragu dengan memperkatakan bahawa ujian itu dengan mengatakan : "Kalaulah kita berada di jalan yang hak nescaya Allah akan menolong kita, kerana kesalahan kitalah maka musuh mendapat kekuatan lebih dari kita"

3. Juga menjadi satu kesilapan apabila menganggap bahawa ujian yang ditempuhi boleh ditebus (diganti) dengan menggunakan hikmah dan siasah atau 'diplomasi', sedangkan musuh-musuh Islam tidak henti-henti serangan ke atas jemaah dengan tujuan menghapuskan Islam.

4. Berlindung diri dengan memberi sokongan kepada pihak yang zalim dan menyatakan bebas daripada gerakan atau jemaah, seterusnya menghentam dan mengecam jemaah sebagai cara melepaskan diri dari ancaman.

Betapa perjuangan Islam adalah jalan yang panjang dan penuh berliku. Sunnah ujian dan cabaran tidak akan berakhir selagi mana perjuangan itu masih bernafas.

oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Saturday, October 2

malu...| kerana Allah |

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Malu itu sebahagian dari iman"

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Malulah kamu sekelian kepada Allah dengan sebenar-benarnya. "
"Wahai Rasulullah bukankah kita sudah malu dengan Allah?"
Sabda Nabi s.a.w : "Bukan itu yang di namakan malu dengan Allah, akan tetapi yang di namakan malu dengan Allah yang sesungguhnya adalah orang yang sudah boleh menjaga kepalanya dari maksiat dan apa yang ada di kepalanya, dan menjaga perutnya jangan sampai masuk barang yang haram, dan menjaga kemaluannya jangan sampai berzina, dan menjaga tangan dan kakinya dari perbuatan maksiat, dan ingat dengan mati, dan ingat bahawa dirinya akan rosak. Dan barangsiapa yang menghendaki kebahagiaan akhirat hendaklah meninggalkan kesenangan dunia dan memilih kebahagiaan akhirat daripada dunia, barangsiapa yang sudah dapat mengerjakan semua yang telah tersebut di atas barulah orang tersebut di namakan orang yang malu kepada Allah, orang yang malu kepada Allah adalah orang yang malu bila melakukan maksiat sehingga tidak jadi mengerjakan maksiat dan itulah yang di namakan malu yang sesungguhnya."

Sesaorang yang mempunyai budi pekerti yang baik adalah mereka yang rasa malu bila mengerjakan maksiat. Sentiasa berbuat baik, benar perkataannya, tidak berkata dengan perkataan yang keji (lucah), sedikit bicaranya kecuali ada menfaatnya, banyak amal soleh, sedikit kesalahannya, tidak berlebih-lebihan dalam semua perkara, suka menyambung persaudaraan, bersopan santun, banyak bersabar, sentiasa bersyukur kepada Allah, kasih sayang terhadap orang lain, menjaga diri dari yang tercela, tidak mudah marah, tidak mengadu domba (menghasut) orang lain, tidak mengumpat, tidak dengki dan iri hati, tidak bakhil, kalau dia mencintai sesuatu hanya kerana Allah dan membenci sesuatu juga kerana Allah dan kalau dia marah juga marah kerana Allah.

Ramai wanita Islam hari ini mendedahkan aurat tanpa rasa segan silu. Menampakkan perhiasan diri tanpa ada perasaan malu kepada Allah s.w.t. Bersolek berlebih-lebihan, berwangi-wangian, pakaian yang menjolok mata hingga menampakkan bentuk tubuh badannya dan seksi, kadangkala merobah bentuk asal wajahnya dengan di lakukan pembedahan plastik, menggunakan botox dan lain-lain, semua ini tidak menampakkan ciri-ciri wanita solehah.

Di sudut yang lain pula, kita lihat gejala sosial telah melanda dengan hebatnya para remaja lelaki dan perempuan berdua-duaan dan berpasang-pasangan tanpa segan dan malu memenuhi taman-taman bunga, pusat membelli belah, tepi-tepi pantai dan pusat-pusat hiburan. Dalam keadaan seperti ini siapakah yang perlu di salahkan? Untuk mengubati penyakit-penyakit ini setiap kita (ibu bapa, guru-guru,alim ulama', para da'ie, pertubuhan dan persatuan Islam, jemaah Islam dan jabatan Agama Islam) berperanan dan bersatu tenaga untuk merawat dan jalankan proses pemulihannya. Kita tidak boleh menggunakan cara dan kaedah lain, melainkan kembali kepada kaedah rawatan yang di jalankan oleh Rasulullah s.a.w iaitu membaiki aqidah dan keimanan manusia terlebih dahulu sebelum membaiki kelemahan-kelemahan yang lain.

Apabila proses tarbiyyah dan dakwah berjalan dan berfungsi sepenuhnya di dalam masyarakat, akan lahirlah individu-individu Muslim Mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t dan perasaan malu kepada Allah s.w.t berfungsi dalam kehidupan kita.

Monday, September 6

munajat penghujung ramadhan kepada Allah

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Marilah sama-sama kita hayati do'a dan munajat kepada Allah di akhir Ramadhan ini. Untuk saya dan semua sahabat-sahahabat di blog. Do'a dan munajat ini adalah untuk kita semua. Semoga persahabatan yang terjalin di antara kita sentiasa diredhai Allah s.w.t. walaupun pertemuan, perjumpaan dan perkenalan kita di alam maya tetapi amat bernilai disisi Allah s.w.t

"Ya Allah ya Tuhan kami. Ampunkan semua dosa-dosa kami yang telah kami lakukan secara sengaja atau tidak secara sengaja. Yang kami ketahui dan yang tidak kami ketahui. Kami adalah hamba-hamba-Mu yang lemah dan dhaif yang sentiasa melakukan kesalahan dan dosa, sentiasa melangar peraturan dan suruhan -Mu, yang selalu leka dan lalai untuk melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan terhadap-Mu. Jika kami bersalah ampunkanlah kami , maafkanlah kami sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dan Maha Pemaaf.

Ya Allah, dibulan Ramadhan yang penuh berkat ini rahmat dan pengampunan-Mu amat luas sekali kepada hamba-hamab-Mu yang berpuasa. Ya Allah terimalah ibadah puasa kami. Berikanlah kami rahmat-Mu, pengampunan-Mu dan bebaskanlah kami daripada siksaan api Neraka.

Ya Allah pilihlah kami semua untuk memasuki Syurga-Mu melalui pintu Ar-Rayyan khusus untuk orang-orang berpuasa.Pintu Ar-Rayyan hanya Kau peruntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadhan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. Sesungguhnya bila Kau telah pilih kami memasuki Syurga sebenarnya kami telah berjaya. Tunaikan hajat dan permohonan kami ini ya Allah.

Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan kami tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia dan berjaya di hari akhirat, maka tetaplah kami di dalam keadaan itu. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan kami di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan-Mu.

Ya Allah ya Tuhan kami, Kau berilah sihat sejahtera kepada kami , jauhkan kami daripada mala petaka bencana dan penyakit. Jauhkan kami daripada siksa kubur, siksa Neraka, fitnah hidup ada mati, pilihlah kami dapat menyebut kalimah syahadah di akhir hayat kami dan mendapat husnul khatimah, jadikanlah lubang-lubang kubur kami adalah daripada taman-taman Syurga.

Ya Allah, Kau redhailah segala ilmu yang bermanfaat yang kami perolehi disini, Kau berilah Taufik dan Hidayah-Mu, Kau berilah kepada kami kefahaman yang mendalam tentang Islam, Kau berikanlah kekuatan pada kami untuk mengamalkannya dan kemampuan pula untuk menyampaikannya pada orang lain.

Ya Allah Kau jadikanlah kami sahabat-sahabat yang mulia di dunia walaupun kami bertemu di alam maya dan jadikanlah kami sahabat-sahabat di hari akhirat, kami mohon ketika itu kami semua dapat berteduh dibawah naungan-Mu. Ketika itu tidak ada naungan yang lain melainkan naungan daripada-Mu.

Ya Allah, Kau satukanlah hati-hati kami dengan ikatan persaudaraan Islam, Kau pertemukanlah kami di dunia dan pertemukanlah kami di hari akhirat bersama hamba-hamba-Mu yang Kau redhai.

Jadikanlah hati –hati kami bertemu dan berpisah semata-mata untuk mencari keredhaan-Mu. Jadikanlah kami batu-bata untuk membina bangunan Islam, pilihlah kami untuk menjadi para dai’e-Mu untuk melaksanakan amal maaruf dan nahi mungkar.

Ya Allah bersihkan aqidah kami daripada syirik kepada-Mu, sucikan hati-hati kami daripada sifat hasad dengki, riak, sombong, bongkak, takbur, iri hati dan sifat-sifat keji yang Kau benci , dan tanamkan di dalam hati-hati kami sifat iman, taqwa, sabar, syukur, lemah lembut dan jadikan hati-hati kami memiliki sifat mahmudah.

Ya Allah, hati kami merasa pilu dan sedih kerana Ramadhan yang penuh keberkataan akan meninggalkan kami. Sedangkan kami belum puas menikmati ganjaran besar yang Kau sediakan. Kami masih kurang membaca al-Qur'an, kurang bersedekah, kurang qiyamulail, kurang berzikir dan kurang berdo'a kehadrat-Mu. Ya Allah kami mengharapkan di akhir Ramadhan ini terimalah ibadah puasa kami, berilah pengampunan terhadap semua dosa-dosa kami samaada yang kecil atau yang besar. Bebaskanlah kami daripada siksaan api Neraka.

Ya Allah berikanlah kekuatan kami menghadapi cabaran dan dugaan untuk sebelas bulan yang akan datang.Kurniakan kami nilai taqwa dan jadikanlah taqwa itu pakaian kami dan sebagai benting untuk kami hadapi dugaan dan cabaran dalam hidup. Ya Allah berilah kekuatan kami untuk menundukkan nafsu kami supaya ianya tunduk dibawah telunjuk iman dan lindunglah kami dari godaan dan hasutan syaitan yang menyesatkan.

Ya Allah izinkanlah kami bertemu Ramadhan yang akan datang dan jadikanlah hati-hati kami sentiasa mengingati-Mu samaada ketika kami berseorangan atau dengan orang lain. Jadikan kami sentiasa berbaik sangka dengan Qadha' dan Qadar-Mu dan sentiasa redha dengan takdir yang telah Kau tetapkan.

Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada siksaan api Neraka."

Wednesday, September 1

muhasabah

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Mari kita mulakan dengan do'a ini :
"Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Kepada-Mu kami menyembah dan kepada-Mu sahajalah kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami kejalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan orang-orang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat."

Sahabat yang dimuliakan,
Persaksikan bahawa tidak ada pengatur kecuali Allah dan bersyahadahlah bahawa Nabi Muhammad itu sebagai hamba dan utusan Allah. Fokuskan hati kalian kepada memuja dan mentaati Allah serta mengikut contoh kehidupan ar-Rasul, Muhammad s.a.w.

Peliharalah diri kalian dari terikut rentak dan ragam manusia yang dimurkai Allah. Sedarilah tekanan kehidupan hari ini terlalu banyak. Semua gejala tamadun baru yang direka menurut keinginan nafsu hanya bertujuan menyesatkan dan meruntuhkan nilai norma yang tinggi. Sekaligus menghancurkan sendi-sendi budi dan akhlak yang mulia yang mengembangkan sifat kejahilan di kalangan umat.

Sahabat yang diredhai Allah,
Janganlah merasai jemu apabila risalah yang ditulis ini berulang-ulang untuk membicarakan perkara yang sama. Ingatlah sahabat!Sememangnya tabiat tarbiyyah itu dinyatakan berulang-ulang. Untuk menghidupkan balik hati yang keras dan mati, untuk menaikkan semula iman yang telah turun dan untuk memulihkan balik akhlak yang telah rosak, bukanlah satu perkara yang mudah. Nabi s.a.w. sendiri mendidik dan mentarbiyyah sahabat-sahabat baginda di Mekkah mengambil masa 13 tahun. Proses ini berterusan di Madinah dan memakan masa 10 tahun pula.
Didalam al-Qur'an sendiri Allah sentiasa mengulang-ulangkan asas iman, tauhid dan perkara-perkara ghaib dan kehidupan dihari Akhirat. Selagi hayat dikandung badan dan masih bernafas di bumi Allah proses tarbiyyah imaniah dan takwa perlu berterusan dan berjalan tanpa berhenti.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Al-Ustaz Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara memelihara diri dari dorongan nafsu serta bisikan syaitan telah menyarankan 10 dasar muhasabah harian. Yakinilah dasar ini akan dapat memelihara jiwa kalian untuk terdorong memusatkan pemujaan dan ketaatan kepada Allah. Juga memperteguhkan iman diatas jalan yang diredhai.

Pertama : Qiyamulail merupakan pendidikan rohani yang tidak patut diabaikan. Ia boleh melahirkan kekuatan iman yang tidak dapat dihasilkan oleh ibadat-ibadat yang lain.

Kedua : Sedapatnya solat Subuh berjemaah kerana akan beroleh jaminan perlindungan dari Allah, seperti maksud hadis : "Siapa yang solat Subuh berjemaah maka ia berada dalam jemaah Allah. Allah tidak sekali-kali meminta sesuatu dari kamu kerana jaminan-Nya."
(Hadis Riwayat Muslim) .
Ketahuilah malaikat menjaga kita dan mereka datang berhimpun serta bergilir masa kerja pada waktu Subuh dan Asar.

Ketiga : Al-Qur'an itu sebagai penawar dan kita sangat berhajat rawatan hati dari ayat-ayatnya. Dengannya, hati akan tenang, tenteram dan dapat merasai suasana hening. Berwirid dengan al-Qur'an sewajarnya diamalkan sehingga berlinangan air mata.

Keempat : Setiap kali menghadap hidangan makanan telitilah sumber ia diperolehi. Pastikan rezeki yang diperolehi itu adalah halal dan suci serta sedaya upaya menjauhkan diri dari berbuat yang haram. Disamping itu, kita patut menyedari tujuan utama makan adalah untuk menambah kekuatan beribadah kepada Allah, dan bukannya melakukan kerosakan.

Kelima : Bersihkan diri dari sifat malas. Islam tidak menyukai hamba Allah yang tidak berusaha atau menganggur. Sepatutnya setiap Muslim perlu bersungguh dalam melaksanakan apa jua tugas dan pekerjaan. Di samping itu, tidak lupa untuk membersihkan rezeki dengan mengeluarkan zakat, insaf dan sedekah. Usaha yang gigih serta rezeki yang bersih akan membawa kebahagiaan hakiki.

Keenam : Dalam setiap waktumu berada dikhalayak, sentiasalah menjaga dan mengawal pandangan mata serta perasaan. Jauhkan diri daripada tergoda atau digoda. Malahan, tidak juga terdorong kepada perkara-perkara syubahah atau yang tidak jelas halal atau haramnya.

Ketujuh : Perhatikan setiap tingkah lakumu supaya dikuasai akhlak Islam. Sebaliknya, jadilah Muslim contoh yang akan membawa kebaikan kepada manusia lain. Sesungguhnya, engkau akan beroleh pahala seperti orang yang mendapat hidayah kerana kebaikanmu.

Kelapan : Tanyakan dirimu adakah setiap saat dan sepanjang hayatmu dipergunakan untuk menuntut serta menambah ilmu khasnya ilmu Islam itu sendiri.

Perhatikan maksud hadis berikut : "Pelajarilah ilmu! Dalam mempelajarinya kerana Allah akan menambah takwa; menuntutnya ibadah, muzakarah menjadi tasbih, membahas menjadi jihad dan mengajarkannya menjadi sedekah. Mewariskannya kepada ahli keluarga menjadi ibadah qurban. Ilmu itu menunjukkan perbezaan halal dan haram. Juga menjadi lampu isyarat dijalanan ahli Syurga. Ilmu menjadi teman keseorangan, menjadi sahabat kepada perantau, dan menjadi penghibur dalam suka dan duka. Juga menjadi senjata berhadapan dengan musuh, dan perhiasan dalam persahabatan. Dengan ilmu juga Allah mengangkat darjat Muslim untuk memimpin setiap insan."
(Hadis Riwayat Ibnu Adil Barri)

Kesembilan : Sejauh mana telah engkau bulatkan hati untuk sentiasa melaksanakan tuntutan syarak serta sentiasa berada dalam tanggungjawab mengutamakan kehidupan Islam atas kepentingan-kepentingan lain.

Kesepuluh : Usah dilupakan hak jasad. Kesihatan dan kekuatan fizikal wajib dipelihara. Ingatlah! Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari Mukmin yang lemah. Hindari diri dari kerja yang meletihkan dan merosakkan ketangkasan badan. Oleh itu bersederhanalah dalam bekerja dan makan-minum.

Sahabatku,
Jadikanlah sepuluh perkara diatas sebagai KPI untuk muhasabah diri yang mesti berjalan setiap masa dan saat selagi denyutan nadi kalian berfungsi bukan hanya berjalan dalam waktu tertentu sahaja.

Ingatlah! Kalian semua harapan Islam untuk membawa risalah yang mulia ini dan untuk memakmurkan alam dan membawa kebahagiaan dalam kehidupan insan. Berhati-hatilah dalam menghadapi cabaran baru yang mendatang!

Monday, July 19

mereka terdahulu.....saya????


memartabatkan ekonomi islam..

Alhamdulillah ke hadrat ilahi dengan limpah dan kurnianya dapat meluangkan masa menulis entry diruangan ini....

Alhamdulillah semalam dapat menghadiri satu program di asrama rumah wilayah persekutuan dibawah kelolaan komuniti HPA kaherah...satu benda yang baru menjadi terjahan kepada diriku ini...
dalam kehidupan seharian kita hendaklah mempamerkan keizzahan sebagai individu muslim,dan meneruskan nya kepada keluarga muslim dan seterusnya negara muslim...tidak dilupakan kita juga perlu mempergiatkan usaha kearah ekonomi muslim....

jadi kat bawah ni gambar-gambar ajk program Komuniti HPA.....huhu....
diorang lagi awal mengesan benda baik ini dari saya...jeles betul ngan diorang ni....





DR.Fitry - ~uncle ko~




DR.Raja Imran - blog beliau





DR.Safwan - blog beliau



DR.Ariff - blog beliau




DR.Zikrul - blog beliau


kesemua mereka ini adalah ~team Medik~ dibawah Lajnah Kebajikan BKAWM....mereka2 ini sangat banyak membantu dari segi tenaga ,idea dan mcm2 lagi...moga ALLAH merahmati dan membalas segala penat lelah kalian......

team medik yang tiada ganmbarnya-

amin
amrey


kesedaran tentang perlunya jiwa-jiwa yang faham dan tahu akan kepentingan ISLAM dalam kehidupan amat-amat diperlukan.....

syabas kepada mereka.....

Sunday, July 18

islam sebagai penyelesaian....


Muqaddimah

Apa yang termuat dalam risalah ini, sebahagian besarnya, adalah petikan daripada pendapat ulamak-ulamak muktabar yang jelas fikrah serta iltizam dan intizam dengan kehidupan Islam. Saya hanya sekadar menyambung lidah, menyampaikan buah fikiran dan pengalaman mereka di sepanjang hidup dalam berbagai-bagai waqi’.

Sepatutnya tajuk “Islam Sebagai Penyelesaian” menghuraikan skop dan ruang lingkup yang luas meliputi berbagai aspek kehidupan manusia. Tetapi apa yang saya akan ketengahkan di sini menyentuh perkara asas yang menjadi dasar kepada penyelesaian masalah hidup manusia dari semasa ke semasa hingga alam ini diwarisi kembali oleh Allah SWT.

Konsep penyelesaian tersendiri

Persoalan penting, apakah yang hendak diselesaikan oleh Islam? Apakah masalah sebenar manusia yang tidak mampu diselesaikan oleh mana-mana sistem atau peraturan kecuali Islam?

Sebelum persoalan ini dijawab, perlulah difahami bahawa Islam tidak boleh dipisahkan daripada realiti hidup manusia. Kerana manusialah Islam ditanzilkan (diturunkan). Firman Allah SWT:

“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia, untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan.” - Surah Saba’: ayat 28

Risalah Muhammad Rasulullah SAW adalah untuk kepentingan manusia. Manusia mempunyai sifat dan tabiat yang unik. Manusia terdiri daripada tiga fakulti iaitu rohi, ‘aqli dan jasmani. Ketiga-tiga fakulti ini perlu dipandu dan dikawal oleh satu sistem yang lengkap dan bersepadu untuk melahirkan manusia atau insan yang dapat berperanan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi mengikut nilai Rabbani, sekali gus memperlihatkan kematangan serta kedewasaannya dalam kehidupan di dunia dan layak mengecapi kebahagiaan di akhirat kelak.

Kita mengetahui bahawa setiap undang-undang atau peraturan mempunyai falsafah dan konsep tersendiri. Undang-undang dan peraturan-peraturan itu, dalam perlaksanaannya, tetap akan menghadapi masalah dan mempunyai cara-cara penyelesaian tersendiri pula.

Adalah tidak logik dan tidak adil seseorang menuntut undang-undang tertentu untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul akibat daripada perlaksanaan undang-undang yang lain.

Islam adalah undang-undang dan peraturan hidup yang lengkap. Setiap juzuk berkaitan dan berhubungan secara bersepadu membentuk kesatuan hakiki mencakup seluruh aspek kehidupan. Sekiranya Islam diberikan peluang agar tau’iyah dan tarbiyyahnya ditegakkan berdasarkan prinsip-prinsip da’wah Islamiyyah sebenar, berqudwahkan Rasulullah SAW dan berpandukan sumber wahyu Allah SWT. sehingga lahir masyarakat yang rela melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam, maka dikala itu logik dan adillah Islam dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Lihatlah apakah Islam mampu atau tidak?

Cara Islam Menyelesaikan Permasalahan Hidup

Untuk mengetahui cara Islam menyelesaikan permasalahan hidup manusia, seseorang perlu kembali meneliti dan memahami Fiqh Da’wah Rasulullah SAW. Yakni da’wah yang dibimbing oleh wahyu Allah SWT, al-Quran al-Karim. Di waktu yang sama seseorang perlulah melihat realiti masyarakat sewaktu Rasulullah SAW. diutuskan dari segi politik, ekonomi dan sosial kerana dalam bidang-bidang inilah sering timbul masalah-masalah yang dihadapi oleh sesuatu masyarakat, bangsa atau negara.

Ketika mana Muhammad Rasulullah SAW diutuskan, negeri Arab seperti Syam dan Yaman yang subur dan kaya dengan hasil mahsul dikuasai oleh Romawi dan Parsi. Tinggallah Hijaz, Tihamah dan Najd yang kering kontang, dilitupi padang pasir dan dimiliki secara bebas oleh orang-orang Arab yang berpuak dan berqabilah.

Kalau difikirkan secara biasa, tanpa meyakini bahawa setiap tindakan baginda bersabit dengan konsep Da’wah Islamiyyah sebenar dan metod penyampaian baginda adalah bimbingan wahyu Allah SWT, maka sudah tentu seseorang akan membuat andaian-andaian bahawa:

1. Dalam kesempatan Muhammad Rasulullah SAW yang memiliki sifat-sifat kepimpinan, kewibawaan dan pernah diberi kepercayaan oleh pembesar-pembesar Quraisy untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu, maka sebelum baginda menjalankan Da’wah Islamiyyah kepada masyarakat, sudah tentu dengan senang baginda dapat menyatupadukan umat Arab yang berpuak dan berqabilah di bawah slogan Qaumiyyah ‘Arabiyyah demi membebaskan bumi Arab dari dijajah oleh Romawi serta Parsi dan mengembalikan kuasa politik ke tangan umat Arab. Setelah umat Arab bersatu, buminya dirampas kembali dari tangan Rumawi dan Parsi dengan semangat Qaumiyyah ‘Arabiyyah dan setelah kedudukan Muhammad sebagai pemimpin kukuh maka dapatlah baginda, dengan kuasa dan kedudukan yang dimiliki, memantapkan ‘Aqidah Tauhid untuk dianuti oleh masyarakat dan seterusnya mewartakan Islam sebagai cara hidup mereka. Dengan cara ini, tentulah pada andaian seseorang yang hanya menggunakan aqal, Muhammad Rasulullah SAW tidak akan menghadapi berbagai-bagai halangan, rintangan, siksaan dan tentangan yang keras daripada Kafir Qura’isy selama 13 tahun dalam usaha untuk menanamkan ‘Aqidah Tauhid ke dalam hati masyarakat dan menegakkan Islam sebagai ad-Din (sistem hidup). Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

2. Kesempatan yang lain, realiti ekonomi dan sumber kekayaan di zaman Rasulullah SAW dikuasai oleh segolongan kecil dari masyarakat jahiliyyah. Mereka menguasai aktiviti perniagaan berasaskan riba’. Majoriti rakyat hidup miskin dan melarat. Berdasarkan kesempatan ini, mungkin seseorang mengandaikan jika Muhammad Rasulullah SAW berusaha mengajak majoriti masyarakat yang miskin dan melarat, lalu menyatupadukan mereka dalam satu saf bagi melepaskan diri daripada cengkaman golongan feudal dan meningkatkan taraf hidup mereka, nescaya Rasulullah SAW dengan senang dapat mempengaruhi dan menyatukan mereka. Selepas itu bolehlah Rasulullah SAW menegakkan ‘Aqidah Tauhid dan seterusnya mentatbiqkan undang-undang Islam dalam kehidupan masyarakat, tanpa bersusah payah menghadapi tentangan masyarakat Quraisy yang agresif hingga ke tahap ingin membunuh baginda. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

3. Kesempatan yang lain pula, realiti sosial dari sudut moral dan akhlak orang-orang Arab ketika itu amatlah menyedihkan. Sesiapa yang kuat dialah berkuasa. Permusuhan, kezaliman dan pergeseran sesama sendiri sering berlaku. Anak gadis ditanam hidup-hidup. Kemabukan arak, perjudian, amalan pelacuran dan seumpamanya berleluasa. Mungkin seseorang mengandaikan sekiranya Muhammad Rasulullah SAW mengisytihar dari awal-awal lagi suatu bentuk Da’wah Islamiyyah yang bertujuan membaiki moral, membentuk disiplin dan membangunkan akhlak tanpa menekankan permasalahan iman, nescaya Rasulullah SAW akan mendapat sambutan dan sokongan majoriti penduduk tanah Arab. Lebih-lebih lagi pada ketika itu masih terdapat di kalangan orang-orang ‘Arab yang mempunyai sifat-sifat dan `basic morality’ yang baik. Tidak perlu Rasulullah SAW bersusah payah selama 13 tahun berda’wah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah SWT dan mentauhidkan-Nya. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

Allah SWT Maha Mengetahui

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui bahawa semua andaian di atas bukan jalan yang betul untuk menyelesaikan masalah hidup manusia. Allah SWT Maha Mengetahui bahawa masalah hidup manusia tidak dapat diselesaikan tanpa melalui proses pembentukan jiwa berasaskan ‘aqidah yang sahih. ‘Aqidah yang akan menentukan sikap dan nilai sebenar.

Apabila ‘aqidah tauhid mengambil tempat dalam hati dan jiwa para sahabat Rasulullah SAW, dalam suasana mereka menghadapi berbagai halangan dan tentangan yang keras, maka terbentuklah ‘Aqidah Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT. Aqidah tauhid menjadi keyakinan dalam jiwa mereka. Syari’ah dan peraturan Islam menjadi praktik hidup mereka.

Pencetus Dan Pengawas Yang Kuat

Apabila manusia mengenal Ilah, beribadah kepada-Nya semata-mata, membebaskan diri daripada kesultanan manusia serta hawa nafsu dan apabila kalimah Lailaha Illallah menguasai jiwa manusia, pada ketika itu Allah SWT akan menyempurnakan untuk mereka segala sesuatu termasuklah andaian-andaian seperti tersebut di atas tadi. Dalam masa lebih kurang suku abad sahaja, bumi Arab yang terdahulu dijajah oleh Romawi dan Parsi telah dapat dikuasai oleh generasi yang dibentuk oleh Rasulullah SAW melalui proses keimanan kepada Allah SWT dan prinsip-prinsip keimanan yang lain.

Bersihlah masyarakat ‘Arab daripada sebarang bentuk kezaliman. Tertegaklah peraturan Islam pilihan Allah SWT yang adil dan saksama untuk manusia. Bersihlah jiwa dan moral masyarakat daripada saki baki jahiliyyah hingga jarang sekali hukum hudud, qisas dan ta’zir dijalankan pada generasi yang unik ini.

Inilah pencetus dan pengawas yang kuat dan rapi bertapak di dalam hati dan jiwa mereka. Pencetus dan pengawas dalaman bukan luaran semata-mata. Mereka melaku atau meninggalkan sesuatu kerana Allah SWT dan inginkan balasan yang baik daripada-Nya. Inilah rahsia sebenar yang mungkin tidak terfikir dan difikir oleh orang ramai ketika ini.

Realiti Umat Islam Kini

Sering terdengar percakapan-percakapan dan perbincangan-perbincangan di kalangan pemuda-pemuda dan ahli-ahli fikir Islam dewasa ini mengenai keperluan umat Islam terhadap kekuatan harta benda, ilmu pengetahuan dan pelbagai bidang ikhtisas untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi umat Islam dan membangunkan hidup mereka agar lebih maju dan makmur. Namun, amat sedikit didapati perbicaraan dan tindakan yang serius tentang keperluan umat Islam terhadap keimanan sebenar, perhubungan hati dengan Allah SWT, kepatuhan kepada titah perintah-Nya dan mencari keredhaan-Nya dalam semua amalan.

Tegasnya, seseorang perlulah faham dan sedar bahawa setiap amalan yang lakukan dan wasilah yang dimiliki, tanpa bersandarkan kepada dasar keimanan terhadap Allah SWT, akan sia-sialah segala amalan dan wasilah itu di sisi Allah SWT. Begitu banyak harta yang menjadi milik orang-orang Islam tetapi tidak menguntungkan Islam. Begitu juga halnya dalam bidang-bidang lain.

Rahsia Kejayaan Generasi Awal

Kejayaan generasi para sahabat yang dibentuk Rasulullah SAW dalam mengejar matlamat hidup bukanlah kerana mereka memiliki pelbagai wasilah dan alat kelengkapan yang cukup. Rahsia kejayaan mereka ialah keimanan sejati, kepatuhan maksimum terhadap titah perintah Allah SWT dan cita-cita mendalam untuk mendapat keredhaan serta pahala daripada-Nya. Inilah rahsia menyebabkan mereka bersedia penuh menyahut setiap hajat dan keperluan Islam dari masa ke semasa. Juga rahsia yang mendorong mereka berkorban dan bangun melaksanakan setiap tuntutan Islam tanpa rasa berat walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

Islam berhajatkan kerja-kerja da’wah. Maka tampillah para du’at yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Allah SWT melalui lisan dan contoh teladan meskipun menghadapi berbagai halangan dan tentangan daripada musuh. Mereka tetap meneruskan kerja-kerja da’wah tanpa takut atau mundur ke belakang.

Islam memerlukan pengorbanan harta benda. Maka tampillah mereka yang memiliki harta benda dan kekayaan, lalu menginfaq kepada Rasulullah SAW dengan penuh rela tanpa rasa bakhil atau sayang kepada harta benda itu. Hinggalah terdapat di kalangan mereka yang berkata kepada Rasulullah SAW, “Apa yang tuan ambil daripada kami adalah lebih baik daripada apa yang tuan tinggalkan.”

Islam berkehendakkan pengorbanan jiwa untuk mempertahankan kesuciannya daripada dicemari musuh. Maka berlumba-lumbalah mujahid-mujahid dan pejuang-pejuang Islam memberi khidmat suci demi menyahut panggilan Allah SWT. Sungguh banyak pengorbanan, sumbangan dan khidmat bakti mereka untuk kepentingan Islam semata-mata.

Islam Bermula Dengan Usul, Tidak Dengan Furu’

Islam tidak memulakan da’wah dengan mengenegahkan permasalahan furu’ tetapi memulakannya dengan perkara usul (perkara asas atau dasar). Islam di peringkat awal, di zaman Rasulullah SAW, tidak meminta manusia agar bangun berjihad di medan peperangan, berpuasa, berzakat, meninggalkan arak, menjauhkan judi dan sebagainya. Tetapi Islam di peringkat awal meminta dan menuntut supaya beriman kepada Allah SWT semata-mata. Tegasnya Islam bermula dengan ‘aqidah, tidak bermula dengan taklif atau kewajipan. Aqidahlah yang menjadi asas dalam perlaksanaan taklif (kewajipan). Islam bermula dengan batin , hati dan fikiran manusia sebelum sesuatu yang lain. Dari titik tolak aqidah yang bertempat di hati akan berlakulah perubahan dan pembangunan yang hakiki, yakni pembangunan insan di tengah-tengah alam kebendaan.

Apabila perkara dasar ini menguasai hati dan fikiran mereka yang dibentuk oleh Rasulullah SAW, lahirlah keperibadian ummah yang berorientasikan iman. Keperibadian itu menjadi kenyataan. Mereka iltizam dan intizam kepada titah perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam berbagai aktiviti hidup pada setiap masa tanpa berhajatkan pengawasan luar. Segala sesuatu yang terdahulu menjadi masalah dalam kehidupan mereka dapat diatasi dan diselesaikan dengan senang.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menyelesaikan permasalahan arak hanya melalui tiga potong ayat al-Quran al-Karim. Firman Allah SWT:

“Mereka bertanyakan engkau (Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah bahawa kedua-duanya dosa besar dan ada manfaat-manfaat kepada manusia, dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.”
- Surah al-Baqarah: ayat 219

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solah ketika kamu mabuk hingga kamu tidak ketahui apa yang kamu katakan.” - Surah an-Nisa’: ayat 43

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan tenung nasib adalah kotor dari amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya agar kamu mendapat kejayaan.” - Surah al-Maidah: ayat 90

Dengan tiga potong ayat tersebut permasalahan arak dapat diselesaikan oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya, kerajaan Amerika suatu ketika dahulu pernah melarang rakyatnya meminum arak. Dijalankan dia’yah (kempen) kepada masyarakat umum menentang minuman arak. Media massa kerajaan digunakan untuk tujuan tersebut. Hinggalah undang-undang pengharaman arak dikuatkuasakan di Amerika. Kerajaan Amerika menanggung beban perbelanjaan bagi melaksanakan undang-undang tersebut sebanyak 250 juta dollar. Akibat daripada pengharaman undang-undang arak itu, seramai 300 orang dikenakan hukuman mati bersabit kesalahan arak dan 500,000 orang dipenjarakan. Denda yang dikumpulkan sebanyak 400 juta dollar. Namun akhirnya, pada tahun 1933, kerajaan Amerika terpaksa memansuhkan undang-undang pengharaman arak.

Perhatian

Setiap Muslim dan Muslimah perlu memahami secara sedar bahawa Islam sebagai peraturan hidup manusia merupakan Qadhiyyah Ilahiyyah (Permasalahan Uluhiyyah) yang bersifat samawi, tidak layak disamakan dengan peraturan-peraturan hidup ciptaan manusia. Umat Islam yang memahami hakikat ini sekali-kali tidak akan menyamakan Islam dengan mana-mana peruntukan hasil pemikiran makhluk.

Setiap Muslim dan Muslimah perlu meyakini bahawa Islam merupakan Din Allah SWT untuk manusia sejagat. Mereka perlu yakin bahawa Islam sahaja mampu menyelesaikan masalah manusia lantaran Islam ditanzilkan oleh Pencipta manusia. Sesiapa yang memilih din yang lain maka dia menempa kerugian seperti mana yang diperingatkan Allah SWT dalam Firman-Nya:

“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Din (peraturan hidup) maka sesekali tidak diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi.” - Surah Ali Imran: Ayat 85

Saturday, July 3

KESUNGGUHAN (JIDDIYAH) DALAM BERAMAL



Apa yang dikehendaki oleh Islam daripada penganutnya ialah membentuk umat yang soleh untuk menjadi Khalifah dan memakmurkan muka bumi, agar dengan itu ia menjadi umat yang terpelihara identitinya dan memuliakan diri ke merju jaya. Itu tidak akan dapat dicapai kecuali dengan memiliki sikap positif dan bersungguh-sungguh. Ia hendaklah bermula dengan dirinya, kemudian berpindah posisi daripada kedudukan pengkritik kepada kedudukan penyumbang yang menggerakkan agenda dan mengepalai urusan dengan penuh keyakinan diri dan kepergantungan kepada Allah tanpa mengendahkan segala halangan atau terpengaruh dengan desakan orang awam.

Makna kesungguhan


Kesungguhan lawan kepada perkataan olok-olok, bermudah-mudah, lemah dan lembap. Ia bermaksud: "melaksanakan tanggungjawab syarak dan dakwah serta-merta, cekal, berterusan dengan menggunakan semaksimum mungkin kebolehan yang ada, tanpa mempedulikan halangan atau mencari alasan untuk tidak melakukannya".


Sejarah telah diwarnai dan dipenuhi oleh orang-orang yang bersungguh-sungguh. Bukan oleh orang-orang yang santai, berehat-rehat dan berangan-angan. Dunia diisi dan dimenangkan oleh orang-orang yang merealisasikan cita-cita, harapan dan angan-angan mereka dengan jiddiyah (kesungguhan) dan kekuatan tekad.


Namun kebatilan pun dibela dengan bersungguh-sungguh oleh para pendukungnya, oleh kerana itulah Ali bin Abi Thalib ra. menyatakan: "Al-haq yang tidak diurus dengan baik akan dikalahkan oleh Al-bathil yang diurus dengan baik".


Ketika Allah menyuruh Nabi Musa as mengikuti petunjuk-Nya, tersirat di dalamnya sebuah pesanan abadi, pelajaran yang mahal dan kesan yang mendalam:


"Dan telah Kami tuliskan untuk Musa pada luh-luh (Taurat) segala sesuatu sebagai pelajaran dan penjelasan bagi segala sesuatu; maka (Kami berfirman): Berpeganglah kepadanya dengan teguh dan suruhlah kaummu berpegang teguh kepada perintah-perintahnya dengan sebaik-baiknya, nanti Aku akan memperlihatkan kepadamu negeri orang-orang yang fasiq".(QS. Al-A’raaf (7):145)


Jiddiyah ini juga nampak pada diri Nabi Ulul Azmi (yakni Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, Muhammad yang dianggap memiliki azam terkuat).



Dakwah berkembang di tangan orang-orang yang memiliki kesungguhan dan semangat juang yang tidak pernah pudar. Ajaran yang mereka bawa bertahan melebihi usia mereka. Boleh jadi usia para mujahid pembawa misi dakwah tersebut tidak panjang, tetapi cita-cita, semangat dan ajaran yang mereka bawa tetap hidup sepeninggalan mereka. Apa ertinya usia panjang namun tanpa isi, sehingga boleh jadi biografi kita kelak hanya berupa 3 baris kata yang dipahatkan di nisan kita : ‘Si Fulan lahir tarikh sekian-sekian, mati tarikh sekian-sekian’.


********************************

Saturday, June 26

keindahan hati





Dengan namaMu yang Maha Agung lagi Maha Tinggi, Ku ziarahi hati-hati yang Engkau limpahi kasih Ilahi..., Moga ini Engkau redhai sebagai amal soleh.
Wahai setiap hati yang sentiasa diperhati, Sentiasalah melaraskan kedudukan hatimu di landasan iman dan taqwa; "Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram".(QS AR-R'ad:28)

Hati...,sesuatu yang unik kewujudannya. Mempunyai bentuk yang nyata..., juga memiliki rasa. Sebagai salah satu organ, juga sebagai salah satu sifat yang memenuhi perasaan. Bila dilihat sebagai organ, hati yang sehat akan mempengaruhi kesehatan jasad seluruhnya. Bila hati mengalami kecederaan atau diserang penyakit, kesihatan seluruh tubuh turut terganggu. Bila disebut tentang hati yang bersaudara kembar dengan jiwa, ianya akan berkait rapat dengan perasaan. Hati yang baik dan sejahtera akan memberi perasaan tenteram dan membentuk watak mulia dan bersopan. Kedua-dua bentuk hati ini tetap punya kesan besar dalam kehidupan insan. Sehat hati, sehatlah jasad dan mulia peribadi.


Dalam memenuhi tanggungjawab berubudiyah serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah, kita perlu memiliki hati tulus dan ikhlas. Tulus tanpa sebarang kepentingan peribadi. Ikhlas semata-mata mengharap redha Allah. Inilah gambaran hati yang sungguh indah. Kebaikannya akan membawa manfaat kepada hidup insan lain.

Hati yang indah ini juga bermaksud hati yang ikhlas. Tanda-tandanya dapat dilihat;

1.Takutkan kemasyhuran.
Ibrahim bin Adham berkata: "Orang yang cintakan kemasyhuran tidak berlaku benar terhadap Allah".


Fudhahil bin'Iyad berkata: "Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah.Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah?".


Bisyr Al-Hafiy berkata: "Tidak akan merasakan manis kehidupan akhirat orang yang suka terkenal di tengah-tengah kalangan manusia". 2. Sentiasa khuatir amalan diri tidak Allah terima jika ada riyak menyusup tanpa disedari. 3. Beramal diam-diam secara sembunyi dari publisiti. 4. Tidak asyik dan mengharapkan pujian. 5. Tidak kedekut memuji orang lain yang berhak dipuji. 6. Melaksnakan tanggungjawab khalifah Allah tanpa mengharap pengiktirafan ketokohan juga sebarang jawatan kepimpinan. 7.Mencari keredhaan Allah, bukan redha manusia. 8. Redha dan marah kerana Allah semata-mata. 9. Sabar di sepanjang jalan hidup. 10. Merasa senang sekiranya ada orang lain yang turut bergabung keupayaan dalam melaksanakan amanah Allah. 11. Menghindari ujub dan bangga diri. 12. Terus-menerus menjalani proses pembersihan diri dan nafsu.Wahai hati-hati yang sentiasa hajatkan ketulusan hakiki,

Isi masamu memperkemas dan memantapkan keikhlasan; 1. Ilmu yang mendalam berkaitan pebinaan ikhlas dan praktiknya. 2. Bersahabat dengan orang-orang yang ikhlas. 3. Membaca sejarah orang-orang yang mukhlis. 4. Mujahadah melawan nafsu. 5. Sentiasa berdoa memohon pertolongan Allah dalam apa jua keadaan.

Merenungi hakikat ikhlas ini...,membuat diri kerdil ini merasai betapa Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah kepada setiap hambaNya. Bagi diriku... sepanjang jalan hidupku terasa seperti tercampak dan terbuang , namun alam yang luas Allah bentangkan sebagai rahmat. Asal saja mengambil Islam sepenuhnya sebagai sebaik-baik cara hidup. Justru hati diserahkan untuk dididik dan dibersihkan di dalam wadah amar maaruf nahi munkar, terasalah kini betapa Maha Suci kasih Allah Rabbul 'Izati.

Semoga kita semua kekal ke akhir hayat di dalam hidayahNya... "Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada RabbMu dalam redha dan diredhai. Maka oleh itu masuklah dalam golongan hamba-hambaKu. Dan silalah masuk ke dalam syurgaKu".



*********************************

Monday, June 21

~panasnye dunia dan dugaanKU~





Alhamdulillah hari ini selamat menjawab peperiksaan bagi matapelajaran qadaya….

Alhamdulillah banyak sangat rasanya bantuan yang ALLAH berikan kepadaku….





Hari ini cuaca tersangatlah panas…bayangkanlah mengambil peperiksaan diwaktu petang…suhu seakan-akan ku berada dalam ‘oven’…nasib baik bukan ayam...kalo tak...da tentu ditelan...huhu....memang panas tahap gaban…bayangkanlah dalam sejarah peperiksaan yang pernah dilalui,hari ni belum sampai setengah jam menjawab ,dah berjaya menghabiskan air sebotol…memang kepanasan sangat tadi….





Soalan Qadaya ni da la satu hal memanaskan gak…tapi Alhamdulillah banyak rasanya bantuan dari ALLAH…



soalan berkaitan dengan asas-asas demokrasi memang ditekankan memandangkan ianya sangat diperlukan apabila pulang nanti,diteruskan pula dengan agenda saham…melalui perancangan ‘simsar’ atau lebih dikenali dengan broker….




memang soalannya agak menguji minda….kulihat kiri kanan...semakin kurang manusia yang menjawab...kebanyakan nya keluar awal,mudah sangat ke atau panas yang teramat???

Sedang kusyuk menjawaab soalan demi soalan,tetiba mata menjadi kabur…uiks???rasa-rasa sebelum-sebelum ni ok je….tapi macam de tak kena ni…apasal da tak nampak soalan ni’cetus ku dalam hati…kalau jerit confirm kena marah…adakah nikmat penglihatanku telah ditarik….aarrggghh!!!! tidak…tak mungkin…Ya ALLAH…kasihanilah aku…..huhu~




mulalah akalku memikirkan yang bukan-bukan...cane nak tgk mak abah ni...huhu...tahun nak balik...takkan balik buta kot...cane ni..nak terus jawab ke nak kua terus ni...monologku sendiri....



Perlahan-lahan ku tutup mata , tetiba berlinangan airmata ku…huh…kenapa ni…kubuka mata…oh…Alhamdulillah , kering sangat rupanya mataku…patutlah kabur..patutlah berair bila ditutup… Alhamdulillah….kuteruskan menjawab soalan demi soalan…



ALHAMDULILLAH agak lancar beberapa ketika....




Kali ini dugaan lain pulak datang…tetiba kurasakan dibahagian tekakku ini seperti besi paip karat yang kering-kontang…huhu…bekalan air minum yang kubawa telah kehabisan…situasi ini membuatkan diriku tak selesa…yela…bermain-main ngan airliur yang semakin pupus ditekak…ku cuba meminta bantuan dari pengawas peperiksaan untuk carikan air….selamber die jawab-‘nape tak bawak air???’’’’

Huh…bukan tak bawak,tapi dah abislah….kuteruskan menjawab ,sambil2 berdoa…manalah tau de pertolongan disaat ni…tetiba ku terdengar bunyi lagaan cawan-cawan…sesekali terdengar lolongan ‘Aisy syai???’’’’




Haaaa….Alhamdulillah….org jual tea ‘o’….aku pun xmelepaskan peluang….angkat tangan…maka datang la arab tadi membawakan ‘syai’ tadi dengan penuh beradab….setelah ambil,aku pun mengeluarkan duit…alamak…LE100….air teh tu Cuma LE 1…singgit je….maka berubah la wajah pakcik tadi seolah-olah menyangka ditipu…tapi air da dihirup…huhu…takpe…buat selamba…setelah perbincangan maka pakcik tadi sedekah je kat aku…Alhamdulillah….kuteruskan menjawab sehingga selesai….Alhamdulillah….




Perjalanan pulang juga diuji….tetiba hari ni susah nak dapat teksi…mungkin sebab permintaan yang sangat tinggi dari orang ramai,maka drebar2 teksi ni menaikkan harga ikut suka mereka…ape nak buat…orang dalam kesusahan memang selalu diambil kesempatan…tak pe la…kami bersetuju membayar LE 15 untuk pulang ke hayyu sabie’ (syeksen 7)huhu…dalam perjalanan memang tersangatlah panas….




Kami tidak terus pulang kerumah,sebaliknya singgah disebuah restoran berdekatan untuk menikmati santapan sebelum pulang ke rumah….lalu kuminta air ni…..huhu….macam2 warna…maka hilanglah haus yang melanda…..






alhamdulillah


(teh 'o' ais...jagung ais...bandung ais....ali cafe ais)
*************************************************************


Kesimpulannya……

kita rasa kesempitan tu kesusahan tanpa memikirkan bahawa tu lah ruang kita merasai nikmat…(selalu rasa nikmat sampai lupa diri)

Bahang yang kurasa sangat lah panas…tak tertahan rasanya….tu baru bahang…matahari pun xjelas sangat…bayangkan api neraka????belum api dunia…bahang panas matahari pun dah tak tahan… bahang yang panas leh buatkan mata ku kabur….bahang api neraka???mungkin leh terkeluar terus biji mata ni….

Kerongkong kering sangat…tapi Alhamdulillah dapat minum air,…kat neraka ????? minum api neraka….leh hilang ke haus???

YA ALLAH….jauhkan kami dari azab api neraka-Mu….

ampunkan kami….

sesungguhnya kami tak mampu menahan panas dunia…

bagaimanalah kami nak menampung seksa api nerakaMu…..

Ya ALLAH...lemahnya Kami~


**********************************************



p/s-

banyak lagi air lain boleh menghilangkan dahaga :)



sekian...

*****************************

Roslizan bin Mohd Yusof...



Laut dan Dakwah – Sebuah Refleksi Jiwa

Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...