Tuesday, October 19

tak yah marah2 :)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Semua manusia pada dasarnya memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat mengendalikan marah dan senantiasa menjadi pema’af.

Fiirman Allah s.w.t yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”
(Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Al Imam Al Hasan Al Bashri rahimahullah berkata: “Empat hal, barangsiapa yang mampu mengendalikannya maka Allah akan menjaga dari syaitan dan diharamkan dari Neraka : iaitu seseorang mampu menguasai nafsunya ketika berkeinginan, cemas, syahwat dan marah.”

Setiap Muslim harus marah manakala kemuliaan Islam dihina, contohnya apabila penghinaan terhadap baginda Rasulullah s.a.w. yang dilakukan oleh orang-orang yang anti Islam.

Sedangkan kita dituntut untuk dapat mengendalikan marah sekaligus mema’afkan orang lain ketika penyebab marahnya tertuju kepada diri secara peribadi, contohnya ketika jasa seorang suami kurang dihargai isterinya maka suami tersebut hendaklah bertenang jangan cepat merasa marah.

Dalam riwayat Abu Said al-Khudri Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Sebaik-baik orang adalah yang tidak mudah marah dan cepat meredhai, sedangkan seburuk-buruk orang adalah yang cepat marah dan lambat meredhai "
(Hadis Riwayat Ahmad).

Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. : “Berilah saya nasihat.” Baginga s.a.w.bersabda, “Jangan marah.” Lelaki itu terus mengulang-ulang permintaannya dan baginda tetap menjawab, “Jangan marah.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sahabat yang dimuliakan,
Kemarahan adalah bara api yang ditanamkan syaitan ke dalam hati manusia, sehingga secara fizikal, kita pun dapat melihat tanda-tanda kemarahan, seperti mata menjadi merah, urat lehernya menegang, tangan gemetar sampai mengeluarkan sumpah serapah. Jika tidak dapat mengendalikan marah, maka manusia akan kehilangan akal yang sihat.

Imam Ja'far Ash-Shadiq memberikan nasihat, iaitu "Hindarilah marah, kerana hal itu akan menyebabkan kamu tercela."

Kemarahan dapat merusak keseimbangan emosi dan merusak kesihatan jasmani. Orang yang pemarah, biasanya mengalami gejala seperti sakit punggung akibat stress, susah tidur, sakit perut, degupan jantung meningkat melebihi batas.

Ada seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah s.a.w.dan mengatakan, “Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepada saya sebuah ilmu yang boleh mendekatkan saya ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka.” Maka baginda s.a.w.bersabda, “Jangan tumpahkan kemarahanmu. Nescaya Syurga akan kau dapatkan.” (Hadis Sahih Riwayat Thorani)

Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi s.a.w., "Berilah aku wasiat?." Nabi s.a.w. bersabda: : "Janganlah engkau marah" Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi s.a.w. bersabda : " Janganlah engkau marah"
(Hadis Riwayat Bukhari).

Maka menahan marah merupakan suatu hal yang harus kita latih agar mendapatkan kenikmatan di Syurga kelak.

Terdapat lima pekara untuk mengatasi perasaan marah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Membaca Ta'awwudz. (memohon perlindungan Allah s.w.t daripada gangguan syaitan)

Sulaiman Ibnu Sard meriwayatkan, pernah dua orang saling mencerca satu sama lainnya di hadapan Rasulullah s.a.w.. Sementara itu, kami sedang duduk di sisinya. Salah seorang dari mereka menghina yang lainnya dengan marah, hingga merah mukanya. Maka Rasulullah s.a.w.bersabda maksudnya : "Aku mengetahui suatu kalimat, jika diucapkan olehnya (laki-laki yang merah mukanya), maka akan hilang kemarahannya. Hendaklah dia berkata: A’udzubillahi minasy syaithanir rajim (maksudnya 'aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk).
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Berwudhu' .

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : " Sesungguhnya, kemarahan itu berasal dari syaitan. Dan syaitan tercipta dari api. Dan sesungguhnya, api itu dapat dipadamkan dengan air. Jika salah seorang diantara kalian marah, maka berwudhu'lah. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud, hadis ini hasan.)

3. Duduk.

Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Kalau kalian marah maka duduklah, kalau tidak hilang juga maka bertiduranlah"(Hadis Riwayat Abu Dawud).

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Jika salah seorang kalian marah dan dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah duduk. Jika masih belum reda marahnya, maka hendaklah berbaring.
( Hadis Riwayat Ahmad )

Hal ini kerana marah dalam berdiri lebih besar kemungkinannya melakukan keburukan dan kerusakan daripada dalam keadaan duduk. Sedangkan berbaring lebih jauh lagi dari duduk dan berdiri.

4. Diam.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Jika engkau marah, maka diamlah. Jika engkau marah, maka diamlah.
(Hadis Riwayat Ahmad ) .

Banyak berbicara dalam keadaan marah tidak boleh mengawal perasaan sehingga terjatuh pada pembicaraan yang tercela dan membahayakan dirinya dan orang lain.

Dalam hadis disebutkan :“Apabila diantara kalian marah maka diamlah.” Baginda s.a.w. ucapkan tiga kali."
(Hadis Riwayat.Ahmad)

5. Bersujud (maksudnya solat sunat dua rekaat)

Nabi s.a.w bersanda maksudnya : "Ketahuilah, sesungguhnya marah itu bara api dalam hati manusia. Tidaklah engkau melihat merahnya kedua matanya dan tegangnya urat darah di lehernya? Maka barangsiapa yang mendapatkan hal itu, maka hendaklah ia meletakkan pipinya dengan tanah (sujud)."
(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsu. Banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

Walaupun perasaan marah itu banyak dihasut oleh syaitan, ada waktunya perasaan itu boleh diredakan dengan kita mengalihkan pemikiran kita kepada Allah yang sentiasa melihat kita dan apa yang kita lakukan.

Ingatlah, Allah tidak menyukai hamba-Nya berakhlak buruk, apatah lagi kesan dari akhlak buruk itu boleh mendatangkan perkara tidak baik. Amalkanlah lima perkara di atas merupakan kaedah untuk mengatasi perasaan marah yang tidak dapat dikawal. Sesungguhnya apabila kita menjauhkan diri daripada mengamalkan sikap marah atau orang yang suka marah, kita sebenarnya menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah s.w.t dan menjadi hamba yang diredhai-Nya.

Monday, October 18

Di Antara Kalam Hikmah Imam asy-Syafi'i

Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi'i radhiyallahu 'anhu berkata:-


1) Ilmu itu bukan apa yang dihafal, tetapi ilmu itu ialah apa yang dimanfaatkan.

2) Perbalahan dalam ilmu hanya akan mengeraskan hati dan menimbulkan permusuhan.

3) Siapa yang tidak dimuliakan oleh taqwa, maka dia tidak memiliki kemuliaan. Siapa yang melihat dirinya lemah (di hadapan Allah Ta'ala), maka dia akan memperolehi istiqomah. Siapa yang sangat menginginkan dunia, maka dia akan menjadi hamba kepada pencintanya (dunia). Siapa yang puas dengan apa yang ada (bersifat qana'ah), maka dia tidak akan tunduk kepada orang lain.

4) Kebaikan dunia dan akhirat itu adalah lima perkara:
- Kaya jiwa,
- Tidak menyakiti orang lain,
- Hasil usaha yang halal,
- Pakaian taqwa,
- Kepercayaan teguh kepada Allah Ta'ala dalam setiap keadaan.

5) Lelaki itu tidak akan mencapai kesempurnaan melainkan dengan empat perkara:
- Kuat beragama
- Bersikap amanah
- Memelihara diri (daripada perkara yang menjatuhkan maruah)
- Bersikap tenang.

6) Siapa yang menegur saudaranya secara rahsia, bererti dia telah menasihatinya dengan ikhlas. Siapa yang menegur saudaranya secara terang-terangan, bererti dia telah memalukannya.

7) Tawadhuk itu adalah sebahagian daripada akhlak golongan yang mulia, manakala takbur itu adalah sebahagian daripada tanda golongan yang hina.

8) Apabila urusan menjadi banyak, maka mulakan dengan yang paling penting.

9) Siapa yang memiliki tiga perkara, bererti dia telah menyempurnakan imannya:
- Siapa yang menyuruh yang makruf serta melakukannya,
- Siapa yang mencegah yang mungkar serta meninggalkannya,
- Siapa yang menjaga batasan hukum-hakam Allah Ta'ala.

Wallahu a'lam.

Dipetik daripada kitab al-Manhaj as-Sawiyy Syarh Usul Toriqah as-Sadah Ba 'Alawi karangan al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumait. Rujuk juga kitab Manaqib asy-Syafi'i karangan Imam al-Baihaqi, kitab Tahzib al-Asma' wal Lughat karangan Imam an-Nawawi dan kitab Siyar A'lam an-Nubala' karangan Imam az-Zahabi.

p/s: Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya: "(Allah) mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Siapa yang dikurniakan hikmah, bererti dia telah dikurniakan kebaikan yang banyak.." [Surah al-Baqarah: 269]


di petik dari (humair)

Sunday, October 17

PULANGNYA SEORANG PERMATA BKAWM




KAHERAH, 16 OKT.- Jasa mu sentiasa akan dikenang. Itulah ungkapan yang terbaik kepada Saudara Khairul Aswad yang merupakan seorang aktivis Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) yang sentiasa membantu BKAWM dalam apa jua keadaan sekali pun. Kepulangannya sungguh dirasai oleh semua ahli BKAWM.

Kepulangannya ke Malaysia bagaikan sebutir mutiara yang tiada gantinya. Saudara Aswad yang memulakan kerjayanya di BKAWM sebagai Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) BKAWM memegang portfolio Ketua Unit Penerangan Dan Penerbitan sesi 2008/2009. Beliau merupakan graduan Maahad Al-Azhar Syoubra telah menamatkan pembelajarannya tahun lepas sebelum menyambung pengajian ke Syria untuk mengambil Kuliah Bahasa Arab di sana.

Walaupun beliau sudah menamatkan pengajian tetapi komitmen beliau dengan persatuan tetap berterusan sehingga sebelum beliau pulang ke Malaysia semalam. Turut hadir untuk menghantarnya ialah mantan-mantan AJKT BKAWM, Saudara Roslizan, Saudara Khairul Afandi,Saudara Hisyam mantan YDP BKAWM dan seorang wakil AJKT BKAWM 2010, Saudara Syazwan. Diharapkan kepulangan beliau akan memberi kesan yang mendalam kepada perkembangan agama islam di Malaysia nanti.

Bergambar beramai-ramai sebelum chek in


di copy dari (bkawm)


*********************************************************************************

selamat berjuang kepada beliau di tanah air Malaysia...



bersabar kerana Allah

Sabar, adalah kalimat yang mudah diucapkan. Namun berapa ramai antara kita yang bersabar dalam apa jua suasana dan ketika. Adakah sabar itu ada batasnya?, Sabar yang bagaimana sehingga ia diiktiraf sebagai sebahagian dari iman? Adakah kita tergolong dalam golongan orang yang sabar lalu kita terpilih menjadi kesayangan Allah s.w.t.?

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan berapa ramai para nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah (mental) kerana bencana yang menimpa di jalan Allah, tidak lesu (dalam penampilan), dan tidak menyerah (dalam aktiviti). Allah menyukai orang-orang yang sabar."
(Surah Ali Imran ayat 146)

Menurut Imam Ghazali, sabar adalah sifat khas manusia yang tidak dimiliki makhluk-makhluk lain. Oleh itu, sabar amat penting dan utama dalam mengharungi kehidupan.
Bahkan kemaksiatan yang tumbuh dalam masyarakat juga disebabkan oleh manusia yang tidak sabar dalam menghadapi kehidupan dunia yang penuh dinamik.

Abu Talib al- Makky berkata, "Banyaknya kemaksiatan yang dilakukan oleh sesaorang kerana dua perkara ; Pertama : Kerana sedikitnya kesabaran terhadap sesuatu yang disenangi atau disukai. Kedua : Kerana sedikitnya kesabaran terhadap sesuatu yang tidak disukai."

Namun demikian, masih ramai umat Islam yang keliru dalam memahami ertikata sabar. Ada yang menyangka, sabar bererti 'mengusap dada' setiap kali menghadapi masaalah hidup. Ada pula mengungkap sabar itu ada batasnya, lalu apabila sampai dibatasnya kesabaran akan hilang ! Adakah ini sudah memadai untuk dinamakan sabar?

Dari ayat 146 surah Ali Imran menunjukkan sekurang-kurangnya terdapat tiga kriteria orang sabar iaitu :
Pertama : Tidak pengecut atau lemah mental apabila berhadapan dengan kesulitan hidup. Dia dapat mengawal diri dan segera menstabilkan emosi dan mentalnya, sebelum orang lain menasihatkannya.

Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi sebuah kawasan perkuburan. Baginda melihat seorang ibu menangis tersedu-sedu sambil menutup mukanya diatas pusara anaknya yang baru sahaja dimakamkan. Nabi menghampiri seraya bersabda yang bermaksud :"Wahai ibu, bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah."

"Engkau tak tahu apa yang aku rasakan," katanya.

Nabi pun meninggalkannya. Seorang sahabat yang menyaksikan peristiwa tersebut, berkata kepada wanita tadi, "Adakah engkau tahu, siapa yang berbicara denganmu tadi? Itu adalah Rasulullah s.a.w!

Wanita itu terkejut. Bergegas dia mengejar Nabi Muhammad s.a.w ingin meminta maaf atas kelancangan perilakunya. Ketika bertemu, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya sabar yang sejati hanyalah pada saat seseorang terkena musibah untuk kali pertama!"

Kedua : Dia merasa tidak lesu dari segi penampilannya. Seseorang yang bersifat sabar tidak pernah merasa perlu menampilkan kesedihan atau kesulitan masaalahnya kepada orang lain. Diraut wajahnya tidak menampakkan kelesuan atau kesugulan walaupun berapa sulitnya masaalah yang dihadapinya. Dia sedar betul bahawa tiada manusia didunia ini yang tidak luput dari masaalah. Untuk dia bertenang menghadapi keadaan ini dia sentiasa berhubung dengan Allah s.w.t. dengan dia berdoa, bermunajat, bersolat tahajjud, berzikir dan membaca Al-Quran.

Ketiga : Tidak menyerah atau tunduk darisegi aktiviti. Seorang yang sabar sentiasa memelihara ketekunan dan ketahanan dirinya. Dia sentiasa gigih dalan usaha mencapai sasarannya. Dia seorang yang tidak kenal perkataan putus asa. Tidak ada dalam kamus hidupnya putus harapan. Dia tidak mudah patah semangat apabila berhadapan dengan kegagalan. Dia selalu memelihara dan mengembangkan sikap positif dan optimis dalam hidupnya. Jika dia menemui kegagalan hari ini dia akan cuba sekali lagi keesokan harinya. Jika esoknya dia masih gagal, dia cuba kembali pada hari lusanya. Yang pasti dia tidak akan memilih untuk duduk diam tanpa usaha yang berterusan.

Seringkali manusia lupa bahawa hidup didunia berbedza dengan akhirat. Diakhirat segala sesuatu menjadi serba kekal. Seseorang hanya akan merasakan bahagia yang terus menerus didalam Syurga, atau sebaliknya mendapat siksa yang kekal di Neraka Jahannam. Sebaliknya kehidupan didunia bersifat fana, sementara dan penuh pancaroba. Suka-duka, berjaya-gagal,rahmat dan bencana datang silih berganti. Pada suatu ketika seseorang itu berada diatas manakala pada ketika yang lain dia berada dibawah. Dalam suasana yang demikian sifat sabar amat diperlukan.

Oleh itu sifat sabar perlulah menjadi pakaian hidup kita. Kita bersabar dan istiqamah dan kekal didalam keimanan kepada Allah s.w.t dan rukun-rukun iman yang lain. Kita bersabar untuk sentiasa hidup dan melaksanakan ajaran-ajaran Islam yang sempurna sebagai ad-deen, semuga dengan ini, insya Allah dengan berkat kesabaran kita didunia, kita akan dapat menikmati kebahagian kehidupan yang kekal abadi di hari Akhirat.

Tuesday, October 12

kawal hati...kaya peribadi

pemuda-pemudi Islam sejati; ku mengasihi kalian dengan kasih sayang Islam supaya dengannya kita dikumpulkan bersama-sama di yaumil akhir nanti. Di sana nanti tiada lagi naungan selain dari naungan-Nya. Hamba-hamba Allah yang beriman dan saling berkasih-sayang kerana Allah serta saling ingat-memperingati kepada kebenaran dan kesabaran, layak dihimpunkan di bawah naungan dan lindungan-Nya.



Pemuda-Pemudi harapan! Mari sama-sama kita meneliti maksud sabda Rasulullah s.a.w; "Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Apabila ia rosak, akan rosak pula seluruh jasad. Iulah hati atau kalbu.(Riwayat Bukhari dan Muslim).



Bertolak dari penelitian ini perlu sentiasa diingat, telah Allah sediakan dua pontensi pada hati;"Maka Allah mengilhamkankepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya".(Surah Asy-Syam:8-10)



pejuang, ketahuilah hati juga adalah sumber keberanian, semangat dan komitmen. Ia sumber tenaga yang menuntun kita melaksanakan berbagai bentuk tindakan samaada baik maupun buruk. Sekiranya hati itu diperkaya dengan iman dan takwa, maka beruntunglah tuan punya. Kekayaan iman dalam hati lebih lumayan dan mewah berbanding kekayaan fizikal yang dihitung sebagai kebendaan. Tidak dinafikan untuk memenuhi keperluan hidup harian, kita perlukan wang ringgit dan harta benda. Namun hanya dengan prasarana yang lengkap belum dapat memastikan kita mampu menjalani hidup ini dalam bahagia dan makmur. Hanya kemewahan fizikal, sedangkan hati jahil dan rakus sering menjerumuskan tuan punya kepada penyelewangan serta kehanuran.

sahabat-sahabatku yang Allah bahagiakan dengan nikmat Islam; Mari sama-sama kita singkap sejarah keagungan Islam yag memaparkan kepada kita bukti tentang hati yang menjadi pusat kawalan kepada setiap tindakan jasad...
Pada suatu hari yang cerah, ketenangan Kota Madinah dihiruk-pikukkan oleh masuknya satu rombongan kafilah besar, Kesibukkan begitu rupa turut menarik perhatian ummul mukminin Saydatina Aisyah; "Rombongan kafilah inikah yang menyibuk semua orang berkumpul dan memerhati?".
Salah seorang sahabat menjelaskan; "Benar ya ummul mukminin, ada 700 kenderaan. Itu kepunyaan Abdurrahman bin Auf yang baru pulang dari Syam. Sudah tentu membawa barang dagangan yang banyak!".
Saydatina Aisyah:"Ingatlah aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda; Aku melihat Abdurrahman bin Auf masuk syurga dengan perlahan-lahan!".



"Mengapa dia tidak memasuki syurga dengan berlari kencang bersama angkatan pertama para sahabat Rasulullah?".


Beberapa orang sahabat Rasulullah menyampaikan teguran Saydatina Aisyah pada Abdurrahman bin Auf. Abbdurahman sendiri mengakui bahawa dia pernah terdengar Rasulullah s.a.w. bersabda demikian. Malah dia ingat hadis-hadis tersebut telah diulang Nabi s.a.w beberapa kali dengan susunan kata-kata yang berbeza.


Sebelum mengemaskan barang-barang dagangan yang dibawanya, Abdurrahman terus menuju ke rumah Saydatina Aisyah r.a.


Abdurrahman bin Auf: "Wahai ummul mukminin, anda telah mengingatkan saya kepada hadis yang sentiasa saya ingati. Dengan ini saya berharap anda menjadi saksi, bahawa kafilah ini serta seluruh muatan dan kelengkapan juga kenderaanya, saya sumbangkan di jalan Allah s.w.t! Bahagikanlah semuanya kepada penduduk madinah".


Sungguh tulus hati Abdurrahman bin Auf. Meski pun dia merpakan ahli perniagaan paling berjaya di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah, namun dia tidak membiarkan keuntungan akhirat diatasi oleh dunia semata-mata. Sepanjang hayatnya dia telah menguruskan harta kekayaannya dengan sifat dermawan dan hati yang sentiasa mengharapan keredhaan Allah.


sahabat-sahabat tercinta! Dalam membiayai kehidupan hari ini tidak dinafikan dengan wang dan kekayaan sangat diperlukan. Namun sebagai seorang muslim sewajarnya kita memastikan harta yang kita miliki memberi manfaat untuk kehidupan dunia dan akhirat. Juga menepati ciri-ciri harta yang barakah;


  • Membuat pemiliknya merasa qanaah(puas dan cukup)
  • Pemiliknya merasakan harta itu sebagai pinjaman dari Allah, dia sekadar pengurus amanah.
  • Pribadi miliknya dihormati kerana bijak menggunakan harta di jalan kebajikan dengan banyak bersedekah di samping mengeluarkan zakat.

Begitulah sahabat-sahabatku yang gigih!

Iman dan takwa yang memenuhi hati merupakan kekayaan hakiki yang mampu mengawal kemewahan fizikal dan material menepati keredhaan Allah. Seiring dengan itu akan membawa manfaat kepada orang lain, seperti mana maksud sabda Rasulullah s.a.w; "Sebaik-baik manusia ialah dia yang membawa manfaat kepada orang lain".

Suatu Masa Dulu, Suatu Masa Kini.........

Suatu Masa Dulu...
Budi adalah sakti
Budi tak dijual beli
Budi sangat diingati

Suatu Masa Dulu...
Atas Budi ditambat janji
Janji setia Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun
Takkan mengaib dan berbunuh

Suatu Masa Dulu...
Atas Budi, raja didaulat
Air kaki raja menjadi ubat
Ketulahan raja China yang tak kenal pangkat

Suatu Masa Dulu...
Budi bahasa diberi percuma
Budi bahasa maruah harganya
Budi bahasa tiada galang gantinya

Suatu Masa Dulu....
Atas Budi, nenek moyang bergurindam

Pisang emas dibawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati


Suatu Masa Kini,
Budi tiada nilai erti
Yang ada hanya tuan dan kuli
tunjuk sana tunjuk sini

Suatu Masa Kini,
Budi hanya hiasan di akhbar
Jadi lencana menteri dan pembesar
Ditolak tarik ikut selera besar

Suatu Masa Kini,
Budi bahasa harganya diletak
Aku bayar, kau bergerak
No Money, No Talk

Suatu Masa Kini,
Budi itu gantinya duit
Diberilah istilah menyelit-nyelit
Panggil rasuah kang, orang hamun bukan sikit

Suatu Masa Kini,
Budi itu andalnya ringgit
Aku dah kredit, ngko kene debit
Belakang hari jangan ngko menguit

Suatu Masa Kini,
Kerana budi hilang maruah
Idea tenaga habis ditarah
Balasnya bukan ukhuwah mahupun hadiah
Tapi ludah dan sampah

Suatu Masa Dulu....
Budi itu hadiah
Dari tuhan yang maha pemurah
Budi pencetus saudara dan ukhuwah
Budi membina masyarakat bermaruah

Suatu Masa Kini,
Budi itu sampah
Pemberinya dilayan tak bermaruah
Dicampak ke tepi mahupun ke bawah
Dek ulat dan lintah-lintah

Alahai Budi.........




sy copy dari.....(pinggir segala kalbu)

Monday, October 11

............................................................

Imam Hasan Al-Bana pernah menitipkan :

الإسلام نظام شامل يتناول مظاهر الحياة جميعا
فهو دولة ووطن أو حكومة وأمة
وهو خلق وقوة أو رحمة وعدالة
وهو ثقافة وقانون أو علم وقضاء
وهو مادة أو كسب وغنى وهو جهاد ودعوة
أو جيش وفكرة كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة سواء بسواء
.
Islam itu adalah Peraturan yang meliputi seluruh kehidupan manusia . Termasuk perbahasan Negara, Negeri, pembentukan kerajaan dan pembinaan Masyarakat , nilai Akhlak, kekuatan, kasih-sayang dan keadilan, Kebudayaan, perundangan, Intelektual dan penghakiman. Islam juga meliputi Material, pendapatan dan kekayaan .Islam juga jihad, dakwah, tentera dan pencambahan idea. Seperti mana ia juga adalah aqidah yang betul dan Ibadah yang benar .

Laut dan Dakwah – Sebuah Refleksi Jiwa

Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...