Sunday, July 18

islam sebagai penyelesaian....


Muqaddimah

Apa yang termuat dalam risalah ini, sebahagian besarnya, adalah petikan daripada pendapat ulamak-ulamak muktabar yang jelas fikrah serta iltizam dan intizam dengan kehidupan Islam. Saya hanya sekadar menyambung lidah, menyampaikan buah fikiran dan pengalaman mereka di sepanjang hidup dalam berbagai-bagai waqi’.

Sepatutnya tajuk “Islam Sebagai Penyelesaian” menghuraikan skop dan ruang lingkup yang luas meliputi berbagai aspek kehidupan manusia. Tetapi apa yang saya akan ketengahkan di sini menyentuh perkara asas yang menjadi dasar kepada penyelesaian masalah hidup manusia dari semasa ke semasa hingga alam ini diwarisi kembali oleh Allah SWT.

Konsep penyelesaian tersendiri

Persoalan penting, apakah yang hendak diselesaikan oleh Islam? Apakah masalah sebenar manusia yang tidak mampu diselesaikan oleh mana-mana sistem atau peraturan kecuali Islam?

Sebelum persoalan ini dijawab, perlulah difahami bahawa Islam tidak boleh dipisahkan daripada realiti hidup manusia. Kerana manusialah Islam ditanzilkan (diturunkan). Firman Allah SWT:

“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia, untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan.” - Surah Saba’: ayat 28

Risalah Muhammad Rasulullah SAW adalah untuk kepentingan manusia. Manusia mempunyai sifat dan tabiat yang unik. Manusia terdiri daripada tiga fakulti iaitu rohi, ‘aqli dan jasmani. Ketiga-tiga fakulti ini perlu dipandu dan dikawal oleh satu sistem yang lengkap dan bersepadu untuk melahirkan manusia atau insan yang dapat berperanan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi mengikut nilai Rabbani, sekali gus memperlihatkan kematangan serta kedewasaannya dalam kehidupan di dunia dan layak mengecapi kebahagiaan di akhirat kelak.

Kita mengetahui bahawa setiap undang-undang atau peraturan mempunyai falsafah dan konsep tersendiri. Undang-undang dan peraturan-peraturan itu, dalam perlaksanaannya, tetap akan menghadapi masalah dan mempunyai cara-cara penyelesaian tersendiri pula.

Adalah tidak logik dan tidak adil seseorang menuntut undang-undang tertentu untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul akibat daripada perlaksanaan undang-undang yang lain.

Islam adalah undang-undang dan peraturan hidup yang lengkap. Setiap juzuk berkaitan dan berhubungan secara bersepadu membentuk kesatuan hakiki mencakup seluruh aspek kehidupan. Sekiranya Islam diberikan peluang agar tau’iyah dan tarbiyyahnya ditegakkan berdasarkan prinsip-prinsip da’wah Islamiyyah sebenar, berqudwahkan Rasulullah SAW dan berpandukan sumber wahyu Allah SWT. sehingga lahir masyarakat yang rela melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam, maka dikala itu logik dan adillah Islam dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Lihatlah apakah Islam mampu atau tidak?

Cara Islam Menyelesaikan Permasalahan Hidup

Untuk mengetahui cara Islam menyelesaikan permasalahan hidup manusia, seseorang perlu kembali meneliti dan memahami Fiqh Da’wah Rasulullah SAW. Yakni da’wah yang dibimbing oleh wahyu Allah SWT, al-Quran al-Karim. Di waktu yang sama seseorang perlulah melihat realiti masyarakat sewaktu Rasulullah SAW. diutuskan dari segi politik, ekonomi dan sosial kerana dalam bidang-bidang inilah sering timbul masalah-masalah yang dihadapi oleh sesuatu masyarakat, bangsa atau negara.

Ketika mana Muhammad Rasulullah SAW diutuskan, negeri Arab seperti Syam dan Yaman yang subur dan kaya dengan hasil mahsul dikuasai oleh Romawi dan Parsi. Tinggallah Hijaz, Tihamah dan Najd yang kering kontang, dilitupi padang pasir dan dimiliki secara bebas oleh orang-orang Arab yang berpuak dan berqabilah.

Kalau difikirkan secara biasa, tanpa meyakini bahawa setiap tindakan baginda bersabit dengan konsep Da’wah Islamiyyah sebenar dan metod penyampaian baginda adalah bimbingan wahyu Allah SWT, maka sudah tentu seseorang akan membuat andaian-andaian bahawa:

1. Dalam kesempatan Muhammad Rasulullah SAW yang memiliki sifat-sifat kepimpinan, kewibawaan dan pernah diberi kepercayaan oleh pembesar-pembesar Quraisy untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu, maka sebelum baginda menjalankan Da’wah Islamiyyah kepada masyarakat, sudah tentu dengan senang baginda dapat menyatupadukan umat Arab yang berpuak dan berqabilah di bawah slogan Qaumiyyah ‘Arabiyyah demi membebaskan bumi Arab dari dijajah oleh Romawi serta Parsi dan mengembalikan kuasa politik ke tangan umat Arab. Setelah umat Arab bersatu, buminya dirampas kembali dari tangan Rumawi dan Parsi dengan semangat Qaumiyyah ‘Arabiyyah dan setelah kedudukan Muhammad sebagai pemimpin kukuh maka dapatlah baginda, dengan kuasa dan kedudukan yang dimiliki, memantapkan ‘Aqidah Tauhid untuk dianuti oleh masyarakat dan seterusnya mewartakan Islam sebagai cara hidup mereka. Dengan cara ini, tentulah pada andaian seseorang yang hanya menggunakan aqal, Muhammad Rasulullah SAW tidak akan menghadapi berbagai-bagai halangan, rintangan, siksaan dan tentangan yang keras daripada Kafir Qura’isy selama 13 tahun dalam usaha untuk menanamkan ‘Aqidah Tauhid ke dalam hati masyarakat dan menegakkan Islam sebagai ad-Din (sistem hidup). Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

2. Kesempatan yang lain, realiti ekonomi dan sumber kekayaan di zaman Rasulullah SAW dikuasai oleh segolongan kecil dari masyarakat jahiliyyah. Mereka menguasai aktiviti perniagaan berasaskan riba’. Majoriti rakyat hidup miskin dan melarat. Berdasarkan kesempatan ini, mungkin seseorang mengandaikan jika Muhammad Rasulullah SAW berusaha mengajak majoriti masyarakat yang miskin dan melarat, lalu menyatupadukan mereka dalam satu saf bagi melepaskan diri daripada cengkaman golongan feudal dan meningkatkan taraf hidup mereka, nescaya Rasulullah SAW dengan senang dapat mempengaruhi dan menyatukan mereka. Selepas itu bolehlah Rasulullah SAW menegakkan ‘Aqidah Tauhid dan seterusnya mentatbiqkan undang-undang Islam dalam kehidupan masyarakat, tanpa bersusah payah menghadapi tentangan masyarakat Quraisy yang agresif hingga ke tahap ingin membunuh baginda. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

3. Kesempatan yang lain pula, realiti sosial dari sudut moral dan akhlak orang-orang Arab ketika itu amatlah menyedihkan. Sesiapa yang kuat dialah berkuasa. Permusuhan, kezaliman dan pergeseran sesama sendiri sering berlaku. Anak gadis ditanam hidup-hidup. Kemabukan arak, perjudian, amalan pelacuran dan seumpamanya berleluasa. Mungkin seseorang mengandaikan sekiranya Muhammad Rasulullah SAW mengisytihar dari awal-awal lagi suatu bentuk Da’wah Islamiyyah yang bertujuan membaiki moral, membentuk disiplin dan membangunkan akhlak tanpa menekankan permasalahan iman, nescaya Rasulullah SAW akan mendapat sambutan dan sokongan majoriti penduduk tanah Arab. Lebih-lebih lagi pada ketika itu masih terdapat di kalangan orang-orang ‘Arab yang mempunyai sifat-sifat dan `basic morality’ yang baik. Tidak perlu Rasulullah SAW bersusah payah selama 13 tahun berda’wah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah SWT dan mentauhidkan-Nya. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

Allah SWT Maha Mengetahui

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui bahawa semua andaian di atas bukan jalan yang betul untuk menyelesaikan masalah hidup manusia. Allah SWT Maha Mengetahui bahawa masalah hidup manusia tidak dapat diselesaikan tanpa melalui proses pembentukan jiwa berasaskan ‘aqidah yang sahih. ‘Aqidah yang akan menentukan sikap dan nilai sebenar.

Apabila ‘aqidah tauhid mengambil tempat dalam hati dan jiwa para sahabat Rasulullah SAW, dalam suasana mereka menghadapi berbagai halangan dan tentangan yang keras, maka terbentuklah ‘Aqidah Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT. Aqidah tauhid menjadi keyakinan dalam jiwa mereka. Syari’ah dan peraturan Islam menjadi praktik hidup mereka.

Pencetus Dan Pengawas Yang Kuat

Apabila manusia mengenal Ilah, beribadah kepada-Nya semata-mata, membebaskan diri daripada kesultanan manusia serta hawa nafsu dan apabila kalimah Lailaha Illallah menguasai jiwa manusia, pada ketika itu Allah SWT akan menyempurnakan untuk mereka segala sesuatu termasuklah andaian-andaian seperti tersebut di atas tadi. Dalam masa lebih kurang suku abad sahaja, bumi Arab yang terdahulu dijajah oleh Romawi dan Parsi telah dapat dikuasai oleh generasi yang dibentuk oleh Rasulullah SAW melalui proses keimanan kepada Allah SWT dan prinsip-prinsip keimanan yang lain.

Bersihlah masyarakat ‘Arab daripada sebarang bentuk kezaliman. Tertegaklah peraturan Islam pilihan Allah SWT yang adil dan saksama untuk manusia. Bersihlah jiwa dan moral masyarakat daripada saki baki jahiliyyah hingga jarang sekali hukum hudud, qisas dan ta’zir dijalankan pada generasi yang unik ini.

Inilah pencetus dan pengawas yang kuat dan rapi bertapak di dalam hati dan jiwa mereka. Pencetus dan pengawas dalaman bukan luaran semata-mata. Mereka melaku atau meninggalkan sesuatu kerana Allah SWT dan inginkan balasan yang baik daripada-Nya. Inilah rahsia sebenar yang mungkin tidak terfikir dan difikir oleh orang ramai ketika ini.

Realiti Umat Islam Kini

Sering terdengar percakapan-percakapan dan perbincangan-perbincangan di kalangan pemuda-pemuda dan ahli-ahli fikir Islam dewasa ini mengenai keperluan umat Islam terhadap kekuatan harta benda, ilmu pengetahuan dan pelbagai bidang ikhtisas untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi umat Islam dan membangunkan hidup mereka agar lebih maju dan makmur. Namun, amat sedikit didapati perbicaraan dan tindakan yang serius tentang keperluan umat Islam terhadap keimanan sebenar, perhubungan hati dengan Allah SWT, kepatuhan kepada titah perintah-Nya dan mencari keredhaan-Nya dalam semua amalan.

Tegasnya, seseorang perlulah faham dan sedar bahawa setiap amalan yang lakukan dan wasilah yang dimiliki, tanpa bersandarkan kepada dasar keimanan terhadap Allah SWT, akan sia-sialah segala amalan dan wasilah itu di sisi Allah SWT. Begitu banyak harta yang menjadi milik orang-orang Islam tetapi tidak menguntungkan Islam. Begitu juga halnya dalam bidang-bidang lain.

Rahsia Kejayaan Generasi Awal

Kejayaan generasi para sahabat yang dibentuk Rasulullah SAW dalam mengejar matlamat hidup bukanlah kerana mereka memiliki pelbagai wasilah dan alat kelengkapan yang cukup. Rahsia kejayaan mereka ialah keimanan sejati, kepatuhan maksimum terhadap titah perintah Allah SWT dan cita-cita mendalam untuk mendapat keredhaan serta pahala daripada-Nya. Inilah rahsia menyebabkan mereka bersedia penuh menyahut setiap hajat dan keperluan Islam dari masa ke semasa. Juga rahsia yang mendorong mereka berkorban dan bangun melaksanakan setiap tuntutan Islam tanpa rasa berat walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

Islam berhajatkan kerja-kerja da’wah. Maka tampillah para du’at yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Allah SWT melalui lisan dan contoh teladan meskipun menghadapi berbagai halangan dan tentangan daripada musuh. Mereka tetap meneruskan kerja-kerja da’wah tanpa takut atau mundur ke belakang.

Islam memerlukan pengorbanan harta benda. Maka tampillah mereka yang memiliki harta benda dan kekayaan, lalu menginfaq kepada Rasulullah SAW dengan penuh rela tanpa rasa bakhil atau sayang kepada harta benda itu. Hinggalah terdapat di kalangan mereka yang berkata kepada Rasulullah SAW, “Apa yang tuan ambil daripada kami adalah lebih baik daripada apa yang tuan tinggalkan.”

Islam berkehendakkan pengorbanan jiwa untuk mempertahankan kesuciannya daripada dicemari musuh. Maka berlumba-lumbalah mujahid-mujahid dan pejuang-pejuang Islam memberi khidmat suci demi menyahut panggilan Allah SWT. Sungguh banyak pengorbanan, sumbangan dan khidmat bakti mereka untuk kepentingan Islam semata-mata.

Islam Bermula Dengan Usul, Tidak Dengan Furu’

Islam tidak memulakan da’wah dengan mengenegahkan permasalahan furu’ tetapi memulakannya dengan perkara usul (perkara asas atau dasar). Islam di peringkat awal, di zaman Rasulullah SAW, tidak meminta manusia agar bangun berjihad di medan peperangan, berpuasa, berzakat, meninggalkan arak, menjauhkan judi dan sebagainya. Tetapi Islam di peringkat awal meminta dan menuntut supaya beriman kepada Allah SWT semata-mata. Tegasnya Islam bermula dengan ‘aqidah, tidak bermula dengan taklif atau kewajipan. Aqidahlah yang menjadi asas dalam perlaksanaan taklif (kewajipan). Islam bermula dengan batin , hati dan fikiran manusia sebelum sesuatu yang lain. Dari titik tolak aqidah yang bertempat di hati akan berlakulah perubahan dan pembangunan yang hakiki, yakni pembangunan insan di tengah-tengah alam kebendaan.

Apabila perkara dasar ini menguasai hati dan fikiran mereka yang dibentuk oleh Rasulullah SAW, lahirlah keperibadian ummah yang berorientasikan iman. Keperibadian itu menjadi kenyataan. Mereka iltizam dan intizam kepada titah perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam berbagai aktiviti hidup pada setiap masa tanpa berhajatkan pengawasan luar. Segala sesuatu yang terdahulu menjadi masalah dalam kehidupan mereka dapat diatasi dan diselesaikan dengan senang.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menyelesaikan permasalahan arak hanya melalui tiga potong ayat al-Quran al-Karim. Firman Allah SWT:

“Mereka bertanyakan engkau (Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah bahawa kedua-duanya dosa besar dan ada manfaat-manfaat kepada manusia, dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.”
- Surah al-Baqarah: ayat 219

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solah ketika kamu mabuk hingga kamu tidak ketahui apa yang kamu katakan.” - Surah an-Nisa’: ayat 43

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan tenung nasib adalah kotor dari amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya agar kamu mendapat kejayaan.” - Surah al-Maidah: ayat 90

Dengan tiga potong ayat tersebut permasalahan arak dapat diselesaikan oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya, kerajaan Amerika suatu ketika dahulu pernah melarang rakyatnya meminum arak. Dijalankan dia’yah (kempen) kepada masyarakat umum menentang minuman arak. Media massa kerajaan digunakan untuk tujuan tersebut. Hinggalah undang-undang pengharaman arak dikuatkuasakan di Amerika. Kerajaan Amerika menanggung beban perbelanjaan bagi melaksanakan undang-undang tersebut sebanyak 250 juta dollar. Akibat daripada pengharaman undang-undang arak itu, seramai 300 orang dikenakan hukuman mati bersabit kesalahan arak dan 500,000 orang dipenjarakan. Denda yang dikumpulkan sebanyak 400 juta dollar. Namun akhirnya, pada tahun 1933, kerajaan Amerika terpaksa memansuhkan undang-undang pengharaman arak.

Perhatian

Setiap Muslim dan Muslimah perlu memahami secara sedar bahawa Islam sebagai peraturan hidup manusia merupakan Qadhiyyah Ilahiyyah (Permasalahan Uluhiyyah) yang bersifat samawi, tidak layak disamakan dengan peraturan-peraturan hidup ciptaan manusia. Umat Islam yang memahami hakikat ini sekali-kali tidak akan menyamakan Islam dengan mana-mana peruntukan hasil pemikiran makhluk.

Setiap Muslim dan Muslimah perlu meyakini bahawa Islam merupakan Din Allah SWT untuk manusia sejagat. Mereka perlu yakin bahawa Islam sahaja mampu menyelesaikan masalah manusia lantaran Islam ditanzilkan oleh Pencipta manusia. Sesiapa yang memilih din yang lain maka dia menempa kerugian seperti mana yang diperingatkan Allah SWT dalam Firman-Nya:

“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Din (peraturan hidup) maka sesekali tidak diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi.” - Surah Ali Imran: Ayat 85

Thursday, July 15

janji ALLAH | yakinlah |


Diceritakan pada suatu ketika yang lalu, terdapat seorang lelaki beriman yang soleh. Dia tidak disenangi oleh raja yang zalim kerana ketegasan dan keberaniannya menyuarakan kebenaran. Dia ditangkap dan disumbatkan dalam penjara dengan cara yang begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Beberapa hari kemudian dia dilawati seorang pesuruh raja untuk meninjau keadaannya dalam penjara. Alangkah terkejutnya pesuruh tersebut apabila dia mendapati lelaki mukmin itu berada dalam keadaan tenang, riang dan gembira. Dia bertanya penuh kehairanan. Apakah rahsia kebahagiaannya sedangkan dia terkurung di dalam bilik sempit. Dikelilingnya dinding serta tembok yang sepi?

Mukmin yang soleh pun menjawab :
“Setiap hari aku mengambil ubat yang terdiri daripada tujuh ramuan. Ubat itulahyang menjadikan aku seperti yang awak lihat.”

Pesuruh itu bertanya dengan penuh kehairanan ingin mengetahuinya. “Apakah ubat yang awak ambil dan apakah ramuannya?”

Mukmin soleh itu pun menjawab :
Ramuan Pertama : Aku yakin kepada Allah. Sesungguhnya yakin kepada Allah sepenuhnya menjadi aku tenang menerima apa saja ketentuan Allah keatas diriku. Aku yakin apa yang ditentukan-Nya itu yang lebih baik untukku. Sekalipun pada zahirnya aku nampak tidak baik.

Ramuan Kedua : Aku yakin bahawa ketentuan Allah pasti akan terlaksana. Tiada siapa dapat lari darinya. Sesungguhnya tiada siapa yang boleh menolak ketetapan-Nya. Maka semestinyalah aku redha dengan ketetapan Allah, tidak merintih dan menyesalinya.

Ramuan Ketiga: Aku yakin bahawa apa yang aku hadapi hari ini merupakan ujian daripada Allah.Kejayaan didalam sesuatu ujian hanya boleh dicapai dengan bersabar serta mengharapkan ganjaran daripada Allah. Dan aku sentiasa meletakkan harapan yang tinggi bahawa Allah akan menggantikan untukku keadaan yang lebih baik samaada di dunia dan akhirat. Dengan itu aku tidak di himpit kerisauan dan keluh kesah.

Ramuan Keempat : Aku yakin bahawa jika aku tidak sabar maka apalah gunanya aku merintih? Pastinya rintihan hanya akan menambahkan kesedehan, kerisawan, keluh kesah yang akhirnya membawa padah tidur tak lena, makan tak selera dan ibadah tak bahagia.

Ramuan Kelima : Adalah tidak mustahil aku akan ditimpa bencana yang lebih teruk daripada apa yang di alami sekarang. Lantaran itu aku bersyukur kepada Allah terhadap bencana yang aku terima ini Bukankah pepatah ada menyebut ‘sesiapa yang melihat kesusahan orang lain akan merasa ringan kesusahan yang ditanggungnya’.

Ramuan Keenam : Musibah yang menimpa diriku bukan pada agamaku. Sesungguhnya yang sebenar-benar musibah itu ialah musibah pada agama iaitu apabila seseorang insan berada didalam kesesatan, kefasikan atau kekufuran. Adapun musibah yang lain daripada itu, sama ada terhadap harta, anak atau diri sendiri semua itu ringan sahaja. Kesannya pun hanya seketika berbanding dengan musibah pada agama serta kesesatannya. Lantaran itu Rasulullah s.a.w. berdoa maksudnya : “ Wahai Tuhanku, janganlah Engkau jadikan musibah kami ke atas agama kami”

Ramuan Ketujuh : Dan yang akhir, sesungguhnya aku sedang menanti pertolongan daripada Allah. Dari satu detik ke satu detik kerana sesungguhnya semua urusan itu di tangan Allah. Berterusannya sesuatu keadaan itu adalah sebahagian daripada perkara yang mustahil.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud “…Dan demikianlah Kami tukar gantikan hari-hari itu di antara manusia…”
(Surah Ali- Imran ayat 140)

Demikian besarnya erti keyakinan kepada Allah. Sesungguhnya apa yang dianggap oleh mukmin yang soleh itu merupakan menifestasi rahmat keyakinan yang dianugrahkan Allah kepadanya.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Apa-apa rahmat yang dibukakan Allah kepada manusia, maka tidak ada yang akan dapat menahannya. Dan apa-apa yang ditahan-Nya, maka tidak ada yang akan dapat memberikannya selepas itu. Dia maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Oleh itu untuk mendapat ciri-ciri mukmin sejati kita perlulah yakin kepada Allah, beriman sepenuhnya kepada Allah, pegangan yang mantap, kepercayaan yang utuh serta ketenangan hati yang padu terhadap ke Esaan Allah, yakin sepenuhnya terhadap kekuasaan-Nya, kekuatan-Nya, keagongan-Nya dan kebijaksanaan-Nya. Hidaya-Nya sahajalah yang sebenar-benar petunjuk.Tidak ada lagi selain daripada petunjuk-Nya kecuali kesesatan. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara Allah, Allah akan memeliharanya. Sesiapa yang bertawakal kepada-Nya, sesungguhnya pertolongan Allah akan tiba.Setiap apa yang ditakdirkan oleh-Nya itulah yang terbaik. Semua kesudahan yang baik adalah untuk mereka yang bertakwa tiada permusuhan kecuali keatas orang-orang yang zalim.


****************
kini kita menghadapi situasi yang sama....hidup diduni yang sebegini seolah2 penjara...dikuasai oleh pembesar2....dimana kita....dimana usaha kita.......mengharap bantuan ALLAH tanpa berusaha...cukup ke dengan kata2???...memadai ke jadi blogger????.....
tanya iman kita....

mukmin sudah tentu muslim......muslim belum tentu mukmin.....

dimanakah aku????


Tuesday, July 13

janji setia | pembaringan terakhir |

Salam sejahtera diiringi limpah kasih Ilahi,
Setinggi puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah Rabbul'alamin.
Dengan izin, perkenan dan limpah rahmatNya kita masih dapat mengecapi nikmat kehidupan. Juga masih berada di dalam nikmat Iman dan Islam. Itulah sebesar-besar nikmat yang memberikan kita rasa bahagia selama ini.

Untuk itu sewajarnya sentiasa kita nyatakan kesyukuran kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sedapatnya kita patuhi segala titah perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Juga selayaknya kita ikat JANJI SETIA kepada AllahSWT.

1. Apabila malam tiba, ketika mahu tidur, menyedari diri mungkin itulah pembaringan diri yang terakhir. Minta ampun kepada Allah dengan hati yang sungguh-sungguh dan perasaan sangat menyesal jika selama ini telah banyak menghabiskan masa membuat berbagai dosa dan kesalahan.

2. Apabila datang nikmat dan kesenangan dunia, musibah dan keburukannya, ingatlah pada hakikatnya tiada yang memberi manfaat dan memberi mudharat kepada kita kecuali Allah SWT. Serahkanlah hati dan tetapkan keyakinan, semua yang berlaku atas izin dan kehendak Allah. Bersabarlah dengan cobaan, bersyukur kerana diberi nikmat dan merendah diri dan hati mengharap rahmat dan redha Allah.

3. Apabila selesai solat, jangan bangkit sebelum berdoa. Memohon dengan perasaan gerun dan takut yang terbit dari lubuk jiwa. Sertai perasaan hina dan rendah diri semasa memohon diampuni segala dosa. Solat yang tidak disertai pengakuan dhaif diri di hadapan Allah, seolah-olah tidak beradap.

4. Apabila dimarahi orang, yakinkan diri bahawa keredhaan Allah lebih penting dari keredhaan manusia.

5. Apabila hati tergerak untuk menyebut keburukan manusia, atau mengumpat atau memburukkan orang lain, ingatlah segera bahawa kita juga mempunyai aib dan keburukan yang banyak. Jika Allah mendedahkannya maka akan tersebar kepada khalayak ramai. Malu dan takutlah di hadapan Allah untuk membuka aib orang. Bersyukurlah kepada Allah kerana tidak mendedahkan aib kita.

6. Jadikan hati kita bersih daripada sebarang penyakit dan kotoran. Ketaatan yang sedikit yang lahir dari hati yang bersih akan diredhai Allah dan beroleh ganjaran di akhirat. Amalan yang banyak dan lahir dari hati yang kotor, tidak diredhai Allah dan merugikan kita di dunia dan di akhirat.

7. Berusahalah bersungguh-sungguh agar umur yang Allah beri dapat dihabiskan untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Apa jua yang dilakukan, menuntut ilmu, bekerja dan berkeluarga semata-mata untuk meraih redha Allah.

Jika hati tergerak untuk melakukan sebarang maksiat dan keingkaran yang pastinya akan mencacatkan janji setia ini, ...maka ingatlah kepada PEMBARINGAN MAUT-iaitu mati. Dengannya kita akan segera sedar dan segera berusaha meninggalkan maksiat.

Wahai hati-hati yang sentiasa diperhati,
Janji setia inilah yang menjadi rahsia kebahagiaan seseorang di dunia ini dan nanti menerangi alam kubur. Seterusnya memberi kejayaan peperiksaan terakhir(hisab) dan titian sirat.

Wallahu'alam.
********************
setiap hari kita hadapi mati.....kita xtau bila benar2 kita pergi....jadi...selalulah ingat mati....

Monday, July 12

mereka yang berjaya

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia mempunyai cita-cita untuk berjaya dan cemerlang dalam kehidupan. Berjaya atau gagal untuk mencapai hasrat tersebut bergantung sejauh mana usaha dan perancangan yang teliti dan berterusan yang telah dilaksanakan.

Kalian juga pasti memiliki hasrat untuk berjaya, samaada berjaya dalam pelajaran, kerjaya atau perniagaan. Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, agama progresif dan dinamik yang amat menggalakkan agar umatnya berjaya di dalam kehidupan di dunia dan di Akhirat.

Sebelum kalian memburu kejayaan yang dicita-citakan perkara penting yang perlu diperhatikan adalah membina dahulu cemerlang dalam akhlak dan keperibadian dan perhubungan sesama manusia. Kalian perlulah berusaha dan memenuhi syarat ini terlebih dahulu, barulah ia akan jadi pelengkap kepada kejayaan kalian.

Apakah ciri-ciri kejayaan yang di pelupori oleh pejuang dan cendikiawan Islam yang telah berjaya memberi sumbangan yang besar ke atas kehidupan manusia? Bolehlah kita mengambil contoh kejayaan tokoh-tokoh Islam terdahulu dari sudut personaliti,keluarga, kerjaya, agama, ketamadunan, politik dan ekonomi.

Sahabat yang dimuliakan,
Kejayaan mereka menguasai ilmu dan mempraktikan ilmu yang dimiliki, telah terbukti dalam sejarah Islam, ianya telah mencipta sejarah kecemerlangan hingga di guna pakai sehingga ke hari ini. Tokoh-tokoh yang telah berjaya ini mempunyai sifat cemerlang yang tiada tolak bandingnya. Terdapat beberapa ciri penting sifat kecemerlangan mereka ialah :

1.Niat yang Betul.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “ Setiap amalan adalah dengan niat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Sayyidina Umar al-Khattab)

Oleh itu kalian harus sentiasa memasang dan membetulkan niat sebelum memulakan apa jua pekerjaan, samaada yang berbentuk ibadah atau pun amal kebiasaan. Niat ini adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

2.Ada Wawasan dan Matlamat.
Kalian perlulah meletakkan wawasan dan matlamat dalam hidup. Matlamat bersih dan jalan untuk mencapai matlamat tersebut juga mesti bersih. Kalian tidak boleh menggunakan kaedah, ‘Matlamat boleh menghalalkan cara’. Kalian terikat dengan peraturan dan hukum Islam. Matlamat dunia kalian mestilah berkaitan dengan kehidupan di akhirat.

3.Berani dan Sanggup Berkorban.
Tokoh-tokoh Islam terdahulu sanggup untuk bersusah payah menuntut ilmu bermusafir beribu-ribu batu untuk berguru dengan guru-guru mursyid. Sultan Sallehudin al-Ayubi berjuang berkali-kali baru dapat mengalahkan tentera Salib dan menawan semula Palestin dan Sultan Muhammad al-Fateh pula berjaya menawan Kota Istanbul setelah mencuba beberapa kali. Khalid al-Walid mengharungi 100 peperangan dan membunuh lebih 5000 orang musuh dalam perang Yarmuk.

4.Sentiasa Menambah Ilmu.
Bagaimana tokoh terdahulu menguasai ilmu pengetahuan? Imam Bukhari dan Imam Muslim menguasai ratusan ribu hadis disertai dengan menghafal perawi-perawinya. Bagaimana Imam Ahmad bin Hambal memberi fatwa kepada 60,000 masaalah dengan disertai dalil.

5.Memberi Tumpuan (fokus).
Kalian hendaklah memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang sedang dilakukan.Kuasa tumpuan (fokus) mampu menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Contohnya lihat sahaja Jabir bin Abdullah sanggup menempuh perjalanan selama sebulan ke Mesir semata-mata mencari sepotong hadis.

6.Daya Tahan yang Tinggi.
Untuk berjaya perlu bekerja dengan lebih keras dan komited. Jangan cepat menyerah kalah. Gunakan masa hingga ke tahap maksima dan hendaklah sentiasa istiqamah dan berterusan.

7.Memiliki Sifat-sifat Mahmudah.
Untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, perkara yang paling penting kalian hendaklah mendidik dan memperbaiki diri kalian hingga ketahap memiliki sifat-sifat mahmudah iaitu sifat-sifat warak, sabar, amanah, jujur, ikhlas dan syukur pada masa yang sama membuangkan sifat-sifat mazmumah iaitu sifat suka marah, hasad dengki, ujub, riak, sombong dan takabur. Tanpa adanya sifat-sifat yang mulia ini tidak mungkin kalian akan mampu menjadi cemerlang, ini adalah kerana sifat-sifat yang keji atau mazmumah adalah sifat negatif yang akan mendorong kepada kegagalan dan kekecewaan.

Akhir kata jadikanlah diri kalian insan cemerlang di dunia ini dengan mendapat kejayaan dalam kerjaya dan perjuangan hidup dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Dan juga menjadi insan cemerlang di hari Akhirat dengan dikurniakan-Nya balasan Syurga dan di jauhi dari siksaan Neraka.

Sunday, July 11

~muhasabah~ | dimana solat kita |



Assalammualaikum wt. wbt..
Salam penuh kasih sayang mengunjungi kalian semua, semuga semuannya di dalam dakapan kasih sayang Allah swt.

sidang pembaca yang dikasehi kerana Allah swt. jua...
Marilah sama-sama kita menyemak solat-solat kita...adakah kita lakukan bersama-sama dengan kehadiran hati kita atau sebaliknya.

Di sini ingin dikongsikan bersama-sama dari seseorang semuga individu tersebut sentiasa didalam rahmat Allah swt. petikan ini berguna buat kita semua.

SAYA SOLAT LIMA WAKTU TAPI

Ingat pada Allah hanya lima waktu itu saja
Dan pada masa lainnya saya lupa padaNya
Jika Solat saya 10 minit,maka cuma 10 minit itu saja ingat pada Nya
Mungkin dalam 10 minit itu pun saya masih ingat selain drpd Nya.
Sujud, rukuk, iktidal dalam solat saya masih kosong...

Saya solat lima waktu tapi....
Saya tidak bersyukur pada Nya
Padahal dulunya saya amat susah,
Allah yang memberi rezeki pada saya
Dengan rezeki itu saya dapat membeli rumah
Dengan rezeki itu saya dapat menampung keluarga
Dengan rezeki itu saya dapat membeli kendaraan dan sebagainya
Tapi.. hati saya masih belum puas
Saya masih tamak akan harta dunia dan masih menganggap serba kekurangan

Saya solat lima waktu tapi.. ..
Saya masih menggunakan perkataan yang tidak sopan kepada teman teman
Saya sering menyakiti hati mereka
Saya sering menghina mereka
Saya sering membohongi mereka dengan kata2 dusta
Saya sering menghina keturunan dan bangsa mereka seolah olah keturunan dan bangsa saya saja yang paling baik
Pada hal saya sendiri tidak tahu persis tempat saya di mahsyar nanti

Saya solat lima waktu tapi....
Saya masih sombong dengan ilmu yang saya miliki
Saya masih sombong dengan amal perbuatan yang telah saya perbuat
Saya masih sombong dengan ibadah yang saya lakukan
Saya masih sombong dan menganggap sayalah yang paling pandai
Saya masih sombong dan merasa saya paling dekat dengan Allah SWT

Dengan berbagai macam cara dan berbagai argumen saya berdebat mereka yang tidak sehaluan dengan saya. Padahal saya sendiri belum tahu,
redhakah Allah SWT dengan apa yang telah saya perbuat itu?

Saya solat lima waktu tapi... .
Saya masih menggunakan ilmu hitam untuk menjatuhkan musuh-musuhku
Saya menggunakan wang bahkan harta serta pangkat dan kekuasaan untuk menjatuhkan manusia yang saya tidak suka

Saya solat lima waktu tapi....
Saya amat bakhil dan kikir mengeluarkan wang untuk zakat dan sedekah kepada fakir miskin atau kepada anak yatim piatu kerena saya takut hartaku habis dan jatuh miskin

Saya solat lima waktu tapi....
Saya masih menyimpan sifat dengki dan khianat kepada teman teman yang sukses dinaikkan pangkatnya atau dinaikan gajinya dan atau berhasil dalam usahanya,
padahal mereka berusaha dan bekerja sungguh sungguh,
tapi saya hanya bekerja seperti hidup segan mati tak mau!

Saya solat lima waktu tapi....
Saya mengabaikan anak isteri yang kelaparan dan menderita di rumah,
kerena saya merasa sebagai raja di dalam rumahtangga dan boleh berbuat sesuka hati

Saya solat lima waktu tapi... .
masih merungut dan mencaci maki bila saya ditimpa musibah,
walaupun sebenarnya saya tahu sesuatu musibah itu datangnya dari Allah,
kerana perbuatan dan sikap saya sendiri
seharusnya saya sedar kepada siapakah saya mencaci maki itu?

Saya solat lima waktu tapi....
Menuntut ilmu semata mata mempersiapkan diri untuk berdebat dengan orang lain atau untuk menduga keilmuan mereka dan sengaja mencari cari yang tidak sehaluan dengan saya,
dan memaksa mereka mengikuti jejak langkah saya,
padahal seharusnya saya sedar tujuan kita menuntut ilmu adalah supaya kita dapat berbuat amal soleh dan beribadah dengan khusyuk dan tidak melakukan syirik kepada Allah (mempersekutukan Allah SWT dengan yang lainnya)

Saya solat lima waktu tapi....
Saya enggan melaksanakan serta kurang bahkan tidak faham dengan firman Allah SWT dalam Al Quran QS: 29 : (Al-Ankabut) : 45 yang ertinya :-

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.
Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat)adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Saya solat lima waktu tapi....
Saya tidak faham dan tidak tahu dan tidak menjalankan dengan benar firman Allah dalam QS 107. (Al Maa´uun) : yang artinya:-

1. Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama ?
2. Itulah orang yang mengherdik anak yatim
3. dan Tidak menganjurkan memberi makan orang miskin
4. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat
5. (yaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya
6. orang-orang yang berbuat riya
7. dan enggan (menolong dengan) barang berguna.

Setelah sekian lama kita bersolat adakah sifat-sifat ini ada pada kita..? Jika ada marilah kita sama memohon pada Allah agar kita dapat membuang sedikit demi sedikit sifat2 yg dinyatakan..semuga solat-solat yg kita lakukan dgn kehadiran HATI kita dapat menghindarkan kita dpd sifat2 buruk di atas...ameen..

Ini sekadar renungan utk kita menyemak kembali sejauhmana keberkesanan solat yg kita lakukan semuga semakin bertambah baik dan dapat membuahkan hasil yg semakin baik.InsyAllah.


*******************



Saturday, July 10

kerana sahabat

beberapa ayat dari 'qalbi' untuk hatiku sendiri selepas menyaksikan serta menghadapi beberapa situasi....

'orang yang selalu menghiburkan kita juga ada perasaan untuk terluka'

syarahannya-kita selalu suka berkawan dengan orang yang leh buat kita hepi...tapi kita xtau mungkin die sedang menyembunyikan sesuatu dari dilihat orang lain...



'orang yang yang selalu hepi bukannya tanda xde masalah'

maksudnya-kadangkala kita lihat seseorang tu hepi tahap gaban...kalo sekali sekala xpe...ni tetiap hari...sampai dalam suasana mesyuarat yang tegang pun die macam hepi gak...tu bukan die xmenjiwai @ main-main dalam semua benda...tapi mungkin die xsuka suasana yang agak tegang , jadi menyembunyikan masalah dan membuat orang lain lari dari suasana tegang tu lebih disukai...tapi xleh dinafikan setiap orang mempunyai masalah...... :)


'kita merasakan tekanan...tanpa peduli orang lain pun ade tekanan'

kadangkala kita dalam situasi tertekan...(benda kecil pun)...datang sahabat kita...yang lebih ditekan dan tertekan , tapi 'cool' dan tak menunjukkan die tertekan....adakah kita nak kata dia xde tekanan????...kita pun ngan rasa tak bersalah "maki" kawan kita...konon2 tu cara hilang tekanan....ape la kita ni...... :)

'kita merasakan banyak bekerja untuk perjuangan islam,orang lain lebih lagi dari kita'

kadangkala kita merasa kesuntukan masa,mungkin diisi dengan perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada agama ini...lalu kita merasa penat , maka ketahuilah kita baru menempah kunci perjuangan...ramai lagi orang yang da masuk dan telah berjaya dalam perjuangan(mati syahid)......maka ketahuilah bahawa kita masih belum bekerja untuk perjuangan islam.....

'orang yang selalu ceria pun ada airmata'

kita selalu ingat orang yang ceria...buat lawak ni xde masalah...jadi ceria je la hidup die....tanpa kita sedari , keceriaan yang ada pada orang itu adalah pengorbanannya untuk orang2 disekelilingnya...kita kena akui , dia juga ada tekanan...dia juga ada komitmen lain...die juga leh mencairkan airmata untuk jatuh ke muka bumi...mungkin bukan depan kita...belakang kita???? :)


ape yang cuba disampaikan disini adalah,cube fahami apa yang dimaksudkan dengan perkataan "kawan" juga "persahabatan"

sebuah syair arab ada menyebut :


إن الصديق على الصديق مصدق



***************
ini adalah permainan dalam otakku ini....tiada kaitan ngan hidup dan mati orang lain....
p/s-kenalilah sahabat anda..kadangkala mereka melakukan pengorbanan untuk kita tanpa kita sedar...


forum bicara siswa | sempena hari keluarga n9 |


Forum Bicara Siswa

Tajuk : Peranan Ulama dan Negara Dalam Pembentukan Institusi Negara



Tarikh : 13/07/2010

Hari : Selasa

Masa : Selepas Maghrib

Ahli Panel: - Ustaz Helimy b Aris
(Ijazah Lanjutan Bidang hadis Universiti Al-Azhar)

- Ustaz Abd Rahman Mohd Tharin
(Ijazah lanjutan bidang Syariah Universiti Al-Azhar)

- Dr Muhammad Husaini b Saleh
(Presiden Persatuan Pelajar Perubatan Mesir )

Pengerusi : Ustaz Danial Farhan b Dolmat

Disediakan oleh: Unit Sidang dan Ceramah Hari Keluarga N.Sembilan.





Iklan Sempena Hari Keluarga N9

Laut dan Dakwah – Sebuah Refleksi Jiwa

Salam sejahtera dan salam rasa dari hati… Gambar ini gambar pantai, tapi hati ini tergerak nak bercerita tentang laut. Laut yang tena...